Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.
~Kembara Bahasa~
Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi
Sunday, November 20, 2011
Benarkah Pejuang Bahasa Melayu telah Terkandas dan Menjadi Kuda Tunggangan Ahli Politik?
[Gambar: Munasabahkah pejuang bahasa yang berhadapan dengan pelbagai risiko itu dianggap pengampu dan kuda tunggangan?]
Ulasan kepada tulisan Sohaimi Abdul Aziz dalam Harakah 21-24 November 2011 (dan siri sebelumnya)
Assalamu`alaikum,
Sebagai susulan daripada tulisan seorang profesor sastera Melayu, Dr. Sohaimi Abdul Aziz dalam Harakah 21-24 November 2011 dan siri sebelumnya yang mendakwa bahawa gerakan pejuang bahasa telah terkandas (gagal)dan para pejuang bahasa dikatakan telah menjadi pengampu serta tunggangan ahli politik, maka saya ingin membuat beberapa penyataan (walaupun masa saya sewajarnya lebih afdal saya gunakan untuk hal-hal yang berkaitan dengan perjuangan daripada melayan dakwaan yang bersifat andaian dan generalisasi itu):
1. Saya yakin bahawa para pejuang bahasa tidak keberatan menerima apa-apa kritik dan cadangan untuk menggerakan perjuangan dengan lebih berkesan, jika niat penulis adalah untuk memberikan idea bernas tentang langkah dan strategi yang berkesan dalam menangani kemelut PPSMI. Namun tampaknya keseluruhan tulisan itu menyalahkan para pejuang bahasa yang dianggapnya tidak sebijak PAGE dan JMM. Yang lebih berat ialah dakwaannya bahawa gerakan bahasa kini ditangani oleh para pengampu kerajaan dan dalam siri akhir disebutnya golongan yang menjadi tunggangan ahli politik. Tulisan itu jelas ditujukan kepada semua pejuang bahasa, seolah-olah tiada pejuang bahasa yang ikhlas (kecuali dia seorang barangkali?) dan hal itu merupakan fitnah belaka kerana selama ini para pejuang bahasa tidak pernah berkompromi dengan dasar dan program yang salah yang dilakukan oleh kerajaan.
Dia barangkali lupa bagaimana para pejuang bahasa, sejak tahun 2002 ketika PPSMI diumumkan, telah melakukan pelbagai gerakan penentangan yang sebahagiannya menyebabkan pejuang bahasa dianggap memusuhi pihak berkuasa. Penulis barangkali lupa juga akan kemuncak penentangan kepada PPSMI dalam bentuk perarakan raksasa ke Istana Negara pada 7 Mac 2009 untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong berkaitan dengan PPSMI, dengan mendapat habuan semburan air berkimia dan gas pemedih mata. Adakah para pejuang bahasa yang sanggup mengambil risiko keselamatan diri itu pengampu pihak berkuasa dan menjadi kuda tunggangan? Dia barangkali lupa juga akan 'kecederaan' yang dialami oleh sesetengah pejuang bahasa, seperti Prof. Shaharir Mohd. Zain yang tidak disambung khidmatnya kerana tegas dalam perjuangan bahasanya (bahkan seminar penghormatan untuknya yang telah diatur pun diarahkan agar dibatalkan). Banyak kisah lain yang tidak perlu dinukilkan di sini tentang 'kecederan' yang dialami oleh para pejuang bahasa.
2. Mungkin penulis merujuk kepada sidang media 49 buah persatuan yang memberikan sokongan padu kepada keputusan TPM memansuhkan PPSMI, pada 24 Oktober 2011 di DBP dan kemudian dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu VIII di DBP pada 28-30 Oktober 2011 GMP telah menyampaikan ikrar sokongan kepada keputusan pemansuhan PPSMI itu di hadapan khalayak Kongres, atas dasar mewakili 148 badan kerabat GMP dan 200 badan kerabat Kongres. Jika itu yang dimaksudkannya sebagai "telah menjadi tunggangan ahli politik" dan pemerintah, maka tafsiran itu silap sama sekali. Sokongan diberikan kepada keputusan pemansuhan PPSMI dan ketika itu belum berbangkit pelan peralihan pemansuhan PPSMI (2016/2021) yang memang tidak disetujui oleh semua pejuang bahasa (wallahu a`lam jika ada yang setuju).
