Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Monday, August 22, 2011

Kisah di Bank: Perihal Nasib Si Cucu

Kisah di Bank: Perihal Nasib Si Cucu



Ketika menunggu giliran dipanggil untuk urusan di bank pagi tadi, datang seorang nenek yang berusia 70-an atau awal 80-an beserta anak lelaki dan seorang cucu perempuan yang berusia sekitar 5 tahun duduk di kerusi sebaris dengan saya.

Sepanjang percakapan mereka bertiga, nenek itu terus-menerus bercakap dalam bahasa Inggeris dengan cucunya, tetapi lebih banyak bercakap dalam bahasa Melayu dengan anak lelakinya. Pelbagai persoalan timbul dalam fikiran saya, terutama mengapakah dengan cucunya nenek itu terus-menerus bercakap dalam bahasa Inggeris.

Mungkinkah ibu cucunya itu wanita negara asing yang belum sempat mempelajari dan menguasai bahasa suami dan keluarga suaminya, maka si anak itu tidak dapat bertutur dan memahami bahasa Melayu? Perihal nenek lanjut usia itu dapat bertutur dalam bahasa Inggeris tidaklah menghairankan saya, kerana barangkali ia memang orang berpendidikan Inggeris dan dahulu eksekutif firma swasta atau pegawai kerajaan.

Yang merisaukan saya, lebih daripada perbualan dalam bahasa yang tidak begitu sesuai dengan tempat dan dalam kalangan pelanggan-pelanggan lain juga seperti tertanya-tanya dan berasa pelik, ialah apakah nasib cucu yang berusia sekitar lima tahun itu kelak?

Jika ia tinggal di negara ini, adakah ia kelak membesar dan dewasa dalam keadaan terasing kerana tidak dapat bertutur dan memahami bahasa Melayu di tengah-tengah rakyat yang umumnya berbahasa Melayu? Adakah ia akan bergaul hanya dengan kalangan orang yang dapat berbahasa Inggeris? Bagaimanakah hubungan sosialnya dengan keluarga besar ayah dan neneknya, dengan jiran tetangga dan dengan masyarakat, dalam keadaan ia tidak dapat berbahasa Melayu?

Saya segera teringat akan kisah cucu seorang kenalan yang perhubungan di rumah memang berlangsung dalam bahasa Inggeris sepenuhnya. Masalah besar yang dihadapinya ialah apabila ia didaftarkan di sekolah kebangsaan, maka ia tidak dapat berinteraksi dengan teman-temannya dan tidak dapat mengikuti pelajaran di kelas kerana tidak memahami bahasa Melayu, apatah lagi bertutur dalam bahasa ibunda ayah dan ibunya!

Maka, terpaksalah datuknya menghantar si cucu itu ke kelas tuisyen untuk memepelajari bahasa Melayu agar dapat ia mengikuti pelajaran dan dapat bergaul dengan rakan-rakan di sekolah. Aduh, mahal sekali biaya hidup apabila untuk dapat berbahasa ibunda si cucu itu terpaksa dihantar ke kelas tuisyen, gara-gara sepanjang hidupnya selama enam tahun ia tidak diberi peluang berbahasa Melayu di rumah keluarganya yang semuanya Melayu!

Hak asasi dan kebebasan untuk berbahasa apa-apa sahaja menurut keselesaan sementara telah mendatangkan malapetaka kepada si cucu itu. Alangkah kasihannya!

~Kembara Bahasa~
23 Ogos 2011/23 Ramadhan 1432

5 comments:

  1. Nenek: sistem pelajaran kolonial
    Anak: sistem pendidikan nasional
    Cucu: sistem pendidikan pasca PPSMI.

    ReplyDelete
  2. Salam, Prof,
    Di tempat saya tinggal pun ada situasi lebih kurang sama. Si datuk bercakap dengan cucunya dalam bahasa Inggeris walaupun ibu bapa si cucu Melayu jati semata-mata kerana si cucu itu membesar di US walhal rasa saya sudah lebih dua tahun anak menantu dan cucunya kembali menetap di negara ini.

    Seorang hamba Allah dari Pakistan yang rajin berjemaah di surau kami sudah mula dapat bertutur dalam bahasa Melayu walaupun baru sampai beberapa bulan di negara ini.

    ReplyDelete
  3. Salam, Dr. Rahmat,

    Pola yang menakutkan bagi masyarakat kita!

    Sdr. Zul,

    Demikianlah sikap sejumlah orang kita yang tidak menghargai nikmat bahasa ibunda daripada Allah. Si cucu dalam dua kes yang saya ceritakan itu menjadi mangsa sikap orang tuanya, termasuk datuk dan neneknya. Semoga ada perubahan kelak.

    ReplyDelete
  4. Tuan,

    Persekitaran sedemikian tidak akan begitu membebankan Si Cucu pada masa hadapan kerana dia (mungkin) dari keluarga berada.Dia mempunyai segala kemudahan untuk menyesuaikan diri.

    Yang akan menjadi mangsa ialah anak-anak dari golongan marhaen kerana dasar sistem pendidikan sukar dijangka arahnya.

    ReplyDelete
  5. Si cucu itu akan tetap bermasalah daripada segi makna diri atau jati dirinya, dan juga dalam hubungan sosialnya dengan beberapa lapisan sosial sekitarannya - keluarga besar (kaum kerabat), lingkungan jiran tetangga dan institusi masyarakatnya.

    Jika ia pun meneruskan tabiat ibu bapanya dan datuk neneknya yang mengasuh anaknya dalam bahasa Inggeris sahaja, maka anak si cucu itu akan meneruskan masalah "makna diri" itu. Memang daripada segi kebendaan mungkin tiada masalah. Wallahu a`lam.

    ReplyDelete