Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Thursday, February 7, 2013

Puisi "Puisiku"

"Puisiku"

Demikianlah sekadarnya
puisi yang kutitipkan kepadamu
serba sederhana
pada kata
pada rima
pada nada

Tiada 'kan kautemukan
diksi yang bombastik
diksi yang legap
mahupun diksi yang taksa
dan permainan bahasa nan leluasa
kerana kata-kata tiadalah lain daripada sarung makna
perlu indah namun mesti berjiwa

Hajatku sekadar berkongsi
sesuatu tentang diri
perihal insani
dan kisah manusiawi
serta teka-teki
di balik kehidupan duniawi
untuk kupelajari dan kuhayati
menjadi tuntunan dan pedoman sejati

Sejumlah alat stilistik
kumanfaatkan sekadarnya
bukan untuk peragaan
tetapi untuk penegasan
maksud dan pesan

Maafkan daku
seandainya kepuasan estetik tidak kauperoleh
rasa syahdu hiba tidak kauraih
kerana puisiku berbicara tentang cita
tentang jiwa dan citra
bangsa kita yang kerap luka dan duka

Terimalah puisiku seadanya
dengan gaya paling sederhana
untuk berkongsi cita dan rasa
dalam membentuk kekuatan kita
sebagai bangsa berwibawa
yang dihormati dunia
dan diredhai Allah pemilik semesta.

~ Kembara Bahasa ~
8 Februari 2013/27 Rabiul Awal 1434

No comments:

Post a Comment