ISU BAHASA : 'DBP perlu taufan perubahan'
Oleh Salbiah Ani
PELANTIKAN Dr Awang Sariyan pada 1 Februari lalu sebagai Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), selepas tidak sampai sebulan memegang jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, diharap membawa angin perubahan kepada badan berkanun terbabit.
Seperti diketahui ramai, Dr Awang bukan orang baru dalam kalangan warga DBP kerana pernah menjawat jawatan Pengarah Jabatan Bahasa, DBP, sebelum melepaskannya untuk beralih ke Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), sebagai Profesor Bahasa.
Ketika memegang jawatan Profesor Bahasa itu, beliau dilantik sebagai Pemegang Kursi Pengajian Melayu, Foreign Studies University Beijing, China, bermula Januari 2008 dan melepaskannya pada Julai 2011 untuk kembali semula ke DBP, tetapi proses pelantikan mengambil masa yang panjang.
Pelantikan Dr Awang sebagai Ketua Pengarah DBP yang baru bagi menggantikan Datuk Termuzi Abdul Aziz yang tamat perkhidmatannya pada 31 Januari lalu selepas memegang jawatan itu sejak 1 Februari 2009, memecahkan tradisi pelantikan Ketua Pengarah DBP.
Ini kerana selepas Datuk A Aziz Deraman bersara daripada jawatannya sebagai Ketua Pengarah DBP pada 2004, proses pelantikan pengganti jawatan itu mengambil masa lebih daripada 100 hari seperti dicatatkan Dr Firdaus Abdullah dan Termuzi.
Hendaknya pelantikan sepantas kilat Dr Awang itu akan membawa ‘taufan’ perubahan ke DBP kerana banyak perkara yang terpaksa dihadapi badan berkanun terbabit dalam mendepani pelbagai kemelut dalam usaha memartabatkan bahasa dan sastera negara ini.
Penulis berharap segala permasalahan yang berbangkit sebelum ini, kononnya ekoran kurangnya penghayatan semangat kebahasaan dan kesusasteraan pucuk pimpinan atasan, tidak lebih daripada sekadar hanya suatu khabar angin.
Dengan ketokohan Dr Awang sebagai Profesor Bahasa sehingga ke Benua China, hendaknya beliau dapat menjalin hubungan erat dan mendapat kepercayaan padu daripada ‘tuannya’, Kementerian Pelajaran, bagi mempermudah serta melancarkan usaha memartabatkan bahasa mahupun sastera.
Tindakan berani Termuzi membongkar kemelut dengan DAWAMA yang menjadi duri dalam daging DBP sejak sekian lama, hendaknya disusuli Dr Awang dengan usaha segera ‘mengubati’ beberapa ‘kudis buta’ lain agar badan berkanun terbabit tampak lebih bermaruah lagi relevan pada alaf ketiga ini!
Setahun penulis, sejak pemergian A Aziz, majlis yang ditangani DBP dalam hal memantap dan menyebarluaskan hal kebahasaan serta kesusasteraan, iaitu Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM), Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) dan Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM), ibarat berkubur tanpa nisan, sedangkan duit negara sudah pun lebur bagi pembentukannya!
Hendaknya Dr Awang juga dapat meninjau kembali perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sebagai antara bahasa rasmi pada persidangan kemuncak untuk negara Pertubuhan Negara Asia Tenggara (ASEAN), berterusan dan bukan sekadar omong kosong!
Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, rasmi dan kebangsaan negara ini juga perlu diberi perhatian pada kadar segera, sebelum terus hanyut diperbudak mahupun diperlekehkan pemimpin politik, tokoh korporat dan pendidikan negara serta individu Malaysia bersifat talam dua muka!
Penulis tidak dapat pastikan sejauh mana benarnya dakwaan pemotongan dana DBP pada kadar melampau yang berlaku selepas A Aziz bersara sehingga membataskan kegiatan badan berkanun itu dan capaian kelompok sasarnya.
Tak apalah jika benar sekalipun kerana penulis yakin dengan ketokohan dan citra Dr Awang, pasti mudah bagi beliau meyakinkan pihak berkenaan bagi memastikan DBP mendapat lebih banyak dana untuk pembangunan bahasa mahupun sastera negara.
Tidaklah nanti persatuan penulis ternanti-nanti bantuan bagi membiayai kegiatan berpersatuan seperti yang terjadi kepada mereka hari ini, meskipun sebelum ini pernah individu dalam badan induk yang menaungi mereka menabur janji dalam usaha mempertahankan kerusi!
Jika Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) yang kini dikenali sebagai Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) yang asalnya hanya Bahagian Terjemahan DBP dapat mengembangkan sayapnya dengan sokongan padu daripada pucuk pimpinan negara, mengapa tidak DBP?
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Dicatat oleh Cikgu Taufiq di 8:14 PTG
Label: RENCANA PILIHAN
No comments:
Post a Comment