Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Saturday, May 5, 2012

Forum Sofa Putih ITBM di Pesta Buku Antarabangsa KL 2012



Institut Terjemahan dan Buku Malaysia menganjurkan siri Forum Sofa Putih (memang sofa tempat panel dan pengerusi duduk berwarna putih, dan mungkin juga sebagai lambang kebersihan ilmu bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012). Pukul 3 petang 5 Mei 2012, Sabtu, giliran saya dan Prof. Emeritus Abdullah Hassan menjadi panel untuk menggarap isu martabat bahasa Melayu, masalah dan langkah mendepaninya. Pengerusi forum ialah Tuan Sayed Munawar Sayed Mohd. Mistar.

Penegasan kami, antara lain berkisar di sekitar:

1. Martabat bahasa Melayu tidak akan datang sendiri; menjadi kewajiban bangsa Melayu sendiri dan bangsa Malaysia memartabatkannya dalam semua sektor kehidupan di negara ini jika bahasa Melayu sebagai bahasa negara benar-benar hendak dijadikan bahasa tunjang tamadun negara.

2. Dapat dikatakan semua bangsa dan negara maju dari dahulu hingga kini mencapai tahap besar dan maju dengan berasaskan bahasanya sendiri, seperi Jerman, Perancis, Rusia, China, Korea, Jepun dan yang lain. Bahasa asing menjadi nilai tambah, bukan pengganti bahasa negara.

3. Pada kemuncak keemasan tamadun Islam dahulu, khususnya pada zaman Abbasiyah, bangsa-bangsa Barat mengambil ilmu daripada khazanah ilmu Islam dengan menerjemahkan segala ilmu ke dalam bahasa mereka dan sejumlah sarjana sahaja yang benar-benar dilatih menguasai bahasa Arab untuk memindahkan ilmu ke dalam bahasa mereka. Yang diambil oleh mereka ialah ilmunya, bukan bahasa Arabnya.

4. Islam telah menggariskan perlunya setiap bangsa memajukan bahasa yang dikurniakan oleh Allah kepadanya dan hal itu diisyaratkan dalam al-Qur`an, surah al-Rum, ayat 21. Dalam surah Ibrahim ayat 4 pula disebut bahawa tidak diutus para rasul melainkan dalam bahasa yang difahami oleh kaumnya. Isyarat syariat itu cukup jelas bahawa proses pengilmuan masyarakat lebih berkesan dalam bahasa masyarakat itu sendiri. UNESCO yang tidak dipimpin oleh kalangan orang Islam sendiri pun dalam piagamnya mencatat bahawa bahasa yang berkesan untuk proses pendidikan, khususnya di peringkat awal, ialah bahasa ibunda sesuatu bangsa.

5. PPSMI merupakan program yang bertentangan dengan tabii dan fitrah dan terbukti gagal kerana melanggar fitrah. Program itu bercanggah juga dengan dasar dan undang-undang negara, khususnya Akta Pendidikan, Perkara 17(1) yang menetapkan bahasa kebangsaan (bahasa Melayu) sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan negara ini. PPSMI melebarkan jurang bandar luar bandar, jurang kelas sosial dan juga menyebabkan kemerosotan pencapaian murid dan pelajar dalam mata pelajaran sains, matematik, bahasa Inggeris dan malangnya bahasa Melayu juga. Demikian hasil kajian yang dijalankan. Keputusan kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan di bawah pimpinan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin amat tepat dan perlu disokong dengan kuat.

6. Langkah memartabatkan bahasa Melayu perlu berasaskan usaha melibatkan seluas dan sebanyak mungkin sektor masyarakat, seperti golongan profesional, pentadbir, ahli undang-undang, pemimpin, pengendali syarikat berkepentingan kerajaan, usahawan dan yang lain, dan tidak seharusnya bahasa dan persuratan dianggap milik eksklusif golongan budayawan semata-mata. DBP menggerakkan program Ziarah Bahasa untuk mendapat sokongan dan pengertian para menteri, ketua setiausaha setiap kementerian, naib canselor, pemimpin persatuan dan yang lain dalam rangka mengatur strategi, langkah dan kegiatan yang dapat mengangkat martabat bahasa Melayu dalam semua bidang.

