Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Wednesday, April 6, 2011

Pemansuhan PPSMI: Kerajaan Usah Sekali-kali Berganjak





Pemansuhan PPSMI: Kerajaan Usah Sekali-kali Berganjak

Kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan, tidak sewajarnya berganjak daripada
keputusan yang telah diambil pada tahun 2009 untuk memansuhkan PPSMI dan mengembalikan martabat serta peranan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan, seperti yang telah diasaskan oleh Jawatankuasa Razak 1956 dan kemudian menjadi undang-undang negara dalam Akta Pelajaran 1961, dan seterusnya dalam pindaan Akta Pendidikan 1996.

Langkah kembali kepada sistem dua aliran (Melayu dan Inggeris, meskipun dalam
subjek-subjek bidang sains dan matematik) hanya meruncingkan keadaan dan kedudukan Dasar Bahasa Kebangsaan, yang menjadi salah satu asas kenegaraan dan "pembinaan negara" - untuk perpaduan kebangsaan, untuk pembinaan jati diri negara dan untuk menjadikan bahasa Melayu bahasa berwibawa.

Sesudah mendapati bahawa PPSMI menimbulkan masalah nasional (berasaskan penyataan TPM selaku Menteri Pendidikan apabila memutuskan pemansuhan PPSMI bermula pada tahun 2012 dan hasil kajian ahli bahasa dan pendidikan sejak 2002), amat tidak munasabah kerajaan bertukar haluan semata-mata kerana ingin memenuhi tuntutan sekelompok golongan yang sama sekali tidak memperlihatkan semangat kebangsaan dan tidak pernah memahami "erti bahasa kebangsaan dalam pembinaan negara".

Peningkatan penguasaan bahasa Inggeris, sebagaimana yang telah berkali-kali ditegaskan oleh ahli bahasa dan ahli pendidikan yang mendukung perjuangan bahasa kebangsaan tidak akan dapat diatasi dengan PPSMI, melainkan melalui peningkatan dalam pengajaran bahasa Inggeris itu sendiri. Kementerian Pendidikan sendiri telah mengumumkan MBMMBI dan rancangan itu perlu dilaksanakan dengan berkesan, tanpa mengganggu MBM (Memartabatkan Bahasa Melayu).

Prof. Dr. Awang Sariyan
Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China
Beijing

Ingatan daripada Prof. Datuk Dr. Mohd. Salleh Yaapar

Salam semua,
Hubaya hubaya, tsunami bahasa bakal melanda!!!
Belum cukup dua tahun, iaitu pada tahun 2009, Kabinet memutuskan mahu memansuhkan PPSMI, kini kita semua dikejutkan oleh akhbar-akhbar Inggeris dan Melayu yang dengan bangganya membawa proklimasi "PPSMI may return-- ministry to consider dual medium of instruction." (Lihat lampiran)

Nampaknya kedaulatan Perlembagaan, kedudukan Bahasa Kebangsaan dan suara majoriti rakyat tidak dipedulikan lagi; yang didengar ialah suara PAGE dan golongan elita minoriti. Akibatnya bukan sahaja sekolah telah dipecah-pecahkan kepada kebangsaan dan bukan kebangsaan, PPSM juga akan dipecahkan kepada dua aliran, dan BM akan kembali dikhianati.

Diharap kita semua, terutama Persatuan Linguistik Malaysia, Gapena, Pena, PPBMM
dan organisasi bahasa yang lain, dapat sama-sama melakukan sesuatu bagi mengingatkan pemerintah tentang malapetaka di depan pintu ini.
Wassalam,

Salleh

10 comments:

  1. Salam ayahanda prof,

    menarik isinya namun orang besar tetap tiada punya telinga

    ReplyDelete
  2. Assalam Sdr. Ampuan Awang,

    Nanti telinga mereka baru akan berperanan apabila rakyat telah menunjukkan kuasa!

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum Prof.
    Selepas Interlok, kini timbul lagi isu PPSMI. Pada pendapat saya, pemerintah bukan saja kurang bijak menangani isu malah suka dan sengaja menciptakan isu. Kalau berlaku haru-biru susulan daripada sesuatu isu, pemerintah bukan saja tak mahu mengaku sebaliknya menuduh pihak ini (rakyat yang membantah) dan pihak itu (pembangkang).
    Agak-agak sayalah, Prof, pemerintah sudah yakin dapat menguasai undi Melayu dan kini hendak memancing undi bukan Melayu sebagai persediaan menghadapi PRU.
    Nampaknya, kita dipaksa berdemo lagilah, Prof.

    ReplyDelete
  4. Waalaikumussalam wr.wb.
    Sdr. Suhaimi,

    Kalau pemimpin ada rasa tanggungjawab dan amanah kepada dasar-dasar negara yang berkaitan dengan kepentingan rakyat, tidak terjadi hal sedemikian. Sebilangan besar pemimpin kita bersikap pragmatis, iaitu menurut keadaan semasa, bukan berdasarkan idealisme untuk mempertahankan dasar-dasar yang telah diasaskan oleh pemimpin terdahulu, terutama Allahyarham Tun Abdul Razak.

    Jika perhitungan sesuatu keputusan hanya didasarkan pada keuntungan politik, seperti undi dalam pilihan raya, maka malang sungguh rakyat dan negara kita. Negara akan terus terumbang-ambing tanpa landasan yang utuh kerana keputusan sering diambil berdasarkan nafsu untuk meraih undi dan kemenangan politik (yang sebenarnya alat sahaja untuk suatu perjuangan murni).

    Mudah-mudahan suara dan teguran ikhlas kita ini sampai pada mereka dan dijadikan renungan kerana di Yaumil Akhir kelak semua tindak-tanduk kita di dunia akan ditanyakan.

    ReplyDelete
  5. Prof,semuanya menghala ke arah kebangkitan rakyat.Sejarah telah membuktikan hanya kuasa rakyat sahaja boleh menamatkan kuasa kezaliman. Semoga semua rakyat yg baik Islamnya, murni imannya dan sesiapa jua yg cintakan kebenaran dan keadilan bersiap siaga kerana sy mempercayai Timur adalah wilayah pencetus perubahan zaman berasaskan sabda Penghulu Junjungan saw.

    ReplyDelete
  6. PDDK,

    Insya-Allah mudah-mudahan. Amin.

    ReplyDelete
  7. Prof,

    Mungkin pemimpin akan dengar rintihan rakyat bila tiba saat terakhir datangnya pilihanraya.. Diwaktu itu pemimpin akan jadi sangat prihatin untuk merebut undi..
    Mungkin juga masalah Bahasa Melayu ini pada mereka bukan satu masalah besar..
    Aduhhhh !! Marah sungguh hati bila bahasa bangsa sendiri diperlekehkan..

    ReplyDelete
  8. Sofie,

    Memenuhi tuntutan rakyat hanya pada waktu pilihan raya membuktikan tiadanya keikhlasan dan amanah malahan sebenarnya rasuah.

    Sesungguhnya di akhirat kelak, setiap pemimpin akan ditanya tentang setiap orang yang dipimpinnya (tentang hak dan amanah yang patut ditunaikan kepada orang yang dipimpin).

    ReplyDelete
  9. Kembalikan Tanah Airku
    pada jiwa bangsaku
    bangkit semuanya,
    orang-orangan itu
    jiwanya mati
    bangsa si bangsat
    tenggelam dalam politik
    jangan pangkah lagi
    katakan Aku benci
    orang yang bermuka-muka
    begini.

    ReplyDelete