Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Saturday, February 25, 2012

Wawancara Kembara Bahasa dengan mStar Online

Jumaat Februari 24, 2012

Wawancara Bersama KP DBP Baru, Dr Awang Sariyan

Oleh IWAN SHU-ASWAD SHUAIB

Dr Awang Sariyan


PETALING JAYA: Tokoh Bahasa, Dr Awang Sariyan kini merupakan ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang baru selepas pelantikan beliau berkuat kuasa pada 1 Februari lalu.

Pelantikan tersebut bagi menggantikan Datuk Termuzi Abdul Aziz yang telah tamat perkhidmatan sebagai ketua pengarah DBP pada 31 Januari.

Dr Awang sebelum ini pernah menyandang Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di Republik Rakyat China, yang berpangkalan di Beijing Foreign Studies University dari Januari 2008 hingga Julai 2011.

Sebelumnya beliau merupakan pengarah Jabatan Bahasa, DBP.

Berikut merupakan wawancara mStar Online bersama Dr Awang sempena pelantikan beliau sebagai ketua pengarah DBP yang baru:

Soalan: Apakah reaksi Dr Awang sebaik sahaja mendapat berita mengenai pelantikan sebagai Ketua Pengarah DBP yang baru?

Jawapan: Yang terpenting ialah rancangan untuk memperkukuh DBP sebagai badan perancangan bahasa dan persuratan yang lebih berwibawa, sesuai dengan tuntutan dan keperluan zaman, di samping bagaimana DBP dapat benar-benar berperanan sebagai penggerak salah satu dasar negara, iaitu Dasar Bahasa Kebangsaan.

S: Apakah pandangan Dr Awang apabila terdapat pihak yang menyifatkan pelantikan sebagai Ketua Pengarah DBP yang baru sebagai amat bersesuaian dan lebih layak dengan kedudukan Dr Awang sebagai tokoh bahasa?

J: Tidak wajar saya menilai diri saya sendiri, tetapi dengan pelibatan lebih 30 tahun dalam perjuangan bahasa sejak di kampus hingga dalam kerjaya di DBP sebanyak dua kali (kali pertama selama 10 tahun dan kali kedua sebagai Pengarah Jabatan Bahasa selama lima tahun), sebagai tenaga akademik di enam buah universiti (termasuk di luar negara) dan gerakan dalam persatuan, khususnya Persatuan Linguistik Malaysia sebagai Setiausaha Kehormat dan kemudian sebagai Presiden. Insya-Allah saya akan berusaha memanfaatkan pengalaman itu untuk membantu memperkukuh DBP.

S: Secara peribadi, bagaimana Dr Awang melihat kedudukan bahasa Melayu ketika ini?

J: Alhamdulillah dari segi kedudukan tarafnya, bahasa Melayu masih tetap terpelihara sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu, menurut ketetapan Perlembagaan Perkara 152, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan dan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hanya yang masih kurang memuaskan ialah keadaan pasang surut yang dialami oleh bahasa Melayu oleh sebab pelaksanaan program tertentu yang tidak menepati peruntukan dalam undang-undang negara yang saya sebut itu dan juga hakikat bahawa pelaksanaan penggunaannya yang belum cukup memuaskan dalam sektor-sektor tertentu.

S: Dr Awang banyak memperdebat dan memperjuangkan bahasa Melayu dengan mengusulkan beberapa langkah kepada kerajaan, antaranya program audit bahasa Melayu. Apakah cadangan atau gesaan paling utama yang Dr Awang mendapat perhatian dan dipertimbangkan oleh kerajaan?

J: Tentang audit bahasa, asasnya jelas, iaitu bahasa Melayu ditetapkan sebagai bahasa rasmi, dan menurut takrif Perlembagaan Persekutuan, bahasa itu hendaklah digunakan dalam semua urusan rasmi, terutama pentadbiran.

Audit bahasa yang saya cadangkan supaya jabatan dan agensi kerajaan mematuhi ketetapan itu. Kedua, sama ada mutu penggunaan bahasa mencapai tahap ragam bahasa Melayu rasmi, iaitu menurut sistem ejaan, sebutan, tatabahasa, kosa kata dan laras bahasa yang tertib.

Harapan utama saya tentang bahasa Melayu ialah agar Dasar Bahasa Kebangsaan yang menjadi salah satu dasar negara dipertahankan, dihormati dan disokong pemantapannya dalam segenap sektor kehidupan bertamadun di negara ini, seperti pentadbiran, undang-undang, pendidikan, tempat awam, dan swasta. DBP wujud atas dasar adanya Akta DBP yang berkaitan dengan peranan untuk mengisi Dasar Bahasa Kebangsaan.

Oleh itu, enam peruntukan objektif dan bidang tugas utama DBP di bawah Akta DBP perlu diberi ruang pelaksanaannya tanpa sebarang gugatan. Contohnya, perkara pertama berkaitan dengan tugas memajukan dan mengembangkan bahasa Melayu dalam semua bidang, termasuk sains dan teknologi.

Maka, DBP perlu mendapat sokongan dan ruang untuk melaksanakan tanggungjawab itu bagi mengisi keperluan negara, seperti melalui pengajaran bidang-bidang ilmu dalam bahasa Melayu dan penyediaan buku teks dan buku rujukan dalam bahasa Melayu, terutama bagi bidang sains dan teknologi.

S: Dr Awang begitu optimis bahawa bahasa Melayu tidak akan pupus di dunia namun bimbang tentang kemungkinan bahasa kebangsaan itu tidak dapat berfungsi dengan baik apabila kewujudannnya lebih dilihat sebagai bahasa pasar. Bagaimanakah mutu penggunaan bahasa dan usaha memartabatkan bahasa Melayu dapat dilakukan?

J: Rasa optimis saya itu berdasarkan kekuatan bahasa dan persuratan Melayu yang telah kuat tradisinya sejak lebih dua alaf atau dua ribu tahun, atau sekurang-kurangnya seribu tahun jika kita mengambil zaman Kesultanan Melayu sebagai zaman gemilang bahasa Melayu klasik.

Keduanya, jumlah penutur "bahasa Melayu besar" atau "bahasa Melayu mahawangsa" cukup besar, iaitu kira-kira 300 juta orang, meliputi beberapa buah negara di Asia Tenggara dan dalam komunti di benuar-benua lain juga.

Tidak mudah bahasa sebesar itu pupus. Namun, apabila bahasa Melayu tidak digunakan untuk menjadi wasilah ranah-ranah kehidupan bertamadun, terutamanya untuk menjadi bahasa ilmu dan pendidikan, maka yang lebih meluas kelak ialah ragam bahasa basahan, atau bahasa pertuturan.

Tamadun besar tidak dapat terbina dengan hanya bahasa basahan kerana setiap tamadun besar memerlukan ragam bahasa tinggi. Dalam bahasa Arab ada ragam bahasa fusha, dalam bahasa Mandarin ada ragam putonghua, dalam bahasa Inggeris ada "standard English" dan untuk bahasa Melayu perlu ada ragam bahasa baku dan bahasa tinggi, di samping ragam bahasa Melayu sehari-hari untuk komunikasi biasa.

Mutu bahasa Melayu dapat ditingkatkan dengan peluasan penggunaan bahasa Melayu ragam rasmi kerana itulah ragam yang diperlukan dalam bidang-bidang budaya tinggi seperti pentadbiran, undang-undang, media massa dan pendidikan.

Dalam bahasa pertuturan pula, meskipun kesederhanaan menjadi tanda, perlu ditekankan aspek kesantunan bahasa supaya nilai budaya dan sistem nilai masyarakat dapat dipulihara.

Martabat bahasa Melayu pula dapat dipertahankan jika bahasa itu diutamakan dalam bidang-bidang kehidupan bernegara, walaupun kita tidak menolak keperluan menggunakan bahasa asing bagi keperluan tertentu.

Kita berharap, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa negara tidak bertukar menjadi seolah-olah bahasa kedua apabila bahasa asing diutamakan dalam urusan kenegaraan.

S: Adakah bahasa Melayu dapat direalisasikan sebagai bahasa dunia?

J: Bahasa Melayu memang telah menjadi bahasa dunia, terutama dalam zaman Kesultanan Melayu, seperti yang dirumuskan oleh sarjana Bellanda Francois Valentijn bahawa pada abad ke-16, orang asing yang datang ke alam Melayu untuk tujuan berdagang atau menjalin hubungan diplomatik perlu menguasai atau menggunakan bahasa Melayu kerana pada waktu itu kedudukan serta peranan bahasa Melayu sama dengan kedudukan dan peranan bahasa Latin dan Perancis di Eropah pada abad yang sama.

Hanya dalam zaman sesudah penjajahan menguasai negara kita dan alam Melayu keseluruhannya, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia tidak seluas dahulu.

Namun dengan adanya lebih 100 institusi ilmiah di seluruh dunia yang memberikan perhatian kepada pengajian Melayu, seperti di Eropah, Amerika, Asia Timur dan Oceania, maka potensi bahasa Melayu berkembang menjadi bahasa dunia memang cerah.

S: Bagaimana Dr Awang melihat hubungan antara kerajaan dengan golongan ilmuwan seperti pakar bahasa ketika ini dalam bersama-sama mengembangkan bahasa Melayu?

J: Biarlah saya mengambil pemansuhan PPSMI sebagai titik tolak kesediaan kerajaan untuk membuka ruang bahasa Melayu dimartabatkan semula sebagai bahasa ilmu, khususnya dalam bidang sains meskipun tarikh akhir pemansuhan sepenuhnya pada 2016 (sekolah rendah) dan 2021 (sekolah menengah) masih menjadi kerisauan.

Demikian juga kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Mohamed Khaled Nordin yang menegaskan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perkuliahan dan penulisan buku ilmiah dalam bahasa Melayu sebagai asas pengiktarafan kesarjanaan.

Yang penting ialah susulan pimpinan insitutusi pendidikan agar pengumuman itu disusuli segera untuk pelaksanaannya.

Bayangkan jika 1,700 orang profesor dalam pelbagai bidang ilmu di negara ini menghasilkan sebuah buku sahaja setiap seorang, betapa kayanya khazanah ilmu dalam bahasa Melayu.

Harapan kerajaan, khususnya Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melihat pencapaian sasaran 26,000 judul buku setahun perlu dijadikan cabaran oleh ahli ilmu dan karyawan.

Di samping itu, harapan ahli ilmu kepada kerajaan tetap tinggi supaya Dasar Bahasa Kebangsaan benar-benar dilaksanakan dengan lebih serius dan seluas yang mungkin.

S: Apakah hala tuju DBP di bawah kepimpinan baru Dr Awang?

J: Sebagaimana yang saya katakan, DBP wujud bertunjangkan Akta DBP. Maka, hala tuju DBP mestilah berasaskan peruntukan amanah dan tanggungjawab itu, khususnya mengisi kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan dan bahasa bagi ranah-ranah penting lain.

Oleh itu, DBP dapat membantu menjayakan pencapaian dasar negara dalam hal kebahasaaan dan persuratan. Dengan perkataan lain, hala tuju DBP berkaitan dengan usaha memastikan taraf bahasa Melayu sebagai bahasa negara terlaksana dan tidak tergugat, dan serentak dengan itu memantapkan sistem bahasa dari semua sudut, baik ejaan, istilah, sebutan, kosa kata mahupun laras bahasa, agar kemantapan sistem bahasa dapat menunjang kedudukan atau taraf bahasa Melayu sebagai bahasa negara.

Perkara khusus perlu saya sebut juga ialah sasaran DBP untuk membentuk khazanah persuratan ilmu dan persuratan susastera yang amat penting dalam kaitannya dengan pembinaan dan peningkatan tamadun.

Profil Dr Awang Sariyan:

Tarikh lahir: 20 Oktober 1953.

Tempat lahir: Kampung Rambah, Pontian, Johor (dibesarkan di Kampung Teluk Kerang, Pontian, Johor).

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Persuratan (Kepujian) dan Diploma Pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1977.

Kerjaya:

- Perunding Seberang Laut Kementerian Pendidikan Singapura sejak 1992.

- Profesor di Jabatan Bahasa Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

- Sebelumnya, beliau ialah Profesor Linguistik dan Perancangan Bahasa di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) (2004 - 2006).

- Pengarah Jabatan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (1999 - 2004).

- Turut pernah menjadi tenaga akademik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Brunei Darussalam dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

- Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University (BFSU) mulai Januari 2008.

Tulisan:

Tulisan Dr Awang meliputi lebih 60 judul buku dan ratusan makalah. Antaranya berjudul:

- Kesantunan Bahasa (Beijing Foreign Studies University, 2009).

- Mencari Makna Diri Melayu: Renungan untuk Bangsaku (PLM, 2009).

- Falsafah dan Logika Melayu (Synergymate, 2007).

- Perkembangan Falsafah Bahasa dan Pemikiran dalam Linguistik (Sasbadi, 2007).

- Santun Berbahasa (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2007).

- Tertib Mengarang (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2007).

- Warna dan Suasana Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006).

- Tuntunan Bahasa (Pearson, 2006).

- Ujana Minda, Jilid 1 dan II (editor) (Sasbadi, 2006).

- Ceritera Bahasa (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005).

- Suara Pejuang Bahasa, editor bersama (Persatuan Linguistik Malaysa dan Dawama, 2005).

- Hakikat Bahasa dan Realisasinya dalam Pembinaan Tamadun Bangsa (Persatuan Linguistik Malaysia, 2005).

- Konsep Kesalahan Bahasa (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2003).

- Kesinambungan Bahasa dalam Sastera Melayu (Fajar Bakti, 1986).

- Isu-isu Bahasa Malaysia (Fajar Bakti, 1985)

- Pemenang Hadiah Bahasa PLM-Public Bank 1985.

- Kunci Bahasa Malaysia (Sasbadi, 1985).

- Bahasa Malaysia Tingkatan 3 (Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990).

- Bahasa Malaysia Progresif Tingkatan 2 (Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988).

- Bahasa Malaysia Progresif Tingkatan 2 (Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988).

Pencapaian dalam negara:

- Anggota Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu.

- Anggota Jawatankuasa Bahasa Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka.

- Perunding di beberapa bahagian dalam Kementerian Pelajaran dan kementerian-kementerian lain, Dewan Bahasa dan Pustaka serta firma penerbitan.

- Pemeriksa luar tesis pascasiswazah (Sarjana dan Doktor Falsafah beberapa universiti seperti UKM, UM, UPSI, USM,UPM).

- Editor perunding Jurnal Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka.

- Hakim pelbagai pertandingan penulisan dan pengucapan awam.

- Penatar bahasa dan penulisan di pelbagai jabatan kerajaan, firma swasta dan pertubuhan bukan kerajaan.

- Penyampai syarahan perdana, ucap utama, kertas kerja utama, kertas dasar dan kertas kerja pelbagai persidangan dan seminar tentang bahasa, pendidikan, falsafah dan isu sosiobudaya.

- Dari tahun 2000 hingga tahun 2008, Dr Awang juga menjadi Presiden Persatuan Linguistik Malaysia dan aktif dalam gerakan perjuangan bahasa, selain menganjurkan kursus bahasa dan penulisan untuk golongan profesional dan menganjurkan seminar di dalam dan di luar negara, serta menerbitkan buku dan jurnal bahasa.

- Diiktiraf sebagai seorang daripada 100 orang siswazah UKM yang cemerlang sempena Perayaan 35 tahun UKM (2006) dan biodatanya diterbitkan dalam buku "Pengiktirafan Kecemerlangan/A Tribute to Excellence”.

- Dilantik sebagai Profesor Fakulti Bahasa oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mulai Jun 2009.

Pencapaian antarabangsa:

- Wakil negara dalam Majlis Bahasa Brunei Darussalam–Indonesia–Malaysia (MABBIM), dan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM).

- Anggota Jawatankuasa Eksekutif MABM.

- Pengerusi Jawatankuasa Kerja Kegiatan MABM.

- Profesor Tamu Pusat Pengajian Asia Tenggara, Universiti Franfkurt, Jerman (2006 dan 2007).

- Profesor Tamu Pusat Pascasiswazah Jurusan Linguistik,Universiti Sumatera Utara, Medan, Indonesia (2006 dan 2007).

- Penatar Kursus Sebutan Baku dan Tatabahasa kepada guru Bahasa Melayu Singapura (1992-2004).

- Penyelenggara bersama beberapa program ilmiah bahasa dan persuratan Melayu seperti persidangan dan seminar (termasuk di Australia, Belanda, Jerman, Perancis, Korea, Indonesia, Thailand, Kemboja, Sri Lanka dan China).

- Pembentang kertas kerja utama, kertas kerja, syarahan dan panelis dalam seminar dan persidangan antarabangsa tentang bahasa dan pendidikan (yang diadakan di Australia,Belanda, Brunei, Indonesia, Jerman, Kemboja, Korea, Perancis, China, Singapura, Sri Lanka, Thailand).

- Editor Perunding dan Penulis Residen Jurnal Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka Negara Brunei.

- Pemeriksa Luar Tesis Pascasiswazah (Sarjana dan Doktor Falsafah) National University of Singapore dan Nanyang Technological University of Singapore.

- Menggerakkan program Kursus Bahasa Melayu untuk Pelajar Deakin University, Australia di Universiti Putra Malaysia (2005 dan 2006).

- Sejak tahun 1992, Dr Awang telah dilantik menjadi Perunding Seberang Laut Kementerian Pendidikan Singapura dalam bidang pengajaran bahasa Melayu (sebutan dan tatabahasa) dan pada tahun 2001 sehingga 2006 sebagai perunding projek penyediaan bahan pengajaran mata pelajaran bahasa Melayu sekolah rendah dan sekolah menengah Singapaura.

Anugerah:

Antara anugerah dan hadiah yang diperoleh oleh Dr Awang termasuk:

- Hadiah Persuratan 10 Tahun UKM.

- Hadiah Penghargaan Dua Dekad UPM.

- Hadiah Bahasa PLM-Public Bank.

- Anugerah Tinta Kencana (Kategori Makalah Ilmiah) DBP.

- Anugerah Khidmat Cemerlang DBP.

- Kesatria Mangku Negara.

No comments:

Post a Comment