Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Sunday, June 5, 2011

Strategi Pengajaran Bahasa kepada Pelajar Asing (Bahagian 2)


[Gambar: Zhang Song @ Noriah, pelajar tahun pertama Universiti Pengajian Asing Beijing yang mewakili Republik Rakyat China menjadi johan Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri, 2010]

Strategi Pengajaran Bahasa kepada Pelajar Asing (Bahagian 2)

oleh Awang Sariyan
[Petikan daripada salah sebuah kertas kerja penulis]

Faktor Pengajar

Pengajar bahasa Melayu kepada penutur asing menghadapi cabaran yang lebih berat daripada pengajar bahasa Melayu kepada penutur bahasa ibunda atau penutur bahasa kedua (dalam kes di Malaysia orang Melayu ialah penutur bahasa ibunda dan orang Cina, India dan kumpulan etnik lain sebagai penutur bahasa kedua).

Daripada segi linguistik, pengajar perlu sedikit banyaknya mempunyai maklumat kontrastif antara bahasa Melayu dengan bahasa ibunda pelajar. Sebagai contoh, pengalaman pemakalah memberikan kursus kepada penatar dari Sri Lanka (kursus bahasa kepada jurulatih bahasa)menunjukkan bahawa mereka cukup banyak terpengaruh oleh struktur M-D (akibat pengaruh bahasa Tamil dan Sinhalese).

Di Republik Rakyat China, masalah timbul oleh sebab pelajar dipengaruhi oleh bahasa kebangsaan mereka, iaitu bahasa Mandarin yang memang berlainan dalam beberapa banyak aspek sistemnya berbanding dengan bahasa Melayu, baik aspek fonologinya mahupun aspek tatabahasanya.

Dalam hal fonologi, misalnya, pelajar China memang mengalami kesukaran besar untuk mengucapkan bunyi getaran (r) kerana bunyi itu amat minimum wujudnya dalam bahasa mereka dan yang minimum itu pun lain fiturnya daripada segi fonetik dengan fitur bunyi getaran dalam bahasa Melayu.

Demikian juga, perbedaan antara /d/ dengan /t/, antara /b/ dengan /p dan antara /c/ dengan /j/ dan /z/, dalam konteks binaan kata tertentu menimbulkan kesulitan kepada mereka. Kesukaran itu terpancar dalam pengejaan kata-kata tertentu. Saya pernah menerima ucapan melalui e.mel dan sms yang berbunyi "Selamat pedang, Prof.". Mulanya saya agak terkejut, tetapi segera memahami maksudnya, iaitu "Selamat petang", kerana perbedaan antara bunyi /b/ dan /p/ begitu halus dalam bahasa mereka.

Namun, sebaliknya ketiadaan unsur nada dalam pelafazan suku kata dalam bahasa Melayu menjadi asas untuk memudahkan mereka menyebut kata dalam bahasa Melayu; tidak seperti sulitnya pelajar asing yang mempelajar bahasa Mandarin kerana perlu memastikan nada yang betul bagi setiap suku kata dalam sesuatu patah kata, sama ada nada 1, 2, 3 atau 4.

Kesulitan lain berkaitan dengan binaan kata. Oleh sebab bahasa Mandarin bukan bahasa aglutinatif, maka sulit untuk mereka menguasai pembentukan kata terbitan yang menggunakan imbuhan. Disebabkan kecenderungan untuk sedapat mungkin meunggunakan imbuhan yang pada anggapan mereka perlu (walhal banyak juga kata tunggal yang tidak memerlukan imbuhan), maka ada kalanya mereka membentuk kata terbitan yang menimbulkan makna yang salah. Pernah pelajar menulis karangan tentang dirinya mengungkapkan ayat "Saya dan keluarga saya meninggal di provinsi Henan" kerana pelajar itu beranggapan bahawa kata "tinggal" belum sempurna. Contoh yang sama pernah saya kesan semasa memberikan kursus kepada pelajar di Thailand yang hendak menyambung pengajian ke tahap sarjana di Malaysia.

Oleh sebab itu, pengajar perlu sedikit banyaknya membuat analisis kontrastif antara bahasa ibunda pelajar dengan bahasa Melayu, walaupun pengajar tidak semestinya mahir berkomunikasi dalam bahasa pertama pelajar itu. Di Universiti Pengajian Asing Beijing, usaha menghasilkan perbandingan beberapa aspek tatabahasa Melayu dan bahasa Mandarin dimasukkan dalam salah satu bidang kajian yang ditangani oleh Penyandang Kursi Pengajian Melayu dan tenaga akademik Jurusan Bahasa Melayu.

Untuk memahami sistem sosiobudaya antara dua kelompok penutur (Melayu dan China), kajian dilakukan dalam aspek perbandingan sistem sapaan dan ungkapan fatis (Awang Sariyan dan Laila @ Lian Yan, 2010). Diharapkan bahawa hasil kajian analisis kontrastif dan aspek sosiobudaya itu dapat menjadi asas pengajaran yang lebih berkesan. Selain itu sedang diusahakan juga perbandingan daripada segi aspek-aspek tertentu dalam tatabahasa. Bagi ranah yang lebih tinggi, sedang diusahakan perbandingan peribahasa antara kedua-dua bahasa itu.

Sebagai rumusannya, pengajar yang berkesan dalam program pengajaran bahasa Melayu kepada penutur asing ialah pengajar yang bersedia memahami latar sosiobudaya, sistem nilai dan sistem bahasa ibunda pelajarnya. Faktor-faktor yang berkaitan dengan pelajar yang dibincangkan sebelum ini dengan sendirinya perlu diperhitungkan juga oleh pengajar.

[...bersambung]

~Kembara Bahasa~
6 Jun 2011

No comments:

Post a Comment