Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.
~Kembara Bahasa~
Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi
Thursday, August 11, 2011
Puisi: Titipan Doa
Titipan Doa
Baru sepurnama lalu kuziarahi
bumi Xinjiang di barat laut negeri
dalam lakaran sejarah pusat laluan dagang dan santri
Jalan Sutera Darat penyambung negeri
Sinar mentari dan lembut angin musim panas
mengusap kedamaian dan keharmonian
para pedagang, karyawan dan marhain
para imam, jemaah dan anak watan sekalian
Kusyukuri limpah rahmat-Mu
menyaksikan lelaki bersongkok berbucu
wanita berkerudung bebas ke sana sini
masjid dilimpahi jemaah penegak risalah
Meskipun di sudut tertentu di kota
pasukan keselamatan ditempatkan
memperhatikan laku
Masih segar dalam kenangan
mesra santunnya Qurbajan Jan sekeluarga pengusaha kedai makan
Qurbajan Jan penjual buah-buahan
Imam Abdul Rauf di Masjid Tian Shan Qu
Imam Mukhtar di Masjid Baitul Makmur
para peniaga di Bazar Besar Antarabangsa
penuh yakin tiada sengketa tiada malapetaka
Mereka mendambakan hidup sejahtera
Dari jauh kini kudengar
awan di bumi subur dan kaya itu diselaputi mendung
angin lembut bertukar keras
Khabarnya sahabat dan saudaraku dikekang dan dihalang
melaksanakan ibadah dalam bulan penuh barakah
Air mataku menitis
bersama-sama dengan titisan air mata
Qurbajan Jan, Mukhtar, Abdul Rauf, Jamal, Nasaruddin
dan sekalian saudaraku di sana
Bagaimanakah suasana di Masjid Putih di Erdaoqiao
yang waktu Zuhurnya persis waktu solat Jumaat melimpah jemaahnya
Bagaimanakah keadaan di Masjid Baitul Makmur
Bagaimanakah kini Masjid Bazar Besar Antarabangsa
dan masjid-masjid lain di tanah Uygur waris anbiya?
Kutitipkan doa dan munajat
Saudaraku sekalian diberi kekuatan
Saudaraku sekalian diberi inayat
Saudaraku sekalian diberi ketetapan iman
untuk menegakkan risalah Allah
untuk melanjutkan tugas anbiya
~Kembara Bahasa~
11 Ogos 2011 / 11 Ramadhan 1432
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
GURINDAM TITIPAN DOA
ReplyDeleteTitipan doa buat Tanah Persada,
Dibelai damai selunak ritma,
Titipan doa buat ayah dan bonda,
Jerih keringatmu hayatku bahagia.
Titipan doa buat saudara seagama,
Jagalah syariat keimanan waja.
Titipan doa buat keluarga tercinta,
Mendodoi harapan kasih sejahtera.
Titipan doa buat pemimpin berkuasa,
Merunduk rasa adil dan saksama.
Titipan doa buat warga pekerja,
Leluhur di hati mengerah tenaga.
Titipan doa buat pendidik berjasa,
Cekalkan diri anak didik berjaya.
Titipan doa buat anak merdeka,
Segama kudratmu menggegar buana.
Titipan doa buat pujangga geliga,
Membuah harapan merendang bahasa.
Titipan doa buat rakyat jelata,
Bersyukur rahmat-Nya negara sejahtera.
Titipan doa buat orang berharta,
Berinfaklah segera pahala berganda.
Titipan doa buat golongan menderita,
Redha dan pasrah pada yang Esa.
Titipan doa buat pejuang bahasa,
Memartabat bahasa memahat budaya.
Titipan doa buat si miskin hina,
Relai harta relahlah belanja.
Titipan doa buat pemikir negara,
Tuntaskan idea di relung paradigma.
Titipan doa buat penyair tercinta,
Ralit madahmu jangan teralip minda.
Titipan doa buat penulis berkarya,
Penulisan yang baik menjana minda,
Titipan doa buat remaja belia,
Ricu lakumu bertukarlah gemala.
Titipan doa buat pengemis di kota,
Melilau rezekimu tegal dibiasa,
Titipan doa buat pengguna jalan raya,
Berwaspada senantiasa janganlah leka .
Titipan doa buat perwira negara,
Kirau semangatmu ranumkan sasa.
Kutitipkan doa buat kalian semua,
Saudaraku sekalian iman bercahaya.
~PAUZI MOHD ISA~
SMJK Choong Hua,35500 Bidor,perak DR.
11.8.2011, Khamis, Jam 11.30 malam.