Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Wednesday, December 26, 2012

Kupasan S.M. Zakir tentang Kumpulan Puisi "Mencari Makna Diri"

MENCARI MAKNA DIRI MELIHAT KEPERIBADIAN DIRI


S.M. Zakir

[Kertas kerja Bicara Buku di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kedah di Alor Setar pada 22 Disember 2012)

Menurut Seyyed Hossein Nasr dalam bukunya Doktrin Kosmologi Islam, perhubungan antara Wahyu dengan manusia sebagai penerimanya, adalah ibarat perhubungan antara bentuk (form) dengan jirim/bahan (matter). Wahyu adalah bentuk dan struktur akal atau psikik manusia yang menerimanya adalah bahan, di mana bentuk mempamerkan wajahnya. Dalam kata lain bentuk mengacu bahan atau menjadi acuan kepada bahan. Semua tamadun wujud begini, yakni secara pengacuan bentuk ke atas bahan bergantung kepada nilai-nilai psikik dan sifat bangsa yang didatangi oleh bentuk tadi dengan dua cara. Pertama, Wahyu disampaikan dalam bahasa masyarakat yang didatanginya seperti yang termaktub dalam al-Quran dan kedua, bahan yang merupakan tempat didatangi Wahyu memainkan peranan dalam menggilap, memakmur dan memanjangkan bentuk-bentuk yang disampaikan oleh Wahyu.

Apa yang difahami di sini ialah bagaimana bahasa memainkan peranan penting sebagai alat bentuk mengacu bahan. Tanpa bahasa bentuk tentunya tidak dapat mengacu bahan tadi. Maka terlihat di sini bahawa Wahyu diturunkan dalam mukjizat bahasa, yakni keindahan dan keagungan bahasa masyarakat yang didatanginya. Apabila Wahyu diturunkan daripada alam Pencipta yakni Allah Yang Maha Esa, kepada manusia maka segala kebenaran tersebut turun dalam bahasa masyarakat yang didatanginya. Bahasa menjadi bukan sahaja alat dan perantara penting tetapi juga pengacu atau pembentuk ketamadunan manusia. Wahyu yang turun dalam bentuk bahasa ini mewujudkan tamadun, yakni keteraturan hidup manusia yang menurut jalan kebenaran dan kesejahteraan. Pada masa yang sama juga keteraturan ini membentuk kemajuan hidup manusia, sekaligus menjadikan bahasa yang melahirkan keteraturan tadi menjadi bahasa yang bertamadun. Maka di sini, bagaimana ketamadunan manusia terutamanya tamadun Islam amat berkait rapat dengan ’ketamadunan’ bahasa. Malah bahasa menjadi sebahagian ciri utama ketamadunan itu sendiri. Oleh itu apabila masyarakat mengungkapkan kehidupan mereka dalam kata-kata (bahasa), dalam bentuk sastera dan pernyataan seni maka budaya atau amalan hidup masyarakat menjadi sebati mengalir dalam setiap pengucapannya. Dalam konteks ketamadunan Islam, bahasa yang digubah menjadi bentuk karya sastera secara tekal turut mengungkapkan jiwa dan ruh keislaman yang telah bersebati dalam kehidupan masyarakatnya.

Dalam konteks bahasa Melayu, ternyata bahasa Melayu wujud dengan wujudnya ketamadunan Islam di rantau nusantara. Sebelum kedatangan Islam, bahasa Melayu tidak wujud sebagaimana yang ada selepas kedatangan Islam. Malah tulisan dan aksara yang ada di rantau nusantara tidak pun dikenali sebagai bahasa Melayu, melainkan tulisan dan bahasa yang dinamakan secara parokial menurut negeri dan daerah yang ada. Menurut Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bukunya Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu; kedatangan Islam di rantau Asia Tenggara atau nusantara telah mewujudkan apa yang dikatakan sebagai Zaman Baru. Pengertian Zaman Baru ini menurut beliau ialah suatu zaman yang mempunyai ciri-ciri yang penting dan mempunyai sifat persendirian serta berlainan dengan sifat-sifat zaman yang lampau, zaman yang menayangkan pandangan hidup yang berbeza daripada yang lampau. Zaman yang menubuhkan bukan sahaja rupa baru bahkan juga jiwa baru. Kedatangan Islam telah mewujudkan bahasa Melayu yang menggunakan aksara jawi yang merupakan aksara daripada bahasa Arab-Islam. Sebelum ini bahasa Melayu (tidak pun dikenali sebagai bahasa Melayu) menggunakan baik aksara dari India mahupun aksara tempatan yang sempit penggunaannya, malah hanya terpakai dalam lingkungan istana dan golongan elit. Bahasa Melayu yang menggunakan aksara jawi menjadi bahasa rantau alam Melayu, yang merangkumi golongan atasan mahupun golongan bawahan. Bahasa Melayu menjadi bahasa besar dan bukan lagi bahasa parokial. Dalam kata lain ia menyebar dan menyeluruhi pelosok alam Melayu bersama dengan penyebaran agama Islam. Akhir sekali bahasa Melayu menjadi antara ciri penting ketamadunan Islam di rantau alam Melayu. Maka itu, bahasa Melayu muncul sebagai bahasa ketamadunan Islam yang mencirikan Zaman Baru tersebut.

Maka di sini dapat dilihat bagaimana ketamadunan Islam diiringi oleh ketamadunan ’bahasa’ Islam, yang berada sebelah menyebelah dan saling mendokong. Ketamadunan bahasa mempamerkan ikatan yang bersebati dengan ruh Islam, sehingga peluahan atau pengungkapan kata-kata sepenuhnya berlingkar dalam wadah menjunjung kebenaran Ilahi, mendokong keteraturan Islam, dan mempamer amalan masyarakat berteraskan Islam. Dalam kumpulan puisi Mencari Makna Diri karya Awang Sariyan, kenyataan tentang ketamadunan Melayu yang dibentuk keseluruhannya oleh Islam memperlihatkan betapa bahawa pengungkapan bahasa Melayu melalui puisi itu secara keseluruhannya pula berhubungan dengan amalan dan budaya keislaman yang sangat menebal dan bersebati. Mencari Makna Diri bukan sekadar puisi yang melemparkan kata-kata, tetapi memperlihatkan bentuk ketamadunan bahasa Melayu yang secara langsung mengalirkan prinsip kehidupan Islam. Sajak ”Mitos Bahasa” memperlihatkan sejarah bahasa Melayu yang wujud sebagai bahasa peradaban dan ketamadunan Melayu sejak zaman pra-Islam. Sajak ini disampaikan dalam menentang atau memperbetulkan keraguan tentang bahasa Melayu yang dipandang ’kecil’ dalam era globalisasi, sedangkan bahasa Melayu mempunyai sejarah yang panjang sebagai bahasa peradaban yang maju.

Kata yang empunya ceritera
kononnya bahasa Melayu tiada berdaya
menyahut cabaran gelombang samudera
lamun di paparan sejarah telah tertera
bahasa Melayu hebat sejak zaman Sriwijaya
menanjak gemilang membina mercu tanda
dalam zaman kesultanan di seluruh Nusantara
dimahkotakan sebagai bahasa sempurna
merentas ranah, sempadan dan bangsa

Setelah menggambarkan sejarah panjang bahasa Melayu sebagai bahasa unggul sebuah ketamadunan besar, sajak-sajak seterusnya memperlihatkan bagaimana sifat bahasa Melayu yang dibentuk oleh Islam tersebut mencirikan budaya Melayu-Islam. Sajak yang paling simplistik dalam menyampaikan bentuk dan ciri ini ialah sajak “Aduhai Desaku!”. Sajak ini dengan bersahaja mengalurkan gelisah dan resah rindu warga kepada desanya. Tetapi gambaran desa, budaya dan kehidupan masyarakat hadir dengan ciri yang bersebati dengan Islam. Sekaligus menggambarkan ‘keaslian’ bahasa dan jiwa Melayu yang sangat bersebati dengan Islam, malah menjadi sifatnya.

Aduhai desaku!
gelisah dan resah jiwaku
setiap kali pulang melepaskan rindu
aku menjadi kelu dan keliru
melihat kian kurang
anak-anak dihantar mengaji
menggali yang fardu
bertalaqi dan beramali bersama guru
menguasai tulis baca jawi wasilah risalah

Sajak ini memperlihatkan rasa ’kehilangan’ apabila ciri-ciri Islam dalam kehidupan masyarakat tidak lagi seakrab dahulu, sekaligus memperlihatkan ’sebatinya’ bahasa dan jiwa Melayu dengan Islam sehingga perasaan dan rindu itu dihubungkan dengan rasa keislaman tersebut. Dari sisi yang lain terlihat ciri-ciri bahasa Melayu berhubungan kait yang erat dengan risalah Islam. Rangkap ketiga sajak ini memperlihatkan ciri-ciri bahasa Melayu dalam lingkungan Islam tersebut.

Aku menjadi gelisah dan resah
menyaksikan malam yang syahdu
tiada lagi suara merdu
nnak-anak dipandu guru
a i u, ba bi bu, ta ti tu, tha thi thu
mengenal fathah, kathrah dan dhammah
tanwin dan sukun serta sabdu
daripada mukaddam kepada mushaf yang sempurna

Ciri-ciri bahasa Melayu yang berhubungan kait dengan citra Islam ini terlihat jelas hampir dalam keseluruhan kumpulan puisi ini, dalam sajak-sajak yang membawa pelbagai tema. Apatah lagi dalam tema yang sangat jelas mengangkat nilai Islam, contohnya dalam sajak “Sendu Ramadhan”.

Alangkah alpanya aku
akan kurnia istimewa Yang Esa
datangmu dengan rahmat tak tepermanai
sepertiga pertama rahmat
sepertiga kedua pengampunan
sepertiga akhir pelepasan daripada neraka
para malaikat suruhan Yang Perkasa
sepanjang malam hingga terbit fajar
mengucapkan salam sejahtera
kepada hamba-hamba-Nya
yang mengabdikan diri
ke hadrat Pencipta dan Penguasa yang tak berbanding

Malah kenangan yang paling primordial terhadap ayah dan ibu juga dapat dilihat pencirian Islam yang tekal, dalam sifat bahasa Melayu sebagai citra Islam. Sajak ”Mengenangmu Ayahandaku”, diambil rangkap akhirnya.

istirahatlah wahai ayahandaku
di alam yang bebas daripada tipu daya dunia
sementara menanti tibanya alam mahsyar
perhimpunan besar penentu destinasi abadi
semoga kita bersua di syurga jannati

Begitu juga dengan sajak ”Syair Ibundaku nan Mutmainnah”, yang memperlihatkan citra Islam yang lembut dan menyerap sebagai ciri bahasa Melayu.

Ayahanda dan ibunda bahu-membahu
Mendidik anakanda supaya tahu
Mengaji al-Quran menjalani yang fardu
Memandu anakanda mengendalikan kalbu

Diakhirinya dengan rangkap akhirnya

Aduhai ibunda jiwa mutmainnah
semoga ibunda dipelihara Allah
bakti amanah ibunda laksanakan sudah
semoga ibunda kelak di jannah

Sajak “Wasiat Ayahanda” menyambung citra Islam yang menggambarkan titik primordial dalam budaya masyarakat Melayu, yakni titik kekeluargaan yang menjadi primate order dalam perkembangan masyarakat diasaskan dengan nilai Islam yang sangat kuat dan akrab.

Ayahanda tarbiah anakanda sekalian
oleh murabbi dan mudarris diperteguh jua
awwaluddin ma’rifatullah
ada pun yang utama ialah pengesaan Allah
usah disekutukan zat dan sifat-Nya
itulah awal wacana di alam barzakh
sebagai tuntutan janji anak Adam di alam arwah
nan dahulu dilafazkan di hadapan-Nya secara berjemaah
sebelum roh tersarung oleh jasad

Citra Islam yang mencirikan sifat bahasa Melayu, dalam perkaitannya dengan budaya serta kehidupan seharian juga ditampilkan dalam tiga buah sajak yang dilihat mempunyai metafora dan estetika yang kuat. Sajak pertama ”Musim Luruh”, sebuah sajak pendek yang bukan sahaja menampilkan citra Islam, metafora dan estetika yang kuat tetapi juga perlambangan yang ’sejuk’ dan menyentuh.

Musim luruh
engkau bertandang lagi
semoga menjadi isyarat
dan lambang alam
perihal luruhnya
segala dosa kami
ketika kembali ke fitrah kami
pada idulfitri

perkenankanlah ya, Rabbi

Bentuk sajak yang menghantar metafora dalam citra Islam yang kuat sebegini juga terlihat dalam sajak ”Selamat Datang Tamuku”.

Selamat datang wahai tamuku
dikaulah penyeri taman usrahku
permata hati pendamai kalbu
anugerah nur daripada nan satu

Sebuah lagi sajak yang patut diperhatikan dalam konteks melihat citra Islam dalam metafora yang puitis ialah sajak ”Saat Pamitan”.

Aku sekadar tamu yang singgah
di teratakmu meredakan lelah
dalam kembara panjang yang tak tertelah
ada kalanya aku seakan-akan kehilangan arah

sampai kini saat pamitan
kerana kembara perlu kuteruskan
meredah mujur di gurun tanpa garisan
berbekalkan tawakal mengharapkan ihsan

Akhir sekali ciri ‘kata’ dalam bahasa Melayu yang kaya dengan perbidalan tampil dengan baik dan indah dalam sajak “Permainan Apakah Ini?”. Terdapat inovasi terhadap perbidalan Melayu yang asal dalam memberikan makna baru terhadap isu-isu yang dikritik sebagai ‘permainan’ yang meruntuhkan kejituan bangsa Melayu.

Namun kini hamba bertanya
permainan apakah yang kami saksikan kini?
air yang dicencang tampak biar sampai putus
carik-carik buku ayam sampai sungguh cariknya
mandi bukan sampai basah tetapi sampai binasa bejana
berdakwat bukan sampai hitam tetapi sampai patah pena
menyeluk pekasam bukan sampai di pangkal lengan
tetapi sampai di perdu hawa
rotan biar terkerat, arang biar patah
retak sudah menjadi belah
mahu mati bergalang tanah
mahu nasi biar menjadi bubur!
sesat di hujung jalan tidak mahu kembali ke pangkal jalan
yang keruh tidak dibuang yang jernih tidak diambil

Secara keseluruhan sajak-sajak dalam kumpulan puisi Mencari Makna Diri ini memperlihatkan dengan jelas tentang ciri-ciri bahasa Melayu sebagai bahasa ketamadunan Islam. Kata-kata ’sajak’nya terpamer rupa budaya, amalan, kehidupan dan pegangan bangsa Melayu terhadap Islam; sehingga seluruh citra dalam diksi dan sintaksis bersebati dengan Islam. Kata-kata yang bergerak dan membentuk sajak-sajak dalam kumpulan puisi ini disendikan segenap tautannya dengan citra Islam. Maka apa yang terlihat di sini ialah bagaimana ’bentuk’ yakni Islam itu mengacu bahasa (Melayu) untuk menjadikannya sebagai lambang kepada ketamadunan Islam yang menjadi ciri utama bangsa Melayu. Hal ini mewakili pandangan dan penelitian yang bersifat keseluruhan terhadap kumpulan puisi ini. Sementara penelitian yang bersifat juzukan (piecemeal) melihat tema-tema yang menyangkuti sejarah, perjuangan, kehidupan malah kritikan terhadap isu-isu yang menyangkuti kelangsungan hidup bangsa dan ketamadunan Melayu tersebut. Menutup tulisan ini, amat sesuai rasanya jika dikutip cuplikan beberapa rangkap sajak ”Hakikat Bahasa” yang dapat menyimpulkan secara keseluruhannya tentang kecintaan terhadap bahasa Melayu dan bangsa Melayu kumpulan puisi yang tegas dengan perjuangannya ini.

Bahasa bukan sekadar deretan bunyi-bunyi
yang terbit daripada artikulasi
bahasa bukan sekadar deretan aksara
yang ternukil mewakili suara
bahasa bukan sekadar yang tertanggap oleh indera
oleh telinga dan oleh mata

Bahasa
sesungguhnya cerminan akal budi
pancaran diri dan pekerti
asas jati diri
paksi makna diri

Bahasa
juzuk diri yang hakiki
ternurani pada akal yang rohani
tika roh pada jasad belum bersemadi
menjadi pengantara Khaliq dan makhluk berkomunikasi
tentang ketuhanan Tuhan anak Adam bersaksi:
Alastu birabbikum; qalu bala syahidna.

Maka itu
usahlah dipersempit gagasan bahasa
pada lambang-lambang yang arbitrari
usahlah diperkecil daerah selidiknya
pada yang tampak di zahir diri
usahlah dipinggirkan di dunia sepi
tika membangun ekonomi
tika melonjakkan martabat diri
tika membina acuan madani dan hadhari

Rangkap akhir sajak ini menyimpulkan segala.

Marilah kita lestarikan
sendi tamadun dan akal budi bangsa
anugerah Allah Rabbulalamin
dalam membina jati diri
dalam membina kekuatan peribadi
dalam membina harga diri



Rujukan

Awang Sariyan, 2012. Kumpulan Puisi Mencari Makna Diri. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Seyyed Hossein Nasr, 1993. Doktrin Kosmologi Islam terj. Baharuddin Ahmad & Osman Bakar. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Syed Muhammad Naquib al-Attas, 1972. Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Kuala Lumpur. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.







1 comment: