Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.
~Kembara Bahasa~
Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi
Saturday, June 25, 2011
ISU EPISTEMOLOGI DALAM LINGUISTIK (BAHAGIAN 2)
Isu Epistemologi dalam Linguistik (Bahagian 2):
Asas Epistemologi Barat
oleh Awang Sariyan
[Petikan daripada salah sebuah kertas kerja penulis]
ASAS EPISTEMOLOGI BARAT
Kenyataan yang tidak dapat ditolak dalam perkembangan kegiatan ilmiah, bahkan dalam hampir seluruh kehidupan manusia ialah besarnya pengaruh kebudayaan Barat, yang mula tumbuh dalam zaman Yunani beberapa abad sebelum Masihi kepada kebudayaan manusia sedunia, termasuk dalam masyarakat Islam.
Dapat dikatakan bahawa seluruh bidang ilmu, baik ilmu sains tabii mahupun ilmu sains kemanusiaan disandarkan pada tradisi ilmu Barat, termasuk dalam hal epistemologi. Tradisi ilmu yang kukuh dalam zaman gemilang Islam, terutama dalam zaman Abbasiyah, sejak diambil alih oleh kebudayaan Barat hampir-hampir tidak kelihatan kesannya dalam perkembangan ilmu di dunia. Hanya sesudah timbul gerakan pengislaman ilmu yng secara nyata bermula pada tahun 1970-an, barulah tampak sedikit banyaknya perkembangan ilmu yang berasaskan epistemologi dan kerangka falsafah Islam.
Oleh sebab hampir keseluruhan perkembangan ilmu sedunia hingga kini dapat dikatakan berteraskan kerangka falsafah kebudayaan Barat, termasuk aspek epistemologinya, maka ada baiknya lebih dahulu diberikan gambaran secara ringkas inti sari falsafah Barat yang secara langsung mempengaruhi epistemologi dan perkembangan ilmu sedunia.
Falsafah Barat yang diasaskan oleh orang Yunani sejak 600 tahun sebelum Masihi di Miletus di pantai timur laut Aegean bertitik tolak daripada semangat untuk memahami alam di sekeliling manusia dan alam dalam diri manusia sendiri (White, 1991: iv). Pada para pemikir Yunani purba, falsafah merupakan bahagian penting kehidupan manusia kerana falsafah berkaitan dengan tiga soal asas, iaitu apakah hakikat alam di sekeliling manusia, bagaimanakah fikiran manusia bekerja, dan apakah jalan mencapai kebahagiaan.
Matlamat praktis falsafah orang Yunani ialah memahami isu-isu asas yang berkaitan dengan kehidupan manusia, dengan akal menjadi alat utama untuk melaksanakan penyelidikan falsafah itu. Demikianlah maka sejarah perkembangan falsafah Barat dari zaman kuno yang diwakili oleh orang Yunani ke zaman pertengahan, dan kemudian ke zaman moden ditandai oleh kegiatan akal untuk mencari dan memahami hakikat diri dan alam di sekitarnya.
Usaha manusia Barat mencari hakikat itu dapat dilihat dalam bidang yang dikenal sebagai metafizik, epistemologi, etika, logika, dan falsafah politik (White, 1991: 13 14). Metafizik yang disebut oleh Aristotle sebagai "falsafah pertama" menggarap isu-isu asas seperti hakikat, kewujudan, kemanusiaan, kebebasan lawan ketentuan, dan sebagainya. Bidang ini dikenal juga sebagai teori hakikat kewujudan. Hal ini sesuai dengan etimologi kata metafizik daripada bahasa Latin (meta bererti belakang; oleh itu metafizik berkaitan dengan apa-apa yang ada atau dipercayai ada di belakang sesuatu) (Sidi Gazalba, 1974: 70).
Epistemologi (daripada kata episteme yang bererti ilmu dan logos yang bererti kajian atau sains) ialah bidang falsafah yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan konsep-konsep yang berkaitan dengannya. Bidang ini dikenal juga sebagai teori ilmu. Sementara itu, etika yang dikenal sebagai falsafah moral ialah bidang yang berkaitan dengan isu benar, salah, dan aspek aspek lain yang berkaitan dengan penilaian tingkah laku manusia.
