Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.
~Kembara Bahasa~
Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi
Monday, July 9, 2012
Kesantunan Bahasa Asas Pembentukan Adab Bangsa
KESANTUNAN BAHASA
ASAS PEMBENTUKAN ADAB BANGSA
Awang Sariyan, Ph.D
Ketua Pengarah
Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia
[Kertas kerja untuk Ceramah Bahasa bersempena dengan Bulan Bahasa Kebangsaan Singapura 2012, anjuran Kelab Masyarakat Fuchun, dengan kerjasama Majlis Bahasa Melayu Singapura, pada 14 Julai 2012]
BAHAGIAN I
I. Maksud “Kesantunan Bahasa”
Kata santun diberi makna dalam Kamus Dewan sebagai ‘halus (budi bahasa atau budi pekerti), beradab, sopan’. Oleh itu, kata kesantunan berkaitan dengan sifat kehalusan budi bahasa atau budi pekerti dan kesopanan.
Kesantunan bahasa, secara umum, merujuk kepada penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicaranya. Kesantunan bahasa menjadi salah satu ciri penting bangsa yang bertamadun.
Bahasa Melayu sebagai bahasa yang telah wujud sejak sekurang-kurangnya dua alaf atau dua ribu tahun lalu telah mempunyai tradisi perbahasaan yang halus dan memancarkan adab bangsa Melayu. Asasnya menjadi lebih teguh dan jelas apabila agama Islam disebarkan di Kepuluan Melayu dan menjadi mercu tanda kebangkitan tamadun baharu yang bersendikan tauhid dan syariat sempurna Din al-Islam. Akhlak Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Sayidatina Aisyah r.a sebagai akhlak al-Qur’an menjadi asas akhlak dan kesantunan umat Melayu Islam, termasuk dalam aspek kesantunan bahasa.
Dalam zaman Kesultanan Melayu di pelbagai kawasan di alam Melayu, muncul pusat-pusat tamadun Melayu yang menghasilkan beberapa banyak ulama, pemikir dan pujangga dan karya-karya dalam pelbagai bentuk (prosa dan puisi) dan bidang (akidah, fekah, tasawuf, ketatanegaraan, historiografi, undang-undang, dokumen diplomatik dan susastera). Di dalamnya terpancar kesantunan atau adab bangsa yang disampaikan melalui bahasa Melayu yang santun. Gurindam 12 karya Raja Ali Haji yang penuh dengan panduan dan nasihat, umpamnya, cukup jelas memancarkan kesantunan bahasa dan sekali gus adab bangsa.
Apabila kemudian bahasa Melayu menjadi bahasa negara (sebagai bahasa kebangsaan Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam dan Singapura) dan menjadi bahasa bahasa rasmi (Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam dan salah satu bahasa rasmi Singapura), maka keperluan untuk memberikan perhatian kepada kesantunan bahasa Melayu menjadi lebih penting kerana kedudukan dan peranannya sebagai salah satu teras jati diri dan citra negara. Tradisi yang mantap dalam pengungkapan dan penggunaan bahasa yang santun sejak sekian lama itu perlu dipertahankan dan ditingkatkan, lebih-lebih lagi dalam zaman globalisasi yang menuntut kewaspadaan yang lebih dalam rangka melestarikan sifat dan ciri kebangsaan kita, di sisi memanfaatkan unsur-unsur positif tamadun lain.
Dalam usaha kerajaan membentuk warganegara yang berjati diri, memelihara adab dan kesopanan serta bertamadun tinggi, kesantunan bahasa sewajarnya menjadi amalan seluruh warganegara, daripada kalangan pemimpin hingga rakyat biasa. Dengan demikian, rakyat dan negara bukan sahaja maju dalam pembangunan ekonomi, sains dan teknologi, tetapi akan dihormati sebagai bangsa yang mempunyai maruah dan keperibadian yang tinggi.
Di Malaysia, Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni yang dilancarkan oleh kerajaan pada awal tahun 2005 merupakan usaha yang penting untuk memupuk kesedaran dan penghayatan seluruh warganegara terhadap pentingnya budi bahasa dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, bahkan dalam hubungan manusia sejagat. Kesantunan bahasa merupakan salah satu aspek penting kempen budi bahasa dan nilai-nilai murni itu. Lama sebelum itu, iaitu pada tahun 1987, secara rasmi Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah memasukkan nilai-nilai murni sebagai salah satu teras dasar dan sistem pendidikan, khususnya melalui program penyerapan nilai-nilai murni dalam pendidikan, iaitu Nilai-nilai Murni Merentas Kurikulum.
