Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.
~Kembara Bahasa~
Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi
Wednesday, April 20, 2011
Puisi: Bicara Sang Pragmatis
[Mafhum hadith: Cinta kepada dunia ialah gerbang kejahatan.]
Bicara Sang Pragmatis
Maka berbicaralah sang pragmatis:
Agama itu urusan peribadi
antara diri dengan Tuhan;
usah dibesar-besarkan
kerana bisa menjadikan diri dan bangsa beku
tidak maju.
Usah berbicara soal pahala dan dosa
soal balasan syurga dan neraka
kerana kita kini di sini berada.
Alam yang kelak mendatang biarkanlah dahulu
kerana setiap orang masih memiliki waktu
Maka berbicaralah sang pragmatis:
Apa yang ada pada bahasa
Apa yang ada pada budaya
Semua itu warisan belaka;
dipugar belum pasti memberikan laba
dialpakan tidak mengundang bencana
Kita calon warga perdana
di persada dunia kita akan ternama.
Peduli apa dengan warisan bangsa.
Maka berbicaralah sang pragmatis:
Usah leka berbicara soal falsafah
kerana itu tidak membawa faedah.
Kita perlukan tenaga yang gagah
untuk membentuk bangsa yang megah
di sana sini mercu tanda yang gah
biarpun leluasa aneka jenayah
salah guna kuasa, pecah amanah dan rasuah
kerana itu kononnya harga kemajuan yang sah
Maka akan terus berbicara sang pragmatis
bahawa segala-galanya mesti praktis.
Pedulikan, biarkan, lupakan sang idealis
Mereka spesies yang kian tergeser dan terhakis
Tanya mereka "quo vadis"?
Maka akan terus berbicara sang pragmatis....
~Kembara Bahasa~
20 April 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
apakah maksud pragmatis yer ayahanda?
ReplyDeletePragmatis ialah orang yang menghalalkan cara untuk mencapai matlamat, tidak kira cara itu salah di sisi agama, adat, budaya dll. Pragmatis sanggup berbuat apa saja untuk mencapai tujuannya.
ReplyDeleteas salam..mohon kongsi ye prof....
ReplyDeleteSdr. Mohd. Fithri,
ReplyDeleteSilakan, asal sahaja dinyatakan nama penulis dan sumber ambilannya (alamat blog saya). Terima kasih atas usaha penyebaran nasihat. "Addinunnasihah" (Sesungguhnya agama itu ialah nasihat/saling menasihati).
Puisi yang sangat indah. Boleh saya tahu siapakah penulisnya
ReplyDelete