Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Tuesday, September 13, 2011

Antara "Semula Jadi" dengan "Fitrah" dan "Tabii"


Ungkapan semula jadi sudah sekian lama digunakan dalam wacana tulisan dan lisan bahasa Melayu. Pada waktu Falsafah Pendidikan Negara (kemudian Falsafah Pendidikan Kebangsaan) digubal, diusahakan pemurnian sejumlah kosa kata yang mendukung konotasi negatif atau yang dianggap menyalahi konsep. Antaranya termasuklah frasa semula jadi. Frasa itu mendukung konotasi bahawa ada kejadian atau ciptaan di alam ini yang terjadi sendiri. Yang seringkali dikaitkan dengan frasa itu ialah alam, sebagaimana yang terungkap dalam frasa alam semula jadi.

Pusat Perkembangan Kurikulum dan Biro Buku Teks ketika itu (sekurang-kurangnya itulah dua bahagian di Kementerian Pendidikan yang seingat saya menegaskan perlunya frasa itu digantikan) menyarankan frasa alam ciptaan Tuhan sebagai gantinya. Maka dalam buku teks yang disusun untuk kegunaan di sekolah, frasa alam semula jadi digantikan dengan alam ciptaan Tuhan untuk menegaskan bahawa alam dan segala unsur di dalamnya itu tidak terjadi atau tercipta dengan sendirinya. Sebagai penulis buku teks subjek Bahasa Melayu sekolah menengah, saya masih cukup ingat akan keputusan dan pelaksanaan hal itu.

Kini tidak dapat saya pastikan adakah masih dipertahankan frasa itu atau frasa yang asal, iaitu alam semula jadi telah meluas semula dan tiada saringan oleh pihak-pihak yang berkenaan di Kementerian Pendidikan. Eloklah hal itu disemak agar ketepatan istilah atau kosa kata yang digunakan dalam bidang pendidikan (setidak-tidaknya) dibersihkan daripada konotasi yang mungkin menyalahi akidah.

Frasa semula jadi merujuk kepada fitrah atau tabii. Maka untuk sesuatu yang dikaitkan dengan sifat itu, sebaik-baiknya kita gunakan kata fitrah atau tabii. Contohnya, sifat semula jadinya dapat digantikan dengan sifat fitrahnya atau sifat tabiinya. Frasa secara semula jadi dapat digantikan dengan secara fitrahnya atau secara tabiinya.

Walaupun barangkali tidak ada niat pada orang yang menggunakan ungkapan semula jadi itu untuk menidakkan kuasa dan peranan Allah dalam menjadikan segala sesuatu di alam ini, namun untuk mengelakkan keraguan dan untuk senantiasa mendekatkan diri kepada-Nya sebagai pencipta yang agung dan tidak berbanding, maka ungkapan itu perlu dielakkan dan digantikan dengan ungkapan yang lebih tepat. Wallahu a`lam

~Kembara Bahasa~
16 Syawal 1432/14 September 2011

2 comments:

  1. Salam, Prof,
    Satu lagi contoh huraian yang membuka mata pengguna bahasa dan penganut Islam.

    Hal ini tidak saya sedar. Yang sering dihadapkan kepada saya oleh editor-editor junior saya ialah ejaan "semula jadi" itu satu perkataan atau dua perkataan.

    ReplyDelete
  2. Sdr. Zul,

    Istilah itu menjadi antara sejumlah istilah/kata yang dimurnikan, selaras dengan semangat Falsafah Pendidikan Negara yang digubal dan dilancarkan pada tahun 1987 bersempena dengan Kurikulum Bersepadu (KBSM dan KBSR). Sayangnya kini Kementerian Pendidikan sendiri sudah tidak peka dan malah istilah yang sudah dimurnikan itu terabai dan dalam buku teks serta pengajaran meluas semula istilah/kosa kata yang tidak menepati akidah dan ruh Islam.

    ReplyDelete