Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.
~Kembara Bahasa~
Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi
Friday, November 9, 2012
Puisi "Berkata Si Burung Tiung"
Puisi "Berkata Si Burung Tiung"
Syahdan berkatalah si burung tiung:
Manusia itulah yang mengajarku berkata-kata
lamun tanpa makna yang nyata.
Dilatihnya aku bertubi-tubi.
Maka puaslah hatinya
menyaksikan aku menuturkan kata
meskipun aku tiada mengerti apa-apa.
Di sana sini
rupa-rupanya bukan aku sahaja
yang dilatih menuturkan kata
tanpa memahami makna
untuk memuaskan hati manusia
bahawa ia ada pengikut setia
yang tiada pernah mengubah kata
kendatipun zahirnya iya
lamun hakikatnya tiada.
Syahdan akhirnya berkatalah si burung tiung:
Tiadalah ertinya aku terus mengajuk kata-kata manusia
Meskipun disuguhi makanan di hadapan mata
Jauh lebih bahagia aku terbang bebas merata
berkicau sambil terbang dan hinggap menikmati alam buana
kerana itulah fitrahku kurniaan Yang Empunya.
Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa
kembarabahasa.blogspot.com
Bangkok, 10 November 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Namun…
ReplyDeleteMana mungkin si burung tiung lepas bebas begitu sahaja
Manusia yang membelanya ternyata bersifat durjana
Di warkah perdana, dia bermain silat kata-kata
Burung tiung ditohmahkannya sebagai penderhaka
Dituduh mengkhianati manusia yang telah berbudi kepadanya
Dan pengikut setia mengiyakan tanpa banyak bicara
Hati budinya sudah terpenjara dalam gelap-gelita
Maka si burung tiung yang merdeka sukar berbuat apa-apa
Dipasrahkannya doa dan harapan kepada Sang Pencipta
Moga-moga manusia berbalik kepada akal sihatnya
Dan menjadi khalifah meneraju alam semesta