Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.
~Kembara Bahasa~
Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi
Sunday, April 24, 2011
Puisi: Petikan daripada "Rangkaian Rubai`yat"
Petikan daripada Rangkaian Rubai`yat Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas
Muslim tergenggam belenggu kafir,
Akhirat luput, dunia tercicir,
Budaya jahil luas membanjir,
Banyak yang karam tiada tertaksir.
Barus dan Singkel, Pasai dan Ranir
Silam ditelan masa nan mungkir;
Lupa Jawaban dihafal mahir
Bagi Menyangkal Munkar dan Nakir
(Syed Muhammad Naquib Al-Attas, Rangkaian Rubai`yat, Dewan Bahasa dan Pustaka 1959)
Saturday, April 23, 2011
Buku "Tuntunan Bahasa"
Buku Tuntunan Bahasa
Pengarang: Awang Sariyan
Penerbit: Pearson Malaysia Sdn. Bhd
Kata tuntunan bererti 'bimbingan' atau 'pimpinan'. Oleh itu, tuntunan bahasa bererti 'bimbingan bahasa'.
Kandungan buku ini terbahagi kepada dua bahagian, iaitu "Bahagian Cerita di Balik Kata" dan "Bahagian Sendi Bahasa". Bahagian pertama yang terdiri daripada 88 makalah mengupas penggunaan kata-kata yang sering bermasalah dalam penggunaannya.
Bahagian kedua pula membincangkan sejumlah 31 aspek yang berkaitan dengan tatabahasa.
Bahagian Satu: Cerita di Balik Kata
1. "Bena" dan "Bina"
2. "Cocok" dan "Cucuk"
3. "Colek" dan "Culik"
4. "Dokong" dan "Dukung"
5. "Endah" dan "Indah"
6. "Golong" dan "Gulung"
7. "Kendaraan" dan "Keindaraan"
8. "Lancong" dan "Lancung"
9. "Lengkung" dan "Lingkung"
10. "Pojok" dan "Pujuk"
11. "Rasmi" dan "Resmi"
12. "Seloroh" dan "Seluruh"
13. "Sosok" dan "Susuk"
14. "Tafsir" dan "Taksir"
15. "Tekad" dan "Tekat"
16. "Telor" dan "Telur"
17. "Tembok" dan "Tembuk"
18. "Tempoh" dan "Tempuh"
19. "Ubah", "Robah" dan "Rubah"
20. "Apa" dan "Siapa"
21. "Ababila" dan "Bila"
22. "Adakah" dan "Apakah"
23. "Ahli" dan "Anggota"
24. "Boleh" dan "Dapat"
25. "Jemput" dan "Undang"
26. "Satu" dan "Suatu"
27. "Setengah" dan "Setengah-setengah"
28. "Undang" dan "Undang-undang"
29. Yang "Cendekia" itu "Cendekiawan"
30. "Mesti" dan "Pasti"
31. "Fakta" dan "Faktor"
32. Perihal "Babit" dan "Libat"
33. Antara "Fanatik" dengan "Pejuang"
34. Masalah "Cik" dan "Puan"
35. "Kesal" dan "Sesal"
36. "Tentang" dan "Mengenai"
37. "Penghawa dingin" atau "Pendingin Hawa"?
38. "Mencolok mata" atau "Menjolok mata"?
39. Tentang "Sarapan Pagi" dan "Sarapan Malam"
40. "Kata-kata Aluan" atau Kata "Alu-aluan"?
41. "Kesan" dan "Akibat"
42. "Mengambil Perhatian" atau "Memberikan Perhatian"?
43. Antara "Hendak" dengan "Mahu"
44. Yang "Hebat" dan yang "Dahshat"
45. "Beradu Tidur" dan "Beradu Kuat"
46. "Dia kata" atau "Kata dia"
47. Perihal Kata "Fungsi"
48. "Banyak" bukan hanya untuk benda dan haiwan
49. Perihal Kata "Memperincikan"
50. Tentang Kata "Tuan"
51. Tentang "Manakala"
52. Perihal Kata "Hadir"
53. Perihal Kata "Maha"
54. "Pohon Maaf" di Bukit Cerakah
55. Perihal Kata "Panggil"
56. Perihal Kata "Gagal"
57. Perihal Kata "Manfaat"
58. Tiada Salahnya "Mengandung"
59. Perihal Kata "Malu"
60. Mengapa "Pemelajaran"?
61. Perihal Kata "Pesona" dan "Peduli"
62. Masalah "Selak", "Semak" dan "Sepak"
63. "Peninju" dan "Petinju"; "Penunjuk" dan "Petunjuk"
64. "Perhatian" dan "Pemerhatian"
65. "Pedalaman" dan "Pendalaman"
66. "Pendapat" dan "Pendapatan"
67. "Penempatan" dan "Petempatan"
68. "Perdamaian" dan "Kedamaian; "Percintaan" dan "Kecintaan"
69. "Mengisi" dan "Mengisikan"
70. "Memperisteri" dan "Memperisterikan"; "Mempersuami" dan "Mempersuamikan"
71. "Beri", "Memberi" dan "Memberikan"
72. "Menghadiahkan" dan "Menghadiahi"
73. "Memperhatikan" atau "Memerhatikan"?
74. "Mengenepikan" atau "Mengetepikan"; "Mengengahkan" atau "Mengetengahkan"?
75. "Memperbesar" atau "Memperbesarkan"?
76. "Menemui", "Menemukan" dan "Mempertemukan"
77. "Dapat", "Mendapat", "Mendapati" dan "Mendapatkan"
78. "Menyintai" atau "Mencintai"?
79. Perlukah "Berlari" untuk "Lari"?
80. "Memberitahu" dan "Memberitahukan"
81. Siapa yang "Meragui" dan Siapa yang "Meragukan"?
82. "Minat" dan "Berminat"
83. "Memasuki" dan "Memasukkan"; ""Memenuhi" dan "Memenuhkan"
84. Pesakit "Dikejar" atau "Dikejarkan" ke Hospital?
85. Mengapa Rahmat "Dicucuri"?
86. "Bahaya", "Berbahaya" dan "Merbahaya"
87. "Menjatuhkan" dan "Menjatuhi"
88. "Mencontoh" dan "Mencontohi"; "Meneladan" dan "Meneladani"