Selanjutnya, logika ialah bidang falsafah yang mengkaji alasan dan struktur hujah, dan menjadi asas setiap penyelidikan falsafah. Akhir sekali, falsafah politik merangkum isu-isu yang timbul dalam kehidupan manusia sebagai anggota masyarakat, termasuk isu kekuasaan politik, utopia, keadilan, dan masalah pengharmonian antara kebebasan dengan tanggungjawab.
Inti sari falsafah Barat yang berkisar di sekitar lima bidang itu tergambar dalam sejarah falsafah Barat dari zaman awal hingga zaman moden. Albert William Levi (1991) membahagi sejarah falsafah Barat kepada empat zaman, iaitu:
a. falsafah zaman silam atau kuno (zaman aristokrat);
b. falsafah zaman pertengahan (zaman paderi);
c. falsafah zaman moden (zaman gentleman);
d. falsafah kontemporari (zaman profesional).
Pembahagian Levi itu membayangkan evolusi falsafah Barat yang bermula dengan peneguhan sistem aristokratik dalam zaman Yunani lalu berkembang kepada penguasaan gereja Roman dalam zaman pertengahan (abad 5 15 M.), dan selanjutnya kepada kemajuan sains dalam zaman moden yang bermula pada abad ke 17.
Menurut analisis Levi (1991: 449), keempat-empat zaman itu menayangkan sejarah dan situasi politik, agama, sains, dan semantik yang dilalui oleh masyarakat Barat dari zaman kuno hingga zaman moden. Falsafah zaman kuno yang dicetuskan oleh Plato, yang dianggap oleh Whitehead sebagai pencetus dan pemuka citra falsafah Barat melalui ungkapan "keseluruhan tradisi falsafah Barat ialah siri nota kaki kepada Plato" (Levi, 1991: 3), menimbulkan soalan "Bagaimanakah aristokrasi dapat dipulihkan?" Saint Thomas Aquinas yang mewakili zaman falsafah gereja pula menimbulkan soalan "Bagaimanakah gereja Roman dapat mencapai kejayaan?" dalam rangka menyediakan institusi serta ideologi yang memungkinkan tercapainya kemapanan sosial secara teokratik.
Selanjutnya, falsafah zaman moden yang diwakili oleh Rene Descartes mengajukan soalan "Bagaimanakah sains dapat berkembang maju dan mencapai kepastian?" sebagai upaya membebaskan falsafah dan pemikiran daripada belenggu paderi ke tangan cendekiawan dengan premis kerjanya berdasarkan kuasa akal dan diri, bukan Tuhan dan ciptaan-Nya.
Betrand Russell (1993) pula membahagi sejarah falsafah Barat kepada tiga zaman, iaitu:
a. falsafah purba yang meliputi zaman pra Socrates (mazhab Miletus, Pythagoras, Heraditus, Parmenides, Empedocles, Anaxygoras, ahli atom, dan Protagoras), zaman Socrates, Plato, dan Aristotle, dan zaman pasca Aristotle (aliran Cynic dan Sceptic, fahaman Epicurus, fahaman Stoik, dan Plotinus);
b. falsafah Katolik yang meliputi zaman paderi (agama Kristian sepanjang empat abad yang pertama, doktor-doktor gereja, iaitu Saint Arubrose, Saint Jerome, Saint Augustine, dan Pope Gregory) dan zaman ahli mazhab (zaman gelap sistem pemerintahan Paus, John The Scot, pembaruan gereja pada abad ke 11, Saint Thomas Aquinas, mazhab Franciscan, dan zaman gerhana Paus).
c. falsafah moden dari zaman pembaharuan hingga zaman Hume (zaman pembaharuan Itali, Machiavelli, Erasmus dan More, islah Katolik, kebangkitan sains, Francis Bacon, Leviathan Hobbes, Descartes, Spinoza, Leibniz, Liberalisme berfalsafah, teori ilmu Locke, falsafah politik Locke, Berkeley, dan Hume) dan dari zaman Rosseau hingga kini (gerakan Romantik, Rosseau, Kant, aliran pemikiran abad ke 19, Hegel, Byron, Schopenhauer, Nietzshe, golongan utilitarian, Karl Marx, Bergson, William James, John Reney, dan falsafah analisis logika).
Zaman falsafah purba yang mengalami ketidaktentuan tentang hal-hal yang berkaitan dengan teologi dan kosmologi bermula dengan ahli-ahli falsafah mazhab Miletus seperti Thales, Anaximender, dan Anaximenes yang spekulasinya bersifat saintifik kepada mazhab falsafah di Itali Selatan yang lebih bersifat keagamaan, dengan Pythagoras sebagai pemukanya; kemudian kepada falsafah keagamaan dan politik (ketaatan kepada negara) yang diwakili terutamanya oleh Socrates, Plato, Aristotle di satu pihak dan golongan Stoik (yang lebih mementingkan hubungan ruh dengan Tuhan lebih daripada hubungan rakyat dengan negara; dan diakhiri oleh Plotinus yang memulakan metafizik Tritunggal Suci (Holy Trinity).
Falsafah Katolik yang menandai tahap kedua evolusi falsafah Barat memperlihatkan konflik antara tugas kepada Tuhan dengan tugas kepada negara dalam bentuk pertentangan antara gereja dengan raja. Pada zaman ini kehidupan intelek diisi oleh kaum paderi. Tempoh keagungan pertama falsafah Katolik dikuasai oleh Saint Augustin sementara tempoh kedua diakhiri oleh Saint Thomas Aquinas. Dari abad ke-4 sehingga abad ke-14, kaum paderi memonopoli falsafah secara mutlak dan dengan itu falsafah ditulis berdasarkan sudut pandangan gereja (Russell, 1993: 362).
Tahap ketiga evolusi falsafah Barat, iaitu falsafah moden ditandai oleh kebangkitan sains yang secara nyata dipelopori oleh Rene Descartes yang di samping menjadi ahli falsafah merupakan ahli matematik dan ahli sains juga. Dalam falsafah, perhatian Descartes tertumpu kepada diri individu dan peranan akal, yang diungkapkannya sebagai "Corgito, ergo sum" ("saya berfikir kerana itulah diri saya"). Dalam hal pengasasan epistemologi Barat moden, Descartes mengemukakan kaedah kesangsian (kesangsian Cartesian) yang ternyata menjadi asas falsafah ilmu dan perkembangan ilmu orang Barat sehingga kini yang menjelma dalam bentuk fahaman subjektivisme, relativisme, dan bahawa tidak ada kebenaran yang mutlak dan muktamad.
Perbincangan tentang inti sari falsafah Barat yang jauh lebih bererti daripada perbincangan tentang perkembangan evolusi falsafah Barat ialah yang berkaitan dengan hasil kegiatan berfalsafah orang Barat dalam pengutaraan asas pemikiran tertentu yang berpengaruh sebagai kerangka falsafah dan pemikiran umat sedunia, tidak terkecuali umat di dunia Islam. Pemahaman akan kerangka falsafah dan pemikiran Barat yang berpengaruh ini penting dalam konteks membebaskan falsafah dan pemikiran umat Islam daripada kerangka falsafah Barat yang tidak cocok dengan pandangan sarwa atau weltaanschauung Islam.
Dalam rangka melaksanakan gagasan pengislaman ilmu, kesedaran dan pemahaman akan kerangka falsafah Barat yang dominan dalam perkembangan ilmu dan sistem pendidikan umat Islam perlu dijadikan titik tolak strategi. Demikianlah, falsafah bahasa yang menjadi tumpuan pembicaraan ini sebagai bahagian falsafah yang penting memerlukan orientasi semula dengan lebih dahulu mengenal pasti falsafah bahasa yang berasaskan kerangka falsafah Barat.
