Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.
~Kembara Bahasa~
Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi
Tuesday, October 11, 2011
Dasar Bahasa Kebangsaan: Tuntutan Iltizam kepada Penjawat Awam
SYARAHAN TOKOH BAHASA
BULAN BAHASA KEBANGSAAN
PERINGKAT WILAYAH PERSEKUTUAN PUTRAJAYA
(11 OKTOBER 2011)
DASAR BAHASA KEBANGSAAN:
TUNTUTAN ILTIZAM KEPADA PENJAWAT AWAM
Prof. Dr. Awang Sariyan
Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia
Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia/Beijing Foreign Studies University
Pendahuluan
Negara Malaysia yang mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 (pada waktu itu dengan nama Persekutuan Tanah Melayu) melalui proses pembinaan negara (nation building) dengan berasaskan dasar-dasar kenegaraan yang tertentu. Dasar-dasar itu meliputi seluruh aspek kehidupan bernegara, iaitu politik dan pentadbiran, ekonomi, pendidikan, kebudayaan, undang-undang, dasar luar dan tidak terkecuali bahasa.
Sebagai contoh, daripada segi politik dan pentadbiran, dasar yang dijadikan landasan ialah sistem demokrasi berparlimen dengan paduan sistem raja berperlembagaan dan semangat serta amalan perkongsian kuasa antara pelbagai keturunan yang menjadi rakyat negara ini. Daripada segi ekonomi, Dasar Ekonomi Baharu yang diasaskan pada tahun 1970 (walaupun kemudian bertukar nama dan pengubahsuaian strategi seperti Dasar Pembangunan Nasional dan sejak 2011 Model Ekonomi Baharu) menjadi cerminan dasar ekonomi negara dengan berlandaskan perkongsian nikmat ekonomi yang adil antara pelbagai keturunan dan lapisan rakyat.
Bahasa sebagai jiwa bangsa (dan negara) turut menjadi salah satu dasar negara, melalui ketetapan Dasar Bahasa Kebangsaan dan disokong juga oleh Dasar Pendidikan Kebangsaan serta Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Dasar Pendidikan Kebangsaan mempunyai kaitan yang rapat dengan Dasar Bahasa Kebangsaan daripada segi ketetapan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan negara. Dasar Kebudayaan Kebangsaan pula yang teras pertamanya ialah “kebudayaan asal rantau ini” (yang merujuk kepada kebudayaan Melayu) ialah dasar yang menitikberatkan jati diri dan citra kebangsaan yang salah satunya berkaitan dengan peranan bahasa Melayu untuk menzahirkan jati diri dan citra kebangsaan.
Dengan latar belakang itu, seyogialah sekalian penjawat awam sebagai penggerak dan pelaksana dasar-dasar negara meningkatkan penghayatan dan iltizam untuk mejayakannya, termasuk dasar yang berkaitan dengan bahasa kebangsaan, iaitu Dasar Bahasa Kebangsaan.
Peranan Bahasa dalam Pembinaan Tamadun
Pemikir dalam semua tamadun besar di dunia sejak awal telah merumuskan peri pentingnya bahasa dalam pembinaan tamadun. Tamadun Yunani atau Greek yang sudah muncul beberapa ratus tahun sebelum Masihi dan menjadi sumber utama tamadun bangsa-bangsa Barat dan malahan sebahagian bangsa-bangsa Timur, sebagai contoh, berkembang seiring dengan kekuatan bahasa Yunani. Tokoh pemikir klasik Yunani seperti Socrates, Plato dan Aristotle, ahli-ahli golongan Sofis dan yang lain-lain menjadikan bahasa Yunani sebagai salah tumpuan perhatian dalam kajian, pembicaraan dan penggunaannya dalam pelbagai ranah tamadun Yunani, seperti politik dan pentadbiran, undang-undang, metafizik, retorik, sastera dan yang lain lagi. Dapatlah dirumuskan bahawa salah satu tunjang kekuatan tamadun Yunani ialah keampuhan bahasa Yunani itu. Tradisi itu kemudian disambung oleh bangsa Rumawi dan seterusnya oleh bangsa-bangsa Barat yang terkemudian, seperti bangsa Jerman, Perancis, Inggeris dan Swiss.
Demikian jua, tamadun bangsa Arab turut berasaskan kekuatan bahasa Arab. Sebelum Islam lagi, bahasa Arab telah menjadi bahasa pengucapan kebudayaan yang tinggi, termasuk melalui syair yang amat bersinonim dengan bangsa Arab pra-Islam. Apabila Islam diwahyukan oleh Allah S.W.T kepada Nabi Muhammad s.a.w dalam bahasa Arab dan kepada bangsa Arab, maka bahasa Arab telah mengalami proses pemurnian menjadi bahasa yang sesuai untuk mengungkapkan ilmu (ilmu ketuhanan dan ilmu keduniaan). Pada kemuncak zaman keemasan Bani Abbasiyyah, telah muncul ribuan sarjana Islam dalam pelbagai bidang, seperti astronomi, perubatan, kimia, fizik, biologi, matematik dan bidang lain dalam bahasa Arab sehingga bangsa-bangsa Barat pun kemudian banyak mengambil manfaat daripada kekayaan ilmu dalam tamadun Arab Islam dengan menerjemahkannya ke dalam bahasa mereka.
Tamadun Melayu tidak terkecuali daripada fitrah bertunjangkan bahasa dalam perkembangannya sejak zaman awal hingga zaman ini. Rincian tentang peranan bahasa Melayu dalam pembentukan dan pengembangan tamadun Melayu akan dibicarakan dalam subjudul yang khusus kelak. Dalam hubungannya dengan judul syarahan ini, peranan bahasa Melayu pascamerdeka menjadi luas pula, bukan sekadar asas tamadun bangsa Melayu, tetapi menjadi asas pembinaan negara bangsa, yang merujuk kepada bangsa negara yang merdeka, iaitu Malaysia.
Daripada sudut falsafah Islam, hakikat bahawa bahasa berperanan penting dalam pembinaan dan penyuburan sesuatu tamadun merupakan sunatullah dan fitrah, kerana Allah S.W.T mengurniai manusia dua nikmat besar yang tidak dimiliki oleh makhluk lain seperti haiwan, tumbuh-tumbuhan dan batu-batan. Dua nikmat besar itu ialah akal dan bahasa. Sejak manusia pertama diciptakan oleh Allah S.W.T, bahasa menjadi unsur yang penting untuk manusia memahami pelbagai fenomena yang zahir dan yang batin, sehingga Allah S.W.T merakamkan peristiwa pengurniaan bahasa kepada Nabi Adam a.s dalam al-Qur`an (al-Baqarah, ayat 31 - terjemahannya berbunyi “Dan Aku mengajar Adam nama sekalian benda.”). Demikianlah, dari zaman ke zaman tamadun manusia tumbuh dan berkembang dengan perantaraan bahasa. Hakikat bahawa setiap bangsa dikurniai bahasa masing-masing dijelaskan oleh Allah S.W.T dalam surah Al-Rum, ayat 21 (terjemahannya berbunyi “Aku jadikan manusia daripada lelaki dan perempuan dengan pelbagai warna kulit dan bahasa.”).
Bangsa-bangsa yang tidak Islam pun tampaknya di bawah sedar menghayati fitrah dan sunatullah itu, sehingga apabila bangsa-bangsa Barat mengambil sumber ilmu dalam pelbagai bidang daripada tamadun Arab Islam, mereka melakukan pemindahan ilmu itu ke dalam bahasa mereka sendiri melalui terjemahan secara besar-besaran. Mereka tidak mengambil bahasa Arab sebagai bahasa untuk pengembangan ilmu dalam kalangan bangsa mereka. Bahkan bangsa-bangsa Barat itu baru muncul sebagai bangsa yang tamadunnya cemerlang apabila secara beransur-ansur mereka membebaskan diri daripada kebergantungan pada bahasa Latin, yang untuk selama ratusan tahun menjadi bahasa yang dominan.
