Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Tuesday, April 19, 2011

Pendirian yang Mantap dan Tetap tentang Dasar Negara Diperlukan


Pendirian yang Mantap dan Tetap tentang Dasar Negara Diperlukan

Pada hari ini, Rabu 20 April 2011, berlangsung majlis sambutan kunjungan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B. Tan Sri Muhyiddin Hj. Mohd. Yassin ke BFSU, dalam rangka kunjungan rasmi ke Republik Rakyat China.

Amat menarik bahawa Pengerusi Jawatankuasa Lembaga Universiti (setara dengan Pengerusi Lembaga Pengarah universiti di Malaysia) sendiri yang mengacarakan majlis, tanpa banyak masa terbuang oleh kata-kata pengacara majlis seperti yang menjadi amalan di negara kita. Dengan alu-aluan ringkas, beliau langsung mempersilakan Presiden Universiti dan kemudian Timbalan Perdana Menteri Malaysia untuk berucap.

Menarik juga dicatat bahawa bahasa perantaraan majlis ialah bahasa Mandarin, dan anggota rombongan Malaysia diberi alat terjemahan selari untuk memahami kandungan ucapan dalam bahasa Mandarin. Untuk ucapan TPM dan persembahan dalam bahasa Melayu, disediakan pula terjemahan ke dalam bahasa Mandarin. Usaha memartabatkan bahasa kebangsaan dalam majlis antarabangsa seperti itu patut dicontoh oleh para pemimpin dan para pentadbir semua sektor awam. Tidak berlaku sama sekali kendala perhubungan disebabkan penggunaan bahasa negara dalam majlis peringkat antarabangsa.

Majlis meriah dengan interaksi TPM bersama-sama dengan pelajar-pelajar Jurusan Bahasa Melayu BFSU yang mengemukakan beberapa soalan dalam bahasa Melayu yang baik, tentang dasar bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia, peluang pekerjaan dan usaha peningkatan jalinan persahabatan Malaysia-China. Jawaban TPM diterjemahkan pula ke dalam bahasa Mandarin oleh pelajar-pelajar Malaysia yang mengikuti pengajian Mandarin di BFSU untuk difahami oleh para pemimpin dan pegawai akademik BFSU.

Sesudah itu, pelajar China di Jurusan Bahasa Melayu dan pelajar Malaysia di Fakulti Mandarin bergilir-gilir membuat persembahan seni budaya. Pelajar Malaysia menampilkan kehebatan bahasa Mandarin mereka melalui persembahan nyanyian dan sajak dalam bahasa Mandarin, sementara pelajar China memperlihatkan kefasihan bahasa Melayu dan penghayatan budaya Melayu melalui deklamasi sajak, tarian zapin dan koir "Jalur Gemilang" yang penuh bersemangat.

Berkaitan dengan dasar bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa penghantar utama sistem pendidikan negara, pendirian TPM, baik dalam ucapan mahupun dalam sidang interaksi dengan pelajar cukup mengesankan. Tampaknya pendirian beliau cukup jelas tentang ketetapan undang-undang negara, iaitu Perlembagaan Persekutuan dan beberapa akta seperti Akta Bahasa Kebangsaan dan Akta Pendidikan yang menjadi landasan kedudukan dan peranan bahasa Melayu.

Malah dalam hal istilah 'bahasa Melayu' dan 'bahasa Malaysia' yang masih menjadi polemik di Malaysia, beliau tampaknya secara agak tekal menggunakan istilah 'bahasa Melayu'. Apabila sesekali beliau tersilap menyebut istilah 'bahasa Malaysia', dengan segera beliau membetulkannya dengan berkata, "...maksud saya bahasa Melayu."

Jika sikap, pendirian dan penyataan beliau dalam majlis itu dapat dianggap isyarat pendiriannya untuk terus memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa negara, maka saya dan rakan-rakan pejuang bahasa pasti bersyukur. Sikap dan pendiriannya itu mestilah diterjemahkan dalam bentuk yang selaras dengan undang-undang dan dasar negara tentang kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa negara.

Isu yang paling berkaitan kini tentulah PPSMI yang telah diputuskan untuk dimansuhkan pada tahun 2012 tetapi ada bunyi-bunyi akan dilanjutkan ke tahun 2015 atau mungkin akan ada versi baharu PPSMI yang dilaksanakan, atas tuntutan pihak tertentu yang sebenarnya minoriti.

Demikian juga halnya dengan isu 'bahasa Melayu' dan 'bahasa Malaysia' yang sebenarnya bukan isu jika semua pihak menghormati dan menghayati Perlembagaan Persekutuan. Dalam perlembagaan Persekutuan, jelas dimaktubkan bahasa bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Sikap dan pendirian TPM dalam majlis di Beijing itu perlu diterjemahkan dalam bentuk ketegasan mengekalkan istilah 'bahasa Melayu' atas hujah-hujah yang telah sekian lama diberikan oleh ahli-ahli bahasa.

Kita mengharapkan pendirian yang mantap dan tetap para pemimpin negara dan juga semua pihak yang mengaku taat setia kepada negara Malaysia, dalam soal yang berkaitan dengan dasar dan undang-undang negara, termasuk yang berkaitan dengan Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

~Kembara Bahasa~
2 petang, 20 April 2011

4 comments:

  1. Salam, Prof,
    Maha Suci Allah. Kalaulah percakapan dan pendiriannya tentang bahasa Melayu di luar negara tekal lalu dizahirkannya di dalam negara, alangkah seronoknya kita! Saya akan berkata SYABAS Tan Sri TPM dan SYABAS Pejuang Bahasa. Kalaimat Alhamdulillah akan saya panjatkan berkali-kali dan senantiasa....

    ReplyDelete
  2. Sdr. Zul,

    Di samping berikhtiar secara zahir, umat Islam dituntut bermunajat kepada Allah; mudah-mudahan Allah membuka pintu hati para pemimpin kita untuk membuat sesuatu keputusan berdasarkan pertimbangan yang betul.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum/Salam sejahtera,

    Sehingga kini di sekolah masih keliru apabila Panitia Bahasa bermesyuarat. Kekeliruannya berlaku apabila ada pentadbir sekolah kurang pasti sama ada menggunakan Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia.Buku rujukan atau ulasan bahasa Melayu/Malaysia peringkat SPM ada yang menggunakan Bahasa Melayu dan begitulah sebaliknya.Saya bersetuju sekiranya dikekalkan dengan subjek Bahasa Melayu.

    ReplyDelete
  4. Perlembagaan menetapkan bahawa "bahasa Melayu" ialah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Jika semua orang menghormati Perlembagaan negara, selaras dengan salah satu prinsip Rukun Negara, iaitu "keluhuran Perlembagaan", maka tidak timbul isu istilah "bahasa Melayu" dan "bahasa Malaysia".

    Malangnya, yang kelihatan tidak menghormati Perlembagaan ialah penggubal undang-undang negara sendiri, iaitu ahli-ahli Parlimen yang dilantik mewakili suara rakyat untuk menggubal dasar-dasar negara, termasuk Dasar Bahasa Kebangsaan.

    ReplyDelete