Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Wednesday, June 1, 2011

Strategi Pengajaran Bahasa kepada Pelajar Asing (Bahagian 1)



PERTIMBANGAN STRATEGI PENGAJARAN BAHASA KEPADA PELAJAR ASING (Bahagian 1)

Awang Sariyan
(Petikan daripada salah sebuah kertas kerja penulis)

Pertimbangan strategi pengajaran bahasa Melayu kepada penutur asing bergantung pada beberapa asas. Jack C. Richards (1991), misalnya, menyebut perkara yang berikut sebagai asas utama keberkesanan sesuatu program bahasa:

1. Faktor sosiobudaya
2. Faktor gaya pengajaran dan pemelajaran
3. Faktor pelajar
4. Ciri-ciri program (persediaan pengajar, kesahan kurikulum dan prosedur
pengujian, ragam pelajar, bahan, penyelarasan tenaga)

Asmah Haji Omar (2003) membincangkan faktor-faktor yang berikut sebagai asas pengajaran yang berkesan bagi program pengajaran bahasa kepada penutur asing:

1. Mengenal pasti keperluan pelajar
2. Menghadapi kumpulan pelajar yang keperluannya pelbagai
3. Keutamaan: fungsi atau bentuk?
4. Pendedahan kepada fungsi-fungsi bahasa
5. Pertimbangan wacana dan lakuan bahasa
6. Pengajaran nahu
7. Peraturan Sosial dan Budaya
8. Pemilihan variasi bahasa
9. Penyusunan dan pengelolaan butir-butir pengajaran

Untuk kertas kerja ini, pemakalah memusatkan perhatian pada lima aspek yang utama, iaitu:

1. Pelajar
2. Pengajar
3. Kurikulum dan Kaedah
4. Sumber/bahan
5. Pengujian dan penilaian

Faktor Pelajar

Aspek pelajar meliputi isu:

1. peringkat, sama ada rendah, menengah, pengajian tinggi atau asas,
pertengahan, maju;
2. kelompok,sama ada pelajar insitutusi pengajian, profesional atau orang
awam;
3. tujuan dan keperluan mempelajari bahasa Melayu.

Kedua-dua variabel di atas menentukan pengajar, kurikulum dan kaedah, sumber atau bahan dan pengujian dan penilaian yang sesuai dengan peringkat dan kelompok berkenaan. Di Kemboja dan di Sri Lanka, misalnya, terjadi keadaan kursus bahasa Melayu yang disertai oleh pelbagai peringkat usia dan latar belakang demografi lain yang amat berbeda. Sewaktu pemakalah memberikan kursus bahasa Melayu di Seam Reap, Kemboja, dalam tahun 2003, misalnya, kursus berkenaan dihadiri oleh peserta semuda 12 tahun dan setua 60 tahun.

Di Sri Lanka, guru bahasa Melayu yang dilantik oleh DBP dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di negara itu mengalami masalah berhadapan dengan pelajar semuda belasan tahun dan setua 70-an dan dengan pelbagai latar belakang pendidikan dan kerjaya. Masalah yang dihadapi oleh pengajar dengan mudah dapat diduga, terutama berkaitan dengan bahan dan kaedah pengajaran dan juga kesan psikologi pada kedua-dua pihak, iaitu pengajar dan pelajar. Maka itu, sebaik-baiknya pelajar perlu dikelompokkan menurut sekurang-kurangnya dua variabel yang pertama itu tadi.

Selain faktor kelompok usia, sebaik-baiknya dikenal pasti juga tujuan dan keperluan pelajar mempelajari bahasa Melayu. Ada pelajar yang mempelajari bahasa Melayu untuk tujuan ilmiah (melanjutkan pengajian ke peringkat pascasiswazah) tetapi ada juga yang bertujuan untuk mendapatkan kerja di sektor pelancongan, penyiaran, penerjemahan dan diplomasi. Pengajar perlu berusaha menyeimbangkan pengajaranya untuk memenuhi dua keperluan itu walaupun pada asasnya kesemuanya bagi keperluan memperoleh ijazah pertama.

Situasi sedemikian menjadi ciri enam buah universiti di Republik Rakyat China, iaitu di Universiti Pengajian Asing Beijing BFSU, di Universiti Komunikasi China dan di Universiti Peking (ketiga-tiganya di Beijing), di Universiti Pengajian Asing Guangdong (di Guangzhou), di Universiti Bangsa-bangsa Guangxi (di Nanning) dan di Universiti Bangsa-bangsa Yunnan (di Kunming) dan juga beberapa buah universiti di Korea Selatan (seperti Universiti Hankuk, Universiti Busan dan Universiti Woosong) dan beberapa buah universiti di Jepun. Di Universiti Peking, ada kursus khas jangka pendek yang ditawarkan untuk memenuhi keperluan menguasai bahasa Melayu (varian Malaysia dan varian Indonesia) bagi pemandu pelancong.

Dalam kes yang lain, pengajaran bahasa Melayu kepada diplomat dan profesional yang lain memerlukan strategi yang berlainan daripada strategi pengajaran kepada pelajar di institusi pengajian. Kursus yang dikendalikan oleh Persatuan Linguistik Malaysia untuk doktor dari Pakistan, anjuran Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur, misalnya, memerlukan pengajar menumpukan perhatian pada keperluan doktor-doktor berkenaan berkomunikasi dengan pesakit, di samping komunikasi sosial yang lazim. Dengan demikian, penguasaan bahasa tulisan tidak begitu menjadi tumpuan perhatian dalam perancangan sukatan kursus dan pengendalian kursus. Diplomat kedutaan asing di Malaysia pula memerlukan kemahiran komunikasi sehari-hari dan sedikit banyaknya komunikasi rasmi seperti pertuturan dan tulisan yang mudah.

Di Universiti Frankfurt (Johann Wolfgang Goethe Universitat), program intensif pengajaran bahasa Melayu anjuran bersama DBP dan Universiti Frankfurt (2004) telah diadakan sebanyak tiga kali untuk calon Magister (Sarjana) Pusat Pengajian Asia Tenggara universiti tersebut. Kali pertama ialah program selama sebulan setengah yang dikendalikan oleh Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan dengan bantuan Prof. Dr. Bernd Nothofer dan Prof. Dr. H. Steinhaeur berteraskan keperluan memahami persamaan dan perbedaan antara bahasa Melayu variasi Malaysia dengan bahasa Melayu variasi Indonesia. Maka penekanan pengajaran adalah pendedahan aspek kosa kata dan struktur antara kedua-dua variasi itu.

Kali kedua (2006) dan kali ketiga (2007), program berkenaan dikendalikan oleh Prof. Dr. Awang Sariyan. Di samping meneruskan perbandingan dua varian bahasa Melayu, kandungan kursus turut meliputi sosiolinguistik bahasa Melayu (termasuk sejarah dan perkembangan semasa tentang taraf bahasa Melayu dan kepelbagaian ragam bahasa yang wujud di Malaysia), sebutan baku dan tatabahasa bahasa Melayu. Hampir sepanjang kursus intensif itu berlangsung, Prof. Bernd Nothofer yang ketika itu menjadi Pengarah Pusat Pengajian Asia Tenggara menjadi pendamping. Kehadiran beberapa orang pensyarah di Pusat tersebut sebagai peserta banyak juga membantu pemakalah untuk mendapat gambaran tentang masalah yang biasanya dihadapi oleh pelajar dalam soal penguasaan bahasa asing, terutama bahasa Melayu.

Di Republik Rakyat China pula, pemakalah diberi tanggungjawab berkuliah kepada pelajar ijazah pertama yang merupakan lepasan sekolah menengah (pelajar di China melalui sistem 12 tahun pendidikan formal – 6 tahun di sekolah rendah dan 6 tahun di sekolah menengah) yang datang dari pelbagai provinsi (dengan kepelbagaian etnik) di negara tersebut dan tiada pengetahuan sama sekali tentang bahasa Melayu. Oleh sebab itu, kuliah tahun pertama dikendalikan oleh pensyarah penutur jati China yang perlu menggunakan kaedah terjemahan apabila penyampaian kuliah dalam bahasa Melayu sukar difahami oleh pelajar. Subjek yang diberikan meliputi Lisan (Mendengar dan Bertutur), Membaca, Bahasa Melayu Intensif (kosa kata, asas tatabahasa, perbualan dan pemahaman teks) serta Hal Ehwal Malaysia, selain subjek-subjek wajib universiti (kursus falsafah dan kenegaraan) dan bahasa Inggeris.

Untuk tahun kedua, subjek yang ditawarkan meliputi Bahasa Melayu Intensif II, Lisan II, Penulisan dan Hal Ehwal Malaysia II. Bagi kumpulan pelajar tertentu, seperti kumpulan pada sesi akademik 2008/2009, subjek Tatabahasa Bahasa Melayu diperkenalkan. Pada tahun ketiga, pelajar mengikuti kursus Tatabahasa Bahasa Melayu II, Terjemahan Lisan, Pengenalan Sastera Melayu dan Budaya Melayu. Sejak sesi akademik 2008-2009, subjek Perbandingan Bahasa Melayu Varian Malaysia dan Varian Indonesia telah dikuliahkan).

Pada tahun keempat, kursus yang ditawarkan ialah Terjemahan Teks, Bahasa dan Masyarakat (Sosiolinguistik), Perbandingan Bahasa Melayu Varian Malaysia dan Varian Indonesia II, Sastera Melayu (Analisis Karya Agung Terpilih), Hubungan China-Malaysia, Dasar Luar Malaysia dan Isu Semasa Malaysia. Selain itu, pelajar tahun akhir disyaratkan menulis latihan ilmiah tentang salah satu aspek pengajian Melayu/Malaysia. Setiap pelajar disyaratkan lulus dalam ujian lisan (viva vocee) untuk mempertahankan latihan ilmiah masing-masing.

Pada sesi akademik 2009, program pengajian Melayu peringkat sarjana telah dimulakan di Universiti Pengajian Asing Beijing, dengan pemilihan struktur program kerja kursus dan tesis. Antara kuliah yang diberikan termasuklah Kaedah Penyelidikan Kepustakaan, Kaedah Penyelidikan Lapangan dan Penulisan Ilmiah.

Penetapan agar pelajar diberi peluang mendapat pendedahan di negara berbahasa Melayu tampaknya perlu dijadikan dasar, untuk memungkinkan penghayatan yang lebih baik tentang bahasa Melayu. Pelajar Universiti Pengajian Asing Beijing, sejak tahun 2007, telah dihantar mengikuti kuliah satu semester di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya melalui program pemindahan kredit. Kemuncaknya ialah program inap desa yang melibatkan pelajar tinggal dengan penduduk kampung Melayu selama seminggu atau dua minggu untuk menghayati bahasa dan budaya Melayu secara praktis.

Pelajar diminta menulis laporan tentang pengalaman dan kesan mereka sesudah tamat menyertai program tersebut. Selain pelajar BFSU, pelajar Universiti Bangsa-bangsa Guangxi di Nanning pun melaksanakan langkah yang sama dengan menghantar pelajar ke Universiti Malaya untuk program pemindahan kredit dan inap desa.

[bersambung....]

~Kembara Bahasa~
2 Jun 2011

3 comments:

  1. Hai saya ada kawan dari Australia dn dia berminat nak belajar bahasa malaysia ada tak pusat bahasa yg dpt mngajar bahasa malaysia kepada pelancong asing macam kawan saya n. ?

    ReplyDelete