Hasil langsung kegiatan berfalsafah orang Barat dalam konteks pembinaan kerangka falsafah dan pemikiran yang mendasari segala kegiatan intelektual dan ilmiah sehingga kini ialah munculnya fahaman rasionalisme, empirisisme, dan positivisme.
Rasionalisme dan empirisisme menjadi dua paksi asas ilmu yang berada pada dua ekstrem dalam tradisi ilmiah Barat, sehingga tidak ada ilmu yang dibincangkan dengan tidak berasas atau bersandar pada dikotomi salah satu fahaman itu. Sementara itu, positivisme merupakan suatu bentuk empirisisme tulen (pure empiricism) yang bermula dengan pengalaman sebagai asas ilmu tetapi sesudah memperoleh teori dan kaedah tertentu persoalan metafizik tidak dianggap penting lagi (Alparslan, 1994: 8).
Rasionalisme ialah fahaman bahawa sekurang kurangnya sebahagian ilmu manusia bersumber daripada akal tanpa bantuan deria, dan oleh itu manusia dapat mengetahui sesuatu yang tidak dapat dinyatakan oleh deria (Wolff, 1992: 29). Bibit fahaman ini telah bermula pada zaman Plato sehingga beliau disebut sebagai orang yang pertama dalam sejarah yang berusaha memberikan penerangan yang sistematik tentang struktur akal atau mental (Hase, 1992: 91).
Beliaulah yang mempelopori doktrin bahawa "... tidak ada apa-apa yang wajar disebut `pengetahuan' yang dapat diperoleh daripada deria, dan bahawa pengetahuan yang sebenarnya berkaitan dengan konsep" (Russell, 1993: 182). Dalam teori ideanya, Plato membedakan pengetahuan daripada pendapat, dengan menegaskan bahawa pengetahuan tidak mungkin salah, sedang pendapat mungkin saja salah. Satu lagi aspek penting teori idea Plato ialah bahawa sesuatu yang ketara (apparent) hanya merupakan tanggapan yang berasaskan idea atau bentuk unggul. Dengan kata-kata lain Plato mendasarkan tanggapan tentang sesuatu pada konsep. White (1991: 337 341) merumuskan rasionalisme Plato sebagai yang berikut:
a.Terdapat persamaan dan pertalian antara falsafah dengan matematik dalam mencapai kebenaran;
b. Selain alam fizikal yang dapat ditanggap oleh indera, ada dimensi lain tentang hakikat yang dapat ditanggap hanya oleh akal;
c. Alam tampak penuh dengan objek-objek matematik yang disebut Plato bentuk-bentuk. Bentuk sukar dinyatakan dengan beberapa patah kata kerana sifatnya yang bukan benda, model unggul sesuatu yang wujud, dan abstrak. Bentuk mewakili bukan saja benda konkrit bahkan juga sifat seperti keadilan, kecantikan, dan kebaikan;
d. Ilmu tentang bentuk merupakan sebenar benarnya ilmu dan ilmu ini hanya dapat diperoleh oleh akal. Maklumat yang diperoleh oleh deria rendah martabatnya kerana bersifat sementara dan berubah terus, sedang ilmu daripada akal memenuhi ciri kebenaran (truth), kekekalan (permanence), kemantapan (stability), ketahanan (duration), dan ketentuan (certainty).
Rasionalisme mendapat garapan yang lebih mendalam, sistematis, dan utuh di tangan Rene Descartes (1596 1650 M.) pemuka falsafah moden Barat, khususnya yang berkaitan dengan konsep ilmu, sehingga epistemologi atau teori ilmu terangkat menjadi tumpuan kajian falsafah (White, 1991: 341). Pendekatan Descartes menjadi ikutan sejumlah ahli falsafah ternama dalam pemecahan soal bagaimana akal manusia bekerja sebagai alat yang menghasilkan ilmu. Pendekatan Descartes yang mempengaruhi sebilangan ahli falsafah Barat dikenal sebagai "Kesangsian Radikal" (Radical Doubt).
