Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Wednesday, June 29, 2011

ISU EPISTEMOLOGI DALAM LINGUISTIK (BAHAGIAN 3)


Isu Epistemologi dalam Linguistik (Bahagian 3)

oleh Awang Sariyan
[Petikan daripada salah sebuah kertas kerja penulis]

ASAS EPISTEMOLOGI ISLAM

Epistemologi Islam dapat difahami dengan mendalami bidang falsafah Islam kerana epistemologi merupakan salah satu bahagian kajian falsafah.. Istilah falsafah Islam membangkitkan kontroversi dalam kalangan sesetengah sarjana Islam, khususnya yang bersangkutan dengan etimologi kata falsafah itu sendiri dan juga kandungan bidang itu. Kedua dua isu yang menimbulkan kontroversi itu saling berkaitan. Sebagaimana yang telah dihuraikan lebih awal, kata falsafah dalam bahasa Arab merupakan kata serapan daripada bahasa Yunani philosophia yang bererti `cinta akan hikmah atau kebijaksanaan'.

Tradisi falsafah Yunani yang menjadi tunjang falsafah Barat memancarkan pandangan hidup orang Yunani dalam aspek teologi, kosmologi, dan etika atau aksiologi yang menurut pandangan Islam meraba raba dan senantiasa dalam pencarian yang tidak berkesudahan. Ketidakserasian konsep falsafah Yunani yang lebih disebabkan oleh kandungannya yang bertentangan dengan asas asas aqidah Islam dalam beberapa hal (seperti yang akan dihuraikan kelak) menyebabkan timbul keberatan pada sebilangan sarjana Islam untuk menerima istilah falsafah Islam.

M. Saeed Sheikh (lihat Zakaria Stapa dalam Ibrahim Abu Bakar, 1994: 7), misalnya, dengan tegas membedakan istilah falsafah muslim daripada falsafah Islam. Falsafah muslim mungkin saja bersifat tidak Islam apabila, misalnya, ahli ahli falsafah yang beragama Islam berusaha menyesuaikan falsafah mereka dengan falsafah yang berakar umbi dalam kebudayaan Barat. Demikianlah, citra falsafah yang disebut falsafah Islam pada peringkat awalnya memang ditandai oleh upaya menerapkan falsafah Yunani, khususnya Platonisme, Neo Platonisme, dan Aristotelisme. Inilah yang diusahakan oleh tokoh tokoh yang dikenal dalam sejarah sebagai falasifah, iaitu ahli falsafah Islam, misalnya al Kindi, al Farabi, Ibn Sina, dan Ibn Rushd (Zakaria Stapa dalam Ibrahim Abu Bakar, 1994: 1 2; Mahmud Hamdi Zaqzuq, 1993: 3 6; Shariff, M.M. 1992), sedang falsafah yang dikembangkan dengan berasaskan falsafah Yunani itu dipertikaikan, ditolak, atau malah dikafirkan oleh setengah setengah sarjana Islam.

Tokoh yang paling keras menganggap falsafah yang berasaskan falsafah Yunani itu sebagai sesat ialah al Ghazali (1058 1110 M) yang melalui karya seperti Tahafut al Falasifah (Kekacauan Ahli Falsafah) dan Al Munqidh Min al Dalal (Pembendung Kesesatan) memperlihatkan asas asas kesesatan aliran falsafah itu (lihat Mahmud Hamdi Zaqzuq, 1993: Pendahuluan dan 3 6). Dalam Tahafut al Falasifah Al Ghazali mengemukakan 20 kesalahan aqidah dalam falsafah yang dianut oleh al Farabi dan Ibn Sina, serta ahli ahli falsafah yang lain, dan tiga yang paling besar ialah:

a. Alam ini qadim dan azali;
b. Allah hanya mengetahui perkara perkara yang umum atau universal (al-kulliyat) dan tidak mengetahui perkara perkara yang khusus (al-juz'iyat);
c. Jasad manusia tidak dibangkitkan semula pada hari Kiamat; hanya roh yang akan menerima pembalasan.
(Zakaria Stapa dalam Ibrahim Abu Bakar, 1994: 2 dan Mahmud Hamdi Zaqzuq, 1993: 17)