Apakah pilihan yang ada jika kita tidak menyokong satu keputusan yang memang kita perjuangkan sejak 2002? Adakah kerana keputusan itu dibuat oleh pemerintah maka kita perlu beralih haluan untuk tidak menyokongnya, sedangkan memang pemerintahlah yang bertanggungjawab kembali ke pangkal jalan? Para pejuang bahasa tidak boleh diharapkan oleh penulis agar bersikap seperti sesetengah ahli politik yang menyandarkan pendirian pada kepentingan politik, iaitu tidak menyokong sesuatu meskipun baik semata-mata kerana hal itu dizahirkan oleh lawan politiknya. Sebagai profesor, penulis patut tahu menilai kebenaran yang ada kalanya bersifat merentas pihak atau golongan.
3. Apabila pengumuman pelan peralihan 'soft landing' (2016 bagi sekolah rendah dan 2021 bagi sekolah menengah) diumumkan kemudian, GMP dan badan-badan lain telah mengemukakan bantahan, tetapi menjadi nasib yang tidak baik kepada perjuangan bahasa Melayu apabila media berbahasa Melayu tidak sehebat iltizam dan komitmennya berbanding dengan media berbahasa Inggeris dalam memberikan sokongan kepada perjuangan (berbeda dengan PAGE dan JMM yang mendapat sokongan padu dan terancang oleh The Star dan NST). Suara bantahan itu tidak bergema dan digemakan oleh media berbahasa Melayu. Bagaiamanpun saya mengikuti gerakan GMP dan badan-badan lain (meskipun saya hadir atas nama individu sesudah tidak memegang jawatan dalam kepemimpinan persatuan kerana bertugas di luar negara sebelumnya). Mesyuarat-mesyuarat dan sesi perbincangan tentang gerak langkah telah diadakan meskipun kehadiran wakil badan-badan kerabat tidak seperti yang diharapkan.
Antara keputusan yang penting termasuklah mengadakan kempen agar semua sekolah (atau sebahagian besar yang mewakili lebih 90% sekolah yang menurut TPM sendiri selama ini tidak melaksankan PPSMI) agar terus kembali ke era pra-PPSMI tanpa tertakluk kepada pelan 2016/2021. ABIM dan TERAS, khususnya, yang mempunyai cawangan di peringkat negeri telah diberi tanggungjawab mengatur gerakan itu; saya yakin bahawa langakah telah dimulakan tetapi perancangan yang berkaitan dengan soal lojistik dan penyelarasan dengan PIBG/guru besar/pengetua bukan kerja yang dapat diselesaikan dalam beberapa hari. Berilah ruang kepada mereka melaksanakan amanah itu, dan sebaik-baiknya penulis serta semua yang mengaku sayang kepada bahasa Melayu mesti ikut serta, bukan meneropong dari jauh dengan menggunakan teropong yang rosak pula.
4. Saya hanya berharap bahawa pada saat tenaga semua pejuang bahasa perlu digemblengkan secara bersepadu, perhatian kita semua mesti ditumpukan kepada usaha memansuhkan PPSMI (dan juga masalah lain yang menggugat martabat bahasa Melayu sebagai tunjang tamadun negara), bukan memecahbelahkan tenaga-tenaga itu melalui tindakan membuat dakwaan palsu dan fitnah kepada para pejuang bahasa, oleh orang yang telah diberi taraf ulung sebagai profesor dalam bidang pengajian Melayu. Perbedaan pendapat tentang strategi tidak menjadi isu dan masalah, asal saja idea disuguhkan dengan jelas, bukan sekadar melemparkan dakwaan kosong tanpa cadangan yang konkrit; apatah lagi penulis sendiri (jika itulah orangnya yang terserempak dengan saya pada hari Sabtu 19 Nov. lalu) tidak mahu ikut serta dalam gerakan melalui jawabannya kepada pertanyaan saya, "Mengapa sdr. tidak hadir dalam mesyuarat GMP pada 18 Nov. sedangkan maklumat telah dihantar oleh urus setia GMP?" Jawabnya, "Hal-hal perjuangan saya serahkan kepada pihak-pihak lain."