7. Langkah yang berdampak besar perlu dilaksanakan. DBP telah mula merangka kerja audit bahasa di semua jabatan dan agensi kerajaan untuk menilai pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan juga mutu bahasa yang digunakan. Dijangka bahawa jika program audit bahasa diterima dengan baik untuk dilaksanakan dalam sektor awam, lonjakan iltizam dalam penggunaan bahasa Melayu dan kawalan mutu bahasa dapat dilihat dalam beberapa tahun. Tahap seterusnya akan melibatkan syarikat berkepentingan kerajaan (GLC) dan sektor swasta.

8. Sikap tidak yakin akan kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu berpunca daripada fenomena minda tertawan, sebagai kesan penjajahan yang disebut oleh Ibnu Khaldun dalam Al-Mukaddimahnya dan sikap negatif itu perlu dinyahkan dengan mengisi khazanah ilmu dalam bahasa Melayu sebanyak-banyaknya, khususnya melalui kerja terjemahan, di samping penulisan karya asli dalam bahasa Melayu.Kejayaan UKM menggunakan bahasa Melayu dalam bidang ilmu sudah menjadi bukti nyata tentang kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi kerana sebahagian besar kuliah di universiti itu disampaikan dalam bahasa Melayu, dan 152 daripada 153 syarahan perdana para profesor dalam segala bidang ilmu di unviersiti itu disampaikan dan diterbitkan dalam bahasa Melayu.

9. Kegilaan dan ketaksuban akan penarafan antarabangsa sebagai mata alamat institusi pengajian tinggi di negara ini mesti segera dibetulkan agar universiti mengutamakan proses memandaikan anak watan, melalui penyampaian ilmu dalam bahasa yang difahami oleh majoriti rakyat dan karya ilmiah berbahasa Melayu mesti benar-benar dijadikan salah satu syarat penetapan jawatan dan kenaikan pangkat di universiti. Jika diperlukan piawai jurnal dan terbitan lain, negara ini dengan pakatan strategik universiti di alam Melayu perlu membentuk piawainya sendiri, bukan bergantung pada badan-badan antarabangsa yang dipercayai mempunyai agenda tersembunyinya, yang jelas tidak relevan dengan situasi dan keperluan negara.

10. Tiada mana-mana tamadun di dunia yang dapat berkembang dan bertahan tanpa khazanah ilmu. Oleh itu, perancangan rapi dan strategis perlu dilakukan agar keseimbangan penghasilan persuratan kreatif dapat diseimbangkan dengan persuratan ilmu yang dapat memenuhi pelbagai peringkat masyarakat, seperti masyarakat umum, remaja dan kanak-kanak, selain golongan sarjana dan pelajar. Khazanah itu pula hendaklah diusahakan dengan mengutamakan bahasa negara kerana bahasa itulah yang paling berkesan untuk majoriti rakyat. Himpunan memori bangsa atau rakyat diperlukan dalam bahasa negara kerana itulah yang dilaksanakan oleh negara-negara maju.

~Kembara Bahasa dan Prof. Emeritus Abdullah Hassan~
5 Mei 2012/13 Jamadilakhir 1433

2 comments:

  1. Saya rasa, penjelasan-penjelasan ini harus dibawa kepada masyarakat dengan lebih agresif. Masih ramai lagi yang kurang kesedaran tentang pentingnya isu bahasa dalam pembentukan dan kelangsungan sesebuah tamadun.

    Masyarakat harus sedar dan menghadami isu ini agar mereka juga rasa mempunyai peranan yang besar dalam mengusahakan kejayaan Bahasa Melayu.

    Kita perlu mengikis pemikiran yang mengatakan bahawa masyarakat marhaen hanya perlu meletakkan tugasan ini kepada golongan professional dan ahli akademik.

    Saya masih berhutang kupasan The Ideology of Kokugo: Nationalizing Language in Modern Japan. Walaubagaimanapun, saya masih berharap agar Prof sendiri yang berkongsi isi kandungan buku berkenaan yang pada saya isunya agak mirip dengan dilema penggunaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

    ReplyDelete
  2. Insya-Allah kita atur strategi yang lebih ampuh dari waktu ke waktu. Tentang buku itu, sekurang-kurangnya sdr dapat memberikan ikhtisar stau sinopsiisnya. Saya mengaku bahawa saya belum membaca buku itu. Dapat dibeli buku itu di Konikuniya?

    ReplyDelete