Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Monday, November 14, 2011

Fitnah Harta jika Manusia Tidak Waspada


Dalam Surah al-Qasas, ayat 79, diberitahukan oleh Allah perihal Qarun yang kaya-raya telah mengganggu dakwah Nabi Musa a.s. melalui pengaruh hartanya. Maka sebahagian besar masyarakat tertarik oleh harta yang ditawarkan oleh Qarun itu sambil memuji-muji kekayaan Qarun dan menzahirkan cita-cita untuk menjadi kaya seperti Qarun serta meninggalkan ajaran Allah yang disampaikan oleh Nabi Musa a.s.

Mafhum ayat 79 itu: "Maka keluarlah Qarun kepada kaumnya dalam kemegahannya. Berkatalah orang-orang yang menghendaki kehidupan dunia: 'Moga-moga kita akan memiliki harta seperti yang telah diberikan kepada Qarun; sesungguhnya ia mempunyai keuntungan yang besar'."

Dalam ayat 80 pula Allah menjelaskan sikap dan pendirian orang yang diberi ilmu oleh Allah yang mengatakan bahawa tipu daya harta untuk kehidupan dunia sehingga meninggalkan agama Allah merupakan kecelakaan dan ganjaran pahala daripada Allah bagi orang yang beramal saleh jauh lebih baik daripada harta kekayaan dunia itu, tetapi tidak diperoleh pahala itu kecuali oleh orang yang sabar.

Mafhum ayat 80 itu: "Berkatalah orang-orang yang dianugerahi ilmu: 'Kecelakaan yang besarlah bagimu, pahala Allah adalah lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal salih, dan tidak diperoleh pahala itu, kecuali oleh orang yang sabar'."

Tabii sebahagian umat pada zaman Nabi Musa a.s. yang digambarkan dalam al-Qur'an itu berlaku pada kira-kira 4.600 tahun lampau. Ternyata bahawa tabii itu terus-menerus berlaku pada sepanjang zaman hingga zaman ini. Lebih banyak orang yang sanggup menolak atau mengabaikan ajaran agama semata-mata untuk memperoleh kekayaan dan kemewahan hidup.

Tiadalah salah berusaha mengecap nikmat pemberian Allah, selama usaha yang dilakukan tidak terkeluar daripada jalan yang telah disyariatkan oleh Allah dan kekayaan yang diperoleh itu dibelanjakan pula sebahagiannya untuk mendapat keredhaan Allah, melalui infak kepada golongan yang yang berhak seperti fakir miskin, anak yatim dan mereka yang berada di jalan Allah.

Namun, apabila kekayaan diperoleh secara haram, seperti melalui rasuah, penindasan dan penganiayaan, atau malah kekayaan itu memesongkan perhatiannya daripada hukum Allah, maka golongan itu pada hakikatnya telah mendapat kecelakaan kerana menjual agama Allah dengan kekayaan yang sementara.

Dalam ayat 81, Allah mengisahkan bagaimana Qarun dan rumah serta hartanya telah dibenamkan Allah ke dalam bumi dalam keadaan tiada seorang pun yang dapat membantunya.

Maka itu, waspadalah agar kita tidak sampai teperdaya oleh godaan harta kekayaan dan kemewahan hidup di dunia sehingga sanggup mengabaikan agama. Kekayaan penting diupayakan melalui jalan yang halal, bukan untuk kepentingan diri dan keluarga sendiri semata-mata, tetapi dengan maksud untuk diperkongsikan dengan masyarakat melalui infak dan amal jariah.

[Diolah berdasarkan inti sari sebahagian kuliah Maghrib oleh Tuan Guru Sheikh Abdullah Lutfi di Masjid Al-Mardhiyyah, Taman Melawati, 14 November 2011]

~Kembara Bahasa~
15 November 2011/19 Zulhijah 1432

No comments:

Post a Comment