Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Saturday, February 11, 2012

Ketua Pengarah DBP

Ketua Pengarah DBP: Dr Awang ganti Termuzi

Harakahdaily,
08 Feb 2012

KUALA LUMPUR, 8 Feb: Dr Awang Sariyan telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang baharu berkuat kuasa 1 Februari lalu.

Beliau menggantikan Datuk Termuzi Abdul Aziz yang telah tamat perkhidmatan sebagai Ketua Pengarah DBP pada 31 Januari yang lalu.

Jawatan tersebut telah disandang oleh beliau sejak 1 Februari 2009.

DBP dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan satu Majlis Serahan Tugas Ketua Pengarah telah diadakan pada 31 Januari yang lalu di Bilik Mesyuarat Tun Perak, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Prof. Datuk Dr. Md. Salleh Yaapar, Naib Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Pengarah-pengarah Jabatan dan juga Ketua-ketua Bahagian DBP.

Biodata ringkas Dr Awang

Prof. Dr. Awang bin Sariyan ialah Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di Republik Rakyat China, yang berpangkalan di Beijing. Foreign Studies University, Beijing (Januari 2008 – Julai 2011).

Sebelumnya beliau merupakan Pengarah Jabatan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka, Profesor Bahasa di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putera Malaysia dan Profesor Bahasa di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, selain pernah menjadi tenaga akademik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, universiti Brunei Darussalam dan Universiti Pendidikan Sultan Idris. Beliau pernah dua kali menjadi Profesor Tamu di Universiti Frankfurt Jerman dan beberapa kali di Universiti Sumatera Utara, Indonesia.

Beliau turut dilantik menjadi Perunding Seberang Laut Kementerian Pendidikan Singapura sejak tahun 1992 dan telah membentangkan kira-kira 200 syarahan, kertas kerja utama, kertas dasar dan kertas kerja di dalam dan di luar negara (termasuk Australia, Belanda, Brunei Darussalam, Indonesia, Jerman, Kampuchea, Korea Selatan, Perancis, Republik Rakyat China, Singapura, Sri Lanka dan Thailand). Tulisannya meliputi lebih 60 judul buku dan ratusan makalah.

Beliau pernah menjadi Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (2000 – 2008), Anggota Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM), Anggota Perwakilan Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) dan Eksekutif Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM).

Antara hadiah dan anugerah yang pernah diperolehnya termasuklah Hadiah Persuratan Sambutan 10 Tahun UKM, Anugerah Khidmat Cemerlang DBP, Hadiah bahasa PLM-Public Bank, Hadiah Dua Dekad UPM dalam Pengajaran, Anugerah Tinta Kencana (Kategori Makalah Ilmiah), Pengiktirafan Siswazah Cemerlang Sambutan 35 tahun UKM dan Kesateria Mangku Negara daripada Yang di-Pertuan Agong. Biodatanya diterbitkan dalam Ensiklopedia Malaysiana, Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, Ensiklopedia Wikipedia dan Buku Penghargaan kepada Kecemerlangan (A Tribute to Excellence) bersempena dengan ulang tahun ke-35 Universiti Kebangsaan Malaysia, dengan beliau sebagai seorang daripada 100 orang siswazah cemerlang UKM.


4 comments:

  1. Tahniah! Dan Selamat bertugas kepada Ketua Pengarah DBP yang baru. Nampaknya seperti yang dikatakan seorang pegawai DBP, kedatangan Dr. Awang seperti sirih pulang ke gagang. Dr. Awang pernah beberapa kali memegang jawatan penting di DBP sebelum ke Beijing. Dan yang lebih penting, nyatanya kehadiran Dr. Awang menerajui jawatan penting DBP menunjukkan bahawa, Dr. Awang bagaikan meneruskan tradisi tokoh johor dalam bidang bahasa, sastera dan persuratan. Pengarah pertama DBP ialah Pof. Diraja Ungku Aziz dan kini Dr. Awang menduduki jaawatan penting itu sekali lagi. dr. Awang orang Johor berasal dari Pontian. Kembalikanlah kegemilangan bahasa, sastera dan persuratan Melayu di DBP. Jadilah Panglima Bahasa Melayu seperti yang pernah dilabelkan kepada Pengarah DBP Tun Syed Nasir Ismail (Allahyarham).

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih. Saya terima lantikan itu sebagai amanah untuk meneruskan perjuangan mempertahankan dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai salah satu tonggak tamadun negara. Mudah-mudahan dengan sokongan pemerintah, cendekiawan, karyawan dan tenaga kerja DBP serta semua sektor, usaha kita insya-Allah berhasil.

      Delete
  2. Tahniah! Semoga martabat bahasa Melayu dapat dijulang kembali di bawah pentadbiran tuan...Salam Perjuangan!!!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih. Bersama-sama kita gemblengkan tenaga untuk mempertahankan dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai wasilah tamadun negara.

      Delete