Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Sunday, April 3, 2011

Keperluan akan Falsafah Pendidikan Bahasa yang Wajar



Keperluan akan Falsafah Pendidikan Bahasa yang Wajar

oleh Awang Sariyan
[Petikan daripada salah sebuah kertas kerja penulis]

Untuk melaksanakan pendidikan bahasa sebagai wasilah pembentukan dan pengukuhan jati diri bangsa dan juga sebagai tonggak pembinaan negara, diperlukan asas yang jelas dan utuh. Asasnya ialah falsafah pendidikan bahasa yang wajar dan sesuai dengan lingkungan bangsa dan negara.

Penetapan falsafah pendidikan bahasa yang dapat memenuhi kedua-dua fungsi tersebut perlu dirumuskan dengan jelas dan dijadikan asas pembinaan kurikulum, latihan perguruan, penyediaan bahan ajar, proses pengajaran dan pemelajaran serta pengujian dan penilaian yang kesemuanya merupakan aspek operasional dalam proses pendidikan.

Meskipun falsafah bahasa diketahui telah berakar dari awal tumbuhnya disiplin falsafah itu sendiri, iaitu enam abad sebelum Masihi di Yunani, namun pembicaraannya hingga zaman linguistik moden ternyata berasas pada pemikiran dan pandangan hidup Barat, dengan sedikit sekali menampilkan perspektif pemikiran dan pandangan hidup Islam. Hal ini telah menyebabkan persoalan hakikat bahasa yang menjadi titik tumpuan kajian falsafah bahasa masih belum memperoleh penghuraian yang muktamad, kerana sifat kebudayaan Barat yang senantiasa terbuka kepada perubahan dan senantiasa pula dalam pencarian.

Falsafah Barat dari peringkat awal memang ditandai oleh sifat spekulatif dan sejak Zaman Kebangkitan (Rennaissance) pada penghujung abad ke-16, falsafah Barat meraikan pertembungan dua paksi fahaman mereka, iaitu rasionalisme dan empirisisme (Osman Bakar, 1995 dan Awang Sariyan 1997).

Oleh sebab demikian kuatnya pengaruh falsafah Barat, termasuk dalam bidang falsafah bahasa, dunia Islam telah turut terikat oleh teori-teori dan epistemologi yang berasaskan kerangka falsafah Barat. Bidang bahasa dan pendidikan bahasa tidak terkecuali, sehingga konsep-konsep yang berkaitan dengan hakikat bahasa dan amalan pendidikan bahasa membawa cara gaya dan acuan pemikiran serta pandangan hidup Barat.

Masalah tersebut berkaitan rapat dengan proses sekularisasi yang berasas pada fahaman pemisahan dunia daripada akhirat dan masa kini daripada masa kemudian (hari akhirat), yang dicetuskan oleh para ilmuwan Barat sebagai usaha membebaskan ilmu daripada kuasa gereja. Untuk membebaskan ilmu (ilmu menurut perspektif Islam) daripada sekularisme dan kerangka falsafah Barat, telah bermula usaha yang diistilahkan oleh al-Attas (1978 dan 1993) sebagai "dewesternisasi ilmu" atau kini disebut umum sebagai "pengislaman ilmu".

Dalam konteks Malaysia, kerajaan, melalui Kementerian Pendidikan Malaysia, telah menggubal Falsafah Pendidikan Negara pada tahun 1988 sebagai salah satu langkah awal melaksanakan Reformasi Pendidikan. Falsafah tersebut berbunyi:

"Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah mengembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis daripada segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggung jawab, dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara."

Falsafah Pendidikan Negara menjadi teras dan tunjang kepada sistem pendidikan kebangsaan supaya semua program dan aktiviti pendidikan merupakan pancaran prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang terkandung dalam falsafah tersebut. Wan Mohd Zahid Mohd Noordin (1993: 161) yang menjadi Ketua Pengarah Pendidikan sewaktu Falsafah Pendidikan Negara digubal menegaskan penyataan falsafah tersebut sebagai mercu tanda Reformasi Pendidikan dan juga sebagai penyataan misi (mission statement) pendidikan negara.

Salah satu konsep "pengembangan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu" yang diungkapkan dalam Falsafah Pendidikan Negara ialah yang berkaitan dengan penyepaduan bahasa Melayu dalam semua mata pelajaran atau ilmu yang diajarkan, kecuali mata pelajaran bahasa lain (Lihat Wan Mohd Zahid Mohd Noordin, 1991 dan 1993 dan juga Ahmad Muhammad Said, 1991).

