Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Thursday, December 1, 2011

Dasar Bahasa Kebangsaan dalam Pembinaan Negara


Dasar Bahasa Kebangsaan dalam Pembinaan Negara

oleh Awang Sariyan

[Inti Sari Ceramah Umum JKTBM di Universiti Malaysia Terengganu (29 November 2011) dan di Universiti Malaysia Kelantan (30 November 2011)]

1. Peranan bahasa dalam pembinaan tamadun bermula pada tahap peranan bahasa sebagai salah satu asas "makna diri" atau jati diri sebagai individu. Akal dan bahasa merupakan nikmat utama yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia. Maka itu secara kiasan manusia dikenal sebagai "haiwan natiq" (haiwan yang berfikir dan berbahasa). Dengan bahasalah manusia memperoleh dan mengembangkan ilmu, dan ilmu merupakan prasyarat terbinanya tamadun. Oleh sebab itulah ilmu terawal yang dikurniakan Allah kepada Nabi Adam a.s sebagai manusia pertama ialah ilmu bahasa, yang dengannya Adam dapat mengenal segala sesuatu dan dapat berfikir serta merencanakan kehidupan di dunia sebagai khalifah Allah.

2. Setiap bangsa dikurniai Allah bahasanya masing-masing (al-Rum: 22) dan menjadi amanah serta tanggungjawab mana-mana bangsa memajukan bahasanya, di samping memanfaatkan bahasa bangsa-bangsa lain untuk maksud maslahah atau kepentingan umat. Orang yang menghina dan meremehkan bahasa bangsanya sendiri merupakan orang yang kufur nikmat. Ketetapan UNESCO tentang prinsip penyampaian ilmu yang lebih berkesan dalam bahasa ibunda perlu difahami sebagai prinsip yang sebenarnya fitrah bagi manusia.

3. Semua pertumbuhan dan perkembangan tamadun manusia dari zaman ke zaman bertunjangkan bahasa sebagai wasilah pemikiran, pengilmuan, penjanaan kreativiti, pemupukan sistem nilai masyarakat pewarisan segala unsur tamadun daripada satu generasi kepada satu generasi. Tamadun atau peradaban Islam yang bersumberkan wahyu Allah dengan jelas memperlihatkan peranan bahasa dalam pembentukan tamadun, kerana wahyu merupakan kalam atau bahasa Allah yang kemudian dikaji, ditafsirkan dan dimanfaatkan untuk menjadi lunas bagi perkembangan segala aspek tamadun.

4. Pertumbuhan tamadun Melayu sejak awal dengan jelas bertunjangkan bahasa sebagai wasilahnya. Dengan cukup jelas, dalam zaman Kesultanan Melayu (yang muncul di pelbagai tempat di seluruh alam Melayu), bahasa Melayu menjadi alat penyebaran agama Islam, iaitu agama yang membentuk pandangan sarwa bangsa Melayu dalam segala aspek kehidupan dunia dan akhirat. Selain itu, bahasa Melayu menjadi bahasa pentadbiran, bahasa perdagangan, bahasa ilmu, bahasa hubungan diplomatik, bahasa ketatanegaraan dan bahasa susastera (prosa dan puisi yang meliputi pelbagai genre).

5. Dalam gerakan menuntut kemerdekaan tanah air, bahasa menjadi salah satu unsur penting sehingga apabila Perlembagaan Persekutuan digubal, bahasa Melayu dimaktubkan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, atas asas sejarah dan hakikat bahasa Melayu sebagai bahasa bagi bangsa teras negara ini yang kemudian dijadikan asas jati diri bagi seluruh rakyat pelbagai keturunan.

6. Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu menjadi salah tanda penting kewujudan satu entiti politik yang merdeka dan berdaulat dan menjadi bahasa perhubungan umum untuk membentuk persefahaman dan perpaduan dalam kalangan rakyat. Sebagai bahasa rasmi pula, bahasa Melayu menjadi alat penggerak jentera pentadbiran negara di peringkat kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam. Penggunaan satu bahasa rasmi menjadi asas kelancaran pentadbiran negara, berbanding dengan penggunaan lebih daripada satu bahasa rasmi. Di sisi itu, penggunaan bahasa yang baik dan jelas pula membantu kelancaran komunikasi dalam menggerakkan pentadbiran negara.

7. Peranan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama pendidikan (berasaskan Penyata Razak 1956, Penyata Rahman Talib 1960 dan kemudian Akta Pendidikan 1961 dan yang terkini Akta Pendidikan 1996) pula amat penting dalam konteks pendemokrasian pendidikan (berbanding dengan sistem sekolah Inggeris untuk golongan elit dan sekolah vernakular Melayu, Cina dan Tamil dalam zaman penjajahan yang tidak memberikan hak pendidikan yang adil kepada seluruh golongan). Selain itu, pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama pendidikan, dari peringkat asas hingga peringkat tinggi dapat mengutuhkan tamadun negara kerana ilmu dan maklumat dapat disampaikan dengan lebih mudah dan lancar kepada rakyat terbanyak, berbanding jika ilmu dan maklumat disampaikan dalam bahasa asing. Isyarat yang diberikan oleh Allah dalam Surah Ibrahim, ayat 4 (Tidak Kuutuskan para rasul melainkan dalam bahasa yang difahami oleh kaumnya masing-masing) amat jelas menunjukkan peranan bahasa sendiri dalam proses pengilmuan sesuatu bangsa, tetapi tanpa menutup keperluan menguasai bahasa-bahasa lain untuk tujuan saling memanfaatkan kekuatan dan kelebihan bangsa lain.

8. Dasar Bahasa Kebangsaan yang menetapkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu tidak sewajarnya dipandang remeh dan diganggu gugat dengan pelaksanaan program yang melemahkan dasar tersebut. Sebaliknya dasar itu perlu diperkukuh dengan pengisian program dan pelaksanaannya secara tegas dan meluas dalam segenap bidang kehidupan bertamadun di negara ini.

Petikan daripada "Hikayat Abdullah" (1882) ini amat sesuai dijadikan renungan:

"“Adalah suatu hairan lagi tercengang aku sebab melihat dan memikirkan hal orang Melayu ini belum sedar akan dirinya, dia tinggal dalam bodohnya itu oleh sebab ia tiada mahu belajar bahasanya sendiri dan tiada mahu menaruh tempat belajar bahasanya, maka mustahil pada akal adakah orang yang tiada belajar itu boleh menjadi pandai dengan sendirinya. Bukankah segala bangsa di dunia ini masing-masing ada belajar bahasanya?”

~Kembara Bahasa~
2 Disember 2011/6 Muharram 1433

No comments:

Post a Comment