Itulah juga yang dilakukan oleh Jepun, Korea, China dan kebanyakan bangsa lain yang terkenal sebagai bangsa yang maju. Usaha penerjemahan karya-karya ilmu dengan pesat, cekap dan cepat serta penghasilan karya ilmu dalam bahasa mereka sendiri telah meletakkan semua bangsa itu sebagai bangsa yang terhormat di mata dunia. Sebaliknya bangsa yang tertawan mindanya dengan acuan kepercayaan bahawa bangsa dan negaranya akan hanya maju dengan menggunakan satu “bahasa agung” (dalam konteks ini bahasa Inggeris), seperti India dan Filipina terkebelakang daripada bangsa-bangsa yang disebut itu. Singapura tampakanya seakan-akan merupakan kekecualian kerana maju meskipun menggunakan bahasa Inggeris sebagai wahana pembangunan, tetapi sebagaimana yang pernah disesali oleh mantan Perdana Menterinya, Goh Chock Tong pada suatu waktu dahulu, bangsa majoriti negara itu (orang Cina) yang ada kini hanya bangsa yang mewarisi aspek biologi atau keturunan Cina, tetapi telah mula kehilangan warisan budaya (termasuk bahasanya).
Hakikat yang amat rapat hubungannya dengan hal itu ialah bahawa bahasa sebagai asas pembinaan tamadun bangsa tidak terbatas pada aspek kemajuan lahiriah semata-mata. Sesuatu bangsa mungkin sahaja menjadi maju dalam pembangunan lahiriah seperti prasarana, ekonomi, industri dan sebagainya, sekalipun dengan meminjam bahasa asing. Namun belumlah dapat dikatakan bahawa bangsa itu benar-benar maju kerana kegagalannya mengungkapkan segala konsep ilmu dan budaya serta pemikiran dalam bahasanya sendiri.
Bahasa Melayu Asas Pembinaan Tamadun Bangsa: Sorotan Sejarah
Peranan bahasa Melayu dalam pembinaan dan penyuburan tamadun bangsa Melayu telah berlangsung sejak awal pertumbuhan tamadun bangsa itu sendiri. Gelombang pertama bangkitnya tamadun Melayu ialah dalam zaman yang dikenal sebagai zaman Melayu kuno, iaitu zaman munculnya kerajaan-kerajaan Melayu tua seperti Campa, Langkasuka dan Sriwijaya. Kerajaan Melayu lama yang dianggap oleh para sejarawan sebagai mercu tanda kebangkitan tamadun Melayu awal ialah kerajaan Sriwijaya yang bertahan dari abad ke-7 hingga abad ke-13 Masihi.
Sebagai kuasa kelautan yang wilayah takluknya meliputi negeri-negeri di Selat Melaka hingga selatan Thailand, dan bahkan mempunyai hubungan hingga sejauh Sri Lanka, Sriwijaya menjadi kerajaan yang menjelmakan citra utama tamadun Melayu, iaitu sistem pemerintahan yang utuh, penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran, bahasa perdagangan dan bahasa pengajian ilmu. Menurut catatan Yi Jing, iaitu pendeta Buddha yang singgah di Fo-syih, ibu negara Sriwijaya di Palembang dan tinggal di situ selama enam bulan dalam tahun 671, terdapat pusat pengajian agama Buddha dalam bahasa Melayu kuno.
Dalam zaman Sriwijaya jugalah berlangsungnya interaksi antara tamadun apabila tamadun India banyak mewarnai aspek-aspek ketamadunan Melayu pada zaman pra-Islam. Bahasa Melayu pada zaman itu yang dikenal sebagai bahasa Melayu kuno menerima sekian banyak kosa kata serta unsur tatabahasa bahasa Sanskrit, sebagaimana yang terlihat pada batu-batu bersurat yang ditemukan dalam zaman tersebut. Bahasa Melayu pada zaman itu telah memainkan peranan dalam tiga aspek penting tamadun, iaitu sebagai bahasa pentadbiran kerajaan, bahasa perdagangan dan bahasa pengajian agama.
Gelombang tahap kedua perkembangan tamadun Melayu ditandai oleh kebangkitan kerajaan-kerajaan Melayu dalam bentuk sistem kesultanan. Kesultanan Melayu Melaka yang muncul pada awal abad ke-15 dapat dianggap menjadi pembuka babak sejarah baharu tamadun bangsa Melayu. Kemunculannya banyak membawa perubahan terhadap Tanah Melayu dan juga rantau Asia Tenggara dan juga menjadi penyambung kewujudan empayar di alam Melayu, sesudah runtuhnya empayar Sriwijaya (Muhd. Yusof bin Ibrahim, 1996: 21).
Pada zaman Kesultanan Melayu itulah bahasa Melayu yang kita warisi hingga kini baru benar-benar memperoleh bentuknya yang mantap. Bahasa Melayu dalam zaman kuno demikian asing dan sukar difahami disebabkan pengaruh yang kuat daripada bahasa Sanskrit, baik dalam bidang kosa katanya mahupun dalam bidang tatabahasanya. Perhatikan sahaja contoh bahasa Melayu kuno yang terdapat pada batu bersurat Kedukan Bukit, iaitu salah satu batu bersurat pada abad ke-7 seperti yang berikut ini, yang nyata amat jauh bentuknya daripada bahasa Melayu klasik dan bahasa Melayu kini:
Swastu Shri
Shakawarsatita 605 ekadashi
Shuklapaksa wulan Waishakha dapunta
Siyang naik disambu mengalap siddhayatra
Di Saptami Shuklapaksa Wulan
Jyestha dapunta hiyang marlapas dari Minanga Tamvan
Mamawa jang bala dua laksa
Dangan…dua ratus
Tsyara disambau dangan jalan
Saribu tlu ratus sapuluh
Dua banyaknya. Datang
Di Matajap
Sukhatshitta.
Di pantshami shuklapaksa Wulan
…laghu mudik datang
marwuat maua…Syriwijaya
jayasiddharyatra subhiksa.
Bahasa Melayu dalam zaman Kesultanan Melayu, yang disebut juga zaman klasik, merupakan bahasa yang hingga kini dapat dikenal bentuknya dan dapat difahami, meskipun mempunyai gaya yang berlainan daripada bahasa Melayu kini. Sebahagian besar kosa kata bahasa Melayu klasik masih tetap difahami dan terdapat dalam kamus. Tatabahasanya masih merupakan acuan bahasa yang sama dengan tatabahasa bahasa Melayu kini, sehingga dapat dirumuskan bahawa bahasa Melayu zaman baharu berakar daripada bahasa Melayu zaman klasik yang mekar dalam zaman Kesultanan Melayu.
Bandingkanlah bahasa Melayu kuno pra-Islam itu tadi dengan bahasa Melayu sesudah Islam sebagaimana yang terdapat pada Batu Bersurat Terengganu (1303) yang tampak rapat dengan bentuk bahasa Melayu yang digunakan kini:
A
1. Rasul Allah dengan yang orang…(bagi) mereka
2. Ada pada Dewata Mulia Raya beri hamba meneguhkan agama Islam.
3. Dengan benar bicara darma merkesa bagi sekalian hamba Dewata Mulia Raya.
4. Di benuaku ini (penentu) agama Rasul Allah salallahu `alaihi wassalam raja
5. Mandalika yang benar bicara sebelah Dewata Mulia Raya di dalam
6. behumi. Penentua itu fardhu pada sekalian raja mandalika Islam.
