Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Thursday, April 22, 2010

Ceritera Bahasa (2) - Perihal 'Kata Aluan' atau 'Kata Alu-aluan'

Apabila saya diundang menjadi kolumnis majalah Dewan Siswa kira-kira 20 tahun lalu, antara siri makalah yang saya hasilkan termasuklah ruangan yang membincangkan penggunaan kata yang tepat. Antaranya termasuklah kata majmuk kata aluan yang sepatutnya ditulis kata alu-aluan. Tampaknya hingga kini kesilapan penggunaan kata itu masih berlaku walaupun telah sekian lama dijelaskan kesilapannya.

Untuk mengetahui bentuk yang betul, perlu dipastikan adakah kata dasarnya alu atau alu-alu. Kata alu bererti 'antan' atau alat yang digunakan bersama-sama dengan lesung untuk menumbuk sesuatu, misalnya padi. Tidaklah munasabah antan digunakan untuk menjadi kata sambutan dalam buku cenderamata, buku atau majlis.

Oleh itu, kata dasarnya ialah alu-alu yang asalnya bermaksud 'menjengukkan muka ke luar tingkap sebagai tanda menyambut tamu yang datang'. Daripada kata itulah timbul kata kerja mengalu-alukan yang bererti 'menyambut' kedatangan tamu. Jika ada tuan rumah atau majlis yang mengalukan tetamu, saya yakin bahawa tetamu pasti lari dan tidak jadi menghadiri majlis kerana tuan rumah menyambutnya dengan alu atau antan. Ucapan, baik lisan mahupun tulisan yang bertujuan untuk menyambut atau mengalu-alukan tetamu dalam majlis atau buku disebut ucapan alu-aluan atau kata alu-aluan.

Sayangnya sesetengah pihak menggunakan bahasa dengan tidak berasaskan sistem dan menjadikan kebiasaan (yang malangnya salah) sebagai asas. Lebih buruk lagi halnya apabila kesilapan itu dilakukan oleh orang dan institusi yang berkaitan dengan hal ehwal bahasa dan persuratan, baik jabatan kerajaan, institusi pengajian tinggi mahupun persatuan.

[Bahagian pertama buku saya Tuntunan Bahasa terbitan Pearson, iaitu "Cerita di Balik Kata" membincangkan 88 kata yang sering menjadi masalah dalam penggunaannya.] - 8.45 malam, Khamis, 22 April 2010

3 comments:

  1. Assalamualaikum, Prof;
    Alhamdulillah, akkhirnya muncul juga blog Prof yang saya nanti-nantikan. Semasa pertemuan terakhir kita di UM baru-baru ini, hal ini hendak saya tanyakan tetapi terlupa pula. Tahniah, Prof.

    Saya akan menyisipkan blog Prof di dalam blog saya - siagpsiaga.blogspot.com. Syabas, Prof.

    Siaran terawal dalam blog saya itu berkaitan bahasa juga tetapi kini "terlupa" untuk membicarakannya.

    ReplyDelete
  2. Salam..tahniah Prof... semoga akan terus berjaya di dunia dan akhirat...

    ReplyDelete
  3. Terima kasih atas sambutan kepada blog yang baru saya buka ini. Mudah-mudahan usaha kecil ini ada manfaatnya kepada pengguna bahasa yang memahami bahasa sebagai sesuatu yang bersistem.

    ReplyDelete