Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Friday, April 11, 2014

Puisi "Gurindam Dinihari"

Gurindam Dinihari

Orang bersuara tentang yang hak
kaupersenda sambil tertawa terbahak-bahak

Orang berbicara tentang maruah bangsa
kaucebik bibir konon mengada-ada

Orang bercakap tentang nasib generasi muda
kausediakan hiburan melampau penyebab lagha

Orang memperjuangkan budaya dan jati diri
kauhina konon ketinggalan dalam era globalisasi

Orang menegaskan pentingnya budi bahasa dipugar
kauanjurkan pekerti perlunya kurang ajar

Orang bermuafakat mencari berkat
kau berseteru mengikut hati yang karat

Orang lain maju dengan persaingan ekonomi yang sihat
kau berbuat onar dengan pukau dan khurafat

Orang mengoptimumkan masa dengan bekerja
kau leka dengan fitnah dan adu domba

Orang mengukuhkan ukhuwah dan persahabatan
kaupecahbelahkan menurut hasutan syaitan

Orang lain membina rangkaian bangsa besar
kau berebut warisan kebudayaan
yang dahulunya milik bersama tersebar

Ayuhai taulan berhentilah berperi laku dan berfikiran sendat
bagai ikan keli dalam tempayan yang saling menyengat
Berpeganglah pada tali Allah dan sunah Nabi yang berkat
selamat di dunia selamat di akhirat

Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa
2 pagi 10 April 2014

No comments:

Post a Comment