II. Peraturan Bahasa sebagai Asas Kesantunan Bahasa
Kesantunan bahasa diukur dengan berdasarkan kepatuhan pengguna bahasa kepada peraturan yang terdapat dalam bahasa sesuatu masyarakat. Daripada satu sisi, kepatuhan kepada sistem bahasa merujuk kepada sistem bahasa yang terdapat dalam bahasa masyarakatnya sendiri. Daripada sisi yang lain, kepatuhan kepada peraturan atau sistem bahasa berkaitan juga dengan kepatuhan kepada sistem bahasa lain apabila kita berhubung dengan menggunakan bahasa asing tersebut, terutama kepada anggota masyarkat bahasa itu.
Oleh itu, di samping menegaskan peraturan atau sistem bahasa kepada pelajar penutur jati bahasa yang kita ajarkan, amat penting dititikberatkan peraturan atau sistem bahasa kita kepada pelajar asing yang mungkin tidak memahami latar budaya bahasa kita atau disebabkan kelainan sisi-sisi tertentu yang terdapat dalam budaya mereka berbanding dengan budaya kita.
Sebahagian peraturan bahasa bersifat sejagat, seperti penggunaan panggilan hormat, kata sapaan kekeluargaan dan ungkapan bertatasusila. Ada sebahagiannya pula yang bersifat khusus bagi sesuatu masyarakat atau bangsa, seperti bentuk-bentuk panggilan hormat menurut sistem susun lapis masyarakat, protokol dalam pentadbiran atau adat istiadat dan sistem kekeluargaan dalam masyarakat berkenaan. Misalnya, walaupun bangsa Melayu dan bangsa Inggeris sama-sama mempunyai sistem protokol pentadbiran dan adat istiadat masing-masing, bentuk khusus kata panggilan hormatnya tidaklah sama disebabkan kelainan latar belakang kebudayaan.
Asmah Haji Omar dalam bukunya Setia dan Santun Bahasa (2002), merumuskan bahawa ada tiga jenis peraturan penggunaan bahasa, iaitu:
1. peraturan linguistik,
2. peraturan sosiolinguistik, dan
3. peraturan pragmatik.
Kepatuhan kepada ketiga-tiga peraturan itu secara bersepadu menjadi asas kesantunan bahasa. Dengan perkataan lain, orang yang santun bahasanya ialah orang yang sedapat mungkin berbahasa dengan menitikberatkan ketiga-tiga peraturan bahasa itu.
Peraturan Linguistik
Peraturan lingusitik berkaitan dengan peraturan penggunaan bahasa yang menitikberatkan ketepatan bentuk dan binaan bahasa. Aspek utama yang mewakili bentuk dan binaan sesuatu bahasa ialah sebutan, intonasi, ejaan, kosa kata dan tatabahasa. Kepatuhan kepada peraturan linguistik lebih ketara dan ditekankan dalam penggunaan bahasa yang berkaitan dengan urusan dan majlis rasmi, berbanding dengan urusan tidak rasmi.
Sekurang-kurangnya ada dua faktor mengapa peraturan linguistik perlu diberi perhatian dalam urusan dan majlis rasmi. Yang pertama ialah untuk menjaga kesempurnaan perjalanan urusan atau majlis yang bergantung pada kejelasan mesej yang disampaikan. Yang kedua ialah untuk memastikan bahawa semua yang hadir atau terlibat dengan urusan atau majlis rasmi itu dapat saling memahami pada tahap yang sebaik-baiknya dan tidak mengalami jurang komunikasi disebabkan kelainan dialek atau ragam bahasa yang digunakan oleh sesuatu pihak.
Dalam urusan dan majlis yang tidak rasmi, lazimnya anggota kelompok terdiri daripada individu-individu yang akrab dan telah saling kenal. Dalam konteks sedemikian, keperluan kepada peraturan linguistik yang formal agak minimum. Misalnya komunikasi boleh berlangsung dalam dialek yang sama-sama difahami atau dalam ragam bahasa basahan yang tidak begitu tertakluk kepada peraturan bahasa yang formal, seperti banyaknya ayat penggalan (ayat yang tidak lengkap subjek dan predikatnya) atau kata-kata yang tidak lengkap imbuhannya atau kata yang lain sama sekali daripada kata dalam penggunaan yang rasmi (antara contoh yang paling ketara termasuklah penggunaan kata dekat bagi kepada dan di).
Peraturan Sosiolinguistik
Peraturan bahasa yang kedua, iaitu peraturan sosiolinguistik pula berkaitan dengan penggunaan bahasa yang menitikberatkan hubungan sosial antara pembicara dengan pendengar (dalam konteks komunikasi lisan) dan antara penulis dengan pembaca (dalam konteks komunikasi tulisan). Contohnya ialah penggunaan kata sapaan yang betul, sama ada kata ganti diri mahupun kata panggilan hormat, yang ditentukan menurut sistem dalam masyarakat.
Secara lebih luas, penggunaan bahasa perlu disesuaikan dengan konteks dalam masyarakat, baik disebabkan oleh faktor hubungan antara pembicara dengar khalayak, faktor suasana (misalnya antara rasmi dengan tidak rasmi), faktor bidang yang tertentu mahupun faktor media (lisan atau tulisan).
Dalam pelaksanaannya, kedua-dua suasana berbahasa, iaitu rasmi dan tidak rasmi memerlukan kepatuhan kepada peraturan sosiolinguistik. Sebagai contoh, dalam urusan dan majlis rasmi di Malaysia, perlu dipatuhi penggunaan kata sapaan rasmi yang betul. Penggunaan gelar (seperti Tun, Tan Sri, Dato’, Dato’ Seri dan yang lain), panggilan hormat (seperti Yang Amat Berhormat, Yang Berhormat, Yang Amat Berbahagia, Yang Berbahagia, Yang Berhormat, Yang Berhormat Mulia dan sebagainya) serta kata ganti nama diri (seperti tuan dan puan) amat penting diberi perhatian sebagai salah satu adab atau unsur kesantunan bahasa.
Dalam suasana tidak rasmi, masih diperlukan penggunaan gelar dan kata ganti nama diri yang menepati kedudukan seseorang dan juga hubungannya dengan orang yang berbicara. Sebagai contoh, orang yang bergelar tetap perlu disapa dengan gelar yang dimilikinya. Menjadi tanggungjawab pembicara menyapanya dengan gelar itu walaupun ia mungkin tidak mengharapkannya.
Demikian juga, kata sapaan yang mewakili sistem kekeluargaan perlu digunakan dengan betul sebagai tanda hormat. Seorang anak saudara yang seusia atau lebih tua daripada ayah saudara atau ibu saudaranya tetap perlu menyapa ayah saudara atau ibu saudaranya itu dengan panggilan pak cik atau mak cik atau dengan panggilan lain yang setara dengannya, misalnya pak ngah, pak su, mak andak dan sebagainya.
Sikap tidak peka atau kurang peka akan hal itu menyebabkan wujud kecenderungan sesetengah orang memanggil semua orang yang agak berumur dengan panggilan pak cik atau mak cik, hatta kepada profesor atau pensyarahnya, atau abang kepada semua pelanggan lelaki yang berurus niaga dengannya. Gadis pula sering menjadi mangsa dengan panggilan kak long walaupun ia mungkin bukan semestinya anak sulung. Dalam hal ini, perlu dibedakan panggilan yang berasaskan kekerabatan dan kemesraan daripada panggilan yang berasaskan hubungan neutral dan rasmi.
Peraturan Pragmatik
Yang ketiga, iaitu peraturan pragmatik menekankan penggunaan bahasa yang perlu disesuaikan dengan tujuan komunikasi. Peraturan ini berkaitan dengan penggunaan bahasa yang sopan dan berkesan. Maka itu, dalam perundingan, jual beli, ceramah, pengajaran, dialog dan sebagainya diperlukan penguasaan peraturan pragmatik supaya tujuan atau hajat kita tercapai dan pada waktu yang sama kesopanan bahasa terpelihara dan kita tidak menyakiti perasaan orang lain. Dalam bidang ilmiah, ilmu yang berkaitan dengan peraturan pragmatik disebut retorik.
