Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Wednesday, April 13, 2011

PPSMI dan Dongeng Sisyphus


PPSMI dan Dongeng Sisyphus

Awang Sariyan


Dalam dongeng Yunani atau Greek lama dan kemudian dalam mitologi Rumawi, masyhur sekali kisah Sisyphus, iaitu seorang raja yang dihukum oleh dewa Zeus kerana kesalahan besarnya. Disingkatkan kisahnya, hukuman yang diterima oleh Raja Sisyphus ialah menolak batu besar ke puncak bukit supaya batu itu bergolek di lereng yang satu lagi.

Malangnya, dewa Zeus mengenakan deraan kepada Sisyphus dengan menekan batu besar itu setiap kali batu itu sudah tiba di puncak bukit, sebelum sempat bergolek ke lereng yang satu lagi. Maka menderitalah Sisyphus sepanjang hayat menerima hukuman itu.

Saya tidak bermaksud untuk mengajak pembaca percaya akan dongeng Yunani lama itu. Dongeng ialah dongeng. Tiada kebenaran dalam dongeng. Namun ada kiasan dan iktibar yang mungkin dapat dipelajari daripada dongeng. Samalah halnya dengan dongeng bagaimana Puteri Gunung Ledang mengenakan pelbagai syarat yang tidak munasabah untuk menerima pinangan Sultan Mahmud Melaka, seperti perlu membina jambatan emas dari istana Melaka ke puncak Gunung Ledang, menyediakan tujuh dulang hati nyamuk dan hati kuman dan sebagainya yang lain lagi.

Dalam kisah duka pelaksanaan PPSMI sejak tahun 2002, banyaklah “Sisyphus” yang didera menolak batu besar dalam bentuk “martabat bahasa Melayu” supaya batu besar itu berjaya bergolek di lereng sebelah. Namun, “Sisyphus” yang menolak “batu besar” dalam kisah PPSMI itu bukanlah Sisyphus yang berdosa, sebaliknya Sisyphus yang ikhlas memperjuangkan salah satu tunjang bangsa dan negara yang penting, iaitu bahasa negara.

Batu besar yang ditolak itu dikira sudah hampir sampai di puncak bukit sesudah perit getir berusaha apabila kerajaan setuju untuk memansuhkan PPSMI dengan kaedah “mendarat selamat” pada tahun 2012. Meskipun tetap dibayangi keraguan dan tidak dapat yakin sepenuh-penuhnya dengan keputusan itu, apatah lagi dengan penangguhan yang mengambil masa tiga tahun (2009-2012) supaya “mendarat dengan selamat”, segala Sang “Sisyphus” yang menolak batu besar bahasa Melayu itu dapat jua menikmati kelegaan sedikit.

P. Ramlee memetik peribahasa Melayu “Kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari” dalam salah sebuah lagu gubahannya. Itulah yang terjadi apabila gempar dalam media penyataan Menteri Pendidikan bahawa PPSMI mungkin dilanjutkan ke tahun 2015, barangkali pendaratan tidak dapat dilakukan kerana cuaca amat buruk.

Perdana Menteri pula bermain dengan teka-teki apabila berkata bahawa “Setakat ini kerajaan tidak membuat apa-apa keputusan tentang penggunaan dua bahasa (termasuk bahasa Inggeris) dalam pengajaran Sains dan Matematik tetapi memberikan perhatian kepada pandangan (desakan) kumpulan berkenaan (seperti PAGE).” Terang bahawa kelegaan segala Sang “Sisyphus” yang berusaha keras menolak batu besar bahasa Melayu ke puncak bukit hanya sementara.

Maka teringatlah saya akan kata-kata Datuk Baharuddin Zainal (sasterawan Baha Zain) yang berbunyi amaran kepada Sang “Sisyphus” lain. Katanya, “Usah berasa selesa dan seronok sangat. Kita tidak tahu apa yang terjadi esok lusa.” Amaran Datuk Baha Zain kini tampaknya mula menjadi riak-riak yang jika tidak segera ditangani akan menjadi kenyataan kerana bagi kebanyakan sang politikus, pertimbangan paling aula ialah nilai sokongan dan undi dalam pilihan raya.

Tentu ada nilai-nilai lain, seperti pembelaan kepada rakyat yang kurang bernasib baik, pemuliharaan jati diri dan tradisi dan sebagainya, tetapi justru nilai sokongan dan undilah yang sering mejadi keutamaan.

Demikianlah, perjuangan mempertahankan bahasa Melayu sebagai salah satu teras jati diri bangsa Melayu (bangsa teras negara) dan juga sebagai bahasa negara (bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa utama pendidikan dan bahasa segala bidang utama kehidupan bernegara) telah menjadi suatu bentuk salinan dongeng Sisyphus.

Sejak sebelum merdeka hingga sesudah merdeka, nasib bahasa Melayu seakan-akan seperti nasib batu besar yang ditolak ke puncak bukit. Ada ketikanya batu besar itu berjaya ditolak ke atas, tetapi seringkali pula batu itu ditekan dari atas (oleh dewa?) sehingga melorot lagi batu itu ke bawah.

Pejuang bahasa kebangsaan pula seperti Sisyphus yang dihukum kerana sesuatu sebab yang tidak jelas kerana perjuangan mereka berlandaskan hukum negara, iaitu Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang ditunjangi oleh Perlembagaan Persekutuan dan beberapa Akta Parlimen, khususnya Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan dan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka. Tidak ada kesalahan apa-apa pun pada mereka. Sebaliknya yang bersalah ialah mereka yang melanggar hukum dan dasar negara. Bukankah golongan itu yang sepatutnya menjadi Sisyphus?

Bilakah kiranya dongeng Sisyphus dalam kisah perjuangan bahasa Melayu (dan juga dalam bidang-bidang lain) akan berakhir?

~Kembara Bahasa~
14 April 2011

4 comments:

  1. Assalamualaikum, Tuan Kembara Bahasa yang dihormati.

    Pada 7 April 2011 Berita Harian Online melaporkan bahawa YAB Perdana Menteri berkata kerajaan masih mengkaji cadangan sekumpulan ibu bapa supaya diberi kelonggaran kepada anak mereka yang ingin mengikuti pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

    Hebat. PM menerima memorandum PAGE pada 19 Januari 2011. Memorandum GMP diserahkan kepada Menteri Pelajaran sahaja. Untuk menghantar memorandum kepada pihak istana, pejuang bahasa kita perlu berhadapan dengan “peluru” pemedih mata dahulu.

    Wallahuaklam. Wassalam.

    ReplyDelete
  2. Waalaikumussalam wr.wb.,

    Begitulah layanan istimewa kepada 'pejuang' bahasa asing! Pejuang bahasa Melayu yang menjadi bahasa negara dilayan seperti musuh.

    ReplyDelete
  3. Salam, Prof,
    Baru saya sedar, rupa-rupanya bahasa Melayu yang dituturkan nenek moyang kita dahulu sama dengan batu besar - jatuh ke laut cepat tenggelamnya, ditolak ke bukit payah naiknya.

    Kalau bahasa beban, orang seperti Pak Menteri apa? Bebal?

    ReplyDelete
  4. Assalam, Sdr. Zul,

    Demikianlah gambaran sukarnya perjuangan kita dan rakan-rakan lain yang menilai bahasa dan segala milik bangsa sebagai sesuatu yang mesti dipulihara dan dipertahankan,tetapi ada golongan yang memandang remeh akan perjuangan bahasa, budaya (hatta agama). Meskipun berat, 'batu besar' itu perlu terus kita tolak ke puncak bukit.

    ReplyDelete