Apakah erti jawaban itu jika tidak menunjukkan bahawa dia bersikap lepas tangan dan tidak mahu ikut bertanggungjawab dalam perancangan dan gerakan memansuhkan PPSMI, meskipun barangkali dia memang tidak setuju akan PPSMI. Yang kita perlukan ialah penyertaan, bukan sekadar perjuangan di mulut. Rupa-rupanya Pengerusi GMP, Prof. Shaharir Md. Zain telah menghubungi penulis dan meminta penyertaannya dalam gerakan perjuangan bahasa di peringkat akar umbi (masyarakat), namun mendapat jawaban yang negatif dengan alasan bahawa ia bukan anggota GMP. Ingin saya bertanya siapakah yang mendaftarkan diri dalam GMP kerana Gerakan Memansuhkan PPSMI ialah gerakan paduan semua individu dan persatuan yang mendukung perjuangan bahasa Melayu, tanpa ada pengisytiharan sebagai anggota berdaftar! Saya sendiri tidak pernah berdaftar sebagai anggota GMP tetapi atas semangat untuk bersatu di bawah payung gerakan itu, maka tidak pernah pula saya dihalang menghadiri mesyuarat, pertemuan atau kegiatan GMP.
Mudah-mudahan cetusan di atas dapat menjadi renungan supaya masa, fikiran dan gerakan kita tidak terganggu oleh adanya 'pejuang' yang lari daripada isu perjuangan tetapi sekadar berusaha memenuhi nafsunya untuk mengkritik tanpa cadangan balas yang konkrit dan tanpa penyertaan dirinya sendiri dalam gerakan perjuangan. Para pejuang bahasa yakin bahawa mereka belum terkandas walaupun terpaksa melalui jalan beronak untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa tunjang tamadun negara. Ada perjuangan yang segera menghasilkan kejayaan dan ada perjuangan yang hasilnya lambat dicapai. Jika kejayaan tidak dapat diraih, setidak-tidaknya para pejuang bahasa telah menunaikan amanah dan tanggungjawab dan perjuangan perlu diteruskan tanpa rasa kecewa dan pasrah untuk terkandas. Demikianlah yang tersurat dalam sejarah perjuangan pelbagai pihak dalam pelbagai zaman. Yang cepat berasa tewas dan terkandas tidak perlu berasa bersalah untuk tidak ikut berjuang. Wallahu a`lam.
~Kembara Bahasa (Awang Sariyan)~
21 November 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Salam, Prof;
ReplyDeleteDoktor itu sepatutnya ikut menyembuhkan sakit yang ditanggung Pejuang Bahasa, bukan menambahkan duka lara mereka.
Salam, Sdr. Zul,
ReplyDeleteMemang lumrah dalam mana-mana perjuangan ada orang sedemikian, yang tidak mahu ikut berjuang meskipun diajak, tetapi bersikap dan meletakkan dirinya sebagai "penilai besar" tentang kerja orang lain. Malangnya penilaiannya itu pula lebih merupakan fitnah dan andaian perasaannya sendiri, tanpa asas ilmiah dengan berdasarkan kaedah membuat rumusan yang sepatutnya dimanfaatkannya daripada disiplin ilmu yang dimilikinya.
Walau apapun, kita yang mempunyai agenda besar untuk terus memartabatkan bahasa Melayu perlu terus bergerak tanpa perlu menjadi alat kepada mana-mana pihak, kerana yang diperjuangkan ialah kebenaran.