Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.
~Kembara Bahasa~
Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi
Sunday, March 6, 2011
Falsafah dan Logika Melayu dalam Persuratan
FALSAFAH DAN LOGIKA MELAYU
DALAM KARYA PERSURATAN
(Petikan daripada sebahagian Bab 8 buku Asas Falsafah dan Pemikiran Melayu Berteraskan Islam)
Pengenalan
Istilah persuratan yang digunakan dalam buku ini merujuk kepada karya kreatif dan bukan kreatif yang terhasil dalam tamadun Melayu. Karya kreatif dan karya bukan kreatif (ilmu, undang-undang, pensejarahan atau historiografi, ketatanegaraan dan lain-lain) memancarkan falsafah dan logika bangsa Melayu. Daripada segi bentuk pula, karya itu tertampil sama ada dalam bentuk prosa mahupun puisi.
Persuratan Melayu secara kasar dapat dibahagi kepada dua periode, iaitu persuratan Melayu tradisional atau klasik dan persuratan Melayu baharu. Penekanan yang diberikan dalam buku ini tertumpu pada falsafah dan logika Melayu yang bersendikan Islam atas dasar bahawa Islam merupakan sumber falsafah dan logika Melayu yang amat dominan. Hal ini telah disentuh dalam bahagian awal Bab 3.
Karya persuratan Melayu klasik yang tertulis banyak sekali menayangkan falsafah dan logika yang bersumberkan dan berteraskan Islam. Dalam bidang undang-undang, misalnya, Hukum Kanun Melaka jelas berdasarkan undang-undang Islam. Demikian juga dalam bidang ketatanegaraan (Dr. Jelani Harun (2003) menggunakan istilah adab ketatanegaraan), jelas bahawa asas-asas tanggungjawab pemerintah yang dinukilkan dalam karya seperti Nasihat al-Muluk, Taj al-Salatin dan Bustan al-Salatin didasarkan pada lunas Islam. Bahkan karya agung Melayu Sulalat al-Salatin (Sejarah Melayu) yang dikatakan penuh dengan mitos dan legenda itu pun banyak mengandung unsur-unsur Islam, termasuklah dalam penampilan pelbagai metafora yang berlunaskan prinsip Islam.
Dalam peribahasa dan pelbagai bentuk puisi Melayu pun tertampil dengan jelas sekian banyak asas falsafah dan logika Melayu yang berterasakan dan bersumberkan Islam. Beberapa contoh akan diberikan dalam bab ini.
Karya Persuratan Ilmu
Khazanah persuratan Melayu kaya dengan karya ilmu dalam pelbagai bidang. Dalam zaman klasik, ilmu yang paling menonjol ialah ilmu agama Islam. Hal ini dapat difahami kerana apabila permulaan Islam diperkenalkan kepada umat Melayu, diperlukan pengembangan ajaran Islam dalam segala sudut yang berkaitan dengan kehidupan dunia dan akhirat bangsa Melayu, selaras dengan kesepaduan yang ditekankan oleh Islam, iaitu hubungan dengan Tuhan (hablum min Allah) dan hubungan dengan sesama manusia dan bahkan makhluk lain (hablum min al-nas). Oleh itu, terhasillah beberapa banyak karya persuratan dalam bidang ilmu keagamaan.
Secara kasar, ilmu keagamaan yang dikembangkan dalam penulisan para ulama’ terbahagi kepada:
1. Ilmu kalam atau tauhid atau akidah.
2. Ilmu feqah atau ibadat seperti solat, puasa, zakat, haji.
3. Ilmu kekeluargaan (munakahat).
4. Ilmu hubungan ekonomi dan sosial (muamalat).
5. Ilmu undang-undang dan pengadilan (jinayat).
6. Ilmu tasawuf atau akhlak.
Ilmu lain yang turut digarap ialah sirah atau sejarah, qiraat atau pembacaan al-Quran dan hadith.
Sebagai contoh penerapan falsafah dan logika Melayu yang berteraskan Islam, dalam bab ini dibincangkan sebuah karya ilmu agama Islam yang mewakili karya persuratan ilmu dalam tamadun Melayu. Karya itu ialah Al-`Aqaid al-Nasafi, iaitu terjemahan kitab yang menurut Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Atta ditulis oleh seorang ulama’ di Aceh Darussalam ketika pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah IV (1589-1604M.).
Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas yang mengkaji kitab tersebut menegaskan bahawa karya itu merupakan manuskrip tertua yang terhasil dalam tamadun Melayu. Kitab itu bertarikh 1590 dan lebih tua daripada manuskrip lain yang tidak bersifat karya keagamaan, seperti Hikayat Seri Rama (1633). Beliau menyusun teks tersebut kepada 23 perenggan.
Prof. Dr. Wan Muhammad Nor Wan Daud (2005) meringkaskan kandungan karya yang dikupas oleh Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib itu sebagai yang berikut:
Perenggan 2-4 membicarakan kemungkinan atau keupayaan manusia mencapai ilmu tentang hakikat segala perkara dan penolakan akan golongan peragu dan penisbi (golongan Sufastai`yyah/Sofis). Salah satu asas epistemoloi (teori ilmu) Islam yang penting, iaitu sumber ilmu yang bersepadu turut dibincangkan. Sumber ilmu menurut perspektif Islam bersepadu antara sumber pancaindera, akal dan khabar yang benar turut dibincangkan.
Perenggan 5 menghuraikan sifat segala alam makhluk yang senantiasa baharu, berlawanan dengan sifat Tuhan yang tidak baharu. Perenggan 6-9 membicarakan keesaan Tuhan dan sifat-sifat-Nya, iaitu aspek yang menjadi teras pandangan sarwa atau pandangan hidup bangsa Melayu Islam.
Perenggan 10 membicarakan kemungkinan “melihat Tuhan” di akhirat kelak, dengan paduan antara hujah naqal (nas al-Qur`an dan hadith) dengan hujah akal. Perenggan 11-12 membicarakan peranan Tuhan yang maha meliputi segala tindak-tanduk manusia dan juga kebebasan manusia untuk berikhtiar.
Perenggan 13 menghuraikan eskatalogi, iaitu hakikat alam kubur, balasan di akhirat, syurga dan neraka. Selanjutnya perenggan 14 menghuraikan rahmat Tuhan yang sedia mengampuni makhluknya asalkan mereka tidak menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.
Perenggan 15 menegaskan hakikat iman, Islam dan kebahagiaan. Ditekankan pentingnya kesepaduan antara iman dengan Islam. Perenggan 16 pula menghuraikan aspek kenabian dan mukjizat serta peranan para nabi. Seterusnya, perenggan 17 menghuraikan perihal malaikat, sementara perenggan 18 menghuraikan peristiwa Isra` dan Mikraj serta karamah dalam kalangan para wali Allah.
Perenggan 19 membicarakan para sahabat Nabi dan khilafat atau pemerintah. Sementara itu, perenggan 20 menjelaskan keharusan solat di belakang orang yang salih dan fasiq, kewajiban bersangka baik kepada sahabat Nabi dan perihal sepuluh orang sahabat Nabi yang dijamin masuk ke syurga.
Perenggan 21 menegaskan maqam para wali yang tidak sampai ke peringkat nabi, penolakan ajaran batiniah dan perkara yang mengkufurkan seseorang seperti mempersendakan syariat. Perenggan 22 pula menghuraikan tanda-tanda kiamat. Akhirnya, perenggan 23 menegaskan keterbukaan dalam bermazhab dengan penekanan bahawa imam mujtahid (Syafii, Hanafi, Malik dan Hanbal) berkemungkinan silap dalam hal tertentu. Dalam perenggan akhir ini ditegaskan juga bahawa taraf manusia yang mukmin lebih tinggi daripada taraf malaikat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment