Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Sunday, April 10, 2011

Puisi: Gema Suara


Gema Suara

Usahlah tuan hamba mengira
kami akan berhenti daripada berkata-kata
kerana kami mewakili suara hati rakyat jelata
suara kesinambungan perjuangan orang merdeka

Usahlah tuan hamba mengira
kami akan berhenti daripada berkata-kata
kerana bahasa warisan pusaka kian ternoda
oleh angkara gembala bangsa yang sering alpa

Usahlah tuan hamba mengira
kami akan berhenti daripada berkata-kata
kerana tidur kami tidak pernah lena
oleh janji yang sering tidak terkota

Usahlah tuan hamba mengira
kami akan berhenti daripada berkata-kata
kerana jati diri bangsa kian sirna
oleh pesona habuan dunia

Usahlah tuan hamba mengira
kami akan berhenti daripada berkata-kata
kerana kemuliaan budi pun kian hampa
oleh hasad, kesumat dan perebutan kuasa

Usahlah tuan hamba mengira
kami akan berhenti daripada berkata-kata
kerana maruah diri telah jadi jajaan leluasa
aib saudara dibuka dan diciptakan tanpa rasa dosa

Usahlah tuan hamba mengira
kami akan berhenti daripada berkata-kata
kerana nilai adab dan martabat bangsa kian tidak terbela
apabila nafsu terdorong merencanakan sengketa

Usahlah tuan hamba mengira
kami akan berhenti daripada berkata-kata
kerana hati kami kian luka
oleh kata bersulam janji tanpa makna

Usahlah tuan hamba mengira
kami akan berhenti daripada berkata-kata
kerana kami ada soalan untuk dijawab di alam sana
tentang tanggungjawab ketika di dunia

Usahlah tuan hamba mengira
kami akan berhenti daripada berkata-kata

~Kembara Bahasa~
11 April 2011, sesudah Subuh

4 comments:

  1. Salam, Prof,
    Saya bukan sahaja mengharapkan kita, rakyat Malaysia, tidak berhenti melaung, menjerit, menulis, dan lain-lain, tetapi saya mengharapkan kita seperti rakyat Mesir, berani berhimpun dan berdemo untuk menghumbankan Mubarak sehingga tidak menjadi insan yang mubarak lagi!

    ReplyDelete
  2. Sdr. Zul,

    Mudah-mudahan perjuangan yang murni dibantu oleh Allah.

    ReplyDelete
  3. Prof, sy sehaluan dan sependirian dengan Sdr ZULKIFLI bahawa tahap sekarang seharusnya usaha menangani kemungkaran tidak lagi pada hati dan lidah semata-mata, tetapi pada tangan kerana proses demokrasi sentiasa dicabuli dan semua jentera negara diperalatkan utk mempertahankan kebatilan. Apa pun tengoklah PRU ke 13 nanti.Saya mengharapkan dan berdoa semoga generasi 2000an ini telah membuangkan sejauh-jauhnya penyakit wahn - cinta dunia dan takut mati kerana kekuatan ummah muslimin sebenarnya bermula di situ.

    ReplyDelete
  4. PDDK,

    Gerakan kesedaran mestilah dibuat di semua peringkat masyarakat untuk mengadakan perubahan atau islah. Dengan sistem demokrasi yang masih menjadi amalan bernegara, walaupun bukan sistem yang sewajarnya menurut syariat, "kuasa undi" itulah "tahap tangan" yang mampu dilakukan oleh rakyat.

    Namun amat malang bahawa masih banyak rakyat yang tidak menggunakan 'kuasa undi' untuk memilih wakil rakyat yang berakhlak, sebaliknya gelap mata kerana habuan dunia. Tugas kita yang 'celik' dan ada ruang mentarbiyah untuk memberikan kesedaran kepada sebanyak mungkin rakyat melalui tulisan dan lisan. Insya-Allah berlaku islah.

    ReplyDelete