Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Tuesday, November 9, 2010

Soal Jawab Bahasa (9): Seputar Masalah Penggunaan Kata

Seputar Masalah Penggunaan Kata

Soalan:

1. "Cadangan akan dimajukan kepada Kementerian Kewangan untuk kelulusan." Betulkah penggunaan kata dimajukan? Yang lebih gramatis bagaimana?

2. "Kertas kerja itu belum dibentangkan pada Mesyuarat Pengurusan KPKK." Kata sendi nama yang betul adakah pada atau kepada atau dalam. Yang manakah yang betul?

3. Saya kerap membaca minit mesyuarat KPKK yang berbunyi "...mengemukakan ulasan ke atas maklum balas jemaah menteri.." atau "...kunjungan hormat ke atas Menteri Penerangan...." Betulkah penggunaan kata sendi ke atas dalam ayat tersebut? Saya rujuk "Pusat Rujukan DBP" yang dalam talian. Maksud yang dipaparkan menunjukkan arah - 'ke atas', 'ke bawah'...

- ACO

Penjelasan:

1. Barangkali kata dimajukan yang digunakan dalam sebahagian dokumen rasmi itu diterjemahkan langsung daripada bahasa Inggeris forward. Kata yang lebih tepat ialah mengemukakan, mengetengahkan atau mengajukan. Kata mengajukan sesuai diajukan sebagai pilihan untuk menggantikan memajukan.

2. Dalam ayat itu, kata sendi nama yang tepat ialah dalam (dalam mesyuarat).

3. Dalam konteks dua ayat itu, betul penggunaan kata ke atas, sebagai pilihan bagi kata sendi nama terhadap dan kepada. Namun dalam ayat seperti "Atas perhatian dan kerjasama tuan.....", maka atas tidak perlu ditulis di atas seperti dalam sesetengah surat. Kata atas dalam ayat itu bererti 'kerana'.
Asalnya ke atas memang frasa sendi nama yang menunjukkan arah. Dalam perkembangan bahasa, timbul makna 'terhadap/kepada'.
Dalam bidang kehakiman, misalnya, ada ayat seperti "Hukuman penjara dijatuhkan ke atas (kepada) pesalah itu."

Wallahu a`lam

- Kembara Bahasa

4 comments:

  1. Salam, Prof;
    Lama tidak belayar dari blog ke blog.

    Saya tidak pernah ikut menggunakan "memajukan" seperti maksud dalam soalan, tetapi tidak pula sedar bahawa penggunaannya kurang tepat untuk maksud demikian. Alhamdulillah, dapat lagi maklumat baharu.

    Semoga Prof senantiasa sihat.

    ReplyDelete
  2. Sdr. Zul,

    Ada satu patah kata lain yang sering digunakan oleh sesetengah orang dalam surat, iaitu kata "memanjangkan" (seperti "memanjangkan surat ini kepada...."), yang pada hemat saya tidak tepat.

    Alhamdulillah saya sihat; sesekali memang ada gangguan kesihatan, sebagai kafarah.

    ReplyDelete
  3. Salam, Prof;
    Jika demikian, bata apakah yang sesuai?

    ReplyDelete
  4. Sdr. Zul,

    Untuk "memajukan" dan "memanjangkan" surat, lebih baik kita gunakan kata "mengajukan" (atau "menyampaikan", "mengemukakan"). Kalau maksudnya meminta surat itu diedarkan kepada lebih daripada satu pihak, maka kata yang sesuai ialah "mengedarkan" atau "menyebarluaskan" (kalau memang maksudnya supaya maklumat dalam surat itu disebarluaskan). Wallahu a`lam.

    ReplyDelete