Antara yang dipentingkan termasuklah pemilihan kata, ungkapan dan wacana yang sesuai dengan tujuan pembicara, latar belakang khalayak, bidang dan suasana. Dalam wacana, misalnya, dapat dipilih wacana jenis penceritaan, pemaparan, penghujahan dan pembujukan.
Tujuan dapat dikaitkan dengan bentuk wacana, iaitu sama ada wacana informatif, wacana khas (seperti majlis perasmian, majlis perpisahan dan yang lain) atau hiburan. Latar belakang khalayak berkaitan dengan ciri-ciri demografi seperti bangsa atau etnik, agama, budaya, usia, jantina, pendidikan dan kedudukan sosioekonomi. Bidang pula berkaitan dengan kekhususan topik yang dibicarakan, seperti bidang ilmiah, bidang industri, bidang pemasaran dan yang lain. Suasana berkaitan dengan pelbagai keadaan seperti tempat berlangsungnya komunikasi, tempoh atau jangka masa, kemudahan yang ada dan kesediaan khalayak.
III. Kesantunan Bahasa daripada Sudut Agama
Bahasa, menurut huraian ulama’ Islam dan juga ahli bahasa aliran mentalisme, berkaitan rapat dengan akal. Manusia disebut haiwan natiq atau rational animal disebabkan adanya dua unsur itu, iaitu akal dan bahasa pada dirinya.
Sifat natiq dan rasional dikaitkan dengan ciri manusia sebagai haiwan yang berakal dan berbahasa. Kedua-dua sifat itu menjadikan manusia makhluk yang paling istimewa dan sempurna kejadiannya di dunia ini (al-‘Alaq: 4). Sebagai makhluk yang istimewa dan mulia, manusia wajib menjaga kemuliaan akhlak dan salah satu tanda kemuliaan akhlak manusia ialah kesantunan bahasanya.
Bahasa merupakan wahana atau saluran akal sebagai alat berfikir dalam bentuk dua fungsi. Pertama, bahasa menjadi wahana atau saluran akal melahirkan idea, fikiran dan bahkan perasaan seseorang sehingga dapat disampaikan kepada pihak lain. Kedua, bahasa menjadi wahana yang menerima dan menafsirkan idea, fikiran atau perasaan daripada pihak lain sehingga penerima idea, fikiran atau perasaan itu faham dan mungkin perlu memberikan gerak balas atau respons.
Peranan bahasa sebagai penzahir dan penerima mesej itulah yang memungkinkan manusia dapat berkomunikasi untuk mewujudkan kesalingfahaman, persefahaman, perpaduan dan kerjasama ke arah kebaikan. Dengan berlangsungnya semua keadaan itu, manusia dapat membentuk cara hidup yang dikenal sebagai kebudayaan dan pada tingkat yang tinggi disebut tamadun atau peradaban.
Peranan bahasa dalam pembentukan kebudayaan dan tamadun manusia dapat diringkaskan seperti yang berikut:
1. Bahasa menjadi alat pemerolehan dan pengembangan ilmu - Dalam Surah al-Baqarah, ayat 31, dijelaskan bagaimana Allah mengajar Adam tentang nama sekalian ciptaan dan kejadian di alam, iaitu sebagai bukti bahawa pemerolehan dan pengembangan ilmu memerlukan bahasa sebagai alatnya.
2. Bahasa menjadi alat pendidikan dan pemasyarakatan (sosialisasi) – Pembentukan sahsiah yang bermula dengan institusi keluarga, rakan sebaya, institusi pendidikan formal (seperti sekolah), media massa dan masyarakat berlangsung dengan menggunakan bahasa sebagai alat penyaluran sistem kepercayaan, sistem nilai, adat dan kebudayaan keseluruhannya.
3. Bahasa menjadi tali pengikat persefahaman dan perpaduan – Baik dalam kalangan sesama bangsa, kaum atau suku mahupun dalam kalangan antara bangsa, kaum dan suku yang berlainan, bahasa menjadi alat yang membentuk persefahaman dan perpaduan manusia (al-Hujurat: 13).
