Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.
~Kembara Bahasa~
Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi
Thursday, September 30, 2010
Bual Bahasa: Bahasa Melayu Tonggak Pembangunan Negara
MAJALAH DEWAN BAHASA (Oktober 2010, Jilid 10, Bilangan 10, hlm. 61-65)
Bual Bahasa: Bahasa Melayu Tonggak Pembangunan Negara
“Harapan terhadap kedaulatan dan martabat bahasa Melayu di negara ini perlu seiring dengan usaha pengisian secara terancang, terutama daripada segi pelaksanaan penggunaannya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan dan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka.” - Profesor Dr. Awang Sariyan
Bermula pada bulan Oktober 2009, Dewan Bahasa dan Pustaka telah mengadakan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) bagi menggantikan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) yang sebelum ini disambut pada bulan September setiap tahun. Pada tahun ini, majlis perasmian BBK yang bertemakan “1 Bahasa, 1 Bangsa, 1 Negara” akan diadakan di Ipoh, Perak.
Bersempena dengan fokus Dewan Bahasa (DB) keluaran Oktober, iaitu BBK 2010, sidang editor Dewan Bahasa telah mewawancara Profesor Dr. Awang Sariyan, mantan Pengarah Jabatan Bahasa (1999-2004) dan kini sedang bertugas sebagai Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China di Universiti Pengajian Asing Beijing, untuk mendapatkan pandangan beliau tentang BBK.
DB: Selepas berada di China sekitar dua tahun, apakah pandangan Profesor tentang kedudukan dan perkembangan bahasa Melayu di sana?
AS: Bahasa Melayu mendapat perhatian yang istimewa sebagai salah satu bahasa asing yang diajarkan di enam buah institusi pengajian tinggi. Di Beijing sahaja, bahasa Melayu diajarkan di tiga buah universiti, iaitu Universiti Pengajian Asing Beijing (pangkalan Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China yang ditubuhkan oleh Kerajaan Malaysia), Universiti Peking dan Universiti Komunikasi China. Di kota Guangzhou bahasa Melayu diajarkan di Universiti Pengajian Asing Guandong. Di kota Nanning, Universiti Bangsa-bangsa Guangxi telah memulakan Program Bahasa Melayu pada bulan September 2008. Di Akademi Tentera Louyang bahasa Melayu diajarkan juga. Yang terdekat ialah pembukaan Program Bahasa Melayu di Universiti Bangsa-bangsa Yunnan di kota Kunming.
Selain menjadi kursus ilmiah, bahasa Melayu mendapat tempat dalam bidang penyiaran kerana terdapat Bahagian Bahasa Melayu di Radio Antarabangsa China yang menyiarkan rancangan dalam bahasa Melayu setiap hari. Bahasa Melayu digunakan juga di beberapa gedung beli-belah, di gerai-gerai di kaki Tembok Besar China dan di Masjid Nan Dao Ya, Beijing, papan tanda dan papan arah dalam bahasa Melayu digunakan.
DB: Bagaimanakah pula pandangan Profesor tentang kedudukan bahasa Melayu di negara kita, terutamanya menjelang perubahan daripada PPSMI kepada MBMMBI?
AS: Langkah kerajaan memansuhkan PPSMI merupakan langkah yang tepat walaupun dari awal keputusan dibuat pada tahun 2002 dan pelaksanaannya pada tahun 2003 kami pejuang bahasa dan pakar pendidikan umumnya telah memberikan pandangan bahawa program itu bertentangan dengan undang-undang negara dan tidak menguntungkan keseluruhan pelajar dan rakyat. Syukurlah, dengan pengumuman Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan yang menyatakan bahawa hanya tiga peratus pelajar yang mendapat manfaat daripada program itu dan oleh itu PPSMI akan digantikan dengan program peningkatan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, kita mengharapkan bahasa Melayu tetap didaulatkan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu di negara ini, selaras dengan Perlembagaan, Akta Bahasa Kebangsaan dan Akta Pendidikan.
Walau bagaimanapun pemansuhan PPSMI bukan jaminan mutlak bahawa bahasa Melayu tidak berhadapan dengan masalah lagi. Banyak lagi ruang peningkatan yang perlu dilakukan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai tonggak tamadun negara dalam semua sektor, baik pentadbiran, pendidikan, media massa, undang-undang dan swasta. Sesudah lebih setengah abad merdeka, kita masih belum benar-benar dapat berpuas hati dengan pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa negara.
DB: Sejak 1999 DBP telah mengadakan program BBSN (Bulan Bahasa dan Sastera Negara) dan setahun selepas itu diadakan pula Kembara Bahasa sebagai salah satu daripada program utama yang diadakan sempena BBSB. Apakah pandangan Profesor tentang kedua-dua program tersebut?
AS: BBSN menekankan penyuntikan kesedaran dan kecintaan rakyat di seluruh negara dalam semua sektor (awam, swasta, pendidikan, persatuan, belia dan lain-lain) terhadap bahasa dan sastera Melayu yang menjadi salah satu tonggak pembangunan negara dalam aspek dalaman atau keruhaniannya. Kembara Bahasa pula merupakan program induk yang dapat merealisasikan cita-cita BBSN itu, kerana melalui program Kembara Bahasa, dapat dikatakan bahawa semua lapisan masyarakat dalam pelbagai sektor kehidupan (pegawai kerajaan, eksekutif swasta, tentera, polis, penulis, pelajar, pendidik, belia dan malahan pemimpin negara dan negeri) dapat dilibatkan dalam konvoi dari pelbagai arah, termasuk dari Sabah dan Sarawak, menuju ke ibu kota Kuala Lumpur, suatu bentuk lambang kesatuan cita-cita dan arah dalam proses pembinaan negara. Dalam perjalanan berkonvoi dari pelbagai arah itu (timur, utara, selatan, Sabah dan Sarawak), peserta Kembara Bahasa dilibatkan dalam pelbagai kegiatan bahasa, sastera dan ilmu seperti deklamasi sajak, program pantau tegur bahasa, kursus penulisan, forum, kajian penggunaan bahasa di tempat awam, rekreasi bahasa dan sastera bersama rakyat dan sebagainya). Di Sabah dan di Sarawak malahan dilaksanakan Kembara Bahasa di peringkat negeri kerana luasnya kedua-dua buah negeri itu.
Walaupun nama BBSN telah diubah menjadi Bulan Bahasa Kebangsaan, pada hemat saya cita-cita untuk menyuntikkan kesedaran dan kecintaan kepada bahasa dan persuratan Melayu perlu dijadikan terasnya dan oleh itu kegiatannya perlu benar-benar bersifat kebangsaan. Saya menyarankan agar program Kembara Bahasa digerakkan semula kerana kesannya amat besar dan mendalam. Laporan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, laporan peserta, laporan urus setia Kembara Bahasa dan pandangan positif pemimpin peringkat kebangsaan dan negeri dapat mengesahkan keberkesanan program itu. Berdasarkan pengamatan saya sebagai pencetus dan pemantau program itu sewaktu menjadi Pengarah Jabatan Bahasa DBP, program Kembara Bahasa bersifat bersepadu kerana dalam program itu semua kegiatan bahasa, sastera dan ilmu dirangkumkan dengan pelibatan para peserta konvoi dan masyarakat setempat. Keberkesanan program itu kemudian mencetuskan idea pelaksanaan Kembara Merdeka dan pelbagai bentuk kembara lain.
DB: Apakah pula pandangan Profesor tentang Program Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) yang mula diadakan pada tahun lepas untuk menggantikan BBSN?
AS: Oleh sebab bertugas di luar negara, saya hanya dapat mengikuti berita beberapa kegiatan BBK, termasuk pelancarannya melalui siaran media, tetapi semangat yang menyeluruh dan bersifat kebangsaan kurang ketara jika dibandingkan dengan program yang dilaksanakan dalam BBSN dahulu. Sekali lagi saya tegaskan bahawa perubahan nama tidak menjadi masalah asal sahaja pengisiannya benar-benar dapat menyuntikkan semangat kesedaran dan kecintaan kepada bahasa dan persuratan Melayu sebagai salah satu unsur pembangunan dalam rakyat negara ini. Salah satu sebab kurang tampaknya dampak atau kesan kegiatan dalam BBK ialah ketiadaan program seperti Kembara Bahasa yang merentas batas geografi negeri dan merentas pelbagai kumpulan etnik serta sektor kerjaya dan bidang. Kegiatan runcit-runcitan di sana sini kurang memberikan dampak yang diharapkan dalam konteks pemasyarakatan dan pembudayaan bahasa dan persuratan Melayu secara meluas dan mendalam. Kesannya memang ada tetapi kurang bersifat kebangsaan dan menyeluruh.
DB: Selain kempen, pada pandangan Profesor, usaha yang bagaimanakah lagi yang perlu dilakukan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan mengutamakan penggunaan bahasa Melayu yang baik?
AS: Selain kempen, penguatkuasaan undang-undang dan peraturan perlu ditingkatkan. Sebagai contoh, Undang-undang Kecil Penggunaan Bahasa di Tempat Awam yang meliputi iklan, paparan papan arah dan papan tanda telah ada tetapi penguatkuasaan oleh Pihak Berkuasa Tempatan tidak seragam dan bergantung pada iltizam PBT tertentu. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan perlu menyelaraskan penguatkuasaan undang-undang itu. Demikian juga penggunaan bahasa dalam media massa, terutama media penyiaran (radio dan televisyen) perlu didasarkan pada undang-undang atau peraturan yang lebih wajar tentang tahap minimum penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Yang lebih utama ialah penghayatan akan takrif bahasa rasmi yang diungkapkan dalam Perlembagaan. Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi wajib digunakan dalam segala urusan rasmi di tiga peringkat pentadbiran, iaitu kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam (badan berkanun dan agensi kerajaan). Apabila takrif “bahasa rasmi” itu tidak dihayati dan dihormati, maka terjadilah fenomena mengabaikan penggunaan bahasa rasmi itu, yang bertentangan dengan semangat menghormati Perlembagaan. Kerajaan sendiri, melalui ketua jabatan perlu menguatkuasakan peruntukan Perlembagaan tentang penggunaan bahasa rasmi sebagai salah satu peraturan dasar bagi semua penjawat awam.
Saya pernah menyarankan agar diadakan pemantauan pelaksanaan penggunaan bahasa rasmi (baik daripada segi taraf mahupun mutunya) melalui Sistem Audit Bahasa. Bunyinya agak keterlaluan, kata sesetengah pihak, tetapi jika kerajaan serius untuk melaksanakan salah satu dasar negara, iaitu dasar bahasa, maka sistem audit bahasa itu dapat menjadi mekanisme atau kaedah memantau penggunaan bahasa rasmi dalam sektor awam, sekurang-kurangnya. Untuk sektor swasta, ada kaedah lain yang dahulu telah pun dilaksanakan oleh DBP melalui jawatankuasa kerja antara DBP dengan 16 sektor swasta.
DB: Akhir sekali, apakah harapan dan pandangan Profesor terhadap usaha untuk memperkasakan bahasa Melayu dan seterusnya mengantarabangsakan penggunaannya menjelang 2020 sebagaimana yang pernah disasarkan suatu ketika dahulu, iaitu bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa utama yang digunakan di PBB.
AS: Harapan terhadap kedaulatan dan martabat bahasa Melayu di negara ini memerlukan pengisian secara terancang, terutama daripada segi pelaksanaan penggunaannya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan dan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka. Harapan akan tinggal harapan jika semua pihak yang berwajib tidak menghormati dan melaksanakan segala peruntukan yang telah diabsahkan dalam undang-undang negara. Mana-mana dasar atau program yang diputuskan untuk dilaksanakan mestilah dinilai lebih dahulu daripada segi selaras atau bertentangan dengan segala undang-undang negara itu.
Sebagai contoh, Akta Pendidikan menetapkan penggunaan bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan sebagai bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan negara; maka tidak sewajarnya berlaku arahan atau keputusan menetapkan bahawa 70 peratus kuliah dalam semua bidang di IPTA mesti dalam bahasa yang bukan bahasa kebangsaan. Demikian juga tidak wajar sama sekali keputusan melaksanakan PPSMI pada tahun 2002 dahulu. Akta DBP sendiri mencatat tujuan pertama penubuhannya ialah untuk memajukan dan mengembangkan bahasa Melayu dalam semua bidang, termasuk sains dan teknologi. Apabila segala keputusan Parlimen yang telah diaktakan dan dijadikan peruntukan dalam Perlembagaan dipatuhi, maka ada harapan bahawa bahasa Melayu berdiri teguh sebagai salah satu tonggak negara. Jika sebaliknya yang berlaku, iaitu undang-undang negara tidak dihormati, maka malaplah harapan bahasa Melayu untuk menjadi salah satu asas pembinaan bangsa dan negara.
Tentang kedudukan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa pula, kewujudan kira-kira 120 buah institusi ilmiah sedunia yang sama ada mengajarkan atau menyelidik bahasa Melayu dan pengajian Melayu menjadi bukti wujudnya minat yang besar dalam kalangan masyarakat sedunia kepada bahasa dan pengajian Melayu. Kerajaan Malaysia sendiri menubuhkan Kursi Pengajian Melayu di Leiden (Belanda), di Wellington (New Zealand), di Beijing (Republik Rakyat China) dan di Seoul (Korea Selatan). Namun dengan penghentian kegiatan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) yang diluluskan penubuhannya oleh Kabinet pada tahun 1997 dan beroperasi dengan giat sejak tahun 2002 hingga tahun 2004, kita kehilangan wadah utama untuk meneruskan kerja pengantarabangsaan bahasa dan persuratan Melayu.
Usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa di Pertubuhan Bangsa Bersatu pada tahun 2020 termasuk dalam rangka kerja MABM dan memerlukan iltizam serta pelibatan kerajaan secara serius. Hal itu mestilah dijadikan agenda negara, bukan agenda DBP semat-mata, kerana DBP hanya merupakan agensi yang menggerakkan dasar kerajaan dalam soal bahasa. Saya menyarankan agar DBP menggerakkan semula MABM sebagai agen pengantarabangsaan bahasa dan persuratan Melayu yang rasmi bagi pihak kerajaan Malaysia kerana amanah itu telah diberikan oleh kerajaan pada tahun 1977 melalui keputusan Kabinet yang meluluskan penubuhannya. Jika DBP berhalangan meneruskannya (hal yang tidak sepatutnya berlaku), maka kerajaan perlu memindahkan MABM ke kementerian atau jabatan lain, misalnya Jabatan Pengantarabangsaan di Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (kerana kementerian berkenaan telah pun melaksanakan salah satu kegiatan utama MABM sejak tahun 2007, iaitu Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Timbalan Perdana Menteri Malaysia (sejak tahun 2010 telah ditingkatkan menjadi Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri Malaysia).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Profesor yang dihormati,
ReplyDeleteKalaulah setiap majalah, setiap akhbar, setiap stesen radio dan televisyen, sudut-sudut khas di setiap pejabat serta ruang-ruang tertentu di tempat-tempat awam ada hal-hal tentang Bahasa Kebangsaan kita,pasti kita rasa terpanggil dan terpukau untuk mengamati dan menghayatinya;
kalaulah kita semua ada perasaan cinta dan kagum akan Bahasa Kebangsaan kita...barulah benar-benar "Bahasa Jiwa Bangsa".
Bulan Bahasa Kebangsaan diadakan pada Oktober saban tahun.Sesuaikah? Pengisian program untuk memantapkan dan menyerapkan amalan bahasa di Malaysia masih banyak yang perlu tingkatkan. Rakyat biasa lebih memberi sambutan tetapi bukan pihak pemimpin atasan. Apakah pandangan prof?
ReplyDelete