Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Friday, October 15, 2010

Banyak Pemimpin yang Tidak Bangga Berbahasa Melayu?




Ulasan berita akhbar "Ramai Pemimpin Tidak Bangga Berbahasa Melayu" (petikan daripada gambar Prof. Emeritus Abdullah Hassan)

oleh Kembara Bahasa
(Daripada Arkib Nota Kembara Bahasa dalam Laman Facebook)

[Akhbar Berita Harian 13 Oktober 2010 menyiarkan berita yang berjudul "Ramai Pemimpin Tidak Bangga Berbahasa Melayu", yang memetik ucapan Dato' A. Aziz Deraman, mantan Ketua Pengarah DBP dalam Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat negeri Terengganu. Ketika mula-mula membaca keratan akhbar yang disiarkan oleh Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan di laman Fb, saya serta-merta teringat akan siaran televisyen di Beijing yang kebetulan baru sahaja saya tonton, dan ada kaitan langsung dengan sikap pemimpin terhadap bahasa negaranya.]

Stesen televisyen CCTV (News) Beijing pada 12 Oktober 2010 menyiarkan rancangan dialog "Cultural Diversity and Peaceful Integration in Asia". Salah seorang tokoh yang diwawancara ialah mantan Presiden Indonesia, Megawati Sukarno. Walaupun semua pertanyaan dikemukakan dalam bahasa Inggeris, penerangan dan gagasan Megawati tentang pengalaman Indonesia mengintegrasikan kepelbagaian budaya kesemuanya dalam bahasa Melayu (Indonesia).

Daripada bahasa badan (reaksi wajah) beliau terhadap semua soalan dan daripada kepantasan beliau memberikan respons, jelas bahawa beliau memahami soalan dalam bahasa Inggeris (dan saya pernah mendengar ucapannya dalam bahasa Inggeris juga dalam majlis lain).

Iktibarnya - Megawati sebagai negarawan negara Indonesia berusaha memberitahu dunia bahawa bahasa negaranya dapat menjadi wahana pengungkap fikiran-fikiran moden tentang politik, soiologi dan hubungan antarabangsa dan beliau mempunyai rasa bangga yang cukup tinggi kepada bahasa negaranya. Bagi sesetengah orang hal itu remeh, tetapi itulah salah satu caranya untuk memartabatkan bahasa negara, lebih-lebih dalam forum antarabangsa! Tiada rasa rendah diri atau khuatir dikatakan tidak cekap berbahasa Inggeris (sedangkan beliau memang mahir berbahasa Inggeris).

Yang mengaibkan, di negara kita sendiri ada kalangan yang lebih selesa dan gah berucap dalam bahasa Inggeris walaupun tidak kena dengan tempat dan ketikanya (untuk urusan dan majlis peringkat kebangsaan!).

Kita masih dapat memahami bahawa ada keperluannya untuk mereka berucap dalam bahasa yang dianggap difahami oleh khalayak umum sedunia (walaupun pada hakikatnya bukan semua khalayak di dunia hanya memahami 'satu-satunya bahasa' yang dianggap unggul, iaitu bahasa Inggeris; bahasa Perancis, Jerman, Mandarin, Jepun, Swiss dan lain-lain merupakan antara bahasa utama dunia juga).

Namun, jika dalam acara dan majlis peringkat kebangsaan pun masih lagi sebilangannya mengutamakan bahasa asing, hal ini amat sukar difahami dan diterima, walhal Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memberikan takrif "bahasa rasmi" sebagai bahasa yang mesti digunakan untuk semua maksud rasmi pada tiga peringkat pentadbiran negara, iaitu kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam. Masih jauh, rasa saya, untuk kita menyaksikan pemimpin kita berucap dalam bahasa negara dalam majlis atau acara yang bertaraf antarabangsa!

2 comments:

  1. Salam, Prof,
    UMNO sudah tidak mahu membicarakan soal ketuanan bahasa Melayu dalam persidangan agung mereka. Perkasakah yang hendak kita harapkan?

    ReplyDelete
  2. Salam
    Sdr. Zul,

    Dalam keadaan sekarang sukar hendak kita harapkan mana-mana pihak selagi kepentingan politik mengatasi keikhlasan. Namun dalam kenyataan media PERKASA baru-baru ini (saya lupa nama yang bercakap), ada desakan yang keras supaya soal bahasa Melayu diberi perhatian. Saya tidak ingat secara pasti inti sari desakan itu. Tampaknya kuasa rakyat jualah yang dapat memberikan harapan kepada perjuangan yang murni.

    ReplyDelete