7. Menurut setitah Dewata Mulia Raya dengan benar.
8. Bicara berbajiki benua penentua itu maka titah Raja Paduka.
9. Tuhan mendudukkan tamwa ini di benua Terengganu di pertama ada
10. Jumaat di bulan Rajab pada tahun Syartan di sasanakala.
11. Baginda Rasul Allah telah lalu tujuh ratus dua.
B
1. le iarga du benua jauh…kan…ul
2. (Datang) berikan keempat darma barang orang berpihutang
3. Jangan mengambil ke…ambil bilangkan emas.
4. Kelima darma barang orang…merdeka.
5. Jangan mengambil tugal buat tamsanya.
6. Jika ia ambil hilangkan emas, Keenam darma barang
7. Orang berbuat balacara laki-laki perempuan setitah
8. Dewata Mulia Raya jika merdeka bujan palu
9. Seratus rautan. Jika merdeka beristeri
10. Atawwa perempuan bersuami ditanam binggan
11. Pinggang dihembalang dengan batu matikan
12. Jika inkar balacara hembalang jika anak mandalika.
C
1. Bujan dandanya sepuluh tengah (tiga) jika ia…
2. Menteri bujan dandanya tujuh tahil sepaha
3. tengah tiga. Jika tetua bujan dandanya lima tahil…
4. Tujuh tahil sepaha masuk bendara. Jika orang…
5. merdeka. Ketujuh darma barang perempuan hendak…
6. Tida dapat bersuami jika berbuat balacara
D
1. …tida benar dandanya setahu sepaha
2. …Sri Paduka Tuhan siapa tida…dandanya
3. …kesepuluh darma jika anakku atawwa ku atawwa cucuku atawwa keluargaku atawwa anak
4. …tamwa ini segala isi tamra ini barang siapa tida menurut tamra ini laknat Dewata Mulia Raya
5. …dijadikan Dewata Mulia Raya bagi yang langgar acara tamra ini
(Othman Yatim, 2007: 46-52)
Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas (1972 dll.) menekankan bahawa kedatangan Islam telah membentuk hakikat bahasa Melayu baharu, sebagaimana yang berlaku dalam tamadun bangsa lain yang menerima Islam, terutama dengan pengenalan akan “...peristilahan dasar yang membayangkan faham-faham dasar yang menayangkan pandangan alam serta kehidupan yang dialami….” (al-Attas, 2001: 99). Dengan perkataan lain, Islam telah memperkenalkan dan memasukkan sekian banyak kosa kata yang mewakili tasawur dan pandangan sarwa Islam dalam aspek sistem kepercayaan dan dalam segala aspek kehidupan bermasyarakat. Demikian juga Islam telah memberikan acuan baharu kepada wacana bahasa Melayu dengan pengenalan akan pelbagai bentuk wacana yang sebelumnya tidak ada dalam tamadun Melayu, seperti wacana ketatanegaraan (seperti dalam Tajul Salatin), wacana undang-undang (seperti Hukum Kanun Melaka), wacana penserajahan atau historiografi (seperti Sulalatus Salatin, Hikayat Aceh, Hikayat Raja Pasai) dan pelbagai bentuk susastera prosa dan puisi.
Bahasa Melayu dalam zaman Kesultanan Melayu benar-benar menjadi tonggak tamadun kerana digunakan dalam segenap lapangan kehidupan - pentadbiran, undang-undang, diplomasi, perdagangan, ilmu dan pendidikan. Kehebatan bahasa Melayu pada abad ke-16 dirakamkan oleh sarjana Belanda Francois Valentijn sebagai yang berikut:
“Bahasa mereka, bahasa Melayu, bukan sahaja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan di seluruh Kepulauan Melayu dan di segala negeri Timur, sebagai suatu bahasa yang difahami di mana-mana sahaja oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa Perancis atau latin di Eropah, atau sebagai bahasa Lingua Franca di Itali dan di Levant. Sungguh luas tersebarnya bahasa Melayu itu sehingga kalau kita memahaminya tidaklah mungkin kita kehilangan jejak, kerana bahasa itu bukan sahaja difahami di Parsi bahkan lebih jauh dari negeri itu, dan di sebelah timurnya sehingga Kepulauan Filipina.”
(Nik Safiah Karim et al. 2003: 14)
Sumbangan besar yang lain yang diberikan oleh Islam ialah pengenalan tulisan Jawi yang didasarkan pada aksara Arab. Dalam zaman Kesultanan Melayulah untuk kali pertama bahasa Melayu mempunyai tulisan yang benar-benar meluas penggunaannya dalam pelbagai bidang kehidupan sehingga muncul tradisi bahasa Melayu persuratan yang menjadi asas bahasa Melayu baku. Dalam zaman kuno, meskipun ada tulisan Palava, Kawi, Rencong dan sebagainya, tidak terdapat bukti sejarah tentang keluasan fungsi dan penggunaannya di tengah-tengah masyarakat. Tiada tinggalan karya sebagaimana yang kita warisi daripada zaman Kesultanan Melayu. Besarnya peranan tulisan Jawi terungkap dalam penamaan bangsa Melayu yang dikenal sebagai bangsa Jawi. Bangsa Melayu yang dimaksudkan itu pula merangkum semua kumpulan etnik yang mendiami Kepulauan Melayu, tidak kira Jawa, Sunda, Aceh, Mandailing, Rawa, Minangkabau, Bugis, Bawean, Banjar dan yang lain-lain. Demikianlah faham kebangsaan Melayu yang luas yang telah wujud sejak lama dan dalam menghadapi zaman kini dan zaman mendatang, tidaklah harus dilupakan konsep Melayu dengan pengertian yang luas itu.
Dasar Bahasa Kebangsaan sebagai Asas Pembinaan Negara Bangsa
Dalam zaman pascamerdeka, bahasa Melayu mengalami peluasan peranan, bukan sahaja sebagai asas pembinaan tamadun bangsa Melayu tetapi juga sebagai asas pembinaan tamadun bangsa Malaysia. Peranannya telah merentas etnik. Konsep yang menjadi salah satu ideologi negara ialah “negara bangsa”. Istilah “bangsa” (nation) dalam konteks ini merujuk kepada makna yang lebih luas daripada istilah “ras” (race). Dengan mengambil inti pati takrif “bangsa” dalam Webster’s Twentieth Century Dictionary Unabdrigded (1983), bangsa berkaitan dengan wilayah tertentu, khususnya negara yang ditadbirkan oleh sebuah kerajaan, sementara ras lebih berkaitan dengan kelompok yang ditandai oleh hubungan biologi dan ciri-ciri persamaan yang berkaitan dengan hubungan keturunan.
Maka itu, “negara bangsa” dalam konteks Malaysia merujuk kepada bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai ras (dengan ras yang utamanya ialah Melayu - sekitar 60%, Cina - sekitar 25%, India - sekitar 8%, kumpulan etnik seperti Orang Asli, lebih 50 kumpulan etnik peribumi di Sabah dan lebih 30 kumpulan etnik peribumi di Sarawak. Konsep “pembinaan negara bangsa” yang menjadi cita-cita utama itu bererti pembinaan negara yang berasaskan semua ras yang ada, dengan bertunjangkan beberapa dasar, antaranya termasuklah Dasar Bahasa Kebangsaan, selain Dasar Ekonomi Baharu, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Dalam kaitannya dengan Dasar Bahasa Kebangsaan itulah relevannya kita membincangkan usaha “memartabatkan bahasa” untuk membina negara bangsa, dan bahasa yang perlu ddimartabatkan itu ialah bahasa yang menjadi asas pembinaan negara yang terdiri daripada pelbagai ras itu, iaitu bahasa Melayu, sebagaimana yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Upaya meneliti jejak pemartabatan bahasa Melayu selama setengah abad yang silam, iaitu dengan bertitik tolak dari tahun kemerdekaan Malaysia (yang sebelum 1963 dikenal sebagai Persekutuan Tanah Melayu) dan rencana membaharui babak untuk tempoh yang mendatang berhubungan secara langsung dengan ehwal pembinaan negara Malaysia sebagai negara bangsa. Hal ini demikian kerana bahasa Melayu memang cukup erat hubungannya dengan pembinaan konsep kebangsaan dan kenegaraan entiti politik yang dikenal sebagai Malaysia. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi menjadi salah asas kontrak sosial rakyat Malaysia, di sisi kedudukan raja-raja Melayu, agama Islam sebagai agama Persekutuan dan hak-hak istimewa bangsa Melayu dan Bumiputera (Awang Sariyan, 2006, 2007, 2009). Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152 menetapkan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.
Dengan perkataan lain, pembicaraan tentang perkembangan bahasa Melayu selama setengah abad silam dan perancangannya untuk setengah abad mendatang tidak akan bererti apa-apa dengan hanya membicarakan perkembangan bahasa tersebut sebagai wasilah mekanis yang alamiah bagi keperluan komunikasi sekelompok umat. Maksudnya, perkembangan bahasa Melayu, dalam hubungannya dengan pembinaan bangsa dan negara, tidak cukup sekadar dihuraikan daripada sudut perkembangan sistem bahasanya (tatabahasa, sistem ejaan, sebutan, kosa kata dan laras bahasa) semata-mata, meskipun aspek itu memang penting dalam hal penentuan sosok bahasa yang menjadi sendi tamadun. Perkembangan korpus bahasa Melayu itu baru menggambarkan sebahagian hakikat, sedang perkembangan yang lebih mendasar ialah yang berkaitan dengan pemenuhan dan pengisian dasar bahasa negara. Sesungguhnya perkembangan bahasa Melayu mempunyai kaitan yang langsung dengan roh bangsa, dengan asas jati diri dan citra bangsa serta dengan cita-cita luhur bangsa dan negara. Sia-sialah pembicaraan yang tidak mengaitkan bahasa Melayu dengan cita-cita besar membina tamadun bangsa dan negara, kerana dari tahap awal pertumbuhan dan perkembangannya, bahasa Melayu senantiasa menjadi petunjuk dan kayu ukur kemajuan bangsa.
Kebangkitan semangat kebangsaan yang berlangsung di negara ini merupakan kebangkitan semangat yang holistik sifatnya. Cita-cita membebaskan tanah air bukan terhad pada pembebasan daripada sudut politik dan ekonomi semata-mata, bahkan turut merangkum aspek bahasa, pemikiran, pendidikan dan kebudayaan juga. Maka itu, dalam kosa kata bahasa Melayu muncul frasa nasionalisme bahasa atau nasionalisme linguistik, dengan pengertian nasionalisme atau semangat kebangsaan yang berteraskan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sebagai salah satu asas kebangsaan dan kenegaraan. Gerakan nasionalisme sebagaimana yang berlangsung dalam kalangan nasionalis di Maktab Sultan Idris Tanjung Malim (yang ditubuhkan pada tahun 1922), wartawan, sasterawan, bahasawan dan bahkan agamawan yang tampak nyata berkobar dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Pertama (1952), Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Kedua (1954) dan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga (1956) membuktikan penghayatan yang bersepadu tentang erti kemerdekaan tanah air. Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1956 sebagai badan perancangan bahasa Melayu itu pun merupakan hasil perjuangan rakyat, khususnya melalui Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga.
Pada pihak Kerajaan pada waktu itu, penubuhan Jawatankuasa Pelajaran Razak pada tahun 1956 turut memperlihatkan kejelasan tentang wawasan pembentukan negara yang turut memperhitungkan peranan bahasa, apabila Laporan Razak menegaskan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan negara ini. Pancang yang diasaskan oleh Jawatankuasa Razak dan kemudian diperkukuh oleh Jawatankuasa Rahman Talib (1960) itulah yang kemudian menjadi asas Akta Pendidikan 1961 dan diperteguh pernyataannya dalam Akta Pendidikan 1996, yang malangnya tidak dihormati apabila asas itu diketepikan dengan keputusan pengajaran sains dan matematik serta subjek-subjek teknikal dalam bahasa Inggeris (program PPSMI), bermula pada tahun 2003. Syukurlah sesudah enam tahun berlangsung, dasar yang bertentangan dengan Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan serta mendatangkan musibah kepada majoriti generasi muda negara ini telah diputuskan untuk dimansuhkan sepenuhnya pada tahun 2012.
Tempoh sebahagian setengah abad silam sebenarnya dapat dikatakan diwarnai oleh kejayaan tertentu dasar negara dalam hampir semua ranah. Meskipun masih jauh perjalanan untuk mencapai cita-cita luhur sebagai negara yang benar-benar bersatu padu rakyatnya, tercapainya keadilan ekonomi yang sesungguhnya dan jelas sendi kebudayaan kebangsaannya, namun kita telah bermula dengan perancangan yang bersepadu antara pembangunan fizikal dengan pembangunan dalaman. Kisah kejayaan negara kita dalam tempoh setengah abad sebenarnya berkaitan rapat dengan adanya dasar-dasar kenegaraan yang jelas dan terarah, termasuk dalam soal bahasa, pendidikan dan kebudayaan. Negara kita terbentuk atas landasan kontrak sosial yang jelas.
Prinsip jus soli yang memungkinkan golongan pendatang bukan Melayu diterima sebagai rakyat negara ini diterima dengan penuh redha oleh orang Melayu atas kepentingan untuk mencapai kemerdekaan dan beberapa asas kenegaraan yang berteraskan kemelayuan dan keperibumian diterima pula oleh orang bukan Melayu sejak pada zaman menjelang kemerdekaan lagi (misalnya dalam manifesto pilihan raya 1955) sewaktu negara dalam tahap pemerintahan sendiri sebelum kemerdekaan diberikan. Kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan Raja-raja Melayu dan hak istimewa orang Melayu serta Bumiputera merupakan asas kontrak sosial yang tidak harus dilupakan. Sebagaimana kata Khoo Kay Kim (2005), hingga tahun 2020 sekalipun kontrak sosial tidak mungkin dapat diabaikan begitu sahaja.
Pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan dan Beberapa Isu Berkaitan
Dalam soal bahasa, jelas bahawa penobatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi sebagaimana yang dimaktubkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan telah menjadi asas kenegaraan dan kebangsaan yang penting. Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu menjadi lambang yang signifikan bagi kewujudan entiti politik yang dikenal sebagai negara Malaysia, menjadi asas jati diri bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai keturunan dan menjadi wahana perpaduan bangsa melalui komunikasi dalam pelbagai ranah. Sebagai bahasa rasmi, bahasa Melayu menjadi salah satu unsur penggerak jentera pentadbiran negara, dengan peranannya sebagai wahana komunikasi rasmi dalam pelbagai urusan pentadbiran sehingga kecekapan pentadbiran sebahagiannya bergantung pada kecekapan bahasa yang ada pada penjawat awam pada pelbagai peringkat. Dengan jelas disebut dalam pecahan (6) Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan bahawa sebagai bahasa rasmi, bahasa Melayu hendaklah digunakan dalam semua urusan rasmi di tiga peringkat pentadbiran negara, iaitu kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam.
Sebagai renungan kembali, marilah kita hayati kandungan penting Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai salah asas kenegaraan:
Perkara 152. Bahasa kebangsaan.
(1) Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen: Dengan syarat bahawa—
(a) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain; dan
(b) tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan.
(2) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, bahasa Inggeris boleh digunakan di dalam kedua-dua Majlis Parlimen, di dalam Dewan Undangan tiap-tiap Negeri, dan bagi segala maksud rasmi yang lain.
(3) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, teks sahih—
(a) segala Rang Undang-Undang yang hendak dibawa atau pindaan kepadanya yang hendak dicadangkan di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen; dan
(b) segala Akta Parlimen dan segala perundangan subsidiari yang dikeluarkanoleh Kerajaan Persekutuan, hendaklah dalam bahasa Inggeris.
(4) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, segala prosiding di dalam Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi hendaklah dalam bahasa Inggeris:
Dengan syarat bahawa, jika Mahkamah dan peguam bagi kedua-dua pihak bersetuju, keterangan yang diambil dalam bahasa yang digunakan oleh saksi tidak perlu diterjemahkan ke dalam atau direkodkan dalam bahasa Inggeris.
(5) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, segala prosiding di dalam mahkamah rendah, selain pengambilan keterangan, hendaklah dalam bahasa Inggeris.
(6) Dalam Perkara ini, "maksud rasmi" ertinya apa-apa maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam.
Meskipun berlaku perkembangan yang ketara dalam pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam sektor pentadbiran negara, namun kajian yang dijalankan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2007 memperlihatkan keadaan yang belum cukup memuaskan. Di sini saya petik rumusan kajian tersebut:
1. Tahap Penggunaan Bahasa Melayu
Secara keseluruhannya, tahap penggunaan bahasa Melayu dalam dokumen rasmi kerajaan mencapai tahap yang memuaskan dengan kebanyakan dokumen ditulis dalam bahasa Melayu sepenuhnya. Penggunaan bahasa Melayu dalam surat rasmi merupakan peratusan tertinggi, iaitu 93.22%. Ini menunjukkan bahawa penjawat awam peka dan mengutamakan penggunaan bahasa Melayu semasa menulis surat rasmi.
Kepekaan dan pengutamaan penggunaan bahasa Melayu dalam memo juga tinggi, iaitu 86.24% menggunakan bahasa Melayu seluruhnya. Namun, dapatan menunjukkan penggunaan bahasa Melayu lebih rendah berbanding dengan surat rasmi, mungkin disebabkan tanggapan sesetengah pegawai bahawa memo dalaman merupakan dokumen yang kurang rasmi berbanding surat rasmi kerajaan. Oleh yang demikian, terdapat penggunaan bahasa Inggeris yang lebih. Namun, bagi dokumen yang lain, tahap penggunaan bahasa Melayunya lebih rendah, dan yang paling ketara ialah Laporan Tahunan yang hanya mencapai 57.78% dalam penggunaan bahasa Melayu sepenuhnya, sementara 11.11% menggunakan sepenuhnya bahasa Inggeris dan 31.11% menggunakan campuran bahasa Melayu-bahasa Inggeris.
Ini menunjukkan bahawa tahap penggunaan bahasa Melayu dalam dokumen rasmi kerajaan masih perlu diberi perhatian dan tahap kepekaan serta jati diri penjawat awam perlu ditingkatkan..
2. Mutu Penggunaan Bahasa Melayu
Secara keseluruhan mutu penggunaan bahasa Melayu dalam dokumen rasmi kerajaan yang diteliti adalah memuaskan. Hampir keseluruhan dokumen memperlihatkan peratus kesalahan yang kecil dari segi kesalahan ejaan, tanda baca, penggunaan istilah, dan pembentukan kata, yang tidak melebihi 10% kesalahan. Hanya dalam beberapa kategori dokumen sahaja didapati kesalahan binaan ayat yang melebihi 10%, iaitu kesalahan binaan ayat dalam Surat Rasmi 23.72%, dalam Memo 18.06%, dalam Minit Mesyuarat 15.50%, dan dalam Borang 11.58%. Sementara itu, kesalahan binaan ayat dalam Risalah (2.86%), Laporan Tahunan (5.66%), Buletin (5.81%), dan Terbitan Tidak Berkala (3.25%) adalah agak rendah, iaitu di bawah 10% kesalahan.
Dapat disimpulkan bahawa penggunaan bahasa Melayu dalam dokumen rasmi kerajaan masih agak lemah dalam aspek binaan ayat yang betul. Walaupun didapati kesalahan ini agak rendah dalam Risalah, Laporan Tahunan, Buletin, dan Terbitan Tidak Berkala, tetapi dokumen tersebut merupakan terbitan yang kebiasaannya melalui proses penyuntingan yang seharusnya rapi, manakala Surat Rasmi, Memo, Minit Mesyuarat, dan Borang pula merupakan bahan yang tidak diterbitkan pun tetapi tetap melalui proses penyuntingan juga.
Sebagai bahasa ilmu pula, khususnya melalui peranannya sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan negara, bahasa Melayu menjadi asas perpaduan kebangsaan apabila generasi muda memperoleh pendidikan dalam bahasa penghantar utama yang sama, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Selain itu, ketetapan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama turut mengisi erti pendemokrasian pendidikan, dengan pengertian bahawa pelbagai ilmu dapat disampaikan kepada sebahagian besar rakyat melalui bahasa yang satu, sehingga kemungkinan wujudnya kesenjangan atau jurang ilmu dan kemahiran, sebagaimana yang berlaku dalam zaman penjajahan dapat dielakkan kerana kita mempunyai sistem pendidikan kebangsaan, bukan sistem yang memisah-misahkan empat aliran (aliran bahasa Inggeris dan tiga aliran vernakular – Melayu, Cina dan India). Penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengembangan ilmu (yang memenuhi fitrah dan disokong oleh sekian banyak kajian, termasuk diungkapkan dalam piagam UNESCO) memungkinkan proses pengilmuan masyarakat menjadi lebih berkesan. Dalam tempoh kira-kira tiga dekad pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama (dengan mengambil tahun 1970 sebagai titik tolaknya), telah terhasil ratusan ribu ahli ilmu, birokrat, teknokrat, profesional dan tenaga pembangunan negara dalam pelbagai bidang, dengan sebahagian besar mereka terdidik dalam sistem kebangsaan yang bahasa penghantar utamanya bahasa Melayu, sekurang-kurangnya sehingga peringkat menengah atas (Tingkatan Lima).
Untuk renungan semula juga, marilah kita hayati peruntukan dalam Akta Pendidikan 1996 (akta yang menggantikan Akta Pendidikan 1961) tentang kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama pendidikan negara:
17. Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa penghantar utama
(1) Bahasa kebangsaan hendaklah menjadi bahasa penghantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan laian yang dikecualikan oleh Menteri daripada subseksyen ini.
(2) Jika bahasa penghantar utama di sesuatu institusi pendidikan adalah selain bahasa kebangsaan, maka bahasa kebangsaan hendaklah diajarkan sebagai mata pelajara wajib di institusi pendidikan itu.
Dalam Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta 1996, disebut juga bahawa pengajian hendaklah disampaikan dalam bahasa kebangsaan.
Aspek yang kurang diperhatikan dan kurang disedari kebanyakan orang tentang kejayaan sistem pendidikan negara yang berbahasa penghantar bahasa Melayu ialah terbentuknya kesatuan sikap, pemikiran, sistem nilai dan pandangan sarwa dalam kalangan generasi muda di Malaysia, selain terbentuknya budaya berbahasa yang relatif seragam. Orang yang bergerak dalam bidang pendidikan dan memperhatikan kehidupan di alam persekolahan pasti dapat menyaksikan bagaimana bahasa Melayu berhasil menjadi wahana yang membentuk sikap, pemikiran, sistem nilai dan pandangan sarwa anak didik di institusi pendidikan. Ternyata bahawa prasangka perkauman dapat diatasi sebahagiannya oleh faktor bahasa. Pasti menarik hasilnya jika kajian empiris tentang aspek itu dapat dilakukan.
Ibu segala masalah yang kita hadapi dalam pelaksanaan dasar bahasa yang berkaitan erat dengan proses pembinaan negara itu ialah ketidaktekalan sikap, pendirian dan pelaksanaan, yang sebahagiannya disebabkan oleh faktor tidak atau kurang memahami peranan bahasa sebagai salah satu asas pembangunan. Pasti pula ketidakfahaman itu disebabkan oleh pemahaman yang silap tentang konsep dan falsafah pembangunan, yang umumnya lebih dipertalikan kebanyakan orang dengan pembangunan fizikal, sehingga faktor bahasa dan budaya dianggap tidak penting dalam usaha mengejar kemajuan. Dalam pada itu, kalangan bukan Melayu, meskipun ribuan langkah di hadapan dalam bidang ekonomi, ternyata begitu perihatin terhadap bahasa dan budayanya dan sanggup mati bergalang tanah untuk mempertahankannya. Sebilangan orang Melayu yang baru agak celik dalam bidang ekonomi tiba-tiba menjadi orang yang angkuh dan memandang hina pula akan bahasa dan budayanya.
Andai kata dasar-dasar kenegaraan yang telah diletakkan oleh kepemimpinan terdahulu, khususnya pada zaman Allahyarham Tun Abdul Razak, dihayati dan diperkukuh pelaksanaannya, nescaya kita tidak berhadapan dengan masalah ketidaktentuan dalam pelaksanaan dasar negara sehingga kita seringkali menjadi tikus yang membaiki labu. Kita sering membuat diagnosis yang silap dalam usaha menyelesaikan sesuatu masalah. Dalam soal yang dikatakan kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar dan lepasan sekolah serta universiti, misalnya, diagnosis yang dilakukan ternyata silap sehingga penyelesaian terhadap masalah itu menjadi silap juga. Kiasan yang dinyatakan oleh Tan Sri Ainuddin Wahid, bekas Naib Canselor pertama Universiti Teknologi Malaysia amat tepat menggambarkan diagnosis yang silap itu, iaitu “Lain yang luka lain yang dibebat”. Penyakit yang dikatakan kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan lepasan sekolah dan universiti tidak diatasi dengan pembaikan dalam pengajaran bahasa itu tetapi dengan menjadikan bahasa Inggeris bahasa penghantar subjek-subjek teknikal.
Kajian yang telah dilakukan (misalnya Juriah Long et al., 2004 dan Norhashimah, 2004) menunjukkan bahawa bukan sahaja pencapaian pelajar dalam subjek bahasa Inggeris tidak meningkat, bahkan subjek matematik dan sains merudum dengan nyatanya. Lebih malang lagi, pencapaian dalam subjek bahasa Melayu pun terkena tempiasnya. Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman pemansuhan PPSMI (pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris), antara lain menekankan bahawa salah satu asas pemansuhan PPSMI ialah disebabkan pencapaian dasar tersebut hanya sekitar 3%, berbanding dengan beberapa bilion wang yang dibelanjakan. Kajian Kementerian Pelajaran Malaysia (sebagaimana yang dilaporkan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zharkasi) juga turut memaparkan bahawa hanya 8% guru Sains dan Matematik yang menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran, sementara keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) pada tahun 2008 memeperlihatkan keputusan yang cukup merosot dalam mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris, sebagai petunjuk kegagalan PPSMI (Berita Harian, 10 September 2011)
Pemantapan dan Kemantapan Korpus Bahasa Melayu sebagai Prasyarat
Tempoh setengah abad yang lalu sesudah kemerdekaan turut memperlihatkan kepesatan usaha memantapkan korpus bahasa Melayu daripada sudut sistem ejaan, peristilahan, kosa kata umum, sebutan, tatabahasa dan laras bahasa. Kisah kejayaan perancangan bahasa dalam bidang korpus itu telah saya rumuskan dalam beberapa tulisan sebelum ini (lihat, misalnya, makalah saya dalam A. Rahim Bakar dan Awang Sariyan, 2005). Terlepas daripada polemik linguistik dan sosiolinguistik tentang sistem bahasa yang dimantapkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan dukungan sekian banyak ahli bahasa dan ahli ilmu dalam pelbagai bidang, dapat dikatakan bahawa bahasa Melayu telah mencapai kemantapan korpusnya dan kemantapan korpus atau sistem bahasa menjadi prasyarat kekuatan bahasa Melayu dalam pembinaan negara bangsa. Kemantapan korpus bahasa Melayu itu telah dimanafaatkan dengan agak meluas dalam pelbagai ranah.
Pemantapan korpus bahasa Melayu, biarpun dengan pelbagai istilah dan tafsiran, seperti adanya istilah pembakuan, penstandardan, penyelarasan atau yang lain, mempunyai erti yang penting dalam rangka pembinaan tamadun bangsa dan negara. Perancangan korpus bahasa berperanan mengisi erti taraf atau kedudukan bahasa Melayu yang dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa komunikasi umum. Apatah ertinya taraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan (yang bermakna bahasa negara) jika sistemnya tidak keruan sehingga tidak dapat dikenal sosok bahasa Melayu yang menjadi bahasa negara itu? Apatah ertinya taraf bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi jika untuk menjadi wahana pelaksanaan pentadbiran negara bahasa itu tidak mempunyai sistem yang kemas dan relatif seragam dalam hal ejaan, sebutan, istilah, kosa kata umum, tatabahasa dan laras bahasanya sehingga tidak dapat menjadi wahana komunikasi pentadbiran yang cekap dan berkesan? Demikian pula, apatah eritnya taraf bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu jika sistem bahasanya tidak mencapai tahap teratur, baku atau standard dan berdaya mengungkapkan hal-hal ilmu?
Dalam kaitannya dengan semua keperluan itulah maka usaha pemasyarakatan bahasa yang baik, teratur dan santun perlu terus-menerus dilaksanakan. Mana-mana bangsa yang bertamadun memiliki ragam bahasa yang baku atau standard, di sisi ragam bahasa basahan atau bahasa sehari-hari, untuk menjadi wahana penzahiran idea, ilmu konsep dan budaya tinggi. Sehubungan dengan itu, pembudayaan berbahasa dengan santun (dengan pengertian berbahasa menurut peraturan linguistik, peraturan sosiolinguistik dan peraturan pragmatik) memerlukan perancangan dan pelaksanaan strategi yang lebih berkesan, khususnya melalui institusi pendidikan, pentadbiran dan media massa.
Tempoh setengah abad lalu meskipun memperlihatkan kemajuan dalam penguasaan sistem bahasa Melayu dalam kalangan pelajar, penjawat awam dan masyarakat umumnya, ternyata masih belum mencapai tahap yang cukup memuaskan jika diukur daripada sudut penggunaan “bahasa Melayu tinggi”. Dengan tidak bermaksud menafikan peranan bahasa sehari-hari, tampaknya bahasa Melayu tinggi yang dapat juga diistilahkan sebagai “bahasa terbina” (elaborated code menurut istilah Bernstein), sebagai lawan “bahasa terhad” (restricted code) belum membudaya dengan mantap dalam kalangan yang seharusnya menguasainya. Masih banyak karya ilmiah yang belum mencapai tahap bahasa Melayu tinggi yang sewajarnya. Masih ketara penggunaan bahasa Melayu yang tidak baku di tempat awam (iklan, nama tempat, bangunan, syarikat dan sebagainya). Demikian juga masih menjadi impian untuk kita menyaksikan pidato, ucapan, syarahan dan perbahasan yang mencerminkan bahasa Melayu tinggi, dengan kekecualian sejumlah orang yang masih agak kecil bilangannya. Seringkali harapan kita untuk menikmati wawancara atau ucapan yang bermutu penyampaiannya (termasuk dalam hal penggunaan bahasa) tidak tercapai, malahan perbahasan di Parlimen kadang-kadang tidak pula mencerminkan kemurnian dan taraf Parlimen itu sendiri, disebabkan bahasa Melayu tinggi yang seharusnya digunakan bertukar menjadi bahasa Melayu rendah, kadangkala dengan carutan dan maki hamun.
Dalam pada itu, sebarang langkah berundur daripada ketetapan dan pelaksanaan yang telah berlangsung disebabkan keraguan yang timbul dalam diri sendiri tidak membantu keutuhan bahasa Melayu. Sebagai contoh, pelaksanaan sebutan baku yang bertujuan untuk membentuk bahasa lisan formal sebagai salah satu cirinya, telah diputuskan pada tahun 1980-an, dan pelaksanaannya diterapkan dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah (KBSM dan KBSR) bermula pada tahun 1988. Dengan keputusan Kabinet pada tahun 2000, sebutan baku dihadkan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu sahaja, tidak lag merentas kurikulum seperti selama 12 tahun sebelumnya.
Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri sebagai penggerak utama, bersama-sama dengan Persatuan Linguistik Malaysia dan beberapa badan bukan kerajaan yang lain telah berhasil memperteguh ciri bahasa lisan formal bagi bahasa Melayu, terutama kemudian apabila penggunaannya di Stesen Televisyen Malaysia Berhad atau TV3 membentuk citra istimewa bagi bahasa Melayu lisan rasmi. Kini Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) berusaha melaksanakan beberapa aspek sebutan baku, terutama bagi kosa kata ambilan daripada bahasa asing. Citra DBP, iaitu program radio DBP selama setengah jam setiap hari (kecuali pada hari Ahad) menjadi contoh penggunaan sebutan baku. Sayangnya program yang dimulakan pada tahun 2002 itu hanya dapat bertahan beberapa tahun sahaja dan telah dihentikan.
Amatlah malang dan menyedihkan bahawa pada tahun 2000 pemansuhan penggunaan sebutan baku dalam bidang penyiaran dan pendidikan dilakukan oleh Kabinet, dengan tidak merujuk kepada Dewan Bahasa dan Pustaka yang salah peranannya, menurut Akta DBP bertanggungjawab membakukan ejaan, istilah dan sebutan bahasa Melayu.
Tuntutan Iltizam untuk Mempertahankan dan Memperkukuh Dasar Bahasa Kebangsaan
Pastilah usaha merancang bahasa Melayu sebagai bahasa tamadun bangsa dan negara untuk waktu mendatang memerlukan waktu dan kaedah yang serapi-rapinya. Perlu ada sesi khas untuk sumbang saran pelbagai pihak dan perlu ada pendokumentasian strategi perancangan itu, sebagai pelan tindakan yang menerjemahkan Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Namun, dalam syarahan ini saya sekadar mencatat beberapa fikiran umum yang mudah-mudahan dapat membantu sedikit banyaknya perancangan bahasa Melayu dalam tempoh setengah abad mendatang.
1. Perancangan yang berkaitan dengan taraf dan peranan bahasa Melayu
i. Peruntukan undang-undang tentang taraf dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu perlu dipertegas dalam pelaksanaan dan penguatkuasaannya. Jika Kerajaan bersedia meminda atau memperluas Akta DBP dalam hal pemberian kuasa untuk mengambil tindakan kepada pihak yang menggunakan bahasa Melayu yang salah di tempat awam, maka tindakan yang sama hendaklah dikenakan kepada sesiapa jua yang tidak menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Mekanisme penguatkuasaan dan tindakan perlu dirancang dengan rapi agar sikap tidak menghormati bahasa kebangsaan dipandang serius oleh semua pihak, sama dengan seriusnya tindakan kepada orang yang melanggar undang-undang negara yang lain. Amatlah ironis halnya apabila penguatkuasaan undang-undang pembuangan sampah yang tidak menentu dan kesalahan lalu lintas, misalnya, diberi perhatian, tidak pula undang-undang melanggar peruntukan Perlembagaan negara yang berkaitan dengan dasar bahasa atau akta pendidikan yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama tidak diberi perhatian sama sekali.
ii. Taraf dan peranan bahasa Melayu perlu diperluas ranah penggunaannya. Mana-mana pengecualian yang tidak munasabah tidak harus wujud lagi dalam Akta Bahasa Kebangsaan atau akta-akta lain, misalnya pengecualian penggunaan bahasa Melayu dalam sistem kehakiman. Demikian juga, kedudukan bahasa Melayu dalam bidang ekonomi (termasuk perdagangan). Beberapa undang-undang yang berkaitan dengan bidang perdagangan yang selama ini ‘menyekat’ penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu disebabkan akta yang berkaitan telah ‘luput tarikh’ (sebilangannya diaktakan sebelum atau pada awal kemerdekaan) hendaklah segera dipinda dan dimasukkan unsur penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu ke dalam akta pindaan itu.
iii. Taraf dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 17(1) Akta Pendidikan 1996 hendaklah dikuatkuasakan dalam sistem pendidikan negara. Langkah mengembalikan pengajaran mata pelajaran sains dan matematik dan subjek teknikal dalam bahasa Melayu baru-baru ini hendaklah disusuli dengan pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama di peringkat tingkatan enam, matrikulasi dan pengajian tinggi. Bahasa Melayu sebagai salah subjek wajib, termasuk di IPTS sebagaimana yang ditetapkan dalam akta tersebut hendaklah dilaksanakan.
iv. Pengayaan khazanah ilmu dalam bahasa Melayu untuk pelbagai lapisan khalayak perlu dijadikan agenda negara. Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan Negara Berhad, Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (Mappim) yang menggemblengkan penerbit institusi pengajian tinggi dan insitusi penyelidikan dan badan-badan lain hendaklah digerakkan agar benar-benar memenuhi tanggungjawab sosial dalam penyediaan dan penerbitan karya ilmu untuk kelompok dewasa, remaja dan kanak-kanak, dalam bentuk cetakan mahupun elektronik. Perlu ada dana yang khusus untuk menjayakan agend memperkaya khazanah ilmu dalam bahasa Melayu.
v. Perlu ditubuhkan jabatan atau unit audit bahasa yang memantau penguatkuasaan dasar bahasa, terutama dalam bidang pentadbiran. Jabatan ini boleh ditempatkan di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam yang bertanggungjawab memastikan mutu perkhidmatan yang baik.
vi. Dewan Bahasa dan Pustaka yang diaktakan sebagai badan perancangan bahasa dan sastera kebangsaan hendaklah diberi wewenang sebagaimana yang seharusnya. Gangguan terhadap pelaksanaan badan tersebut sebagai badan yang diberi amanah memajukan dan mengembangkan bahasa kebangsaan, khususnya oleh pemimpin negara tidak seharusnya wujud. Bidang kuasa dan tujuan DBP ditubuhkan untuk memajukan dan mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu tidak harus terganggu oleh arahan semasa yang bertentangan dengan Akta DBP sendiri. Usahlah diletakkan pimpinan dan karyawaan DBP dalam dilema, antara melaksanakan misi negara dengan memenuhi arahan yang tidak menepati misi tersebut. Dalam pada itu, kepemimpinan Dewan Bahasa dan Pustaka pula perlu berusaha memenuhi tujuan-tujuan badan itu ditubuhkan sebagaimana yang terkandung dalam Akta Dewan Bahasa dan Pustaka dengan tidak terlalu terikat atau mengikat dirinya dengan kehendak semasa pihak tertentu yang bertentangan dengan peranan DBP. DBP perlu terus kreatif dan inovatif dalam gerak kerjanya, bukan mengurangkan atau menghentikan kegiatan dan projek. Penghematan berbelanja dalam pelaksanaan projek bererti halus dan teliti dalam cara berbelanja, dan hal itu pasti disokong penuh, tetapi tidak harus sampai tidak berbelanja untuk projek-projek yang penting untuk kemajuan bahasa, sastera dan ilmu semata-mata kerana hendak memberikan kesan kepada tuan politik bahawa pemimpin DBP pandah berhemat (tetapi sebenarnya tidak memenuhi amanah menjayakan misi memajukan dan mengembangkan bahasa dan persuratan negara.
2. Perancangan yang berkaitan dengan pemupukan bahasa Melayu tinggi
i. Sebagai bahasa tonggak tamadun, usaha bersepadu melalui semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan serta swasta perlu dirancang untuk membudayakan atau memasyarakatkan bahasa Melayu tinggi. Langkah Kerajaan mengadakan Kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni merupakan langkah positif yang dapat dimanfaatkan untuk turut membudayakan penggunaan bahasa yang baik dan santun. Mudah-mudahan komponen “bahasa Melayu tinggi” dapat diintegrasikan dalam pelaksanaan kempen tersebut. Konsep bahasa sebagai “warisan tidak tampak” atau “warisan tidak ketara” sebagaimana yang ditakrifkan dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005 perlu dikembangkan dan direalisasikan dalam kehidupan masyarakat.
ii. Media, baik media cetak mahupun media elektronik perlu meningkatkan peranannya dalam pembudayaan bahasa Melayu tinggi. Kita barangkali memang tidak dapat membendung fenomena bahasa rojak, slanga dan segala bentuk bahasa yang mewakili realiti sosial yang ada. Namun, dengan mengupayakan penyajian program-program yang dapat memasyarakatkan bahasa Melayu tinggi, bahasa Melayu dapat bertahan sebagai bahasa yang mewakili budaya tinggi. Dengan demikian tidaklah menular fenomena “sekerat ular sekerat belut” (seperti yang diistilahkan oleh Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim) dalam penggunaan bahasa bagi tujuan yang rasmi. Yang sungguh-sungguh kita bimbangi ialah kegagalan masyarakat menempatkan ragam bahasa yang betul pada konteks dan situasinya. Sebagaimana kita tidak mengharapkan bahasa yang baku digunakan dalam komunikasi sehari-hari tidak rasmi, maka tidak harus kita terima penggunaan bahasa ragam kolokial dalam urusan rasmi dan ilmiah.
3. Langkah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa supranasional
Bahasa Melayu perlu dirancang menjadi bahasa supranasional, iaitu bahasa serantau dan bahasa antarabangsa. Bahasa Melayu yang gemilang dalam zaman Sriwijaya dan Kesultanan Melayu ialah bahasa yang tidak terikat oleh batas geopolitik. Oleh itu, dalam upaya memperkuat bahasa Melayu di peringkat negara, segala upaya memadukan kerjasama dengan negara-negara berbahasa Melayu yang lain dan mana-mana sahaja pihak yang dapat membantu melonjakkan citra dan kedudukan bahasa Melayu hendaklah dilaksanakan. Sekali lagi kita perlu belajar daripada rakan bukan Melayu kita yang mempunyai rangkaian yang cukup erat dalam pakatan Cina antarabangsa. Sekretariat Melayu Antarabangsa perlu digerakkan semula. Kongres Dunia Melayu Dunia Islam perlu disemarakkan terus. Dewan Bahasa dan Pustaka yang memperoleh kelulusan Kabinet pada tahun 1997 untuk menggerakkan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) perlu mengaktifkan semula badan antarabangsa itu. Sesungguhnya banyak manfaat yang diperoleh daripada kegiatan pengantarabangsaan bahasa dan sastera Melayu, termasuk dalam upaya meningkatkan keyakinan orang di dalam negara sendiri.
Bahasa Melayu pernah menjadi bahasa antarabangsa, khususnya dalam zaman bahasa Melayu klasik pada sekitar abad ke-15 dan beberapa abad berikutnya. Pada masa ini bahasa Melayu belum sampai ke tahap bahasa antarabangsa yang dominan sebagaimana halnya dengan bahasa Inggeris yang telah menjadi bahasa ibunda atau bahasa pertama lebih 45% penduduk 10 buah negara di dunia seperti United Kingdom, Ireland, Australia, New Zealand, Barbados, Jamaica, Trinidad, Amerika Syarikat, Kanada dan Guyana (Fishman et al., 1977), menjadi bahasa rasmi atau bahasa kedua di Botswana, Cameroon, Fiji, Gambia, Ghana, India, Lesotho, Liberia, Malawai, Malta, Mauritius, Namibia, Nauru, Nigeria, Filipina, Zimbabwe, Sierra Leone, Singapura, Afrika Selatan, Swaziland, Tanzania, Tonga, Uganda, Saomoa Barat dan Zambia (Richards, 1991). Dengan kedudukannya sebagai bahasa dunia yang dominan dan kini dipercayai antara bahasa dunia yang berperanan besar dalam proses globalisasi, perbincangan tentang pengajaran bahasa Inggeris kepada penutur asing menjadi tema yang mendapat perhatian besar sehingga perbincangan tentang pengajaran bahasa Melayu kepada penutur asing mungkin dianggap oleh sesetengah orang sebagai kurang relevan.
Namun bahasa Melayu mempunyai kedudukannya sendiri dalam perkembangan bahasa-bahasa utama dunia sehingga memang ada keperluan pengajarannya kepada penutur asing meskipun tidak seluas keperluan pengajaran bahasa Inggeris. Fakta mutakhir yang cukup memberangsangkan ialah pernyataan tentang perkembangan dan potensi bahasa Melayu sebagai bahasa dunia yang dominan, antaranya seperti pernyataan David Graddol, Pengarah The English Company (UK) Ltd dalam jurnal The Future of Language (27 Februari 2004) bahawa bahasa Melayu merupakan salah satu bahasa yang amat pesat berkembang. Perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa akan dibincangkan dalam bahagian selanjutnya. Yang penting ialah bahawa atas dasar adanya keperluan bahasa Melayu diajarkan kepada dan dipelajari oleh penutur asing itu, perlu ada perencanaan yang rapi untuk memenuhi keperluan tersebut.
Penutup
Usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa ranah-ranah lain di negara berdaulat ini hendaklah dilihat sebagai amanah besar yang perlu dilaksanakan oleh semua warganegara. Yang paling utama ialah ketekalan sikap dan pendirian para pemimpin negara agar peranan bahasa Melayu sebagai salah satu pancang pembinaan negara bangsa terus ditingkatkan dan diperkukuh. Iltizam dan sokongan para penjawat awam sebagai pelaksana dasar negara pula membantu menggerakkannya dengan lancar. Bahasa kebangsaan, yang diungkapkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Almarhum Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putera sebagai roh bangsa dan negara yang merdeka tidak seharusnya dikorbankan atas nama pembangunan dan kemajuan, kerana kemajuan yang hakiki turut meliputi keupayaan kita maju dalam bahasa dan landasan budaya kita sendiri.
Bibiliografi
Abdullah Hassan (Ed.). 1999. Perancangan Bahasa di Asia Tenggara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdullah Hassan (Ed.). 2006. Mengapa Kami Bantah! Penggunaan Bahasa Inggeris bagi Mengajarkan Sains dan Matematik. Kuala Lumpur: Persatuan Penterjemah Malaysia.
Abdul Rahim Bakar dan Awang Sariyan (Ed.). 2005. Suara Pejuang Bahasa. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia dan Dawama.
Al-Attas, Syed Muhammad Naquib. 1972. Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Kuala Lumpur: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Al-Attas, Syed Muhammad Naquib. 2001, Risalah untuk Kaum Muslimin. Kuala Lumpur: ISTAC.
Al-Qur`an Tajwid dan Terjemahannya. Jakarta: Yayasan Penyelenggara Penterjemah/Pentafsir Al-Qur`an.
Asraf (Ed.). Manifesto Budaya: Pupus Bahasa Pupuslah Bangsa. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Melayu.
Awang Sariyan. 2005. Hakikat Bahasa dan Realisasi Fungsinya dalam Pembinaan dan Penakatan Tamadun. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia.
Awang Sariyan. 2006. Warna dan Suasana Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Awang Sariyan. 2006. “Analisis Beberapa Isu Utama Sosiobudaya Bangsa”, kertas kerja Dialog Susulan Kongres Kepentingan Bangsa Peringkat Wilayah Persekutuan, Dewan Al-Malik Faisal, Petaling Jaya (15 April 2006). Terbit dlm. Abdullah Hassan. Mengapa Kami Bantah! Penggunaan Bahasa Inggeris bagi Mengajarkan Sains dan Matematik. 2006. Kuala Lumpur: Persatuan Penterjemah Malaysia.
Awang Sariyan. 2007. “Keunggulan Bahasa, Persuratan dan Tamadun Melayu”. Ucap Utama Kolokium Pasca-Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-7, anjuran Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), GAPENA, Persatuan Penulis Pulau Pinang dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (27 Mac 2007) di Dewan Seri Pinang, Pulau Pinang. Terbit dalam Jurnal Persatuan Linguistik Malaysia 2007.
Awang Sariyan. 2009. Mencari Makna Diri Melayu: Renungan untuk Bangsaku. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia.
Collins, J. T. 1998. Malay, World Language A Short History. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Berita Harian, 10 September 2011.
GAPENA dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Kumpulan Kertas Kerja Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-7 (6-8 November 2006).
Juriah Long et al. 2004. “Laporan Kajian Kesediaan Guru dan Pelajar dalam Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris”. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (tidak diterbitkan).
Hassan Ahmad. 2000. Imbasan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd. Yusof Ibrahim. 1996. “Perkembangan Kuasa Politik Melaka” dlm. Zainal Abidin Abdul Wahid et al.. 1996. Malaysia, Warisan dan Perkembangan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nik Safiah Karim et al.. 2003. Tatabahasa Dewan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Norhashimah Jalaluddin. 2006.“Penerimaan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris: Konflik antara Dua Darjat” dlm. Abdullah Hassan (Ed.). Mengapa Kami Bantah! Penggunaan Bahasa Inggeris bagi Mengajarkan Sains dan Matematik. Kuala Lumpur: Persatuan Penterjemah Malaysia.
Persatuan Linguistik Malaysia. 2002. Keranda 152: Bahasa Kita, Air Mata dan Maruah Kita. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia.
~Kembara Bahasa~
11 Oktober 2010/13 Zulkaedah 1432
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment