Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Tuesday, September 21, 2010

Soal Jawab Bahasa (7): Golongan yang Menghancurkan Bahasa Melayu

Siapakah Golongan yang Menghancurkan Bahasa Melayu?

"...Prof..
Ada anak Melayu yang berkata...
"Melayu itu sebenarnya yang menghancurkan dan "melacurkan" bahasa sendiri.."
Apa pendapat Prof ??..." - Sofi

SOFI: Lebih dahulu saya tinggalkan kata 'melacurkan' kerana mungkin kata itu terlalu bernada emosional, tetapi dapat saya terima kata 'menghancurkan'. Anasir yang 'menghancurkan' bahasa Melayu banyak, jika dilihat daripada etnik, bukan Melayu dan Melayu sendiri; jika dilihat daripada sudut sektor, pelbagai penjawat dalam sektor awam dan swasta.

Rumusannya, tidak ada satu kelompok khsusus yang dapat didakwa 'menghancurkan' bahasa Melayu.Sesiapa sahaja yang tidak mendaulatkan bahasa Melayu sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan dan pelbagai Akta (spt Akta Pendidikan, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta DBP) dapat dianggap orang yang menghancurkan bahasa Melayu sebagai salah satu tonggak tamadun dan asas pembinaan negara ('nation building').

Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan ialah asas jati diri rakyatnya; apabila bahasa Melayu tidak digunakan oleh rakyatnya, sirnalah jati diri rakyat dan daripada sudut bahasa. Jika semua warganegara menghormat bendera kebangsaan, lagu kebangsaan dan lambang-lambang kenegaraan yang lain, mengapakah tentang bahasa Melayu sebagai lambang utama bangsa dan negara diabaikan?

Demikian juga, kedudukan dan taraf bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, iaitu bahasa untuk pentadbiran hancur atau musnah apabila bahasa itu tidak digunakan sebagai wahana jentera pentadbiran negara (menurut Perlembagaan, bahasa rasmi hendaklah digunakan dalam semua urusan ramsi di peringka pentadbiran kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam).

Dalam bidang ilmu dan pendidikan pula, akan hancur bahasa Melayu apabila dibenamkan ke lumpur pekat kerana daripada peranannya sebagai bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan negara (menurut Akta Pendidikan yang diluluskan oleh Parlimen, diturunkan darjatnya menjadi bahasa pinggiran, baik di peringkat sekolah mahupun peringkat pengajian tinggi.

Timbulnya ayat "Melayu itu sebenarnya yang menghancurkan bahasa sendiri" dalam wacana tertentu (seminar, forum dan tulisan) bukan untuk mendakwa bahawa hanya orang Melayu yang terbabit, tetapi lebih untuk menekankan bahawa sewajarnya orang Melayulah yang lebih peka dan bertanggungjawab terhadap bahasa Melayu kerana itulah bahasa ibunda mereka yang telah diangkat menjadi bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa utama tamadun di negara ini. Demikian pula, kepemimpinan negara dan pelbagai institusi awam dapat dikatakan masih dinakhodai oleh orang Melayu.

Jika dalam keadaan orang Melayu menjadi majoriti penduduk dan menduduki tampuk kepemimpinan negara pun bahasa Melayu terumbang-ambing, dapatlah dibayangkan apakah yang terjadi jika orang Melayu bukan majoriti dan tidak menerajui kepemimpinan negara dan institusi.

AS, 22 September 2010

4 comments:

  1. Salam, Prof;
    Penjelasan yang ringkas tetapi sangat meyakinkan pembaca. Sesungguhnya, saya sangat bersetuju bahawa "dalam keadaan orang Melayu menjadi majoriti penduduk dan menduduki tampuk kepemimpinan negara pun bahasa Melayu terumbang-ambing, dapatlah dibayangkan apakah yang terjadi jika orang Melayu bukan majoriti dan tidak menerajui kepemimpinan negara dan institusi".

    Sejak Ramadan tahun lalu, saya terfikir akan kewajaran slot tazkirah semasa solat Tarawih diisi dengan ceramah/tazkirah yang berkaitan pengunaan bahasa Melayu dalam agama.

    Saya ingin bertanya tentang sendi nama yang harus digunakan sebelum kata "peringkat".

    Sendi nama apakah yang betul untuk kata itu -"pada" atau "di" atau kedua-duanya?

    ReplyDelete
  2. Sdr. Zul,

    Dalam hal "Melayu mudah lupa", saya setuju dengan Dr. Mahathir (walaupun dalam beberapa banyak hal saya tidak setuju dengannya). Kian banyak Melayu yang lupa akan asal usul, kekuatan pada zaman silam dan tanggungjawabnya kepada penakatan tamadunnya.

    2. Masjid Al-Mardhiyyah Taman Melawati pernah mengundang saya berceramah tentang tajuk hubungan antara bahasa dengan agama (peranan bahasa dalam pembentukan peribadi insan, pengilmuan insan dan pembinaan tamadun). Belum banyak masjid yang meluaskan skop 'tazkirah'.

    3. Tampaknya penggunaan kata sendi 'di' dan 'pada' silih berganti untuk kata 'peringkat'. Misalnya, 'di peringkat pengajian tinggi' tampaknya boleh juga 'pada peringkat pengajian tinggi'. Wallahu a`lam.

    ReplyDelete
  3. Salam, Prof.
    Alhamdulillah, pernah juga surau membuka luang itu untuk Prof. Seharusnya penceramah perlu diajar sedikit banyak perihal penggunaan "mencucurkan"/"mencucuri", diterangkan hal penggunaan "dengan" pada taawuz, dll.

    ReplyDelete
  4. salam,sy sebagai pelajar dan orang melayu ingin sekali mengetahui tentang perkembangan bahasa melayu di luar negara.terima kasih

    ReplyDelete