Kata radikal merujuk kepada kesangsian yang asas dan juga yang ekstrem, kerana bagi Descartes, kebenaran mestilah pasti dan tidak goyah. Tidak boleh ada sama sekali kesangsian, walaupun sedikit, dalam akal; sesuatu idea perlu ditolak jika timbul kesangsian (White, 1991: 342).
Sebagai lawan rasionalisme yang berteraskan akal, empirisisme ialah fahaman yang menegaskan bahawa semua pengetahuan manusia bersumber daripada bukti atau pengalaman deria yang lima, dan bukan hasil operasi akal (Wolff, 1992: 29 dan White, 1991: 348). Kalau bibit rasionalisme telah tersemai sejak Plato, maka bibit empirisisme telah bermula lima abad sebelum Masihi juga, iaitu pada zaman Aristotle apabila timbul ungkapan "Tidak ada yang dapat difahami kalau tidak terlebih dulu kita tangkap dengan pancaindera" (Scruton, 1989: 18).
Gagasan Aristotle kemudian mempengaruhi falsafah pada Zaman Paderi selama dua abad (abad ke-11 dan 12 M) dengan tokohnya yang terkenal ialah Saint Thomas Aquinas. Dalam zaman falsafah moden Barat, fahaman itu digarap dengan lebih mendalam dan sistematis oleh John Locke (1632 1704 M) dan ahli-ahli falsafah yang sealiran dengannya.
Dua rukun empirisisme ialah:
a. Ilmu datang melalui deria;
b. Fakta mesti dapat diperhatikan dan diuji (observable and testable).
Pemerhatian yang tidak memenuhi dua ciri ini dianggap palsu dan bukan ilmu yang tulen.
(White, 1991: 348)
Golongan empiris menolak pegangan golongan rasionalis atas dasar bahawa ilmu yang berasaskan pendekatan rasional tidak memberikan sesuatu yang baru, sebaliknya ilmu empiris menghasilkan sesuatu yang belum diketahui sebelumnya.
Asas yang membedakan kedua-dua pendekatan itu ialah bahawa golongan rasionalis menghasilkan penyataan analitis (analytic statements) sementara golongan empiris menghasilkan penyataan sintesis (synthetic statements) (White, 1991: 348 350).
Yang dimaksudkan penyataan analitis ialah penyataan yang memberikan sifat kepada sesuatu dan bahawa sifat itu sedia implisit dalam takrif objek atau konsep itu, misalnya "satu segi sama mempunyai empat sisi" atau "Orang bujang ialah orang yang belum kahwin". Penyataan sintesis pula memberikan sifat kepada sesuatu, tetapi sifat itu di luar takrif benda atau konsep yang berkenaan, misalnya "Kertas ini putih", dengan sifat putih bukan sifat yang sedia terkandung dalam takrif kertas (kerana kertas dapat berbagai-bagai warnanya).
John Locke, ahli falsafah Inggeris yang terkenal dengan Teori Perjanjian Masyarakat (Social Contract) menolak gagasan bahawa akal dapat menanggap pati semesta yang tidak nyata dan bahawa akal telah dilengkapi idea nurani (innate ideas), kerana menurutnya akal tidak lain daripada sehelai kertas kosong yang kemudian menerima tulisan ilmu dari dunia di luarnya. Setiap sesuatu yang ada dalam akal ialah hasil pengamatan (dengan deria) atau refleksi (pemikiran tentang pengamatan).
Pandangan Locke ini diperkukuh oleh seorang lagi ahli empirisisme David Hume yang percaya bahawa objek-objek di dunia menghasilkan kesan (impressions) dalam akal yang jika berkekalan menjadi idea (White, 1991: 351). Kesan rasionalisme dan empirisisme dalam konteks falsafah bahasa dan pendidikan bahasa akan dihuraikan kemudian.
[bersambung....]
~Kembara Bahasa~
26 Jun 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment