Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Friday, April 22, 2011

Puisi: Mitos Bahasa


Mitos Bahasa

Kata yang empunya ceritera
kononnya bahasa Melayu
kosa kata asalnya hanya tiga patah
padi, besi dan babi
tiada sanadnya yang sah
tiada ketahuan nama perawi
enak dijadikan sendaan
tiada sedar kejahilan diri terdedah

Kata yang empunya ceritera
kononnya bahasa Melayu tiada berdaya
menyahut cabaran gelombang samudera
Lamun di paparan sejarah telah tertera
bahasa Melayu hebat sejak zaman Sriwijaya
menanjak gemilang membina mercu tanda
dalam zaman kesultanan di seluruh Nusantara
dimahkotakan sebagai bahasa sempurna
merentas ranah, sempadan dan bangsa

Kata yang empunya ceritera
seluruh dunia kini kononnya beralih paksi
kepada satu bahasa unggul sedunia nan tidak terperi
syarat menjadi bangsa maju dan akal yang bestari
Rupanya matanya kabur peribadinya lebur tidak bersaksi
di atas dan di bawah angin sekian banyak bangsa teguh berdiri
memacu kemajuan menguasai ekonomi, ilmu dan teknologi
bertunjangkan kekuatan jati diri dan bahasa sendiri
memanfaatkan seperlunya bahasa dagang tanpa larut makna diri

Mitos bahasa demi mitos bahasa
diciptakan dan direkayasakan
konon atas nama kemajuan bangsa dan negara
tiada insaf akan fitrah ketetapan Yang Berkuasa
mengurniai setiap bangsa dengan bahasa bukan sia-sia
memantapkan cita, membina akal budi dan meningkatkan wibawa
tidak kehilangan jejak dalam persaingan di pentas perdana
kerana kita perlu ada mata alamat yang nyata
mencapai puncak jaya dengan acuan dan citra wangsa

~Kembara Bahasa~
Beijing, 21 April 2011

3 comments:

  1. Salam, Prof,
    Kerana tiga patah sahaja bahasa asli kita, maka apabila hendak makan terpaksalah kita menunggu India, Cina, Portugis datang untuk memberitahukan perihal kata "makan", "minum", "berjimak", dll. Kalau tidak, bangsa kita dahulu melakukannya hanya pakai isyarat sahaja.

    Adakah Melayu yang bersetuju dengan pandangan yang menghina kita itu?

    ReplyDelete
  2. Assalam, Sdr. Zul,

    Hingga kini saya belum dapat mengesan siapakah perawi "hadith palsu" itu. Malangnya ada ahli ilmu (termasuk ahli bahasa yang bergelar prof. madya), yang diberitakan oleh seorang kenalan saya di universiti, menjadikan maklumat palsu itu sebagai bahan kuliah sehingga menimbulkan keraguan dalam kalangan pelajar-pelajarnya.

    Seorang yang lain pula mengaku menggunakan maklumat karut itu dalam ceramahnya (katanya sebagai gurauan) untuk menunjukkan besarnya pengaruh bahasa Arab terhadap bahasa Melayu. Betapatah kelirunya sarjana yang dalam usaha menyampaikan kebenaran menggunakan fakta palsu! Memang benar apabila Islam sampai di alam Melayu, bahasa Arab memberikan sumbangan yang amat besar dalam hal kosa kata bidang keagamaan dan bidang-bidang lain, tetapi hal itu tidak patut sampai membuai emosi sarjana berkenaan dengan memalsukan hakikat bahawa bahasa Melayu tidak mungkin hanya memiliki tiga patah kata yang asal.

    Saya katakan bahawa di balik niatnya untuk mengagungkan Islam, ia sebenarnya telah mendapat dosa kerana seolah-olah menafikan rahmat Allah yang memberikan bahasa kepada setiap bangsa. Mustahil Allah tidak melimpahkan rahmat-Nya kepada bangsa Melayu dengan hanya memberikan keupayaan bangsa Melayu yang asal menciptakan tiga patah kata sahaja. Demikianlah berbahayanya ilmu yang diatasi oleh emosi.

    Sama halnya dengan seorang sarjana yang mengatakan bahawa kata "bahasa" berasal daripada kata "bahas" dalam bahasa Arab kerana rapatnya hubungan antara bahasa Melayu dengan bahasa Arab. Sudah terang hasil kajian etimologi menunjukkan bahawa kata "bahasa" berasal daripada kata "bhasa" dalam bahasa Sanskrit. Ilmu tidak akan mencapai tahap kebenaran hanya dengan bersandarkan emosi atau andaian.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum Prof.
    Sudah lama saya mencari jawapan pada persoalan ini. Ada pensyarah memberitahu perkataan asli Bahasa Melayu ada 6 patah sahaja. Kami diberitahu bahawa memang ada kajian yang menunjukkan perkara itu. Pada masa itu, saya amat terkejut akan kenyataan itu.

    ReplyDelete