Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Tuesday, June 7, 2011

Strategi Pengajaran Bahasa kepada Pelajar Asing (Bahagian 3)


Strategi Pengajaran Bahasa kepada Pelajar Asing (Bahagian 3)

oleh Awang Sariyan
[Petikan daripada salah sebuah kertas kerja penulis]

Kurikulum dan Kaedah

(a) Pengajaran kepada Pelajar Asing

Kurikulum program bahasa Melayu kepada penutur asing pertama-tamanya bergantung pada tujuan dan keperluan pelajar itu sendiri. Pada umumnya semua pelajar perlu diberi pendedahan dan penguasaan tiga aspek pokok, iaitu aspek kemahiran bahasa, aspek sistem bahasa dan aspek budaya bahasa.

Kemahiran bahasa meliputi empat kemahiran utama, iaitu mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Sistem bahasa pula meliputi tatabahasa, sebutan, ejaan, kosa kata dan laras bahasa. Aspek budaya bahasa meliputi peribahasa, puisi (syair, pantun, sajak dan yang lain) dan kesantunan bahasa. Bagaimanapun peringkat, kelompok dan tujuan pelajar mempelajari bahasa Melayu akan menentukan pemberatan yang sesuai.

Doktor perubatan dari Pakistan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dilatih oleh Persatuan Linguistik Malaysia, misalnya, ternyata memerlukan kemahiran mendengar dan bertutur lebih banyak daripada kemahiran membaca dan menulis, kerana tujuan dan keperluan mereka belajar bahasa Melayu adalah untuk berkomunikasi dengan pesakit di Malaysia. Maka kemahiran membaca dan menulis tidak terlalu dititikberatkan walaupun tetap perlu diberikan.

Pelajar di Universiti Pengajian Asing, di Universiti Komunikasi China, di Universiti Pengajian Asing Guangdong, di Universiti Bangsa-bangsa Guangxi dan di Universiti Bangsa-bangsa Yunnan, misalnya, mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa formal untuk tujuan ilmiah dan juga kerjaya, dan di samping itu didedahkan kepada pelbagai ragam yang wujud dalam masyarakat untuk keperluan interaksi sosial. Maka kurikulumnya meliputi aspek yang menyeluruh. Selain kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis, penguasaan sistem bahasa, terutama tatabahasa, direncanakan dengan agak mendalam.

Sosiolinguistik dikuliahkan untuk mendedahkan kepelbagaian ragam bahasa Melayu yang wujud dalam masyarakat, khususnya untuk memungkinkan pelajar menyedari diglosia yang wujud antara ragam bahasa rasmi dan ragam bahasa tidak rasmi. Kuliah sastera dan budaya Melayu diberikan sebagai pelengkap penguasaan bahasa.

Aspek lain yang ditekankan dalam kurikulum di Universiti Pengajian Asing Beijing ialah sejarah Malaysia, aspek politik, ekonomi dan sosial di Malaysia, hubungan China-Malaysia dan isu-isu semasa Malaysia, yang kesemunya seakan-akan menjurus kepada pengajian Malaysia. Subjek-subjek itu banyak membantu pelajar asing mengenal lingkungan bahasa dan budaya Melayu dalam konteks sistem kenegaraan, ekonomi, undang-undang dan hubungan antarabangsa.

(b) Pengajaran Bahasa Melayu kepada Keturunan Melayu di Negara Bukan Dunia Melayu

Pengajaran bahasa Melayu kepada penutur asing tampaknya turut melibatkan peserta yang sebenarnya merupakan bangsa Melayu (atau sekurang-kurangnya waris Melayu atau diaspora Melayu) tetapi bukan daripada kalangan Melayu di kawasan inti Melayu (Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam dan Singapura). Antaranya termasuklah Melayu di Kampuchea, Melayu di beberapa tempat di Thailand Selatan dan waris Melayu di Sri Lanka.

Di Kampuchea, peserta kursus baru mengenal bahasa Melayu baku di peringkat yang amat asas, kerana bahasa Melayu yang dikuasai oleh mereka ialah bahasa Melayu Cam, dan sebilangannya malahan lebih mahir dalam bahasa Khmer. Oleh itu, maka tenaga pengajar yang lantik oleh DBP menyediakan kurikulum yang amat asas dengan menitikberatkan aspek lisan dan sedikit-sedikit aspek tulisan. Tidak ada sama sekali pengajaran tatabahasa secara formal.

Situasi yang lebih kurang sama berlaku di beberapa bahagian Thailand Selatan, kecuali di Patani (yang sebilangan besar pelajarnya lebih berpeluang mendapat pendedahan tentang bahasa Melayu, oleh sebab faktor bersempadan dengan Malaysia). Pelajar di wilayah Songkla dan Yala, misalnya, memerlukan kurikulum yang asas. Perkembangan baharu pula menunjukkan bahawa bahasa Melayu telah mula diikuti oleh penutur asing yang terdiri daripada pelajar berbangsa Thai, seperti yang terdapat di Universiti Walailak, di wilayah Nakon Si Thamarrat (sumber wawancara dengan Abdul Razak Panaemalae, pensyarah Bahasa Melayu di universiti tersebut, 2010).

Di Sri Lanka pula, walaupun peserta kursus terdiri daripada waris bangsa Melayu, namun bahasa Melayu yang digunakan mereka ialah suatu bentuk Melayu kreol, iaitu bahasa Melayu yang telah memadukan unsur-unsur bahasa Melayu dengan bahasa Singhalese dan Tamil. Profil peserta menunjukkan bahawa sebilangannya lebih kerap menggunakan bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu kreol itu. Maka, kurikulum yang disediakan pun asas sifatnya, iaitu kemahiran bahasa dan sistem bahasa yang asas.

Pengalaman menunjukkan bahawa untuk kelompok dan untuk tujuan apapun, pengajaran bahasa Melayu kepada penutur asing lebih sesuai berteraskan kaedah terus, dengan kadangkala berbantukan kaedah terjemahan. Hanya di peringkat tertentu, iaitu apabila pelajar telah menguasai bahasa Melayu, kaedah kod-kognitif yang menekankan penguasaan rumus mungkin sesuai diterapkan, khususnya untuk pelajar yang telah sampai pada peringkat analisis linguistik.

[...bersambung]

~Kembara Bahasa~
7 Jun 2011

No comments:

Post a Comment