Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Sunday, October 2, 2011

Kajian Bahasa dan Linguistik Melayu di Malaysia (Bahagian 1)





[Gambar Datuk Abdul Rahman Andak yang bergelar Datuk Seri Amar Diraja, tonggak Pakatan Belajar Mengajar Pengetahuan Bahasa (P.Bm.P.B) di Johor; buku Pelita Bahasa Melayu Jilid 1-3 karya Pendeta Za`ba]

KAJIAN BAHASA DAN LINGUISTIK MELAYU DI MALAYSIA:
PERKEMBANGAN DAN HALA TUJU MASA HADAPANNYA


Prof. Dr. Awang Sariyan
Mantan Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia-Beijing Foreign Studies University
(awsr@yahoo.com)


[Kertas kerja Seminar Ijzah Tinggi “Isu-isu Penyelidikan Bahasa”, Fakulti Bahasa, Universiti Pendidikan Sultan Idris (18 Ogos 2010)]

BAHAGIAN 1

1. PENGENALAN

Sejarah kajian bahasa dan linguistik Melayu dengan pengertian yang luas, iaitu yang tidak terbatas oleh sempadan geopolitik, telah bermula di rantau Alam Melayu sejak abad ke-15 dalam zaman Kesultanan Melayu Melaka. Pada zaman itu, Dinasti Ming yang mempunyai hubungan akrab dengan kerajaan Melaka telah memerintahkan pegawainya menyusun kamus China-Melayu yang menampung 482 kosa kata tentang 17 bidang kehidupan di alama Melayu, iaitu astronomi, geografi, musim dan waktu, tumbuh-tumbuhan, unggas dan haiwan, rumah dan istana, alat perkakas, orang, peri laku, tubuh badan, pakaian, makanan dan minuman, kemasyarakatan dan sejarah, warna, hitungan, kata umum. Meskipun kamus yang berbentuk daftar kata itu tampak sederhana, pastilah usaha menghimpunkan kosa kata utama alam Melayu pada abad ke-15 hingga abad ke-16 itu menuntut upaya yang bukan mudah bagi orang asing dari China itu.

Usaha orang Barat dalam kajian bahasa Melayu pula bermula pada abad ke-17. Kesimpulan ini dapat diterima dengan memperhitungkan bahawa upaya mengetengahkan ehwal bahasa Melayu telah dimulakan pada abad itu, bermula dengan usaha F. de Houtman, orang Belanda yang tinggal di Aceh (Jun 1599-Ogos 1601) untuk mempelajari bahasa Melayu dan apabila kembali ke Belanda menerbitkan buku berisi 12 pelajaran, dengan setiap pelajaran berisi dialog dalam bahasa Melayu dalam ranah perdagangan, pemerintahan dan yang lain. Dalam buku itu dilampirkan kamus Belanda-Melayu (Collins, 1998: 26-27). Kemudian terbit karya A.C. Ruyll Speighel van de Maleysche Tale pada tahun 1612 (Harimurti Kridalaksana, 1979).

Malahan jika usaha penyusun daftar kata bahasa Cina-Melayu yang berisi hampir 500 lema pada awal abad ke-15 dan usaha Antonio Pigafetta pada tahun 1522 menerbitkan daftar kata bahasa Itali-Melayu dapat diperhitungkan sebagai usaha rintis kajian bahasa Melayu, maka tradisi kajian bahasa dan linguistik Melayu telah berakar lebih lama di rantau ini. Demikian juga, usaha penerjemahan `Aqaid al-Nasafi sebagai kitab tertua dalam bahasa Melayu pada tahun 1590 (al-Attas, 1988) yang menandai bermulanya tradisi penerjemahan di alam Melayu membuktikan adanya wawasan dan keterampilan yang bersangkutan dengan aspek linguistik, meskipun penerjemahnya (berkemungkinan besar Nuruddin al-Raniri) tidak terdedah kepada disiplin linguistik sebagaimana yang difahami oleh sarjana moden dalam bidang itu.

Pada zaman awal pertumbuhan kajian bahasa dan linguistik Melayu itu, usaha dilakukan oleh bangsa Barat yang datang ke Kepulauan Melayu dalam rangka penjajahan politik dan ekonomi. Sebagai usaha awal, dan dalam keadaan tradisi kajian secara ilmiah di bahagian mana dunia pun belum mantap ketika itu, kajian bahasa dan linguistik pada zaman awal itu tidak harus diukur dengan berdasarkan konsep ilmiah kini. Pada hemat saya, dapat ditimbangkan pandangan Harimurti Kridalaksana (2002) bahawa penilaian terhadap kerja kebahasaan harus dilihat pada dua sudut, iaitu sudut yang sempit dan sudut yang luas. Sudut yang sempit (atau sebenarnya khusus) ialah yang mengkhususkan perhatian pada hasil penelitian dan karya teoretis sahaja, sementara sudut yang luas (umum) turut meliputi karya seperti buku pelajaran, bahan penyuluhan (pedoman), kamus, buku pengajaran tatabahasa dan yang lain.

Dengan demikian, Harimurti Kridalaksana mengiktiraf karya pujangga besar Melayu Raja Ali Haji, iaitu Bustanul Katibin (1857) dan Kitab Pengetahuan Bahasa (1859) sebagai karya linguistik awal yang dihasilkan oleh anak watan alam Melayu. Maka itu, untuk mendapat gambaran yang luas tentang perkembangan bidang linguistik Melayu, diperlukan kajian mendalam yang meliputi kajian ilmiah dalam bentuk tesis atau disertasi dan juga kajian ilmiah semasa (yang bukan untuk tujuan pengijazahan) serta apa-apa jua hasil tulisan dalam bentuk buku, monograf, jurnal dan sebagainya. Walau bagaimanapun makalah ini akan hanya membataskan pembicaraan pada sudut yang sempit, dengan catatan bahawa pembahasan sudut yang luas itu akan dibicarakan pada kesempatan lain, disebabkan data yang harus ditangani demikian luasnya.

2. SITUASI LINGUISTIK SEDUNIA YANG MEMPENGARUHI
KAJIAN BAHASA DAN LINGUISTIK MELAYU

Amatlah jelas bahawa perkembangan kajian bahasa dan linguistik di Malaysia dan di alam Melayu cukup dipengaruhi oleh situasi linguistik sedunia, khususnya yang bersumber daripada tradisi linguistik Barat. Harimurti Kridalaksana (1979) mengemukakan dua kecenderungan utama dalam perkembangan awal linguistik di alam Melayu, iaitu yang bersumberkan tradisi linguistik Arab dan yang bersumberkan tradisi linguistik Barat. Karya Raja Ali Haji, iaitu Bustanul Katibin dan Kitab Pengetahuan Bahasa merupakan contoh yang jelas bersumberkan tradisi linguistik Arab sementara karya-karya lain yang dihasilkan oleh orang Belanda (di Indonesia) dan oleh orang Inggeris (di Malaysia) merupakan hasil penerapan linguistik Barat. Karya Sasrasoegondo, iaitu Kitab jang Menyatakan Djalan Bahasa Malajoe (1910) merupakan buku tatabahasa pertama di Indonesia yang berasaskan model Eropah yang ditulis oleh orang Indonesia (Harimurti Kridalaksana, 1983), sementara di Malaysia buku Pelita Bahasa Melayu yang terdiri daripada tiga jilid karangan Za`ba merupakan contoh yang jelas bagi karya bahasa yang bersumberkan model Eropah (Inggeris), sebagaimana yang diakui sendiri oleh Za`ba dalam Pendahuluan bukunya itu (di sisi ada pengaruh bahasa Arab yang sedikit banyaknya diakui juga oleh Za`ba).

Namun demikian dalam perkembangan linguistik Melayu, jelas bahawa pengaruh tradisi Arab hanya terbatas dalam konteks penulisan buku tatabahasa di peringkat awal dan yang sesungguhnya mengenakan pengaruh yang besar ialah tradisi linguistik Barat. Sekurang-kurangnya ada empat tahap yang sekali gus membayangkan empat aliran pemikiran dalam linguistik Barat yang mempengaruhi perkembangan lingusitik Melayu, iaitu:

i. Tahap pengaruh aliran linguistik tradisional
ii. Tahap pengaruh aliran linguistik struktural
iii. Tahap pengaruh aliran linguistik transformasi-generatif
iv. Tahap pengaruh aliran linguistik fungsional

Aliran linguistik tradisional yang bersumberkan tradisi Yunani-Latin dan sudah muncul sejak abad kelima sebelum Masihi memang sekian lama mempengaruhi perkembangan linguistik Barat dan kemudian perkembangan linguistik di bahagian lain di dunia yang rata-rata mendapat pengaruh Barat. Pada hakikatnya dapat dikatakan bahawa yang dikatakan linguistik menurut pemahaman dan penerimaan umum dalam kalangan ahli bahasa di mana-mana pun di dunia ini tidaklah lain daripada linguistik yang muncul di dunia Barat. Bangsa Arab, dalam perkembangan tamadun Islam, sebenarnya mempunyai tradisi linguistiknya sendiri sehingga wujud aliran Kuffah dan aliran Basrah dan ahli-ahli falsafah besar seperti al-Farabi, al-Ghazali, Ibn Hazm dan yang lain-lain ada membicarakan aspek linguistik dalam konteks falsafah dan pendidikan. Namun demikian tradisi itu tidak berkembang luas disebabkan dominasi ilmu Barat melalui media dan sistem pendidikan yang mempengaruhi sebahagian besar dunia (Awang Sariyan, 1997 dan 2004). Dalam perkembangan lingusitik Melayu di Malaysia, pengaruh aliran linguistik tradisional dapat dilihat dalam konteks perkembangan tahap awal, khususnya yang terbayang pada karya-karya Za`ba (lihat Bahagian 3 di bawah).

Selanjutnya, aliran linguistik struktural, transformasi-generatif dan fungsional dapat dilihat pada perkembangan tahap kedua historiografi linguistik Melayu. Pengaruh setiap aliran itu tergambar pada tumpuan perhatian ahli-ahli bahasa dalam kajian mereka, sama ada kajian untuk tujuan pengijazahan di peringkat sarjana mahupun doktor falsafah, mahupun dalam kajian semasa atau tulisan dalam bentuk buku, monograf dan makalah ilmiah (lihat Bahagian 4 di bawah). Dalam makalah ini tidak saya huraikan dasar-dasar fikiran dan gagasan setiap aliran tersebut dan huraian perbandingan antara semua aliran itu terdapat dalam beberapa tulisan saya (1997, 2002 dan 2004).

3. HISTORIOGRAFI KAJIAN BAHASA DAN LINGUISTIK
DI MALAYSIA TAHAP AWAL

Historiografi atau pensejarahan kajian bahasa dan linguistik Melayu di Malaysia setakat yang dapat ditelusur bermula pada abad ke-19, mula-mula dengan usaha William Marsden menyusun buku tatabahasa A Grammar of Malay Language (1812) dan kemudian dengan usaha yang dilaksanakan oleh Pakatan Belajar - Mengajar Pengetahuan Bahasa (P.Bm.P.B) yang ditubuhkan pada tahun 1888 di Johor dengan pengasasnya ialah salah seorang pembesar kerajaan Johor, iaitu Dato’ Abdul Rahman Andak (Dato’ Seri Amar Diraja Johor). Kegiatan utama badan itu pada peringkat awal ialah mengadakan wacana bahasa dan persuratan dan menubuhkan perpustakaan sebagai pusat sumber bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Kegiatannya menjadi betul-betul rancak pada tahun 1930-an dengan terajunya Dato’Abdullah bin Abdul Rahman sebagai Yang Dipertua, Mejar Dato’ Haji Muhammad Said bin Suleiman dan Dato’ Awang bin Omar sebagai Naib Yang Dipertua serta Mejar Musa bin Yusof sebagai setiausaha. Pada tahun 1935, badan itu diberi gelaran ‘Diraja’ oleh Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar sebagai pengiktirafan, dan nama badan itu menjadi Pakatan Bahasa Melayu Persuratan Buku Diraja Johor (P.Bm.P.B.D). Dalam tahun 1930-an dan 1940-an, badan itu menjadi markaz perancangan bahasa yang berkesan apabila dapat menghimpunkan lebih 200 orang anggota dari Johor dan luar Johor, termasuklah Bapa Kewartawanan Melayu Abdul Rahim Kajai, Pendeta dan ahli bahasa ternama Zainal Abidin Ahmad (Za`ba), pemimpin politik dan wartawan Dato’ Onn Jaafar dan penulis wanita terkenal Ibu Zain (Ensiklopedia Sejarah dan Budaya Melayu, 1998).

Badan tersebut telah berhasil menerbitkan 15 buah buku bahasa dari tahun 1936 hingga tahun 1947, meliputi bidang perkamusan, tatabahasa dan penggunaan bahasa, ejaan dan daftar kata, iaitu:

i. Bidang perkamusan: Buku Katan (1936) yang berisi 10,000 lema yang disusun
menurut urutan abjad Jawi, sebagai hasil usaha Haji Muhammad Said dengan
bantuan beberapa orang rakannya.
ii. Bidang tatabahasa: Jalan Bahasa Melayu (1937), Penokok dan Penambah (1939)
dan Manual of Malay Language and Grammar (1947).
iii. Daftar kata (yang diistilahkan oleh badan itu sebagai gugus katan merupakan
daftar kata daripada bahasa asing yang telah diserapkan oleh bahasa Melayu,
lengkap dengan huarian maknanya): Gugus Katan Sanskrit - Melayu (1938),Gugus
Katan Inggeris - Melayu (1939), Gugus Katan Melayu - Jawa (1939), Gugus Katan
Arab - Melayu (1939).
iv. Ejaan: Panduan Hejaan (1937) dan Buku Ketetapan Hejaan Melayu (1941).
v. Peristilahan: Bidang pentadbiran seperti istilah setiausaha, pejabat, kerja raya,
warta, jurucakap, jadual waktu, timbalan.

Dalam pada itu, tidak harus dilupakan bahawa dalam sejarah penulisan ilmu bahasa Melayu pada peringkat awal, terdapat sebuah buku tatabahasa yang berjudul Pertutoran Melayu (1913) oleh Abdullah bin Abdul Rahman dari Muar (Za`ba, 1940 dan Harimurti Kridalaksana, 1979). Menurut Harimurti Kridalaksana, buku itu melanjutkan usaha pemerian tatabahasa Melayu berdasarkan kerangka tatabahasa Arab, iaitu usaha yang diterapkan lebih awal oleh Raja Ali Haji.

Selanjutnya, historiografi lingusitik Melayu dengan jelas ditandai oleh usaha Za`ba yang untuk selama lebih 30 tahun sesudah beliau menghasilkan karya-karya tentang bahasa Melayu, mendominasi alam pendidikan di negara ini apabila karya-karyanya itu dijadikan sandaran untuk pengajaran dan pemelajaran bahasa Melayu oleh para guru dan pihak berwibawa seperti Kementerian Pelajaran sendiri. Menurut Asmah Haji Omar (2000:xi), sebelum tahun 1968, semua buku tatabahasa Melayu di Malaysia (termasuk di Singapura - P.) ditulis dengan berdasarkan prinsip-prinsip yang diletakkan oleh Za`ba. Demikian juga, dalam hal ejaan Jawi dan Rumi, pedoman yang disusun oleh Za`ba turut menjadi pegangan semua pendidik bahasa Melayu selama puluhan tahun dan disebut Sistem Ejaan Sekolah sehinggalah berlaku perubahan dalam sistem ejaan (Rumi) apabila diisytiharkan Sistem Ejaan Rumi Baru Bahasa Malaysia pada 16 Ogos 1972.

Asmah Haji Omar (2000) dalam pengenalan edisi baharu adikarya Za`ba, iaitu Pelita Bahasa Melayu, menyimpulkan bahawa Za`ba telah meletakkan asas yang kukuh dalam kajian fonologi dan tatabahasa bahasa Melayu meskipun sewaktu menghasilkan karya itu beliau belum terdedah kepada ilmu fonologi dan linguistik moden pada keseluruhannya. Antara prinsip fonologi yang diketengahkan oleh Za`ba termasuklah prinsip keutamaan ucapan di atas tulisan, huruf sebagai lambang bunyi dan hubungan antara mekanisme bahasa dalam bentuk deretan bunyi-bunyi dengan isi fikiran. Dalam bidang fonetik, Za`ba mengemukakan jenis-jenis bunyi kepada bunyi yang disebutnya huruf saksi (vokal) dan huruf benar (konsonan). Bagi bunyi yang dalam linguistik moden dikenal sebagai diftong, Za`ba mengemukakan istilah bunyi berkait rapat sementara untuk vokal rangkap dikemukakannya istilah bunyi berkait renggang. Selain itu, Za`ba turut mengemukakan konsep keharmonian vokal, iaitu kesepadanan bunyi vokal dalam suku kata praakhir dengan bunyi vokal dalam suku kata akhir tertutup. Aspek inilah yang menjadi salah satu ciri penting Sistem Ejaan Baru dengan istilah yang digunakan ialah keselarasan vokal.

Dalam bidang tatabahasa, sebagaimana yang telah disebut lebih awal, pemerian Za`ba menjadi pegangan semua pihak yang terlibat dalam pendidikan bahasa Melayu, daripada perancang sukatan pelajaran, penulis buku teks dan buku latihan, pengajar hingga penggubal soalan peperiksaan. Meskipun beliau mengasaskan pemeriannya pada tatabahasa tradisional Inggeris dan sedikit-sedikit Arab (lihat Pendahuluan cetakan pertama, 1940 dan Pendahuluan cetakan ketiga, 1953), namun data yang menjadi asas pemeriannya itu ialah data bahasa Melayu yang diperoleh daripada pengamatan dan penelitiannya sendiri, bukan data yang diada-adakan. Rumus-rumus sintaksis dan morfologi yang dikemukakannya sejak tahun 1930-an itu sebahagian besarnya ternyata masih bertahan hingga kini walaupun berlaku perubahan daripada sudut istilah dan kerangka pemeriannya dalam buku-buku tatabahasa semasa disebabkan pengaruh linguistik moden (Awang Sariyan, 2000). Sebagai contoh, perubahan istilah perbuatan melampau menjadi kata kerja transitif tidak mengubah rumus tentang ketransitifan dalam bahasa Melayu dan perubahan istilah ayat bangun membuat dan ayat bangun kena buat menjadi ayat aktif dan ayat pasif tidak mengubah rumus sintaksis yang berkaitan dengan binaan ayat aktif dan ayat pasif dalam bahasa Melayu, khususnya rumus ayat pasif yang berkaitan dengan pelaku pertama, kedua dan ketiga.

Bidang yang tidak kurang pentingnya dalam menandai kemajuan sesuatu bahasa, iaitu retorik telah diteroka juga oleh Za`ba seawal tahun 1934 melalui bukunya Ilmu Mengarang Melayu. Hashim Awang (1995) berpendapat bahawa Za`ba sebenarnya telah mendahului ahli-ahli retorik terkenal dalam tradisi persuratan Inggeris kerana karyanya itu terhasil lebih awal daripada karya ahli-ahli retorik Inggeris moden. Karya retorik Inggeris yang menjadi pegangan pelajar bidang tersebut, iaitu Modern Rhetoric oleh Cleanth Brooks dan Robert Penn Warren terbit enam tahun sesudah karya Za`ba itu.

Demikianlah, tahap awal historiografi kajian bahasa dan linguistik Melayu di Malaysia telah disemarakkan oleh Pakatan Belajar - Mengajar Pengetahuan Bahasa (kemudian menjadi Pakatan Bahasa Melayu Persuratan Buku Diraja Johor) dan kemudian oleh Za`ba yang ternyata begitu bersinonim dengan perkembangan bahasa Melayu moden dan ilmu bahasa Melayu (linguistik Melayu). Za`ba mungkin tidak dianggap setara dengan Bloomfield, Chomsky, Halliday, Hymes, Gumperz, dan ahli-ahli linguistik lain yang dikenal di seluruh dunia, tetapi pada zamannya Za`ba telah mengemukakan kerangka yang utuh tentang sistem bahasa Melayu menurut kerangka pemikiran di rantau ini.

[Bahagian selanjutnya mengupas perkembangan kajian bahasa dan linguistik Melayu di Malaysia pada zaman baharu]

~Kembara Bahasa~
2 Oktober 2011/4 Zulkaedah 1432

No comments:

Post a Comment