Oleh sebab demikian besarnya peranan bahasa dalam pembentukan kebudayaan dan tamadun manusia, maka kesantunan bahasa menjadi perkara yang amat penting difahami dan diamalkan oleh setiap anggota masyarakat.
Prinsip utama agama Islam dalam kaitannya dengan kesantunan bahasa berhubungan secara langsung dengan dua peranan utama manusia di muka bumi, iaitu:
1. Menyerukan kebaikan (amar ma`ruf)
2. Mencegah kemungkaran (nahi mungkar)
Dalam melaksanakan kedua-dua peranan itu, kesantunan bahasa diperlukan agar mesej (ajaran, nasihat, teguran dan sebagainya) yang disampaikan dapat diterima dengan baik dan meninggalkan kesan yang diharapkan serta tidak menyebabkan kemarahan, kebencian atau permusuhan. Antara asas prinsip itu ialah ayat al-Qur’an yang berbunyi “Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, semoga ia beringat.” (Taha: 44) dan “Allah tidak suka akan perkataan-perkataan jahat yang keluar daripada mulut seseorang.” (al-Nisa’: 148).
Dalam konteks yang lebih rinci, agama Islam menekankan kesantunan bahasa dalam hubungan antara kita dengan ibu bapa, jiran tetangga dan manusia keseluruhannya tanpa mengira usia dan taraf sosial. Penekanan ini berkaitan dengan keperluan manusia memelihara hubungan sesama manusia (hablum minannnas) di samping hubungannya dengan Tuhan (hablum minallah). Orang yang baik ialah orang yang bukan sahaja menjaga hubungannya dengan Tuhan bahkan menjaga hubungannya dengan sesama manusia. Dalam konteks inilah kesantunan bahasa amat penting diberi perhatian dalam kehidupan bermasyarakat.
IV. Kesantunan Bahasa sebagai Warisan Kebudayaan Bangsa
Kesantunan bahasa dalam masyarakat Melayu, iaitu masyarakat yang menjadi teras penghuni di Kepulauan Melayu sejak dua alaf lalu, merupakan salah satu warisan yang penting dalam pembentukan keperibadian bangsa hingga kini. Di Malaysia, Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang dirumuskan pada tahun 1971 meletakkan kebudayaan asal rantau ini, iaitu kebudayaan Melayu sebagai asas yang pertama.
Salah satu aspek kebudayaan Melayu yang menjadi asas kebudayaan kebangsaan negara ini ialah kesantunan bahasa yang menggambarkan kehalusan budi, pemikiran, falsafah, sistem nilai, sistem masyarakat dan seluruh aspek kebudayaan itu sendiri.
Sekian banyak unsur yang menggambarkan wujudnya kesantunan bahasa dirakamkan dalam pelbagai karya persuratan (seperti hikayat, syair, pantun, gurindam dan seloka) dan tradisi lisan (seperti pelipur lara, wayang kulit dan menora). Salah satu bentuk bahasa yang banyak mengungkapkan kesantunan bahasa ialah peribahasa, sama ada dalam bentuk yang dikenal sebagai simpulan bahasa, bidalan, perumpamaan, pepatah, perbilangan mahupun kata hikmat.
Kewujudan ribuan karya dalam pelbagai bidang (agama, ketatenegaraan, undang-undang, pensejarahan, seni sastera, warkah, perjanjian dan sebagainya) sejak ratusan tahun dalam persuratan Melayu menjadi bukti wujudnya kesantunan bahasa sejak lama dahulu. Jika dinilai dengan berasaskan tiga jenis peraturan bahasa yang telah disebut dalam bahagian Peraturan Bahasa sebagai Asas Kesantunan Bahasa, semua karya itu disusun dalam bahasa yang berperaturan, baik daripada sudut peraturan lingusitik, peraturan sosiolinguistik mahupun peraturan pragmatiknya.
Demikian juga, telah wujud adat istiadat dan pelbagai bentuk majlis dan upacara dalam kehidupan masyarakat Melayu sejak zaman-berzaman sebagaimana yang digambarkan dalam karya-karya persuratan seperti dalam Sejarah Melayu. Pelbagai adat istiadat, majlis dan upacara itu telah berlangsung dengan berasaskan tatacara dan peraturan tertentu, termasuk tatacara dan peraturan yang berkaitan dengan kesantunan bahasa. Huraian dan dialog yang terdapat dalam pelbagai karya persuratan Melayu lama itu dengan jelas menggambarkan penggunaan bahasa yang santun dan beradab.
Sebahagian bentuk kesantunan bahasa itu kita warisi hingga kini dan masih digunakan sebagai sebahagian unsur tatacara dalam majlis, upacara dan urusan. Antara unsur kesantunan bahasa yang kita warisi termasuklah penggunaan kata ganti nama diri, gelar, panggilan hormat dan bentuk bahasa yang rasmi dalam pentadbiran, undang-undang, pendidikan dan majlis serta upacara rasmi. Perkara ini saya huraikan dalam Bab 4 buku Santun Berbahasa (2007).
Gambaran tentang pentingnya kesantunan bahasa dalam kehidupan bermasyarakat, seperti yang telah disebut sebelum ini, terdapat pada peribahasa yang diungkapkan sejak zaman-berzaman. Antara peribahasa yang menekankan pentingnya setiap orang menjaga kesantunan bahasa ketika berkomunikasi termasuklah:
1. Bahasa jiwa bangsa.
2. Bahasa menunjukkan bangsa.
3. Bahasa tidak dijual beli (atau bahasa tidak berjual beli).
4. Berbunyi bahasa diketahuilah bangsa.
5. Kerana pulut santan binasa; kerana mulut badan binasa.
6. Bercakap siang pandang-pandang; bercakap malam dengar-dengar.
7. Terlajak perahu dapat ditarik; terlajak kata buruk padahnya.
8. Kerbau dipegang pada talinya; manusia dipegang pada janjinya.
9. Kata dikota
10. Orang berbudi kita berbahasa; orang memberi kita merasa.
Dalam bentuk pantun pula, diungkapkan pentingnya kesantunan bahasa seperti pada contoh yang berikut:
1.Tingkap papan kayu bersegi,
Sampan sakat di Pulau Angsa;
Indah tampan kerana budi,
Tinggi bangsa kerana bahasa.
2. Baik-baik api diberi,
Kalau padam tidak berjelak;
Jaga-jaga memelihara diri,
Lazimkan budi bahasa yang baik.
3. Anak Cina menimbang madat,
Dari Makasar langsung ke Deli;
Hidup di dunia biar beradat,
Bahasa tidak berjual beli.
4. Pohon pandan pohon berduri,
Dipandang amat sedap;
Hidup di dunia bahasa dan budi,
Serta juga tertib beradab.
5. Saya tidak menanam nanas,
Tanam kepaya di dalam padi;
Saya tidak memandang emas,
Budi bahasa yang saya cari.
6. Perigi dikatakan telaga,
Tempat budak menumpang mandi;
Emas merah ada berharga,
Budi bahasa bernilai abadi.
7.Makan sirih berpinang tidak,
Pinang ada dari Melaka;
Makan sirih mengenyang tidak,
Sebab budi dengan bahasa.
8.Pucuk pauh sedang terjela,
Penjolok bunga gelundi;
Agar jauh silang sengketa,
Perhalus bahasa dan budi.
9. Yang kurik kundi,
Yang merah saga;
Yang canti budi,
Yang indah bahasa.
10. Dari Silaing ke Sijudah,
Japa melilit Tanjung Jati,
Buah jerami bergantungan;
Baju digunting kalau tak sudah,
Kata termulai kalau tak jadi,
Seksalah alam menanggungkan.
[BERSAMBUNG]
~Kembara Bahasa~
Hotel Washington, Tokyo
9 Julai 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
boleh kongsikan tentang "penjagaan wajah sebagai asas kesantunan" ?
ReplyDeleteterimakasih :)
Hello, excuse me an unexpected message, but I have to say: If I can regain the smile through this woman I received a loan of 450,000 € for a project I and two of my friends also received a loan of this Woman without a word no difficulty. I advise you not to choose the wrong person.
ReplyDeleteIf you really want to make money for you and the other project. I publish this message because this woman I am well with this loan. It was thanks to a friend that I met this honest woman and helped me generously get this loan. I therefore suggest you contact her and satisfy you for all the services you are requesting.
Here is his email hazez114@gmail.com
Mr. Luther Cesar