UCAPAN KETUA PENGARAH
MAJLIS PELANCARAN PELAN TINDAKAN STRATEGIK DBP 2011-2015
OLEH YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI
(13 JULAI 2012)
Assalamu`alaikum warahmatullah
Salam sejahtera
Salam 1 Malaysia
Salam 1 Bahasa
Saudari pengacara majlis
Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin bin Mohd. Yassin
Timbalan Perdana Menteri Malaysia
Yang Berbahagia Dato’ Dr. Rosli bin Mohamad
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia
Yang Berbahagia Prof. Dato’ Dr. Md. Salleh bin Yaapar
Naib Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka
Yang Berhormat Datuk Wira Othman bin Ahmad
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Melaka
Yang Berbahagia Anggota-anggota Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka
Sasterawan Negara
Timbalan Ketua Pengarah, Pengarah-Pengarah Jabatan, Ketua-Ketua Bahagian
Hadirin dan hadirat yang saya muliakan
Alhamdulillahi rabbal `alamin. Wassalatu wassalamu `ala asyrafil ambiai warmusalin. Wa`ala alihi wasahbihi ajmain.
Ke hadrat Allah kami warga DBP merafakkan kesyukuran atas kurniaan nikmat yang dilimpahkan-Nya sehingga rancangan dan persiapan untuk mengadakan Majlis Pelancaran Pelan Strategik DBP dalam memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu, bersempena dengan ulang tahun ke-56 DBP dapat dilangsungkan pada pagi ini, pagi hari Jumaat penghulu semua hari.
Rakaman penghargaan yang setinggi-tingginya dan ucapan terima kasih kami hadapkan kepada YAB Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin bin Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri yang menerima undangan DBP untuk melancarkan Pelan Tindakan Strategik DBP bagi Memartabatkan Bahasa dan Persuratan Melayu. Kehadiran dan iltizam YAB Tan Sri yang senantisa menyokong, memberikan gagasan dan pimpinan serta menaungi semua perancangan dan gerak kerja DBP amat kami hargai.
Ketegasan Tan Sri dalam mempertahankan Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan, iaitu dua dasar negara yang amat rapat dengan peranan DBP insya-Allah mendapat sokongan padu semua warga kerja DBP, dalam bentuk pengisian program yang berkaitan dengan segala upaya memajukan bahasa dan persuratan Melayu, bukan sahaja dalam pengayaan dan pemantapan aspek korpus atau sistem bahasa, bahkan juga dalam peluasan penggunaan bahasa Melayu dalam semua sektor kehidupan bertamadun di negara ini.
YAB Tan Sri, hadirin dan hadirat yang mulia,
Kami warga kerja DBP bergerak atas dasar mendukung falsafah pembinaan negara yang bersepadu atau holistik, dengan mengambil tanggungjawab memenuhi keperluan negara untuk mempunyai bahasa negara yang dapat menjadi teras jati diri rakyat yang merdeka dan bermaruah, bahasa yang dapat menjadi wasilah perpaduan rakyat berbilang keturunan dan bahasa yang cekap dan berkesan untuk urusan pentadbiran, undang-undang, pendidikan dan semua sektor lain. Kami bergerak atas landasan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dan juga atas landasan undang-undang negara yang lain, khususnya Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan dan Akta DBP sendiri.
Pelan Tindakan Strategik yang kami rancang dengan berdasarkan penilaian semula Sasaran Kerja Utama 2011-2015 memperhitungkan faktor perkembangan, cabaran dan keperluan semasa yang perlu kami tangani dengan berkesan; antaranya MBMMBI, Kajian Semula Pendidikan Kebangsaan, Pelancaran Pekeliling Bilangan 9 Jabatan Perkhidmatan Awam yang mempertegas pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu pada 28 Oktober 2011, penyuburan budaya ilmu, peluasan media sosial dan teknologi maklumat dan komunikasi yang kian canggih.
Perkembangan bahasa dan persuratan Melayu yang meskipun memperlihatkan kemajuan yang meyakinkan sesudah lebih setengah abad negara kita merdeka, ternyata masih memerlukan perhatian dan perencanaan yang lebih rapi dan serius, terutama untuk memastikan bahasa negara itu dihormati, dimuliakan dan didaulatkan dengan pelaksanaan penggunaannya seluas-luasnya dalam semua sektor – pentadbiran, pendidikan, media am (cetak dan elektronik), undang-undang, tempat awam, ekonomi dan perhubungan awam.
Masih menjadi impian kita bahawa bahasa Melayu patut diutamakan dalam semua majlisrasmi dan acara rasmi yang berlangsung di tanah air tercinta ini. Masih kita dambakan keadaan bahasa Melayu dijadikan “pakaian diri” dalam pelbagai bentuk perhubungan, baik dalam kalangan pemimpin, penjawat awam, pelaksana media am dan firma swasta serta masyarakat awam, tanpa menafikan keperluan menguasai dan menggunakan bahasa asing untuk keperluan yang khusus.
Demikian juga, kian nyaring suara yang mencabar kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa penghantar utama sistem pendidikan kebangsaan. Tidak kurang pula kelunturan semangat kenegaraan, yang salah satunya ditandai oleh menipisnya kecintaan dan penghormatan kepada asas-asas negara, termasuk bahasa kebangsaan. Kecenderungan beberapa pihak untuk terus menggerakkan agenda melayukan bahasa Melayu sebagai bahasa berwibawa, termasuk dalam bidang ilmu masih tampak jelas. Kekurangan khazanah persuratan ilmu dalam pelbagai bidang ilmu dan maklumat untuk pelbagai golongan dan lapisan rakyat masih menjadi mimpi sedih untuk kebangkitan suatu tamadun besar bangsa dan negara kita.
YAB Tan Sri dan hadirin hadirat,
Itulah sebahagian asas yang menggerakkan kami warga kerja DBP menilai semula hala tuju, program dan pengisian dasar bahasa melalui Sasaran Kerja Utama lima tahun yang insya-Allah akan disusuli dengan pelan tindakan strategik hingga tahun 2020, selaras dengan pencapaian ” taraf negara maju dalam acuan sendiri”. Selain mempertegas falsafah, wasasan, misi, nilai-nilai teras DBP, kami memberikan perhatian khusus kepada cabaran-cabaran semasa dan cabaran masa hadapan yang diduga, tumpuan strategik dan pelan tindakan, impak pelan tindakan strategik dan faktor kritikal kejayaan.
Beberapa program yang berimpak tinggi seperti Program Audit Bahasa, Program Ziarah Bahasa (yang melibatkan pemimpin negara di sema kementerian, ketua setiausaha kementerian, naib canselor dan ketua eksekutif badan berkanun serta firma swasta), penerbitan berpakej menurut bidang ilmu untuk pelbagai peringkat pengguna, peluasan maklumat dan khidmat melalui laman sesawang rasmi dan laman sosial serta pembudayaan bahasa dan sastera dalam kalangan masyarakat seluas-luasnya insya-Allah kami rencanakan dan laksanakan sebaik-baiknya.
Mudah-mudahan dengan landasan yang jelas dan terarah serta memenuhi keperluan negara, DBP dapat terus memberikan sumbangan dalam pembinaan dan pembangunan negara, khususnya dalam aspek falsafah, pemikiran dan budi. Kami mengalu-alukan kerjasama dan pelibatan semua pihak untuk menjayakan program memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu sebagai salah satu teras tamadun negara.
Bagi pihak semua warga kerja DBP, saya sekali lagi merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan yang tinggi kepada YAB Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin bin Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia atas kehadiran untuk melancarkan Pelan Tindakan Strategik DBP dalam memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu. Terima kasih jua kepada semua dif kehormat dan hadirin hadirat yang sudi meraikan majlis pada pagi ini.
Wabillahi hidayah wattafik, wassalamu `alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Pejabat Ketua Pengarah
Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia
13 Julai 2012
No comments:
Post a Comment