Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Wednesday, July 6, 2011

Puisi "Kalau Hanya Orang Suruhan"


Kalau Hanya Orang Suruhan

Apatah yang diharapkan
kalau dia hanya orang suruhan
disuruh maka dilakukan

Apatah yang diharapkan
kalau dia hanya orang suruhan
diarah maka diiyakan

Apatah yang diharapkan
kalau dia hanya orang suruhan
diancam maka dia diam

Apatah yang diharapkan
kalau dia hanya orang suruhan
dijanjikan ganjaran maka dia aman

Ada orang suruhan yang memandang pahala dan dosa
ingat akan Allah azzawajalla
maka dia orang suruhan yang berjaya

Ada orang suruhan yang yang memandang habuan dunia
kepada sesama makhluk menggantungkan nasib dan mujurnya
maka dia orang suruhan yang lagha

Setiap orang ada pilihan
menjadi orang suruhan yang berjaya
atau orang suruhan yang lagha
kerana kita pasti akan ke sana
untuk dihitung pahala dan dosa
untuk ke syurga atau ke neraka

~Kembara Bahasa~
6 Jun 2011

3 comments:

  1. Salam hormat Prof,

    Halal, haram, dosa, pahala; rasa-rasanya tiada sesiapa yang tidak tahu akan sebab dan akibatnya, gara-gara bertuhankan kekuasaan, kedudukan, dan kekayaan.

    Suhaimi Khalid

    ReplyDelete
  2. GURINDAM ORANG SURUHAN
    Orang suruhan bukan tempelan
    Melainkan merunduk akur pada arahan

    Orang suruhan bukan khayalan
    Melainkan intan terpilih orang harapan

    Orang suruhan bukan sembarangan
    Melainkan ke samping tuan di barisan hadapan

    Orang suruhan teguhkah keimanan?
    Melainkan bara semangat di sebalik habuan

    Orang suruhan siapakah gerangan?
    Melainkan individu diberi penuh kepercayaan.

    Orang suruhan menyimpan harapan
    Melainkan tidak menjadi kuda tunggangan

    Orang suruhan perlukan kesabaran
    Melainkan arahan tidak menyongsang jalan

    Orang suruhan ada pilihan
    Melainkan pahala dan dosa tidak ketentuan

    Orang suruhan banyak kesukaran
    Melainkan nisbah kesabaran sewangi haruman

    Orang suruhan ada gelaran
    Melainkan hidung kerbau diusik jangan

    Orang suruhan ada perhitungan
    Melainkan di hadapan Allah ada ketentuan

    Orang suruhan penuh godaan
    Melainkan tercermin di wajah nur keimanan

    Orang suruhan nyawa jadi taruhan
    Melainkan tiada gunting dalam lipatan

    Orang suruhan bukan dongengan
    Melainkan sandiwara dalam sketsa kehidupan

    Orang suruhan geming laku dek amarah tuan
    Melainkan setiap tindakan mendatangkan kesukaan

    Orang suruhan dipantak arahan itu tindakan
    Melainkan arahan sejalan norma kehidupan

    Orang suruhan lazimnya insan bawahan
    Melainkan beramal bakti dengan keikhlasan

    Orang suruhan jangan leka dengan khayalan
    Melainkan memperhamba diri kepada Tuhan

    Orang suruhan akur mengiyakan teguran
    Melainkan kerja dilakukan tiada kecacatan

    Orang suruhan jagalah adab dan sopan
    Melainkan jujur amanah penunjuk jalan

    Orang suruhan terdetik sasaran
    Melainkan beralih kerusi di tempat atasan

    Orang suruhan itulah hitungan
    Melainkan kebal diri dek perisai keimanan .

    Wallahuaklam.

    Hamba suruhan Allah,
    PAUZI MOHD ISA,
    SMJK Choong Hua,35500 Bidor,Perak DR
    7.7.2011 Khamis, Jam 10.00 malam

    ReplyDelete
  3. Assalam Sdr. Suhaimi,

    Demikianlah tabii manusia yang sering alpa dan lagha kerana kecintaan kepada dunia.

    Sdr. Pauzi Mohd. Isa,

    Terima kasih atas sambutan dengan kiriman puisi sdr. Mudah-mudahan isu 'orang suruhan' mendapat garapan lebih banyak penulis.

    ReplyDelete