Jelas bahawa yang menjadi keberatan sarjana sarjana Islam yang berusaha menjaga kemurniaan aqidah dan syariah Islam ialah aliran falsafah yang bernafaskan falsafah Yunani, sehingga falsafah sedemikian menurut M. Saeed Sheikh hanya layak disebut falsafah muslim kerana kebetulan dikembangkan oleh ahli ahli falsafah yang menganut agama Islam, tetapi belum mencapai konsep falsafah Islam. Apakah falsafah Islam? Menurut M. Saeed Sheikh, falsafah Islam mesti ditakrifkan sebagai upaya menerjemahkan dan membina semula pelbagai wawasan metafizik yang terdapat dalam al Qur'an dengan menggunakan bahasa dan gaya falsafah yang tidak terdapat di dalamnya sebarang unsur muhibah terhadap sesuatu yang tidak Islam (Zakaria Stapa dalam Ibrahim Abu Bakar, 1994: 7 8).

Dengan lebih mendalam, Alparslan (1994) menakrifkan konsep falsafah Islam sebagai "konsep saintifik yang muncul daripada pandangan hidup Islam, tetapi sebagai unjuran daripadanya, secara langsung melalui skema konsep saintifik Islam". Berasaskan takrif tersebut, beliau menggariskan tiga faktor yang mencirikan konsep falsafah Islam, iaitu:

a. pandangan hidup Islam sebagai perspektif yang seluas luasnya dan sebagai asas falsafah;

b. skema konseptual saintifik sebagai asas yang bersifat langsung dan rapat, yang dengannya ahli falsafah melaksanakan kegiatan kegiatannya;

c. kegiatan falsafah itu sendiri yang dilaksanakan melalui istilah istilah khusus yang disebut skema konsep saintifik yang khusus.

Faktor pertama, iaitu pandangan hidup merupakan suasana latar bagi kewujudan falsafah Islam. Pandangan hidup Islam yang melatari falsafah Islam dirumuskan oleh al Attas (1978: 41 42) melalui konsep pengislaman sebagai pembebasan manusia daripada kekangan tahayul, dongeng, animisme, tradisi budaya pribumi, dan sekularisme terhadap akal dan bahasanya. Oleh itu, segala kegiatan saintifik falsafah terlaksana dalam lingkungan suasana latar yang berasaskan pandangan hidup tersebut. Faktor kedua, iaitu skema konsep saintifik dikenal sebagai "konteks" falsafah Islam. Tatanama yang dihasilkan oleh sarjana Islam dengan berlandaskan pandangan hidup Islam melahirkan skema konsep saintifik Islam yang berbeda daripada skema konsep saintifik Barat. Mana mana kegiatan falsafah yang tidak berasaskan skema konsep saintifik Islam tidak dapat diterima sebagai hasil falsafah Islam. Antara skema konsep saintifik Islam yang penting termasuklah konsep ilmu, kebenaran, sains, penyataan saintifik, teori, dan kaedah (Alparslan, 1994: 27).

Akhirnya, faktor ketiga, iaitu skema konsep saintifik yang khusus ialah hasil penyelidikan sarjana dalam bidang masing masing yang bersifat khusus untuk bidang ilmu yang tertentu, tetapi kesemuanya tetap dalam kerangka pandangan hidup dan skema konsep saintifik Islam tadi. Sebagai contoh, konsep konsep dalam disiplin sains tabii mungkin berlainan daripada konsep konsep dalam sains sosial; namun kelainan itu semata mata bersebab daripada kelainan bidang tetapi tetap berasaskan skema konsep saintifik yang sama dalam hal ilmu, kebenaran, keadilan, teori, kaedah dan sebagainya.

Sejajar dengan kenyataan bahawa pandangan hidup Islam melatari falsafah Islam, Seyyed Hossein Nasr (1989) menegaskan ciri falsafah Islam sebagai suatu ilmu tabii yang merujuk serta berdasar pada tauhid sebagai doktrin induknya. Dengan sendirinya falsafah yang berlandaskan skeptisisme atau kesangsian yang menjadi kegiatan ego diri manusia untuk melampaui ilmu Tuhan tidak dapat diterima sebagai falsafah Islam. Bahkan tafsiran "keislaman" ahli falsafah muslim yang jelas terjerat oleh falsafah Barat seperti yang dilakukan oleh Iqbal, menurut S.H. Nasr masih tetap di luar konsep falsafah Islam (Nasr, 1989: 4). Senario falsafah menurut perspektif Islam tidak sesuai lagi disempitkan kepada konsep falsafah yang diamalkan oleh orang Yunani atau ahli ahli falsafah Barat moden seperti Descartes, Leibnitz, Locke, Hume, Kant, dan Hegel, ataupun falsafah yang melahirkan aliran pemikiran eksistensialisme, positivisme, dan mekanisme.

Bahkan falsafah Islam yang sering dikaitkan dengan Ibn Sina dan al Farabi itu pun belum sesungguhnya memenuhi konsep falsafah Islam sejati. Seperti kata Mahsin Mahdi (lihat Zakaria Stapa dalam Ibrahim Bakar, 1994: 9 10), falsafah Islam yang berasal usulkan tradisi Yunani sudah berupa suatu persoalan sampingan saja; pelbagai gantian telah dikemukakan sebagai pilihan yang lebih baik untuk mengisi falsafah Islam, iaitu teologi Islam, perundang undangan Islam, tasawuf Islam, dan sebagainya sehingga sekalian mutakallimin (ahli ilmu kalam atau teologi), ahli sufi, fuqaha, muhadithun (ahli hadith) merupakan pemikir yang sah untuk digelar sebagai ahli falsafah Islam.

Seyyed Hoesein Nasr (1987: 3 4 dan 21 25) memperkukuh pandangan itu dengan mengungkapkan bahawa yang difahami sebagai falsafah itu bukan semata mata falsafah menurut perspektif Barat, bahkan wujud juga dalam segala ilmu Islam yang lain seperti tafsir, hadith, kalam, usul fiqh, tasawuf, sains tabii, matematik, kosmologi, kesenian, psikologi, sains sosial, dan sains politik. Sesungguhnya konsep falsafah yang difahami umum, iaitu falsafah menurut kerangka atau skema pemikiran Barat itu merupakan kesan gerakan orientalisme yang menyemaikan kepercayaan melalui bidang ilmiah dengan teori kebangsaan12 bahawa Islam tidak mampu melahirkan ilmu falsafahnya sendiri melainkan mencedok falsafah tradisi Yunani (Mahmud Hamdi Zaqzuq, 1989: 84 89).

Daripada sudut penggunaan akal sebagai asas berfalsafah, tidak ada agama mana pun yang meletakkan akal manusia begitu tinggi kecuali agama Islam (Mahmud Hamdi Zaqzuq, 1989: 86). Allah memuliakan manusia dan melebihkannya daripada makhluk Nya yang lain dengan mengurniakan akal. Agama Islam meletakkan akal sebagai asas aqidah dan pertanggungjawapan manusia. Mengabaikan penggunaan akal dianggap sebagai satu kesalahan atau satu dosa. Hal ini ditegaskan dalam al Quran Surah al-Mulk, ayat 10 11. Jelas bahawa al Quran menyeru manusia supaya menggunakan akal fikirannya dan hal ini akan dihisab kelak, sesuai dengan penegasan al Quran dalam Surah al Isra’, ayat 36.

Dengan tegas Islam menolak taklid secara melulu dan sebaliknya mewajibkan penggunaan akal fikiran dalam segala hal yang bersangkutan dengan aqidah dan syariah Rasulullah S.A.W. menurut riwayat al-Tarmizi bersabda, "Jangan kamu menjadi pengikut buta." Dalam konteks inilah Taha Jabir al-Alwani (1993) menegaskan ijtihad sebagai keperluan mutlak dalam memastikan kelangsungan hidup syiar Islam. Di samping itu Islam menolak segala bentuk khurafat, sihir, tilik menilik, dan segala perbuatan yang tidak bersandar pada akal yang terpimpin. Inilah asas yang memungkinkan terbentuknya tamadun dan pemikiran Islam yang menurut al-Attas berasaskan intelektualisme dan rasionalisme (1965, 1972, dan 1979).

Dalam konteks pengembangan falsafah sebagai suatu disiplin ilmu, al-Quran menyeru manusia menyelidik sekalian yang ada di langit dan di bumi serta yang ada pada diri manusia sendiri untuk mengenal hakikat kebenaran. Dalam konteks pembicaraan ini, bahasa sebagai bahagian penting diri manusia merupakan sesuatu yang perlu dikaji untuk mencapai pengenalan tentang kekuasaan dan keperkasaan Tuhan. Salah satu ayat al-Quran yang berkaitan dengan hal ini terdapat dalam Surah Fussilat, ayat 53. Jika kita pertalikan persoalan pokok yang digarap oleh ahli ahli falsafah sejak zaman awal, iaitu yang berfokus pada hakikat alam dan hakikat diri, jelas bahawa Islam memang menganjurkan penelitian yang sedemikian.

Berkaitan dengan doktrin falsafah, al-Quran menyajikan aspek aspek yang sempurna, iaitu meliputi hal ehwal duniawi dan hal ehwal ukhrawi. M.M. Shariff (1994) dalam kupasannya tentang doktrin falsafah dalam al Quran menggariskan aspek aspek yang berikut:

a. Hakikat muktamad (Allah dan sifat sifat Nya).
b. Tuhan dan alam.
c. Hubungan Tuhan dengan manusia.
d. Hakikat ruh.
e. Teori ilmu (epistemologi).
f. Kuasa manusia.
g. Kebebasan manusia.
h. Perihal mati.
i. Hidup sesudah mati.

Jelas bahawa cakupan falsafah Islam tidak terkeluar daripada perkara perkara dasar yang berkaitan dengan aqidah. Inilah yang membedakan falsafah Islam daripada falsafah Barat.

Khusus tentang epistemologi Islam, beberapa prinsip yang penting tentang ilmu dapat dirumuskan daripada huraian Jurjani dalam kitabnya Ta`rifat (Muhammad Zainy Uthman, 1989) seperti yang berikut:

1. Ilmu didasarkan pada pegangan (iktikad) yang teguh bertepatan dengan hakikat.

2. Tibanya rupa sesuatu pada akal (al-Attas mengungkapkannya sebagai “ketibaan makna pada diri”).

3. Ilmu merupakan suatu sifat yang ada pada diri manusia yang membolehkannya mendapat dan mengenal kulliyat dan juz`iyyat.

Tentang sumber ilmu pula, kitab Aqaid al-Nasafi yang menjadi sumber rujukan utama Ahli al-sunnah wal-Jamaah menetapkan tiga sumber utama ilmu, iaitu pancaindera yang lima, khabar yang sadiq atau benar dan akal. Jelas bahawa menurut epistemologi Islam, asas untuk merumuskan sesuatu ilmu (termasuk dapatan dan analisis kajian) tidak disandarkan semata-mata pada pancaindera sebagaimana yang begitu ditekankan dalam epistemologi Barat.

[bersambung....]

~Kembara Bahasa~
29 Jun 2011

No comments:

Post a Comment