Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Tuesday, July 12, 2011

Puisi "Bujukan Hati"


Bujukan Hati

Wahai hati usahlah berduka
Kehidupan memang penuh rona
Timbangkan yang baik insya-Allah bahagia
Ada pun yang buruk dijadikan sempadannya

Wahai hati usahlah kecewa
apabila kawan tidak setia
Amal yang baik itulah teman sebenarnya
Di alam akhirat pendamping selamanya

Wahai hati usahlah bimbang
akan nasib mujur mendatang
Di Lohmahfuz telah tertayang
Hanya ikhtiarkan agar gemilang

Wahai hati usahlah gentar
menghadapi ujian yang mungkin menggegar
Kitabullah dan sunnah jadikan akar
Jalannya terang kesesatan terhindar

Wahai hati usahlah iri
akan kelebihan rakan sendiri
Kenal akan kemampuan diri
Hak dirimu Allah memberi

Wahai hati usahlah hasad
Sepanjang hidupmu tiada berkat
Bersihkan niat darjat meningkat
Rezekimu luas tiada tersekat

Wahai hati usahlah takbur
Kawal dirimu jangan terlanjur
Kata dan tingkah perlu diukur
Jangan sampai amalmu lebur

Wahai hati usahlah bersangka
segala yang buruk pada saudara
Kajilah cacat cela yang ada
pada dirimu manakan sempurna

Wahai hati usahlah alpa
kecintaan berlebihan kepada dunia
Yang dikejar itu hanya sementara
Duniawi dan ukhrawi seimbangkan sentiasa

Wahai hati usahlah derhaka
kepada Yang Menciptakan kamu di dunia
Pasrah dan redha akan ketentuan-Nya
Tidak disekutukan dengan segala yang ada

~Kembara Bahasa~
13 Julai 2011

3 comments:

  1. SALAM, PROF,
    Saya suka dan berharap sangat agar ada pemimpin, baik yang sedang mengejar tampuk pemerintahan mahupun yang sedang memegang tampuk itu mendalami kalimat yang terakam pada rangkap 4 itu:

    Wahai hati usahlah gentar
    Menghadapi ujian yang mungkin menggegar
    Kitabullah dan sunnah jadikan akar
    Jalannya terang kesesatan terhindar

    ReplyDelete
  2. Sdr. Zul,

    Mudah-mudahan. Nabi sudah berpesan demikian - berpeganglah pada tali Allah dan Rasul dalam merungkai apa-apa jua kemelut, namun kebanyakan manusia mengabaikannya. Perpaduan yang diwara-warakan tidak akan terbentuk selama tidak berasaskan lunas itu. Kepada-Nya kita bermunajat agar dibuka pintu hati para pemimpin untuk berpaksi pada dua lunas itu.

    ReplyDelete
  3. GURINDAM BUJUKAN HATI
    Hati luhur janganlah takbur
    Amanah dipikul hendaklah jujur

    Hati suci janganlah dengki
    Sesama insan menanggung rugi

    Hati sabar janganlah gusar
    Nur keimanan diserikan banar

    Hati batu janganlah melulu
    Tindakan begitu sangatlah kelicu

    Hati rengsa janganlah lara
    Terpanar di hati merayap hiba

    Hati walang janganlah girang
    Jiwa berperang tingkahnya garang

    Hati waja janganlah dimanja
    Matlamat disasar berpusar di mata

    Hati tenang janganlah tegang
    Menyirnakan kekalutan riuh bersarang

    Hati mulia janganlah alpa
    Menghulur tangan pada yang menderita

    Hati pilu janganlah buntu
    Jika tiada upaya akan ditandu

    Hati resah janganlah gelabah
    Kawalkan diri atau dirimu rebah

    Hati remuk janganlah dimomok
    Resam kecewa mudah mengamuk

    Hati rindu janganlah keliru
    Kelak pasangan digayut cemburu

    Hati dengki janganlah dihampiri
    Bikin rosak masyarakat madani
    Hati mendurja janganlah dicerca
    Barangkali dibelit derita nestapa.

    Ilham rasa,
    PAUZI MOHD ISA,
    SMJK Choong Hua, 35500 Bidor, Perak DR
    13.7.2011 Rabu, Jam 11.00 malam

    ReplyDelete