Konsep kesepaduan ilmu dan kemahiran yang melibatkan bahasa Melayu ini dengan sendirinya merobah gagasan dan pendekatan dalam pendidikan bahasa Melayu di sekolah-sekolah khususnya. Dua strategi yang dilaksanakan untuk mengisi konsep kesepaduan yang berkaitan dengan bahasa Melayu ialah:

a. melalui pengajaran dan pemelajaran bahasa Melayu, dengan berasaskan strategi 2P, iaitu penggabungjalinan dan penyerapan ilmu serta nilai murni;
b. melalui mata-mata pelajaran lain, dengan berasaskan gagasan Bahasa Melayu Merentas Kurikulum (BMMK).

Berkaitan dengan Falsafah Pendidikan Negara dan pelaksanaan pendidikan bersepadu yang menyentuh bahasa Melayu, ada dua aspek yang dapat dipertalikan dengan masalah yang dibincangkan. Pertama, keperluan terhadap suatu falsafah pendidikan bahasa (bahasa Melayu) yang selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara dan dapat mengisi usaha mengembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu, daripada sudut bahasa. Kedua, aspek pelaksanaan atau amalan pendidikan bahasa Melayu yang semestinya memerlukan reformasi juga untuk mengisi falsafah tersebut.

Sebagai lanjutan daripada perbincangan di atas, diperlukan upaya untuk:

a. mencari asas-asas falsafah yang dapat menjadi landasan untuk merumuskan falsafah pendidikan bahasa bagi bahasa Melayu, dengan tasawur atau pandangan hidup Islam sebagai dasarnya.

b. merumuskan pendekatan pendidikan bahasa Melayu yang sesuai dengan kerangka falsafah pendidikan bahasa menurut sudut pandangan Islam, dengan tidak pula menolak pendekatan yang sesuai daripada sumber Barat.

c. meninjau kenyataan yang berlaku di sekolah untuk mendapat gambaran tentang pelaksanaan pendidikan bahasa Melayu menurut pendekatan bersepadu serta masalah-masalahnya.

d. menyarankan strategi meningkatkan pelaksanaan falsafah pendidikan bahasa dalam konteks Reformasi Pendidikan Negara.

Pentingnya kajian tersebut dapat dilihat daripada beberapa sudut seperti yang berikut:

a. Pembinaan suatu kerangka falsafah pendidikan bahasa bagi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa ilmu di negara-negara induk berbahasa Melayu dan dalam konteks yang lebih luas di beberapa banyak bahagian di dunia merupakan keperluan yang mendesak, sesuai dengan peranan bahasa Melayu yang kian meningkat.

b. Mengisi gerakan pengislaman ilmu merupakan jihad umat Islam di seluruh dunia bagi mengetengahkan epistemologi atau teori ilmu yang berpaksikan tauhid dan syariah dalam semua bidang, termasuk dalam bidang bahasa dan pendidikan bahasa.

c. Kajian diharapkan dapat menerjemahkan gagasan-gagasan murni yang terungkap dalam Falsafah Pendidikan Negara, khususnya yang berkaitan dengan pendidikan bersepadu, dengan pertimbangan khusus daripada sudut peranan bahasa Melayu dalam proses pengilmuan generasi muda. Falsafah murni, jika tidak diterjemahkan ke dalam kurikulum secara terperinci, perancangan yang teratur, kaedah latihan guru yang cukup baik, dan pengurusan sekolah yang berkesan, akan tinggal sebagai penyataan falsafah sahaja. Oleh itu, kajian tentang pelaksanaan falsafah pendidikan bahasa di sekolah-sekolah diharapkan dapat memberikan sumbangan sedikit banyaknya ke arah pemenuhan idealisme Falsafah Pendidikan Negara.

d. Kajian diharapkan dapat juga membantu mengisi kekurangan kajian tentang beberapa aspek linguistik Melayu yang belum mendapat perhatian yang mendalam, termasuk bidang falsafah bahasa (yang berkaitan rapat dengan pendidikan bahasa), seperti yang disarankan oleh Nik Safiah Karim dalam Syarahan Perdana Penerimaan gelar Profesor Pengajian Melayu, Universit Malaya (1993).

Kajian dan analisis perlu dilakukan dengan bertitik tolak daripada asas-asas falsafah Barat dari zaman awal, iaitu abad ke-6 S.M. yang tumbuh di Yunani hingga perkembangannya dalam zaman moden kerana falsafah itulah yang telah mendominasi hampir seluruh aspek kehidupan manusia Barat sejak zaman-berzaman dan sebahagiannya turut mempengaruhi dunia umat Islam juga. Analisis ini dilanjutkan dan diperkukuh dengan tumpuan khusus kepada perkembangan falsafah bahasa dalam tradisi Barat.

Perlu diusahakan analisis tentang falsafah bahasa dan pendidikan bahasa menurut perspektif Islam, sebagai alternatif bagi falsafah bahasa dan pendidikan bahasa Barat yang telah mengakar sekian lama, termasuk di dunia Islam juga.

No comments:

Post a Comment