Bahagian Dua: Sendi Bahasa
1. Apakah Bahasa Baku?
2. Bilakah Bahasa Baku Perlu Digunakan?
3. Mari Bertutur dalam Sebutan Baku
4. Sebutan Baku: Elakkan Kelainan Bunyi
5. Mengapa Kita Meminjam Kata Asing?
6. Bahasa yang Mempengaruhi Bahasa Kita
7. Cemarkah Bahasa Disebabkan Kata Asing?
8. Pengaruh Bahasa Asing yang Buruk
9. Jangan Inggeriskan Ayat Melayu
10. Sekelumit Lagi Soal Susunan Kata
11. Adakah "a" dan "an" dalam Bahasa Melayu?
12. Di Mana, Yang Mana dan Dari Mana
13. Masalah Penggunaan Kata Bilangan
14. Penjodoh Bilangan: Gambaran Pemikiran Masyarakat
15. Penjodoh Bilangan Menunjukkan Bentuk dan Ukuran
16. Hati-hati Memilih Penjodoh Bilangan
17. Pelbagai Bentuk Kata Ganti Diri
18. Kata Panggilan Hormat
19. Gunakan Kata Ganti Diri dengan Tepat
20. Masalah Penggunaan "Ianya"
21. Kata Sendi: Sering Diabaikan dan Disalahgunakan
22. Gunakan Kata Sendi yang Tepat
23. Mengenal Bentuk Kata Kerja
24. Kata Kerja Aktif dan Kata Kerja Pasif
25. Kata Kerja yang Melampau dan yang Tidak Melampau
26. Kata Kerja dengan Dua Objek
27. Kata Kerja Berpelengkap sebagai Unsur Gaya Bahasa
28. Gunakan Kata Adjektif yang Tepat
29. Kata Adjektif dalam Pembinaan Frasa dan Ayat
30. Kata Adjektif Berpelengkap dan Simpulan Bahasa
31. Kata Adjektif yang Diperluas
Friday, April 22, 2011
Puisi: Mitos Bahasa
Mitos Bahasa
Kata yang empunya ceritera
kononnya bahasa Melayu
kosa kata asalnya hanya tiga patah
padi, besi dan babi
tiada sanadnya yang sah
tiada ketahuan nama perawi
enak dijadikan sendaan
tiada sedar kejahilan diri terdedah
Kata yang empunya ceritera
kononnya bahasa Melayu tiada berdaya
menyahut cabaran gelombang samudera
Lamun di paparan sejarah telah tertera
bahasa Melayu hebat sejak zaman Sriwijaya
menanjak gemilang membina mercu tanda
dalam zaman kesultanan di seluruh Nusantara
dimahkotakan sebagai bahasa sempurna
merentas ranah, sempadan dan bangsa
Kata yang empunya ceritera
seluruh dunia kini kononnya beralih paksi
kepada satu bahasa unggul sedunia nan tidak terperi
syarat menjadi bangsa maju dan akal yang bestari
Rupanya matanya kabur peribadinya lebur tidak bersaksi
di atas dan di bawah angin sekian banyak bangsa teguh berdiri
memacu kemajuan menguasai ekonomi, ilmu dan teknologi
bertunjangkan kekuatan jati diri dan bahasa sendiri
memanfaatkan seperlunya bahasa dagang tanpa larut makna diri
Mitos bahasa demi mitos bahasa
diciptakan dan direkayasakan
konon atas nama kemajuan bangsa dan negara
tiada insaf akan fitrah ketetapan Yang Berkuasa
mengurniai setiap bangsa dengan bahasa bukan sia-sia
memantapkan cita, membina akal budi dan meningkatkan wibawa
tidak kehilangan jejak dalam persaingan di pentas perdana
kerana kita perlu ada mata alamat yang nyata
mencapai puncak jaya dengan acuan dan citra wangsa
~Kembara Bahasa~
Beijing, 21 April 2011
Wednesday, April 20, 2011
Pengajian Melayu semakin luas di arena antarabangsa
Pengajian Melayu semakin meluas
Oleh Nizam Hamid
BEIJING 20 April – Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin jalinan persefahaman dan persahabatan antara rakyat Malaysia dan China akan dapat diperkukuhkan lagi dengan meluasnya program Pengajian Melayu di institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, sebanyak enam buah universiti di negara ini telah menawarkan program pengajian Bahasa Melayu, iaitu Universiti Pengajian Asing Beijing, Universiti Komunikasi China, Universiti Peking, Universiti Pengajian Asing Guangdong, Universiti Bangsa-Bangsa Guangxi dan Universiti Bangsa-Bangsa Yunnan.
“Saya dimaklumkan antara 49 jurusan yang ditawarkan di Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU), Bahasa Melayu merupakan salah satu jurusan yang amat popular,” katanya berucap semasa melawat universiti tersebut di sini hari ini.
Malah katanya, pelajar yang mengikuti jurusan itu telah dapat menguasai bahasa Melayu dengan amat baik sekali dan ia terbukti apabila dua pelajarnya menjadi johan dan naib johan pada Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri pada tahun lalu dan 2008.
Menurut beliau, iltizam dan penglibatan kerajaan Malaysia dan China dalam mengembangkan bahasa dan persuratan Melayu di negara ini telah ditingkatkan lagi dengan penubuhan Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China di BFSU pada 2008.
“Dengan wujudnya Kursi Pengajian Melayu di universiti ini, saya yakin usaha pemantapan program ilmiah dalam bidang pengajian Melayu, baik dalam penawaran kursus yang lebih luas, penyelidikan, penerbitan dan pengembangan kebahasaan dapat dilaksanakan dengan lebih baik lagi,” ujarnya.
Timbalan Perdana Menteri turut melahirkan penghargaan terhadap BFSU kerana memberikan tumpuan istimewa dalam program Pengajian Melayu sehingga universiti ini menjadi pusat pengembangan bahasa dan persuratan Melayu yang terunggul di China.
Tambahnya, BFSU juga aktif dalam menghantar tenaga pengajar bahasa Mandarin ke universiti di Malaysia dalam meningkatkan penguasaan bahasa itu di kalangan mahasiswa.
Katanya, BFSU telah memulakan program bahasa Melayu sejak 1961 lagi dan mewujudkan Pusat Pengajaran Bahasa Melayu pada 1997 dan Pusat Pengajian Melayu China pada 2005.
Dalam pada itu Muhyiddin berkata, walaupun bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan dan menjadi bahasa pengantar dalam sistem pendidikan kebangsaan, kerajaan tetap memberi pengiktirafan terhadap bahasa Mandarin.
Malah katanya, kerajaan juga mengambil langkah memantapkan pengajaran bahasa Mandarin di sekolah dan IPT termasuk menghantar pelajar ke BFSU bagi mengikuti pengajian bahasa Mandarin dengan harapan mereka pulang untuk mengajar bahasa tersebut.
“Setakat ini terdapat seramai 119 pelajar Malaysia di bawah tajaan Kementerian Pelajaran dan Mara di BFSU sejak 2007,” ujarnya.
Kunjungan ke BFSU diadakan sempena lawatan kerja seminggu Timbalan Perdana Menteri ke negara ini dan turut serta ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek; Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin, Ahli Parlimen Pulai; Datuk Nurjazlan Mohamed dan Ahli Parlimen Lawas; Datuk Henry Sum Agong. – Utusan
Puisi: Bicara Sang Pragmatis
[Mafhum hadith: Cinta kepada dunia ialah gerbang kejahatan.]
Bicara Sang Pragmatis
Maka berbicaralah sang pragmatis:
Agama itu urusan peribadi
antara diri dengan Tuhan;
usah dibesar-besarkan
kerana bisa menjadikan diri dan bangsa beku
tidak maju.
