Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Saturday, April 10, 2010

Wawancara Budaya dalam "Suara Sutera" Radio China Antarabangsa


7 April 2010 (Rabu) - Kembara Bahasa diwawancara oleh Puan Atiah Salleh, pakar bahasa Melayu di Bahagian Bahasa Melayu, Radio China Antarabangsa (CRI), bersama-sama dengan tokoh budaya China, Prof. Fang Weibang untuk dua siaran rancangan "Suara Sutera". Isu wawancara pertama berkaitan dengan pantang larang dalam budaya Melayu dan China. Tampaknya meskipun berlainan bentuknya, pantang larang memang menjadi fenomena budaya yang sejagat sifatnya.

Pantang larang dalam masyarakat Melayu lama sebahagiannya menjadi suatu kaedah pendidikan secara tidak langsung. Niat dan tujuan pantang larang berkaitan dengan pemupukan sikap dan tabiat yang baik dalam kalangan generasi muda, sekalipun bentuk pantang larang itu tampak tidak masuk akal. Sebagai contoh, anak-anak dilarang duduk di atas bantal, kerana dikhuatiri akan kena penyakit bisul (bengkak yang bernanah pada anggota badan) di punggung. Nilai pendidikan yang ingin diterapkan ialah agar anak-anak menghormati bantal sebagai alat yang digunakan untuk meletakkan kepala, iaitu anggota badan yang dianggap paling mulia. Memang tidak sopan bantal yang digunakan untuk berbaring atau tidur tiba-tiba dijadikan alas duduk. Selain itu, dalam kalangan masyarakat Melayu dahulu, bantal turut menjadi ganti rehal tempat meletakkan al-Qur'an ketika anak-anak belajar mengaji. Dalam kes pantang larang ini, tujuannya adalah untuk mendidik generasi muda agar tahu memberikan nilai kepada sesuatu menurut yang sewajarnya.

Pantang larang yang menegah anak gadis menyanyi di dapur, kerana dipercayai menyebabkan gadis akan mendapat suami tua pula berasaskan tujuan untuk melatih anak gadis agar menumpukan perhatian kepada kerja di dapur, dan tidak leka dengan hiburan dan khayalan yang mungkin menyebabkan masakan mentah atau hangus! Ada banyak lagi pantang larang yang berkaitan dengan maksud yang positif.

Namun, pantang larang yang merupakan khurafat tidak kurang pula banyaknya. Contohnya ialah seseorang dilarang melangkah pulang walaupun tertinggal sesuatu kerana dipercayai orang itu akan mendapat musibah dalam perjalanan. Demikian juga pantang larang mengadakan majlis perkahwinan dalam bulan tertentu, terutama bulan Muharram dan bulan Safar ternyata tidak ada sandaran nas mahupun logika tertentu, selain kepercayaan karut.

Dalam masyarakat China, pantang membeli atau membina rumah yang bertentangan dengan simpang jalan kerana dipercayai pemiliknya akan mendapat sial. Bagi masyarakat nelayan, pantang semasa makan ikan dalam pinggan atau mangkuk diterbalikkan kerana dipercayai mengakibatkan perahu nelayan akan terbalik lalu kehilangan sumber rezeki. Di meja makan, muncung teko atau cerek tidak boleh dihadapkan ke arah meja, tetapi hendaklah dihadapkan ke arah luar meja. Saya belum mendapat penjelasan mengapa timbul pantang larang tersebut selain katanya perbuatan itu kurang sopan.

Dalam sesuatu jamuan yang disertai tamu utama, tempat duduk tamu utama yang tamu yang diraikan hendaklah yang menghadap pintu masuk, barangkali supaya semua orang yang masuk dapat menatap wajahnya dan memberikan tanda hormat. Saya sendiri tidak berani terus duduk dalam mana-mana majlis jamuan dan perlu menunggu ketetapan oleh tuan rumah atau penganjur majlis. Tetapi ada teman dari Malaysia yang tidak berusaha mempelajari pantang larang masyarakat China sedikit banyaknya terus duduk di kerusi tamu utama dan akibatnya majlis dianggap menjadi tidak begitu sempurna.

Pantang larang yang tidak menyalahi hukum syarak, yang masih dapat dirasionalkan kerana ada tujuan yang baik (walaupun tidak masuk akal) pada hemat saya tidaklah menjadi masalah untuk dijadikan salah satu unsur kebudayaan bangsa. Namun, yang jelas bertentangan dengan agama dan merupakan khurafat tidak ada alasannya untuk dipertahankan atas nama warisan kebudayaan bangsa.

II

Isu kedua yang menjadi inti wawancara ialah nilai dan ikatan kekeluargaan dalam kedua-dua budaya, khususnya dalam era globalisasi yang salah satu tandanya ialah meluasnya sikap individualistik dalam kalangan masyarakat. Jika tidak disebabkan faktor individualistiknya masyarakat moden sekalipun, perubahan corak kehidupan yang memerlukan migrasi dari desa ke kota atas faktor kerjaya atau untuk mobiliti sosial telah menyebabkan pola keluarga tradisional yang lebih banyak berbentuk keluarga besar (extended family) beransur-ansur ditandai oleh pola keluarga asas (ibu bapa beserta anak atau anak-anaknya tanpa datuk, nenek atau anggota keluarga yang lain). Fenomena ini sahaja sudah cukup mengurangkan keakraban kekeluargaan dengan maksud kaum kerabat atau sanak-saudara.

Untunglah semangat untuk berhari raya di kampung, baik disebabkan dorongan nostalgia atau memang benar-benar untuk menziarahi orang tua dan kaum kerabat sedikit banyaknya masih dapat menjadi penjalin nilai dan ikatan kekeluargaan. Pada setiap kali musim perayaan, berjuta-juta orang di kota pulang ke desa atau kampung halaman sehingga kota besar sepi dan 'aman' untuk tempoh seminggu dua.

Majlis kenduri-kendara, terutama kenduri kahwin sudah lama menjadi moden, dalam konteks sudah amat berkurangan tradisi bergotong-royong atau dalam bahasa Jawa 'rewang' sesama kaum kerabat dan jiran tetangga, seminggu dua sebelum berlangsungnya majlis, bermula dengan menebang buluh atau pohon untuk mendirikan balai, menyiapkan bahan untuk jamuan dan persiapan lain. Jamuan kenduri kahwin yang 'diswastakan' kepada penyaji jamuan bukan sahaja menjadi tradisi baharu di kota dan bandar, tetapi tampaknya sudah melarat ke desa. Malah sudah ada orang kampung yang mengadakan majlis kahwin di dewan dan hotel di bandar yang berdekatan.

Puan Atiah menimbulkan fenomena yang disebutnya 'masalah ikatan keluarga yang dibuat sendiri', dengan merujuk kepada perubahan gaya hidup sesetengah keluarga moden (dan yang berkemampuan) yang menyediakan bilik untuk keselesaan dan privasi seorang sebilik, berbanding dengan cara kehidupan dahulu yang menempatkan beberapa orang adik-beradik yang sama jantina dalam satu bilik, sehingga memungkinkan interaksi akrab sesama adik-beradik. Dengan ketagihan bentuk baharu, iaitu ketagihan kepada permainan video, internet dan sebagainya, semakin besar jumlah anak pada zaman ini yang mengasingkan dirinya daripada interaksi dengan anggota keluarga yang lain, hatta ibu bapanya sendiri.

Faktor itu diperburuk oleh pola kehidupan ibu bapa pada zaman ini yang kian terikat oleh pelbagai urusan kerjaya, urusan sosial dan rekreasi yang menyebabkan waktu untuk bersama keluarga kian terbatas. Teori bahawa yang penting ialah 'masa berkualiti bersama dengan keluarga, berbanding dengan masa daripada segi kuantiti, tampaknya lebih banyak tinggal sebagai teori kerana seringkali tiadanya atau kurangnya waktu bersama tidak memungkinkan timbulnya soal masa berkualiti. Menjadi fenomena yang agak lumrah kini bahawa meskipun tinggal sebumbung, belum tentu ayah dan ibu dapat bersua dengan anaknya, sama ada disebabkan berlakunya pengasingan dalam rumah sendiri mahupun disebabkan jadual kerjaya dan kegiatan lain yang tidak sejajar antara satu dengan yang lain. Tampaknya diperlukan perancangan yang agak formal lagi saksama untuk mengatur jadual harian atau jadual pertemuan mingguan, seperti makan bersama, membeli-belah bersama, berekreasi bersama atau sesekali melancong bersama.

Dalam masyarakat China, menurut Prof. Fang Weibang, dasar seorang anak bagi satu keluarga, sekalipun berjaya dalam mengatasi masalah negara dalam aspek pengawalan kepesatan pertumbuhan penduduk, kesan sampingan yang berdampak besar terhadap ikatan kekeluargaan menjadi harga yang mahal yang perlu dibayar oleh masyarakat dan negara. Kini seorang anak diberi perhatian dan kemanjaan oleh enam orang dewasa, iaitu datuk dan nenek sebelah bapa, datuk dan nenek sebelah ibu, serta ibu bapa si anak yang seorang itu. Sehingga demikian, si anak apabila menjadi remaja dan kemudian dewasa kelak memerlukan suatu anjakan yang radikal dalam pembinaan sahsiahnya, untuk menjadi orang yang betul-betul dapat berdikari dalam hal sikap, pendirian, pembuatan keputusan dan yang lain.

Demikianlah antara ujian besar yang melingkari nilai dan ikatan kekeluargaan pada zaman moden. Di Malaysia, pewujudan kementerian yang khas untuk menangani isu kekeluaragaan, iaitu Kementerian Pembangunan Keluarga dan Masyarakat perlu pertama-tamanya melakukan kajian tentang pola perkembangan nilai dan ikatan kekeluargaan sedalam-dalamnya untuk kemudian merangka perancangan yang rapi dan praktis bagi mengendalikan isu yang kian serius itu.

No comments:

Post a Comment