Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Saturday, June 18, 2011

Puisi: Doa Kudus untukmu



Doa Kudus untukmu

[Kenangan kepada ayahanda yang pulang ke rahmatullah pada 9 Jun 2010]

Dalam istirahahmu di alam barzakh
Doaku semoga Dia melimpahimu rahmah
Setahun berlalu ingatan daku tiada berubah
Kerana dikaulah pahlawan daku yang gagah

Dalam pahit getir mencari penghidupan
Ikhtiarmu tak bertepi akalmu tak berputusan
Membesarkan kami meskipun sering tiada kecukupan
Syukur redha kami menikmati segala mujur dan ujian

Dengan ajaranmu kami mengenal alif ba ta
Mengenal tajwid dan melancarkan kalamullah
Dikau korbankan waktu malam pengganti lelah
Demi memberi kami perdu tarbiyah

Ilmu yang dikau wariskan
Sedekah jariah yang dikau infakkan
Semoga menjadi saksi berkekalan
Doa kami zuriatmu semoga ditunaikan

Ya Rabb
Ya Tuhan
Ampunilah kami dan ibu bapa kami
Kasihanilah ibu bapa kami
sebagaimana mereka mengasihani kami

Wahai ayahanda tersayang
Dalam ingatan masih terbayang
Pesanmu tak putus tentang sembahyang
Agar hidayah tak akan hilang

Wahai ayahanda tersayang
Tiadalah dapat daku membilang
Jasamu laksana bintang gemilang
Gemerlapan di langit terang-benderang

Tiadalah bekal yang mampu kami hulurkan
Melainkan munajat kepada Yang Menjanjikan
Akan segala kebajikan yang dikau kerjakan
Semoga oleh-Nya senantiasa diperhitungkan


~Kembara Bahasa~
19 Jun 2011

2 comments:

  1. Salam, Prof,
    Al-Fatihah untuk Almarhum Ayahanda Sariyan dan insan tersayang yang mendahului kita.

    Cantik sangat puisi ini hingga saya terasa menjadi sebahagian daripada insan yang menerima tarbiyahnya.

    ReplyDelete
  2. Syukran. Tiadalah dapat sepenuh-penuhnya saya ungkapkan dengan kata-kata tarbiyah dan ta`dib yang telah diberikan oleh Allahyarham kepada kami warisnya, meskipun beliau orang kampung biasa. Demikianlah ibu bapa kita dengan penuh barakah menjadi pendidik yang berjaya, saya kira kerana keikhlasan yang ada pada mereka. Mudah-mudahan kita pun dapat melanjutkan bakti mereka, insya-Allah.

    ReplyDelete