Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Monday, July 9, 2012

Puisi: Perjalanan


Perjalanan

Di sela-sela kesibukan
dan kadangkala keributan yang tidak menentu
atas urusan duniawi
sesekali sempat kurenung perjalanan ini
yang kadangkala di luar kesedaran
rupa-rupanya telah jauh
kulalui

Kerap kunilai
luruskah atau kesasarkah perjalananku?
Kerap kurenung
berimbangkah perjalanan duniawi dan ukhrawiku?
Kerap kuhitung
laba duniakah atau laba akhirat yang kucari?

Perjalanan ini akan sampai di hujungnya
Perjalanan ini akan tiba di noktahnya

Sisa dan baki perjalanan ini
semoga terisi dengan segala yang bererti
semoga terisi dengan penuh bakti
kepada-Mu, ya Ilahi
kepada-Mu, ya Rabbi

Semoga maghfirah-Mu
Semoga mardhiyyah-Mu
Semoga hidayah-Mu
Semoga barakah-Mu
Semoga rahmat-Mu
menaungi perjalananku
Ya, Ilahi
Ya, Rabbi.

~Kembara Bahasa~
Hotel Washington, Tokyo
10.15 malam, 9 Julai 2012





No comments:

Post a Comment