Usah berbicara soal pahala dan dosa
soal balasan syurga dan neraka
kerana kita kini di sini berada.
Alam yang kelak mendatang biarkanlah dahulu
kerana setiap orang masih memiliki waktu
Maka berbicaralah sang pragmatis:
Apa yang ada pada bahasa
Apa yang ada pada budaya
Semua itu warisan belaka;
dipugar belum pasti memberikan laba
dialpakan tidak mengundang bencana
Kita calon warga perdana
di persada dunia kita akan ternama.
Peduli apa dengan warisan bangsa.
Maka berbicaralah sang pragmatis:
Usah leka berbicara soal falsafah
kerana itu tidak membawa faedah.
Kita perlukan tenaga yang gagah
untuk membentuk bangsa yang megah
di sana sini mercu tanda yang gah
biarpun leluasa aneka jenayah
salah guna kuasa, pecah amanah dan rasuah
kerana itu kononnya harga kemajuan yang sah
Maka akan terus berbicara sang pragmatis
bahawa segala-galanya mesti praktis.
Pedulikan, biarkan, lupakan sang idealis
Mereka spesies yang kian tergeser dan terhakis
Tanya mereka "quo vadis"?
Maka akan terus berbicara sang pragmatis....
~Kembara Bahasa~
20 April 2011
Tuesday, April 19, 2011
Pendirian yang Mantap dan Tetap tentang Dasar Negara Diperlukan
Pendirian yang Mantap dan Tetap tentang Dasar Negara Diperlukan
Pada hari ini, Rabu 20 April 2011, berlangsung majlis sambutan kunjungan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B. Tan Sri Muhyiddin Hj. Mohd. Yassin ke BFSU, dalam rangka kunjungan rasmi ke Republik Rakyat China.
Amat menarik bahawa Pengerusi Jawatankuasa Lembaga Universiti (setara dengan Pengerusi Lembaga Pengarah universiti di Malaysia) sendiri yang mengacarakan majlis, tanpa banyak masa terbuang oleh kata-kata pengacara majlis seperti yang menjadi amalan di negara kita. Dengan alu-aluan ringkas, beliau langsung mempersilakan Presiden Universiti dan kemudian Timbalan Perdana Menteri Malaysia untuk berucap.
Menarik juga dicatat bahawa bahasa perantaraan majlis ialah bahasa Mandarin, dan anggota rombongan Malaysia diberi alat terjemahan selari untuk memahami kandungan ucapan dalam bahasa Mandarin. Untuk ucapan TPM dan persembahan dalam bahasa Melayu, disediakan pula terjemahan ke dalam bahasa Mandarin. Usaha memartabatkan bahasa kebangsaan dalam majlis antarabangsa seperti itu patut dicontoh oleh para pemimpin dan para pentadbir semua sektor awam. Tidak berlaku sama sekali kendala perhubungan disebabkan penggunaan bahasa negara dalam majlis peringkat antarabangsa.
Majlis meriah dengan interaksi TPM bersama-sama dengan pelajar-pelajar Jurusan Bahasa Melayu BFSU yang mengemukakan beberapa soalan dalam bahasa Melayu yang baik, tentang dasar bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia, peluang pekerjaan dan usaha peningkatan jalinan persahabatan Malaysia-China. Jawaban TPM diterjemahkan pula ke dalam bahasa Mandarin oleh pelajar-pelajar Malaysia yang mengikuti pengajian Mandarin di BFSU untuk difahami oleh para pemimpin dan pegawai akademik BFSU.
Sesudah itu, pelajar China di Jurusan Bahasa Melayu dan pelajar Malaysia di Fakulti Mandarin bergilir-gilir membuat persembahan seni budaya. Pelajar Malaysia menampilkan kehebatan bahasa Mandarin mereka melalui persembahan nyanyian dan sajak dalam bahasa Mandarin, sementara pelajar China memperlihatkan kefasihan bahasa Melayu dan penghayatan budaya Melayu melalui deklamasi sajak, tarian zapin dan koir "Jalur Gemilang" yang penuh bersemangat.
Berkaitan dengan dasar bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa penghantar utama sistem pendidikan negara, pendirian TPM, baik dalam ucapan mahupun dalam sidang interaksi dengan pelajar cukup mengesankan. Tampaknya pendirian beliau cukup jelas tentang ketetapan undang-undang negara, iaitu Perlembagaan Persekutuan dan beberapa akta seperti Akta Bahasa Kebangsaan dan Akta Pendidikan yang menjadi landasan kedudukan dan peranan bahasa Melayu.
Malah dalam hal istilah 'bahasa Melayu' dan 'bahasa Malaysia' yang masih menjadi polemik di Malaysia, beliau tampaknya secara agak tekal menggunakan istilah 'bahasa Melayu'. Apabila sesekali beliau tersilap menyebut istilah 'bahasa Malaysia', dengan segera beliau membetulkannya dengan berkata, "...maksud saya bahasa Melayu."
Jika sikap, pendirian dan penyataan beliau dalam majlis itu dapat dianggap isyarat pendiriannya untuk terus memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa negara, maka saya dan rakan-rakan pejuang bahasa pasti bersyukur. Sikap dan pendiriannya itu mestilah diterjemahkan dalam bentuk yang selaras dengan undang-undang dan dasar negara tentang kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa negara.
Isu yang paling berkaitan kini tentulah PPSMI yang telah diputuskan untuk dimansuhkan pada tahun 2012 tetapi ada bunyi-bunyi akan dilanjutkan ke tahun 2015 atau mungkin akan ada versi baharu PPSMI yang dilaksanakan, atas tuntutan pihak tertentu yang sebenarnya minoriti.
Demikian juga halnya dengan isu 'bahasa Melayu' dan 'bahasa Malaysia' yang sebenarnya bukan isu jika semua pihak menghormati dan menghayati Perlembagaan Persekutuan. Dalam perlembagaan Persekutuan, jelas dimaktubkan bahasa bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Sikap dan pendirian TPM dalam majlis di Beijing itu perlu diterjemahkan dalam bentuk ketegasan mengekalkan istilah 'bahasa Melayu' atas hujah-hujah yang telah sekian lama diberikan oleh ahli-ahli bahasa.
Kita mengharapkan pendirian yang mantap dan tetap para pemimpin negara dan juga semua pihak yang mengaku taat setia kepada negara Malaysia, dalam soal yang berkaitan dengan dasar dan undang-undang negara, termasuk yang berkaitan dengan Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan.
~Kembara Bahasa~
2 petang, 20 April 2011
Monday, April 18, 2011
Erti dan Nilai Nama bagi Orang Islam di China
Erti dan Nilai Nama bagi Orang Islam di China
Apatah yang ada pada nama? Demikian yang biasa kita dengar ucapan klise kebanyakan orang. Di negara kita, dalam kalangan orang Melayu masih banyak nama yang bersumberkan tradisi etnik meskipun nama yang bersumberkan Islam memang meluas. Nama saya sendiri diberikan oleh orang tua saya berdasarkan nama panggilan yang umum dalam kalangan masyarakat Melayu, meskipun keluarga saya berketurunan Jawa.
Saya sendiri tidak pasti mengapa saya diberi "nama Melayu" walhal menjadi tradisi orang Jawa "membeli nama" apabila naik haji. Nama yang dibeli daripada Syekh haji di Makkah ialah nama nabi atau keluarga nabi, nama yang berdasarkan nama Allah (dengan ditambah 'Abdul' di hadapannya yang bererti 'hamba' atau nama sahabat nabi. Moyang saudara saya (datuk saudara ayah saya) sendiri yang nama asalnya Embah Dhono (saya tidak pasti nama penuhnya) menukar nama menjadi Haji Ilyas apabila menunaikan haji.
Pokoknya, nama orang Melayu yang pada asasnya Islam (dengan tidak memperhitungkan Melayu yang murtad atau yang mungkin ateis)di negara kita tidak pernah menjadi isu atau persoalan yang berkaitan dengan agama anutannya, iaitu Islam. Namun, berbeda sekali halnya dengan yang berlaku di negara China.
Meskipun nama rasmi, atas tuntutan dasar negara, setiap orang memiliki nama China, namun setiap orang Islam lazimnya mempunyai "nama Islam"nya. Dalam salah satu misi tinjauan saya ke provinsi yang jumlah penduduk Islamnya agak besar, saya pernah beberapa kali ditanya oleh seorang Ahong (imam) sebuah masjid yang saya kunjungi sama ada saya muslim.
Riak wajahnya memamerkan rasa ragu walaupun saya mengesahkan keislaman saya. Puncanya ialah nama saya. Nama itu amat asing baginya, tentu kerana tidak bersumberkan nama nabi atau sahabat Rasulullah, atau paling tidak yang berbunyi kearab-araban. Demikianlah orang Islam di China mementingkan "nama Islam" sebagai asas "makna diri" atau identiti keislamannya.
Maka itu, di sisi mempunyai nama China sebagai nama rasmi untuk keperluan kenegaraan (pendaftaran sebagai warganegara, persekolahan, pekerjaan, urusan bank dan yang lain), dapat dikatakan bahawa setiap orang Islam di negara itu mempunyai "nama Islam" masing-masing.
Nama mereka umumnya bersumberkan nama para nabi dan sahabat Nabi yang masyhur. Antaranya, yang popular ialah Adam, Yusuf, Yunus, Musa, Daud, Ibrahim, Ismail, Nuh, Yaakub, Ishak, Ali, Hakim, Ahmad, Muhammad dan beberapa yang lain. Oleh sebab agak banyak yang memiliki nama Islam yang sama, mungkin sahaja timbul kekeliruan untuk mengenal pasti seseorang yang kita sebut atau kita ceritakan kepada orang lain dalam kalangan mereka.
Dalam keadaan begitu, perlu disebut nama Chinanya. Jika nama Chinanya tidak dapat kita ingat, perlu dinyatakan maklumat lain tentang diri orang berkenaan, seperti usianya, pekerjaannya atau ciri fizikalnya supaya lawan bicara kita tidak tersalah orang.
Ada juga yang menggabungkan dua nama seperi Muhammad Ibrahim, Ibrahim Nuruddin, Muhammad Ishak dan sebagainya. Nama lain yang agak jarang saya temukan tetapi ada digunakan, antara lain termasuklah Saldin dan Jamaludin.
Jelas bahawa di China, ungkapan "apatah yang ada pada nama" tidak benar bagi penduduknya yang beragama Islam. Mereka amat bangga memiliki "nama Islam" kerana nama itu amat rapat dengan tokoh yang namanya diambil itu. Manatah tidak, mereka mengambil nama para nabi, Nabi Muhammad sendiri dan para sahabat Nabi yang kesemuanya merupakan hamba pilihan Allah.
Yang lebih asas, nama itu menjadi bukti bahawa mereka ialah penganut agama Islam, dan dengan "nama Islam" itulah mereka menjalin ukhuwwah dalam kalangan masyarakat Islam di negara sendiri dan juga dengan orang Islam di luar negara.
~Kembara Bahasa~
Sesudah Subuh 19 April 2011
Sunday, April 17, 2011
Buku "Tertib Mengarang: Asas Retorik untuk Pelajar dan Pendidik"
Tertib Mengarang: Asas Retorik untuk Pelajar dan Pendidik
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
(cetakan pertama 2004, cetakan keempat 2009)
Harga: RM 11.00
Kandungan:
Bab 1 - Tertib dalam Karang-mengarang: Apa dan Mengapa?
Bab 2 - Mengapa Anda Menulis?
Bab 3 - Kenal Pasti Pembaca Sasaran Tulisan Anda
Bab 4 - Mengenal Pelbagai Bentuk Karangan
Bab 5 - Binaan Karangan Deskriptif yang Jitu
Bab 6 - Ayat yang Berkesan
Bab 7 - Ayat yang Padu
Bab 8 - Penegasan sebagai Ciri Ayat yang Berkesan
Bab 9 - Ciri Kepelbagaian dalam Ayat yang Berkesan
Bab 10 - Pentingnya Kesejajaran dalam Ayat yang Berkesan
Bab 11 - Penalaran dan Logika dalam Ayat yang Berkesan
Bab 12 - Pentingnya Rangka Karangan
Bab 13 - Analisis dan Ulasan Rangka Karangan
Bab 14 - Merangka Karangan dalam Bentuk Peta Minda
Bab 15 - Daripada Rangka Menjadi Karangan
Bab 16 - Pendahuluan Karangan: Contoh dan Ulasan
Bab 17 - Membina Perenggan yang Berstruktur
Bab 18 - Jenis-jenis Perenggan dan Kaedah Membinanya
Bab 19 - Syarat-syarat Perenggan yang Utuh
Bab 20 - Menilai Karangan Sendiri
Bab 21 - Kesilapan Umum Bahasa dalam Penulisan
Bibliografi
Indeks
[Buku Tertib Mengarang: Asas Retorik untuk Pelajar dan Pendidik ini dihasilkan khusus untuk membantu para pelajar dan pendidik menghasilkan tulisan atau karangan yang bermutu. Pengarang menegaskan bahawa syarat asas penghasilan tulisan yang bermutu ialah kepatuhan kepada kaedah mengarang yang tertib yang terbahagi kepada tiga tahap. Tahap pertama ialah tahap persiapan atau prapenulisan; yang kedua ialah tahap penulisan sebenar, sementara yang ketiga ialah tahap penyemakan atau pascapenulisan. Penulis yang berdisiplin tidak harus mengabaikan proses mengarang secara tertib. - Petikan keterangan di kulit belakang buku]
Wednesday, April 13, 2011
PPSMI dan Dongeng Sisyphus
PPSMI dan Dongeng Sisyphus
Awang Sariyan
Dalam dongeng Yunani atau Greek lama dan kemudian dalam mitologi Rumawi, masyhur sekali kisah Sisyphus, iaitu seorang raja yang dihukum oleh dewa Zeus kerana kesalahan besarnya. Disingkatkan kisahnya, hukuman yang diterima oleh Raja Sisyphus ialah menolak batu besar ke puncak bukit supaya batu itu bergolek di lereng yang satu lagi.
Malangnya, dewa Zeus mengenakan deraan kepada Sisyphus dengan menekan batu besar itu setiap kali batu itu sudah tiba di puncak bukit, sebelum sempat bergolek ke lereng yang satu lagi. Maka menderitalah Sisyphus sepanjang hayat menerima hukuman itu.
Saya tidak bermaksud untuk mengajak pembaca percaya akan dongeng Yunani lama itu. Dongeng ialah dongeng. Tiada kebenaran dalam dongeng. Namun ada kiasan dan iktibar yang mungkin dapat dipelajari daripada dongeng. Samalah halnya dengan dongeng bagaimana Puteri Gunung Ledang mengenakan pelbagai syarat yang tidak munasabah untuk menerima pinangan Sultan Mahmud Melaka, seperti perlu membina jambatan emas dari istana Melaka ke puncak Gunung Ledang, menyediakan tujuh dulang hati nyamuk dan hati kuman dan sebagainya yang lain lagi.
Dalam kisah duka pelaksanaan PPSMI sejak tahun 2002, banyaklah “Sisyphus” yang didera menolak batu besar dalam bentuk “martabat bahasa Melayu” supaya batu besar itu berjaya bergolek di lereng sebelah. Namun, “Sisyphus” yang menolak “batu besar” dalam kisah PPSMI itu bukanlah Sisyphus yang berdosa, sebaliknya Sisyphus yang ikhlas memperjuangkan salah satu tunjang bangsa dan negara yang penting, iaitu bahasa negara.
Batu besar yang ditolak itu dikira sudah hampir sampai di puncak bukit sesudah perit getir berusaha apabila kerajaan setuju untuk memansuhkan PPSMI dengan kaedah “mendarat selamat” pada tahun 2012. Meskipun tetap dibayangi keraguan dan tidak dapat yakin sepenuh-penuhnya dengan keputusan itu, apatah lagi dengan penangguhan yang mengambil masa tiga tahun (2009-2012) supaya “mendarat dengan selamat”, segala Sang “Sisyphus” yang menolak batu besar bahasa Melayu itu dapat jua menikmati kelegaan sedikit.
P. Ramlee memetik peribahasa Melayu “Kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari” dalam salah sebuah lagu gubahannya. Itulah yang terjadi apabila gempar dalam media penyataan Menteri Pendidikan bahawa PPSMI mungkin dilanjutkan ke tahun 2015, barangkali pendaratan tidak dapat dilakukan kerana cuaca amat buruk.
Perdana Menteri pula bermain dengan teka-teki apabila berkata bahawa “Setakat ini kerajaan tidak membuat apa-apa keputusan tentang penggunaan dua bahasa (termasuk bahasa Inggeris) dalam pengajaran Sains dan Matematik tetapi memberikan perhatian kepada pandangan (desakan) kumpulan berkenaan (seperti PAGE).” Terang bahawa kelegaan segala Sang “Sisyphus” yang berusaha keras menolak batu besar bahasa Melayu ke puncak bukit hanya sementara.
Maka teringatlah saya akan kata-kata Datuk Baharuddin Zainal (sasterawan Baha Zain) yang berbunyi amaran kepada Sang “Sisyphus” lain. Katanya, “Usah berasa selesa dan seronok sangat. Kita tidak tahu apa yang terjadi esok lusa.” Amaran Datuk Baha Zain kini tampaknya mula menjadi riak-riak yang jika tidak segera ditangani akan menjadi kenyataan kerana bagi kebanyakan sang politikus, pertimbangan paling aula ialah nilai sokongan dan undi dalam pilihan raya.
Tentu ada nilai-nilai lain, seperti pembelaan kepada rakyat yang kurang bernasib baik, pemuliharaan jati diri dan tradisi dan sebagainya, tetapi justru nilai sokongan dan undilah yang sering mejadi keutamaan.
Demikianlah, perjuangan mempertahankan bahasa Melayu sebagai salah satu teras jati diri bangsa Melayu (bangsa teras negara) dan juga sebagai bahasa negara (bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa utama pendidikan dan bahasa segala bidang utama kehidupan bernegara) telah menjadi suatu bentuk salinan dongeng Sisyphus.
Sejak sebelum merdeka hingga sesudah merdeka, nasib bahasa Melayu seakan-akan seperti nasib batu besar yang ditolak ke puncak bukit. Ada ketikanya batu besar itu berjaya ditolak ke atas, tetapi seringkali pula batu itu ditekan dari atas (oleh dewa?) sehingga melorot lagi batu itu ke bawah.
Pejuang bahasa kebangsaan pula seperti Sisyphus yang dihukum kerana sesuatu sebab yang tidak jelas kerana perjuangan mereka berlandaskan hukum negara, iaitu Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang ditunjangi oleh Perlembagaan Persekutuan dan beberapa Akta Parlimen, khususnya Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan dan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka. Tidak ada kesalahan apa-apa pun pada mereka. Sebaliknya yang bersalah ialah mereka yang melanggar hukum dan dasar negara. Bukankah golongan itu yang sepatutnya menjadi Sisyphus?
Bilakah kiranya dongeng Sisyphus dalam kisah perjuangan bahasa Melayu (dan juga dalam bidang-bidang lain) akan berakhir?
~Kembara Bahasa~
14 April 2011
Sunday, April 10, 2011
Puisi: Gema Suara
Gema Suara
Usahlah tuan hamba mengira
kami akan berhenti daripada berkata-kata
kerana kami mewakili suara hati rakyat jelata
suara kesinambungan perjuangan orang merdeka
Usahlah tuan hamba mengira
kami akan berhenti daripada berkata-kata
kerana bahasa warisan pusaka kian ternoda
oleh angkara gembala bangsa yang sering alpa
Usahlah tuan hamba mengira
kami akan berhenti daripada berkata-kata
kerana tidur kami tidak pernah lena
oleh janji yang sering tidak terkota
Usahlah tuan hamba mengira
kami akan berhenti daripada berkata-kata
kerana jati diri bangsa kian sirna
oleh pesona habuan dunia
Usahlah tuan hamba mengira
kami akan berhenti daripada berkata-kata
kerana kemuliaan budi pun kian hampa
oleh hasad, kesumat dan perebutan kuasa
Usahlah tuan hamba mengira
kami akan berhenti daripada berkata-kata
kerana maruah diri telah jadi jajaan leluasa
aib saudara dibuka dan diciptakan tanpa rasa dosa
Usahlah tuan hamba mengira
kami akan berhenti daripada berkata-kata
kerana nilai adab dan martabat bangsa kian tidak terbela
apabila nafsu terdorong merencanakan sengketa
Usahlah tuan hamba mengira
kami akan berhenti daripada berkata-kata
kerana hati kami kian luka
oleh kata bersulam janji tanpa makna
Usahlah tuan hamba mengira
kami akan berhenti daripada berkata-kata
kerana kami ada soalan untuk dijawab di alam sana
tentang tanggungjawab ketika di dunia
Usahlah tuan hamba mengira
kami akan berhenti daripada berkata-kata
~Kembara Bahasa~
11 April 2011, sesudah Subuh
Wednesday, April 6, 2011
Pemansuhan PPSMI: Kerajaan Usah Sekali-kali Berganjak
Pemansuhan PPSMI: Kerajaan Usah Sekali-kali Berganjak
Kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan, tidak sewajarnya berganjak daripada
keputusan yang telah diambil pada tahun 2009 untuk memansuhkan PPSMI dan mengembalikan martabat serta peranan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan, seperti yang telah diasaskan oleh Jawatankuasa Razak 1956 dan kemudian menjadi undang-undang negara dalam Akta Pelajaran 1961, dan seterusnya dalam pindaan Akta Pendidikan 1996.
Langkah kembali kepada sistem dua aliran (Melayu dan Inggeris, meskipun dalam
subjek-subjek bidang sains dan matematik) hanya meruncingkan keadaan dan kedudukan Dasar Bahasa Kebangsaan, yang menjadi salah satu asas kenegaraan dan "pembinaan negara" - untuk perpaduan kebangsaan, untuk pembinaan jati diri negara dan untuk menjadikan bahasa Melayu bahasa berwibawa.
Sesudah mendapati bahawa PPSMI menimbulkan masalah nasional (berasaskan penyataan TPM selaku Menteri Pendidikan apabila memutuskan pemansuhan PPSMI bermula pada tahun 2012 dan hasil kajian ahli bahasa dan pendidikan sejak 2002), amat tidak munasabah kerajaan bertukar haluan semata-mata kerana ingin memenuhi tuntutan sekelompok golongan yang sama sekali tidak memperlihatkan semangat kebangsaan dan tidak pernah memahami "erti bahasa kebangsaan dalam pembinaan negara".
Peningkatan penguasaan bahasa Inggeris, sebagaimana yang telah berkali-kali ditegaskan oleh ahli bahasa dan ahli pendidikan yang mendukung perjuangan bahasa kebangsaan tidak akan dapat diatasi dengan PPSMI, melainkan melalui peningkatan dalam pengajaran bahasa Inggeris itu sendiri. Kementerian Pendidikan sendiri telah mengumumkan MBMMBI dan rancangan itu perlu dilaksanakan dengan berkesan, tanpa mengganggu MBM (Memartabatkan Bahasa Melayu).
Prof. Dr. Awang Sariyan
Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China
Beijing
Ingatan daripada Prof. Datuk Dr. Mohd. Salleh Yaapar
Salam semua,
Hubaya hubaya, tsunami bahasa bakal melanda!!!
Belum cukup dua tahun, iaitu pada tahun 2009, Kabinet memutuskan mahu memansuhkan PPSMI, kini kita semua dikejutkan oleh akhbar-akhbar Inggeris dan Melayu yang dengan bangganya membawa proklimasi "PPSMI may return-- ministry to consider dual medium of instruction." (Lihat lampiran)
Nampaknya kedaulatan Perlembagaan, kedudukan Bahasa Kebangsaan dan suara majoriti rakyat tidak dipedulikan lagi; yang didengar ialah suara PAGE dan golongan elita minoriti. Akibatnya bukan sahaja sekolah telah dipecah-pecahkan kepada kebangsaan dan bukan kebangsaan, PPSM juga akan dipecahkan kepada dua aliran, dan BM akan kembali dikhianati.
Diharap kita semua, terutama Persatuan Linguistik Malaysia, Gapena, Pena, PPBMM
dan organisasi bahasa yang lain, dapat sama-sama melakukan sesuatu bagi mengingatkan pemerintah tentang malapetaka di depan pintu ini.
Wassalam,
Salleh
Tuesday, April 5, 2011
Matlamat Pendidikan Bahasa pada peringkat Pelaksanaan
Matlamat Pendidikan Bahasa pada Peringkat Pelaksanaan
oleh Awang Sariyan
[Petikan daripada salah sebuah kertas kerja penulis]
Secara kasarnya, terdapat dua aliran utama pendidikan bahasa yang secara langsung berkaitan dengan matlamat pendidikan bahasa. Kedua-duanya itu ialah:
a. Pendidikan bahasa yang berasaskan kemahiran bahasa/linguistik (yang meliputi tiga komponen utama bahasa, iaitu fonologi, tatabahasa dan semantik, atau dengan lebih rinci meliputi sistem ucapan, sistem tulisan, sistem tatabahasa, kosa kata dan laras bahasa);
b. Pendidikan bahasa yang berasaskan kemahiran sosial/komunikatif (yang menekankan aspek fungsional bahasa).
Dalam historiografi atau pensejarahan linguistik dan pendidikan bahasa, aliran yang pertama itu ditandai oleh kemunculan empat kerangka linguistik yang utama, iaitu linguisitik tradisional, linguistik struktural (yang mewakili pandangan empirisisme), linguistik transformasi-generatif (yang mewakili pandangan mentalisme) dan linguistik fungsional (Awang Sariyan, 1997 dan 2007).
Secara ringkas, keempat-empat kerangka linguistik yang mempengaruhi bidang pendidikan bahasa itu ditandai oleh beberapa ciri utama yang berikut:
Asas Linguistik Tradisional:
1. Huraian bahasa berdasarkan makna dan logika (menurut falsafah Yunani)
2. Penguasaan bahasa tulisan lebih daripada bahasa lisan
3. Huraian aturan bahasa bersifat normatif/preskriptif
Asas Linguistik Struktural
1. Bahasa ialah pertuturan, bukan tulisan.
2. Bahasa merupakan suatu himpunan kebiasaan, bukan berasaskan aturan
bahasa yang preskriptif.
3. Ajarkanlah bahasa, bukan tentang bahasa.
4. Bahasa ialah apa-apa yang dituturkan oleh penutur jatinya, bukan apa-apa
yang sepatutnya dituturkan.
5. Bahasa berbeda antara satu dengan yang lain.
Asas Linguistik Rasionalis/Mentalis
1. Bahasa yang hidup dicirikan oleh kreativiti dengan berasaskan rumus atau
aturan.
2. Rumus-rumus tatabahasa secara psikologinya merupakan hakikat bahasa.
3. Manusia secara istimewa dilengkapi keupayaan mempelajari bahasa
(APB, iaitu alat pemerolehan bahasa/LAD, iaitu language acquition device).
4. Bahasa yang hidup ialah bahasa yang dapat menjadi wadah untuk manusia
berfikir.
Asas Linguistik Fungsional
1. Bahasa ialah fenomena sosial.
2. Penguasaan bahasa diukur berdasarkan kemahiran komunikatif, lebih
daripada kemahiran linguistik.
3. Penekanan diberikan kepada variasi bahasa menurut fungsi sosial.
Kontroversi yang berakar pada mazhab atau aliran pemikiran yang berbeda tentang konsep bahasa itu ada manfaatnya daripada segi perkembangan ilmiah, tetapi tidak seharusnya menjadi jurang yang menyebakan pendidik bahasa terjerumus ke dalam jurang itu, sehingga taksub berpegang pada mazhab tertentu dan menolak segi-segi kelebihan dan kekuatan mazhab-mazhab yang lain.
Sebagai contoh, aliran linguistik tradisional, meskipun terlalu bergantung pada asas logika klasik Yunani dalam huraian bahasa, masih tetap dapat dimanfaatkan dalam konteks mengenal kategori bahasa seperti subjek, predikat, objek, pelengkap, keterangan, golongan dan bentuk kata serta jenis dan golongan ayat.
Aliran struktural ada kelemahannya daripada segi pengasingan bentuk daripada makna dan kecenderungan yang berlebihan untuk berasas pada bahasa lisan (bahasa komunikasi sehari-hari) tetapi membantu kita mengenal konstituen-konstituen dalam binaan kata dan ayat dan fitur-fitur bunyi bahasa dengan jelas.
Demikianlah juga, aliran transformasi-generatif yang bertunjangkan mentalisme dalam menjelaskan konsep dan hakikat bahasa membantu pendidik bahasa dalam konteks memahami bahasa sebagai proses mental dan penerapannya dalam pendidikan bahasa diperjelas oleh bidang psikolinguistik.
Akhirnya, aliran fungsional yang menekankan bahasa dalam konteks fungsi sosialnya membantu pendidik untuk menjabarkan kegunaan pelbagai bentuk bahasa (laras, ragam, variasi bahasa) dalam pelbagai konteks sosial (keluarga, rakan sebaya, rakan sejawatan, pentadbiran, undang-undang, ekonomi, pengiklanan, puisi, cereka, sukan dan sebagainya).
Dalam kertas kerja ini, penulis menyarankan agar pendidik bersikap eklektik, iaitu memadukan segi-segi positif setiap aliran linguistik itu untuk melaksanakan pendidikan bahasa yang berkesan. Tidak ada manfaatnya kita meletakkan diri dalam kepompong mana-mana mazhab dalam pelaksanaan amanah kita sebagai pendidik bahasa. Biarkanlah ahli linguistik murni berada pada jalur pemikiran itu jika mereka berhasrat demikian.
Untuk merumuskan matlamat pendidikan bahasa yang praktis dan dapat memenuhi idealisme pendidikan bahasa itu sendiri, secara ringkas saya mengemukakan beberapa saran untuk renungan:
1. Dikotomi antara penekanan pendidikan bahasa terhadap matlamat yang bersifat linguistik dengan matlamat yang bersifat pragmatis itu perlu dipadukan untuk memperoleh penguasaan bahasa yang seimbang antara kemahiran linguistik dengan kemahiran komunikatif.
2. Kemahiran yang hanya menekankan kemahiran linguistik menyebabkan bahasa kehilangan fungsi sosialnya.
3. Kemahiran yang hanya menekankan kemahiran komunikatif menyebabkan kehilangan piawai bahasa untuk dijadikan asas dalam pendidikan bahasa dan juga dalam komunikasi luas dalam proses pengembangan kebudayaan dan tamadun bangsa.
Dengan demikian, matlamat pendidikan bahasa hendaklah difahami sebagai matlamat yang dwifungsi, iaitu menyerapkan aspek sistem bahasa atau aspek linguistik dalam kalangan pelajar (sebagai asas untuk komunikasi yang berkesan dalam pelbagai konteks sosial dan keperluan) dan membolehkan pelajar menguasai kemahiran komunikasi (di peringkat mikro seperti keluarga dan rakan-rakan sebaya dan juga di peringkat makro atau pelbagai kelompok sosial yang lebih luas, seperti perhubungan dalam pentadbiran, perniagaan, majlis, adat istiadat, protokol, korporat, media penyiaran, hubungan diplomasi dan sebagainya).
Matlamat yang pertama itu dapatlah dikaitkan dengan proses “melengkapkan” (equipping) pelajar dengan unsur-unsur asas bahasa, sementara matlamat kedua berkaitan dengan proses “membolehkan” (enabling) pelajar menerapkan kemahiran bahasanya dalam konteks komunikasi yang sebenarnya, yang meliputi kepelbagaian konteks sosial, bidang dan keperluan. Bahagian yang berikutnya akan menghuraikan kedua-dua matlamat itu.
Sunday, April 3, 2011
Keperluan akan Falsafah Pendidikan Bahasa yang Wajar
Keperluan akan Falsafah Pendidikan Bahasa yang Wajar
oleh Awang Sariyan
[Petikan daripada salah sebuah kertas kerja penulis]
Untuk melaksanakan pendidikan bahasa sebagai wasilah pembentukan dan pengukuhan jati diri bangsa dan juga sebagai tonggak pembinaan negara, diperlukan asas yang jelas dan utuh. Asasnya ialah falsafah pendidikan bahasa yang wajar dan sesuai dengan lingkungan bangsa dan negara.
Penetapan falsafah pendidikan bahasa yang dapat memenuhi kedua-dua fungsi tersebut perlu dirumuskan dengan jelas dan dijadikan asas pembinaan kurikulum, latihan perguruan, penyediaan bahan ajar, proses pengajaran dan pemelajaran serta pengujian dan penilaian yang kesemuanya merupakan aspek operasional dalam proses pendidikan.
Meskipun falsafah bahasa diketahui telah berakar dari awal tumbuhnya disiplin falsafah itu sendiri, iaitu enam abad sebelum Masihi di Yunani, namun pembicaraannya hingga zaman linguistik moden ternyata berasas pada pemikiran dan pandangan hidup Barat, dengan sedikit sekali menampilkan perspektif pemikiran dan pandangan hidup Islam. Hal ini telah menyebabkan persoalan hakikat bahasa yang menjadi titik tumpuan kajian falsafah bahasa masih belum memperoleh penghuraian yang muktamad, kerana sifat kebudayaan Barat yang senantiasa terbuka kepada perubahan dan senantiasa pula dalam pencarian.
Falsafah Barat dari peringkat awal memang ditandai oleh sifat spekulatif dan sejak Zaman Kebangkitan (Rennaissance) pada penghujung abad ke-16, falsafah Barat meraikan pertembungan dua paksi fahaman mereka, iaitu rasionalisme dan empirisisme (Osman Bakar, 1995 dan Awang Sariyan 1997).
Oleh sebab demikian kuatnya pengaruh falsafah Barat, termasuk dalam bidang falsafah bahasa, dunia Islam telah turut terikat oleh teori-teori dan epistemologi yang berasaskan kerangka falsafah Barat. Bidang bahasa dan pendidikan bahasa tidak terkecuali, sehingga konsep-konsep yang berkaitan dengan hakikat bahasa dan amalan pendidikan bahasa membawa cara gaya dan acuan pemikiran serta pandangan hidup Barat.
Masalah tersebut berkaitan rapat dengan proses sekularisasi yang berasas pada fahaman pemisahan dunia daripada akhirat dan masa kini daripada masa kemudian (hari akhirat), yang dicetuskan oleh para ilmuwan Barat sebagai usaha membebaskan ilmu daripada kuasa gereja. Untuk membebaskan ilmu (ilmu menurut perspektif Islam) daripada sekularisme dan kerangka falsafah Barat, telah bermula usaha yang diistilahkan oleh al-Attas (1978 dan 1993) sebagai "dewesternisasi ilmu" atau kini disebut umum sebagai "pengislaman ilmu".
Dalam konteks Malaysia, kerajaan, melalui Kementerian Pendidikan Malaysia, telah menggubal Falsafah Pendidikan Negara pada tahun 1988 sebagai salah satu langkah awal melaksanakan Reformasi Pendidikan. Falsafah tersebut berbunyi:
"Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah mengembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis daripada segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggung jawab, dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara."
Falsafah Pendidikan Negara menjadi teras dan tunjang kepada sistem pendidikan kebangsaan supaya semua program dan aktiviti pendidikan merupakan pancaran prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang terkandung dalam falsafah tersebut. Wan Mohd Zahid Mohd Noordin (1993: 161) yang menjadi Ketua Pengarah Pendidikan sewaktu Falsafah Pendidikan Negara digubal menegaskan penyataan falsafah tersebut sebagai mercu tanda Reformasi Pendidikan dan juga sebagai penyataan misi (mission statement) pendidikan negara.
Salah satu konsep "pengembangan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu" yang diungkapkan dalam Falsafah Pendidikan Negara ialah yang berkaitan dengan penyepaduan bahasa Melayu dalam semua mata pelajaran atau ilmu yang diajarkan, kecuali mata pelajaran bahasa lain (Lihat Wan Mohd Zahid Mohd Noordin, 1991 dan 1993 dan juga Ahmad Muhammad Said, 1991).
Konsep kesepaduan ilmu dan kemahiran yang melibatkan bahasa Melayu ini dengan sendirinya merobah gagasan dan pendekatan dalam pendidikan bahasa Melayu di sekolah-sekolah khususnya. Dua strategi yang dilaksanakan untuk mengisi konsep kesepaduan yang berkaitan dengan bahasa Melayu ialah:
a. melalui pengajaran dan pemelajaran bahasa Melayu, dengan berasaskan strategi 2P, iaitu penggabungjalinan dan penyerapan ilmu serta nilai murni;
b. melalui mata-mata pelajaran lain, dengan berasaskan gagasan Bahasa Melayu Merentas Kurikulum (BMMK).
Berkaitan dengan Falsafah Pendidikan Negara dan pelaksanaan pendidikan bersepadu yang menyentuh bahasa Melayu, ada dua aspek yang dapat dipertalikan dengan masalah yang dibincangkan. Pertama, keperluan terhadap suatu falsafah pendidikan bahasa (bahasa Melayu) yang selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara dan dapat mengisi usaha mengembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu, daripada sudut bahasa. Kedua, aspek pelaksanaan atau amalan pendidikan bahasa Melayu yang semestinya memerlukan reformasi juga untuk mengisi falsafah tersebut.
Sebagai lanjutan daripada perbincangan di atas, diperlukan upaya untuk:
a. mencari asas-asas falsafah yang dapat menjadi landasan untuk merumuskan falsafah pendidikan bahasa bagi bahasa Melayu, dengan tasawur atau pandangan hidup Islam sebagai dasarnya.
b. merumuskan pendekatan pendidikan bahasa Melayu yang sesuai dengan kerangka falsafah pendidikan bahasa menurut sudut pandangan Islam, dengan tidak pula menolak pendekatan yang sesuai daripada sumber Barat.
c. meninjau kenyataan yang berlaku di sekolah untuk mendapat gambaran tentang pelaksanaan pendidikan bahasa Melayu menurut pendekatan bersepadu serta masalah-masalahnya.
d. menyarankan strategi meningkatkan pelaksanaan falsafah pendidikan bahasa dalam konteks Reformasi Pendidikan Negara.
Pentingnya kajian tersebut dapat dilihat daripada beberapa sudut seperti yang berikut:
a. Pembinaan suatu kerangka falsafah pendidikan bahasa bagi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa ilmu di negara-negara induk berbahasa Melayu dan dalam konteks yang lebih luas di beberapa banyak bahagian di dunia merupakan keperluan yang mendesak, sesuai dengan peranan bahasa Melayu yang kian meningkat.
b. Mengisi gerakan pengislaman ilmu merupakan jihad umat Islam di seluruh dunia bagi mengetengahkan epistemologi atau teori ilmu yang berpaksikan tauhid dan syariah dalam semua bidang, termasuk dalam bidang bahasa dan pendidikan bahasa.
c. Kajian diharapkan dapat menerjemahkan gagasan-gagasan murni yang terungkap dalam Falsafah Pendidikan Negara, khususnya yang berkaitan dengan pendidikan bersepadu, dengan pertimbangan khusus daripada sudut peranan bahasa Melayu dalam proses pengilmuan generasi muda. Falsafah murni, jika tidak diterjemahkan ke dalam kurikulum secara terperinci, perancangan yang teratur, kaedah latihan guru yang cukup baik, dan pengurusan sekolah yang berkesan, akan tinggal sebagai penyataan falsafah sahaja. Oleh itu, kajian tentang pelaksanaan falsafah pendidikan bahasa di sekolah-sekolah diharapkan dapat memberikan sumbangan sedikit banyaknya ke arah pemenuhan idealisme Falsafah Pendidikan Negara.
d. Kajian diharapkan dapat juga membantu mengisi kekurangan kajian tentang beberapa aspek linguistik Melayu yang belum mendapat perhatian yang mendalam, termasuk bidang falsafah bahasa (yang berkaitan rapat dengan pendidikan bahasa), seperti yang disarankan oleh Nik Safiah Karim dalam Syarahan Perdana Penerimaan gelar Profesor Pengajian Melayu, Universit Malaya (1993).
Kajian dan analisis perlu dilakukan dengan bertitik tolak daripada asas-asas falsafah Barat dari zaman awal, iaitu abad ke-6 S.M. yang tumbuh di Yunani hingga perkembangannya dalam zaman moden kerana falsafah itulah yang telah mendominasi hampir seluruh aspek kehidupan manusia Barat sejak zaman-berzaman dan sebahagiannya turut mempengaruhi dunia umat Islam juga. Analisis ini dilanjutkan dan diperkukuh dengan tumpuan khusus kepada perkembangan falsafah bahasa dalam tradisi Barat.
Perlu diusahakan analisis tentang falsafah bahasa dan pendidikan bahasa menurut perspektif Islam, sebagai alternatif bagi falsafah bahasa dan pendidikan bahasa Barat yang telah mengakar sekian lama, termasuk di dunia Islam juga.
Subscribe to:
Posts (Atom)