Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Saturday, March 2, 2013

Puisi "Pasir Salak, Darah Menggelegak"

Semalaman di Pasir Salak
segera mengingatkan daku
akan kebiadaban penjarah dagang
mengadudombakan Sultan Ismail dan Sultan Abdullah
demi kuasa dan serakahnya nafsu penjajah
juga mudahnya si gila kuasa Melayu
tunduk menyerah kerana mendapat kedudukan secara mudah

Tuah mujur Pasir Salak
memiliki pahlawan watan waras fikiran
tiada rela tuan dan ketuanan diketepikan
dirampas oleh si durjana residen
Datuk Maharajalela, Datuk Sagor, Pandak Indut
syahid di tali gantung
demi membela hak dan maruah watan

Amarah pejuang kehormatan
mengajar penjajah erti adab dan hak
Keangkuhan dan keserakahan residen JWW Birch
berakhir dengan melayangnya jiwa
di tangan Si Puntum pengikut setia Datuk Maharajalela

Semalaman di Pasir Salak
menyebabkan darahku menggelegak
mengingat biadabnya penjajah
memporak-perandakan negara
dan kedunguan penguasa bangsa
menilai kaca dan permata
untuk laba yang mendatangkan bencana

Pasir Salak
semoga dikau mengajar waris bangsa
menjadi bijaksana
dan sentiasa waspada.

Kembara Bahasa
3 Mac 2013

1 comment: